Friday, August 29, 2008

Saya cuba untuk bersifat terbuka (open minded). Mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak yang berbeza pendapat, menimbangkannya dan membuat keputusan secara matang, bijak dan tidak emosi, dan yang paling penting tidak tersasar daripada syariat.

Namun saya hanya manusia biasa. Ketika PRK P44 Permatang Pauh baru-baru ini, saya tak sanggup lagi menonton berita TV. Berita radio jam 7 pagi pun cukup meloyakan saya. Bukan saya seorang yang begitu. Ada kawan-kawan saya pun sama dengan saya. Namun saya masih membaca akhbar perdana melalui internet. Berita TV baik RTM mahupun TV3 pada saya sangat keterlaluan. Itu hak mereka untuk menyokong pihak mana. Tetapi yang jelas, maklumat di TV tidak sama langsung dangan maklumat di internet melalui media alternatif. Bukan sahaja berat sebelah malah ditokok tambah sehingga tahap rakyat jadi meluat.

Saya memang sudah menjangka Anwar akan mendapat majoriti lebih besar kali ini. Tetapi kalau ditimbang daripada media pro BN, Anwar mungkin akan kalah. Saya percaya, laporan sebegini membuatkan pengundi atas pagar berpihak kepada PKR. Mengikut pemerhatian saya, yang paling mudah terpengaruh dengan media perdana tempatan ialah kaum wanita melayu. Orang lelaki lebih degil, berani dan tidak mudah dipengaruhi dengan provokasi media. Tetapi orang perempuan (terutamanya melayu) mudah percaya dengan isu melayu terancam, pembangkang ganas dan kerajaan yang jujur, ikhlas dan telah banyak berbudi semakin dilupakan. Kesian kerajaan yang jujur itu. Kerajaan BN ibarat kaum mustadh'afin. Sudah tiba masa untuk membela mereka.

Media cuba meraih simpati rakyat terutama kaum melayu. Mereka sedar hati orang melayu mudah dilembutkan, macam kerak nasi kena air. Labih-lebih lagi kaum wanita melayu. Orang perempuan bila berkumpul jarang bercakap soal pelitik atau isu nasional. Tetapi orang lelaki mesti ada nak sentuh sikit isu semasa. Dan dimana-mana, mudah ditemui kumpulan lelaki yang makin membenci laporan media yang pro BN. Jelas mereka tidak mudah terpengaruh atau mungkin menutup telinga langsung daripada berita di TV.

Tahniah kepada PKR dan PR. Tahniah kepada Anwar. Walaupun saya semakin kurang minat dengan Anwar terutama dengan isu 16 September, namun saya tetap tidak mahu BN menang.

Monday, August 25, 2008

Wang royalti bantu pelajar

MB Terengganu dilaporkan mahu membiayai pembiayaan pendidikan anak-anak Terengganu ke luar negara. Molek lah tu Datuk.

Terengganu patut belanja lebih untuk pendidikan, sama ada untuk yang ke luar negara mahu pun dalam negara, di IPT mahu pun sekolah rendah. Kerajaan berkebajikan sepatutnya menumpukan usaha jangka panjang dan bukan jangka pendek dengan memberi imbuhan kewangan segera, itu ini percuma. Percuma tu hanya sementara sahaja kerana lambat laun kerajaan mana pun tak kan mampu untuk terus-terusan mengajar rakyat dengan budaya subsidi. Subsidi hanya perlu untuk golongan yang hilang upaya untuk berdikari sahaja. Yang ada keupayaan, kena beri pelajaran, kemahiran, bimbingan supaya boleh berdikari.

Memang semua orang suka bila cukai pintu percuma, air percuma, khidmat kesihatan percuma, pendidikan percuma tapi sampai bila nak macam tu. Memang manis bunyinya, kerajaan berkebajikan. Tapi rakyat perlu diberi kesedaran supaya bersedia untuk berdikari. Semua kena berssedia daripada awal. Pendidikan, kena menabung daripada awal untuk masa depan anak-anak. Kesihatan, kena ada persediaan wang kecemasan. Didiklah rakyat supaya menyertai skim takaful. Alhamdulillah, Terengganu pun dah ada hospital swasta.

Seorang sepupu saya dibawa ke unit kecemasan Hospital Selayang (milik kerajaan) beberapa minggu lepas. Lebih 3 jam menunggu untuk selesai rawatan. Pernah adik ipar saya dibawa ke Hospital KL (HKL) kerana disyakki denggi. Kami disuruh balik dan datang semula esok sebab Lab dah tutup.

Saya pernah ke Hospital Ampang Puteri kerana disyakki denggi. Tak sampai 10 minit darah diperiksa, Doktor sahkan, memang denggi. 3 hari di hospital, bilnya RM2500 lebih. Nasib baik syarikat bayar. Ibu saya masuk HKT. Lebih seminggu dan kosnya percuma (sebab ada anak kakitangan kerajaan).

Moralnya, rakyat perlu bersedia untuk berdikari dan membayar perkhidmatan kalau mahu perkhidmatan yang baik dan lebih berkualiti. Dan lebih mudah berdikari jika kita berilmu dan menjadi bangsa yang sanggup bersaing.

p/s - Guana gamok pulok pejabat Ketengah kena sita sebab tak mboh bayar ? Buat malu je. Dah la baru ni UMNO kena bayar RM218 juta sebab tak mboh bayar. Jangan pejabat UMNO kat PWTC pun kena sita dah le.

Saturday, August 23, 2008

Harga baru petrol

Harga baru petrol ringankan beban rakyat. Itulah tajuk satu laporan akhbar hari ini. Bila harga turun ia meringankan beban rakyat. Bila harga naik, ia tidak membabankan rakyat.

Yang seronoknya, alasan Shahrir Samad bahawa pengusaha minyak ada beberapa masalah teknikal bila nak turunkan harga minyak. Kalau nak naikkan, itu tak ada masalah. Oleh sebab itu, harga minyak paling kerap boleh turun ialah sebulan sekali.

Di Singapura, harga petrol pernah turun 5 kali dalam tempoh 20 hari. Ini berita pada 27/07/2008. Macam mana dia orang boleh buat ? Di sana harga petrol tidak dikawal kerajaan. Mereka tak pakai RON97 tetapi RON 92, RON 95, RON98 dll. Harga disana cecah 2 dollar. Kalau banding dengan gaji mereka, lebih kurang 2 ringgit banding gaji kita juga la.

Apapun, sebagai orang Islam, kita kenalah bersyukur. Jika kita bersyukur, Allah akan tambahkan lagi, jika kita kufur dengan nikmat Allah, tunggulah azabNya.

Nasib baik sejak harga petrol naik, saya tak pernah isi penuh tangki. Kecuali masa pergi Kuala Ketil, Kedah tempoh hari. Ye lah nak jalan jauh, kenalah isi banyak-banyak. Karang sangkut kat mana-mana kan susah.

Cerita pasal Kuala Ketil, di majlis kenduri kahwin di sana, saya sempat rakam gambar dua orang ini sedang berbual-bual. Mereka adalah Timb. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (bapa saudara pengantin) dan Datuk Abdul Azeez Rahim (exco pemuda UMNO).

Sunday, August 03, 2008

PAS dan PKR

PAS
---

Agak resah saya bila tidak dapat membaca tulisan Ustaz Ahmad Awang. Terutamanya tentang isu muzakarah PAS UMNO selepas Pak Lah mendedahkannya. Ini kerana, saya begitu yakin, Ustaz Ahmad Awang mampu memberikan penjelasan dengan baik dan kemas. Mungkin beliau agak sibuk akhir-akhir ini.

Sebelum ini, ketika isu Perjanjian Pangkor II dihebohkan, pun saya sedikit gusar kerana tiada penafian segera daripada PAS mahu pun MB Perak itu sendiri. Namun penjelasan Ustaz Ahmad Awang menjadikan saya mulai mengkagumi beliau.

Telahan saya memang betul, dalam posting terbaru beliau, sekali lagi Ustaz Ahmad telah menulis dengan begitu baik dan jelas, mudah difahami tentang isu muzakarah. Saya amat bersetuju dengan beliau dan berharap beliau akan memegang peranan lebih penting dalam PAS satu hari nanti, Insya Allah.


PKR
---

Kelmarin, Ahli Parlimen Ampang, Puan Zuraidah Kamaruddin dan wakil ADUN Bkt Antarabangsa telah datang ke rumah saya dan rumah di sekitar kejiranan saya. Mereka datang secara rombongan untuk mendekati rakyat dan meninjau daripada dekat permasalahan semasa sambil beramah mesra dan berkenalan. Rumah Ahli Parlimen PKR ini memang sekampung dengan saya.

Kalau beginilah pendekatan beliau, rasanya memang sukar UMNO atau BN hendak merampas semula Selangor atau sekurang-kurangnya Ampang kecuali PKR atau PR melakukan kesilapan besar dalam pemerintahan penggal ini.

Syabas kepada beliau dan petugas-petugas beliau. Teruskan kerja kuat anda. Jangan mudah terleka dengan pujian dan jangan juga berputus asa dengan ujian. Semoga PR terus berjaya dan cemerlang.