Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah dan bermula ke belum ?

Begitulah akibatnya bila pendakwah dah terbiasa sangat dengan budaya maki hamun. Nabi tak pernah ajar berdakwah secara maki hamun. Bila nabi dihina, dicerca, baginda tetap dengan cara yang bersantun, beradab.

Ada kita pernah dengar nabi maki sahabat mahupun musuh seperti Abu Jahal ? Tapi cuba lihat reaksi mereka yang mengaku ahli atau penyokong PAS di tranungkite.net. Betul ke tidak mereka ni penyokong tak lah dapat disahkan. Tapi berbuih lah sumpah seranah mereka.

Sebenarnya muzakarah dah bermula ke belum ? Adakah perbincangan sebelum ini iaitu selepas PRU 12 boleh dikira sebagai muzakarah ? Hanya Pak Lah yang kata itu muzakarah. Lalu histerialah penyokong-penyokong PR marahkan wakil PAS yang dipilih untuk mendengar tawaran UMNO itu. Dah jelas PAS menolaknya. Jadi salahkah kalau dimulakan muzakarah yang sebenar ?

Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Tan Seng Giaw setakat ni tak melenting. Tak tahulah kalau mereka hanya berlakon cool. Tapi Karpal jelas menyinga. Sesiapa yang mengamuk, sama lah macam Karpal.

Berita mutakhir yang dilaporkan, MSU sebulat suara menolak muzakarah tetapi boleh menerima muqobalah. Apa ke benda nya pulak muqobalah ni ? Jangan dok berbalah sudah lah. Banyak kerja lagi nak kena selesaikan.

Muzakarah : Satu muhasabah

Bagai diserang histeria, penyokong-penyokong PAS dan PR rata-rata membantah muzakarah antara PAS dan UMNO.
Kalau dibaca di Tranungkite.net ramai yang meluahkan rasa masing-masing. Rata rata tidak setuju langsung dengan muzakarah tersebut. Sebahagian yang lain bersetuju tetapi bukan dalam bentuk kerjasama politik.
Badan NGO seperti PKPIM, ABIM, JIM dan PUM menyokong muzakarah tersebut.

Saya sendiri termasuk dalam golongan kedua. Yang jelas, kerjasama politik perlu diketepikan terus. Sejarah lepas sudah membuktikan ketidak ikhlasan UMNO dalam mendekati PAS. Malah ketika muzakarah sedang berlangsung kini pun, UMNO tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berubah. Kerajaan PR di Perak difitnah. MB Perak difitnah dengan perjanjian Pangkor II dan pajakan tanah 999 tahun. JKKK di negeri PR tidak diiktiraf dan ditubuhkan JKKP sekaligus menganggu dan menghina kerajaan negeri PR.

Beberapa projek kerajaan persekutuan di negeri PR ditangguhkan. Negeri Kedah mula berdepan dengan masalah kewangan, bukan hendak dibantu tetapi diasak pula dengan isu balak dan alam sekitar.

Jadi apa hasil muzakarahnya ? Dan yang masih menjadi misteri, ialah muzakarah ketiga, siapa wakilnya dan apa isu rundingannya ?

Kemarahan penyokong tak dapat dielakkan kerana PAS sebelum ini beriya-iya menafikan wujud rundingan antara PAS dan UMNO sejak selepas PRU12. Kemarahan dituju pula kepada wakil yang diamanahkan walhal mereka hanya wakil yang direstui oleh Majlus Syura Ulama (MSU). Kenapa marah kepada wakil mereka ? Hasil rundingan setakat ini pun tidak menunjukkan PAS cair dengan tawaran UMNO walaupun tawarannya lebih baik daripada apa yang PAS perolehi daripada PR.

SiasahDaily melaporkan, satu mesyuarat peringkat MSU akan dilangsungkan esok. Hasil muzakarah setakat ini perlu dinilai sebelum membuat keputusan meneruskan rundingan. Ketidak ikhlasan UMNO juga mula terserlah bila isi rundingan mula didedahkan satu persatu mulai pendedahan Pak Lah diikuti pendedahan Khir Toyo. Usaha menelanjangkan PAS cukup untuk membuat penyokong PR menjadi gawat seketika.

Saya tidak melihat sangat Karpal Singh dan Lim Kit Siang dalam DAP. Saya melihat pemimpin masa depannya seperti Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan sebagainya. Pemimpin PAS di Perak seperti Ustaz Ahmad Awang, Nizar Jamaluddin dan Mujahid Yusof lebih nampak potensi hubungan dengan DAP berbanding pemimpin PAS di Kelantan dan Terengganu yang hanya nampak UMNO dan orang melayu sahaja. Mereka lebih memahami realiti taburan penduduk di Malaysia kerana mereka hidup dalam suasana yang berbilang kaum berbanding kelompok melayu di Terengganu.

Tuesday, July 22, 2008

PAS telah buktikan

Saya kesal bila ada pihak menganggap rundingan secara sulit PAS dengan UMNO dilihat sebagai pengkhianatan.

Khir Toyo di dalam blognya mengakui, dalam rundingan tersebut, PAS ditawarkan jawatan MB, Timbalan MB dan 4 exco. Wallahua'lam betul ke tidak.

Namun kita sudah sama-sama melihat, PAS meneruskan kerjasama dalam PR membentuk kerajaan di Selangor. Tanpa jawatan MB, tanpa jawatan TMB. Tidakkah itu menunjukkan PAS lebih mengutamakan rakan dalam Pakatan Rakyat ? Tidakkah itu membuktikan bukan jawatan yang dikejar ? Tidakkah jelas disitu, PAS lebih sayangkan rakan dalam PR berbanding UMNO ? Jadi kenapa mesti masih marah-marah ?

Jangan jadi bodoh sombong. Orang yang langsung menutup pintu perbincangan tanpa memberi peluang untuk berbincang; itu bodoh sombong. Jangan takbur. Soal mencurah air ke daun keladi, itu dia punya fasal. Kita berdakwah. Kalau dia tak mahu pakai apa yang kita sampaikan, kita tak boleh terus hentikan usaha. Tak mahu bersemuka lagi. Nak guna cara keras.

Dalam PR pun, PAS terus berdakwah. Bukan boleh diterima terus kesemuanya. Tapi dakwah perlu diteruskan. Nahi mungkar perlu diteruskan. Gunakan cara yang berhikmah. Generasi hari ini tak boleh terima, mungkin generasi akan datang akan diberi hidayah oleh Allah.

Bermuzakarah bukan bermakna pakatan politik.

UMNO sudah berjaya

UMNO kini sudah mula berjaya mengalih perhatian rakyat daripada masalah peralihan kuasa dalam UMNO, desakan kepada PM supaya berundur, masalah ahli komponen BN keluar parti, kritikan masalah ekonomi dan harga minyak; yang kesemuanya berpunca daripada PM yang diakui kawan dan lawan sebagai lemah, kepada masalah PAS dan PR.

Bagaimanapun, saya merasa sedikit sejuk dan berpuas hati selepas membaca penjelasan Khalid Samad di PemudaEnggang selain jawapan Nik Abduh di blognya.

Jawapan tenang Anwar Ibrahim juga melegakan saya. Saya berharap muzakarah dengan UMNO tidak sama sekali melibatkan usaha memBNkan PAS, atau membawa kepada kerjasama antara politik antara PAS dan UMNO dalam pilihanraya.

Saya berpegang kepada kata saya yang terdahulu, UMNO perlu mengakui dan menyesali segala kezaliman dan pengkhianatan yang sudah dilakukan terhadap PAS sejak sekian lama.

Andai kata PAS dan UMNO bekerjasama membentuk kerajaan di Selangor dan Perak hari ini, anda fikir apa yang berlaku hari ini ? Kalau MB daripada PAS sekalipun, tidakkah akan menjadi MB boneka UMNO ? Tidakkah nanti PAS akan dikhianati, kelemahan-kelemahan MB baru pasti dibongkar untuk menunjukkan betapa MB PAS tidak berwibawa. Desakan demi desakan, tekanan demi tekanan akan dikenakan selagi mereka tidak dapat semula kuasa yang terlepas. Sekaligus, imej PAS akan tercemar dek fitnah yang berterusan. Bagaimana PAS nak membina semula keyakinan rakyat terhadap keupayaan PAS memerintah jika reputasi sudah tercemar ? Kerjasama PAS dalam BN telah menyebabkan PAS berpecah dan Kelantan jatuh ke tangan BN pada tahun 1978. Nasib baik dengan bantuan Allah, Ku Li menjadi orang yang membantu mengembalikan semula Kelantan kepada PAS.

Monday, July 21, 2008

Nak dengar tawaran PM

Khalid Samad dilaporkan berkata, perjumpaan dengan PM sejurus selepas PRU12 adalah bertujuan untuk mendengar tawaran daripada PM.

Hai, dah bekerjasama dan berpakat dengan PKR sebelum PRU, lepas menang, nak dengar tawaran PM pula. Apa maknanya tu ? Saya tak pasti Khalid Samad bercakap bahasa melayu atau inggeris yang diterjemah kepada melayu. Tapi kalau nak dengar tawaran PM, boleh diterjemahkan bermakna, kalau tawaran PM bagus, PKR boleh diabaikan. Begitu ? Tak khianat ke namanya tu ?

Atau sekadar nak dengar apa tujuan PM nak jumpa ? Memang diakui, pada masa itu, PAS belum ada apa-apa pakatan dengan DAP. Jadi proses menubuhkan kerajaan dan kerja sama menjadi kabur dan tidak menentu. Tetapi adakah wajar meninggalkan PKR, rakan seperjuangan untuk mendengar tawaran musuh dahulu. Sepatutnya, berbincanglah dengan kawan dahulu, bukan dengan musuh.

Saya setuju PAS bermuzakarah dengan UMNO. Apa salah PAS bincang soal isu murtad umpamanya, atau isu Islam Hadhari yang mengelirukan itu ? Begitu juga isu pentadbiran kerajaan di Terengganu seperti royalti minyak dan perbelanjaan mengurus negeri di Terengganu atau Kedah.

Tetapi, kejasama politik dengan UMNO, tidak sama sekali. Apakah PAS sudah lupa dengan Pemuda tahan lasak UMNO sehingga muslimat PAS tidak dibenarkan bertanding dalam PRU untuk seketika ? Apakah PAS sudah lupa dengan pengkhianatan UMNO ketika PAS dalam BN ? Apakah PAS lupa siapa yang betanggungjawab melantik MB boneka UMNO di Kelantan ketika PAS dalam BN. Apakah PAS lupa bagaimana UMNO membeli ADUN PAS di Terengganu pada tahun 60an hingga MB PAS diundi tidak percaya ? Adakah PAS lupa dengan peristiwa Memali ? Peristiwa Lubuk Merbau ? Huru-hara di Kota Bharu rekaan UMNO sehingga Kelantan diisytihar darurat ? Kerajaan rakyat Kelantan pimpinan Nik Aziz dipinggirkan dan didera dengan sekatan kewangan bertahun-tahun lamanya. Begitu juga dengan kerajaan Terengganu ketika dibawah pimpinan Hadi Awang. Semua pemimpin UMNO merestui perbuatan zalim di atas ketika itu. Ada yang kata "padan muka".

Jika UMNO sanggup mengakui semua kesalahan-kesalahan di atas dan memohon maaf secara terbuka dengan semua rakyat atas segala penipuan media selama ini, sehingga semua fitnah ke atas PAS sejak dahulu begitu dipercayai rakyat; barulah PAS boleh mempertimbangkan semula kerjasama politik dengan UMNO. Pun begitu, selagi Pakatan Rakyat tidak mengkhianati PAS, PAS tidak boleh mengkhianati PR.

Tuesday, July 15, 2008

Rundingan kerja, bukan rundingan politik

Rakyat membuat pilihan memilih pemimpin yang diyakini boleh buat kerja. Rakyat mahu mreka utamakan kerja utnuk rakyat, bukan berpolitik untuk kepentingan diri dan parti masing-masing.

Suasana tidak stabil politik semasa di Malaysia hari ini rasa saya banyak berpunca daripada dakwaan Pakatan Rakyat akan ambil alih kerajaan persekutuan sebelum atau pada 16 September. Kononya ada sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen BN akan melompat-lompat ke PR.

Dakwaan sebegini menyebabkan kedua-dua pihak, BN dan PR tidak berhenti-henti melancarkan perang saraf, terus berpolitik sehingga hilang tumpuan kepada tanggungjawab kepada rakyat. Kalau benar 30 ahli parlimen nak melompat, tak payah nak heboh-heboh. Lompat je lah. Buat apa nak war-warkan. Nak iklankan. Konon nak tunggu tarikh tertentu dan sebagainya. Nampak sangat ini hanya perang saraf yang tak menguntungkan rakyat. Hantikanlah khabar-khabar angin ini.

PAS dan DAP nampak tak ghairah langsung dengan khabar angin tersebut. Hanya PKR yang menyanyi dan menari sorang-sorang. Mungkin PAS dan DAP dah bosan sebab khabar angin ni bukan baru. Dah 5 bulan. Dari sebulan ke sebulan dok tunda. PAS dan DAP dah boleh baca betapa karutnya dakwaan itu. Kalau betul-betul berlaku pun, saya percaya PAS dan DAP tidaklak segembira mana seperti gembiranya PKR. Ini kerana ahli parlimen tersebut bukan pejuang tulin dalam PR. Mereka tidak bersama-sama mengharungi kepayahan semasa menjadi pembangkang, merancang strategi, bekerjasama berkempen, mengenali hati budi dan kerenah petugas masing-masing.

Dewan Harian PAS akan mula berunding dengan kerajaan Terengganu. Baguslah. Teruskan kerja anda. PAS dan DAP boleh bekerjasama sebab sama-sama duduk dimeja rundingan. Bukan sebab rundingan melalui akhbar, media elektronik, atau di DUN/Parlimen. Sebab kalau berunding secara terbuka depan rakyat, rundingan akan jadi perbalahan. Kata sepakat tak boleh dicapai malah titik perbezaan lebih ketara daripada titik persamaan.

Walaupun rundingan secara tertutup selalu dicurigai, (terutama oleh pihak yang tak dapat duduk semeja) tapi jangan pedulikan sangat. Yang penting hasil rundingan itu bermanfaat untuk negara/negeri.

Selamat Bermusyawarah.

Monday, July 14, 2008

Menteri dalam negeri sebar khabar angin

Menteri dalam negeri, Syad Hamid Albar bertanggungjawab menyebarkan khabar-khabar angin, kononnya akan ada satu demonstrasi besar-besaran dekat parlimen. Kawalan ketat polis seolah-olah akan ada satu rampasan kuasa hari ini di KL.

Menurut Syed Hamid, beliau mendapat maklumat, banyak laporan yang menyatakan akan ada demonstrasi menyokong usul tidak percaya kepada PM. Saya harap pihak polis dapat menyiasat siapakah yang bertanggungjawab memulakan khabar angin tersebut.

"Keputusan itu (mengadakan sekatan jalan raya) dibuat kerana banyak kenyataan dibuat untuk mengajak orang ramai mengadakan demonstrasi di Parlimen dan kita mempunyai banyak bukti menunjukkan apa yang dilakukan itu memang menganggu gugat ketenteraman awam."

Siapa yang mengajak, daripada mulut siapa yang banyak sangat tu ? Siasat, jangan tak siasat. Atau memang sengaja dirancang untuk menakut-nakutkan rakyat. Supaya rakyat bosan dan benci dengan gelegat orang yang tak sabar-sabar nak jadi PM.

Dalam pada itu, Anwar tak jadi ke IKKL dengan seribu satu alasan. Alah, bukan tak biasa dengan Anwar. Dia memang suka bermain kata-kata. Kejap kata nak pergi. Tiba-tiba tak jadi. Alasan memang banyak. Anwar memang tinggi egonya. Dia mahu cabar polis. Dia mahu polis tangkap dia untuk jadi modal politik seterusnya.

Lama-kelamaan, orang akan bosan juga kalau dah selalu sangat dengan trick yang sama. Bermuhasabah lah Anwar.

Saturday, July 12, 2008

PAS berunding dengan UMNO

Rimas bila saya baca cerita pasal rundingan PAS dengan UMNO. Tetapi bila saya baca wawancara Harakah dengan Hadi Awang, saya rasa lega.

Saya bukan suka sangat dengan Hadi Awang ni. Saya hairan bila ramai orang amat mengkagumi beliau. Pidatonya dikatakan hebat. Tapi saya rasa biasa saja. Ada yang kata kalau berwudhuk di masjidnya dan bersolat sekali di Rhusila, anda akan teringin untuk terus mengunjunginya. Saya dah banyak kali pergi dan tak terasa apa-apapun. Saya pergi sebab menumpang kereta orang. Carpool untuk solat Jumaat. Banyak kenyataan-kenyataannya dahulu yang saya kurang gemar atau kurang setuju. Tetapi saya tetap menghormati beliau. Beliau jauh lebih baik daripada saya baik daripada segi ilmunya, mahupun amalannya.

Tetapi, akhir-akhir ini, saya rasa pemikiran beliau nampak sedikit berbeza. Saya banyak bersetuju dengan pandangannya. Saya rasa Hadi Awang kini semakin berfikiran jauh.

Berbalik kepada rundingan PAS-UMNO. Saya amat bersetuju kalau PAS berunding bukan sahaja dengan PKR malah UMNO dan lain-lain parti. Berunding bukan semestinya bersatu di dalam BN. Bekerjasama dalam pentadbiran kerajaan bukan semestinya PAS perlu menyertai BN. Sebab itu bila MB Terengganu mahu berbincang dengan PAS Terengganu, atas kapasiti kerajaan dengan pembangkang, saya sangat setuju dan mengalu-alukannya. Tiada gunanya PAS hanya mengkritik dipadang-padang dengan lontaran idea yang macam bagus, tetapi tidak sampai kepada kerajaan untuk difikir-fikirkan. Di DUN, suasana sedikit berbeza kerana masing-masing lebih mahu menonjolkan kebijaksanaan masing-masing disamping mahu mengejek lawan.

Di meja rundingan, biasanya suasana amat berbeza dan masing-masing lebih berlapang dada.

Walaubagaimanapun, jika benar PAS menyertai BN selepas PRU 12, saya akan berhenti menyokong PAS sehingga keadaan kembali pulih. Saya sangat tidak setuju kerana itu sudah dikira mengkhianati keputusan rakyat baru-baru ini. PAS perlu meneruskan kerjasama dalam PR kecuali berlaku sesuatu yang tidak boleh dimaafkan lagi oleh PAS yang melibatkan kepentingan Islam dan negara.

Thursday, July 10, 2008

Dr Taha Jabir al-’Ulwani berkait tuduhan ke atas Najib

Harakahdaily melaporkan fatwa Dr Taha Jabir al-’Ulwani berhubung tuduhan liwat terhadap Anwar. Bila dah tersepit macam ni, mulalah nak merujuk ulama muktabar. Tapi bila geng sendiri buat tuduhan kepada pihak lawan, tak pula dipedulikan apa fatwa ulama ?

Bukan itu saja, dalam apa jua perkara yang boleh membawa kepada keuntungan pihak sendiri, fatwa ulama atau nasihat ulama tak dipeduli. Kalau nak diikutkan tuduhan, moral Anwar tak jauh bezanya dengan moral Najib. Jadi tuduhan terhadap Najib juga perlu difatwakan sebagaimana tuduhan terhadap Anwar.

Orang politik ni, kalau boleh pakai 50% daripada apa yang dia cakap, itu dah cukup bagus. Tapi bila tiba pilihanraya, apa pilihan yang kita ada ? Tak nak keluar mengundi ? Tak kan nak biarkan hanya orang kafir dan munafiq buat keputusan untuk masa depan negara ?

Wednesday, July 09, 2008

Mimpi yang lawak

Malam tadi saya mimpi perlawanan bolasepak antara Malaysia dengan Rusia. Perlawanan diadakan di padang bola sepak KUSZA. (Kusza ada lagi ke ? Setahu aku dah dimatikan dengan jayanya semasa pemerintahan 4 tahun Khalifah Idris Jusoh (bahasa negatif nya) atau dah dinaik taraf ke Universiti (bahasa positifnya).

Okay, berbalik kepada mimpi saya, perlawanan dimenangi oleh Rusia tapi Malaysia mendahului 1-0 di separuh pertama. Anehnya, Pengurusan KUSZA mewajibkan pelajar menyokog Rusia dan sesiapa yang memberi sokongan terbuka kepada Malaysia akan dipecat. Ada beberapa pelajar yang dipecat kerana menunjukkan sokongan terbuka kepada Malaysia. Saya pun sokong Malaysia tapi tak berani tunjuk secara terbuka. Beberapa pensyarah KUSZA sendiri nampak menyokong Malaysia terutama ketika Malaysia mendahului, tapi sokongan tak ditunjukkan secara terbuka.

Gitu lah mimpi karut saya malam tadi. He.. he..
Euro2008, tak pernah sekalipun saya berjaga malam untuk tonton perlawanan.

Monday, July 07, 2008

Ezam ada pendedahan baru jatuhkan Pakatan Rakyat?

Ahli terkini UMNO paling popular, Ezam dilaporkan ada pendedahan baru untuk jatuhkan Pakatan Rakyat. Begitu mengikut laporan MStar.com.my.

Namun tak dinyatakan, berapa kotak bukti pendedahan kali ini. Bukti dulu yang berkotak-kotak tu pun masih disembunyikan atas sebab-sebab kepentingan tertentu. Sudah lah Ezam. Kalau Ezam buat sumpah keramat pun, saya tak percaya.

Friday, July 04, 2008

Bala cari bala

Cerita karut Bala semalam memang sudah diduga. Kalau diamati pengakuan Bala semalam, memang tak manasabah langsung.

Hari ini, dia dah tarik balik pengakuan semalam. Jadi tambah kalut dan karut. Dia sengaja tempah bala atau apa ?

Yang Anwar pula asyik tuduh orang lain buat konspirasi. Yang nampak sekarang, dia yang atur konspirasi ke atas Najib.

Allah bersama-sama orang yang benar.

Kesimpulannya

Kesimpulannya ialah :-

1. Semua tuduhan terhadap Anwar adalah KONSPIRASI tetapi semua tuduhan terhadap Najib adalah BENAR.

2. Anwar tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Najib memang bersalah sebab ada bukti. Cuma bukti tu masih dirahsiakan.

3. SB (Saiful Bukhari) adalah penyokong Pak Lah (rujuk laman webnya), tetapi menjadi ejen Najib dan bekerja untuk Anwar.

4. Najib dikatakan takut bini, tapi kaki perempuan. Anwar tak takut bini tapi kaki jantan.

5. Semua pelakon di atas adalah pembohong negara.

Wednesday, June 25, 2008

Mana sang mawar ?

Kepada Mawar, saya ternanti-nanti jemputan anda. Tak jadi jemput ke ?
:)

Thursday, June 19, 2008

Bayaran gaji 2 kali sebulan

Mula-mula, menteri kewangan Abdullah Ahmad Badawi kata, nak bayar gaji kakitangan kerajaan 2 kali sebulan. Pihak swasta pun digalakkan buat begitu. Selesai ke masalah ?

Tiba-tiba, dah macam tak jadi pula. Nak kaji balik. Alahai menteri kewangan. Kalau awal-awal cakap itu hanya cadangan, tak lah terjejas kredibiliti tu. Ini nampak macam cakap ikut sedap mulut je. Kalau ye pun, kaji lah dulu implikasi dan praktikalitinya. Padanlah ada yang melabelkan PM sebagai flip-flop.

Saya pernah "jaga" sistem gaji sebuah agensi kerajaan iaitu MARA. Pada masa tersebut, MARA mempunyai kira-kira 6000 orang kakitangan dan menggunakan sistem SSB.

Percaya atau tidak, ada kakitangan yang membuat potongan gaji hingga jumlah bersih menjadi negatif. Berbagai potongan yang dibuat, pinjaman rumah, pinjaman kenderaan, pinjaman komputer, arahan mahkamah, potongan koperasi, ASB, Tabung Haji, khairat kematian, badan kebajikan, taman asuhan kanak-kanak dan berbagai-bagai lagi. Proses gaji menjadi tergendala kerana mana mungkin MARA keluarkan cek bernilai negatif atau MARA mengarahkan bank membuat bayaran negatif. Potongan tertentu (yang bukan dalam kategori wajib) terpaksa dibatalkan. Kakitangan tersebut perlu membuat bayaran sendiri. Yang terima pendapatan bersih kurang daripada RM100 sebulan memang ramai. Macam mana nak bayar 2 kali sebulan ?

Begitulah realiti sebenar perbelanjaan rakyat. Kerajaan nampak ke ? Bukan saja tak manasabah malah menyusahkan. Rakyat kena aturkan semula cara menguruskan perbelanjaan dan elaun. Bagi yang gajinya berlebihan setiap bulan, tiada masalah. Tapi kenalah tahu, bukan semua orang senang macam anda.

Sunday, June 15, 2008

Royalti petrolium kembali kepada kerajaan Terengganu

Terima kasih kepada kerajaan persekutuan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi kerana mengembalikan semula royalti petrolium untuk diurus sendiri oleh kerajaan Terengganu. Tuntutan Ahmad Said bukan sahaja berjaya dalam masa yang singkat malah tidak menghadapi rintangan yang penuh ranjau. Walau pun tuntutan Ahmad Said tidak terlihat mendapat sokongan terbuka daripada Adun BN, namun beliau berjaya juga. Tahniah kepada Ahmad Said.

Mungkin sokongan MAMPAT (yang didokongi istana) dan rakyat amnya banyak mempengaruhi keputusan. Semua orang tahu, Abdullah Ahmad Badawi mahu membetulkan kesilapan beliau atas isu perlantikan menteri besar Terengganu selepas PRU 2008 lalu. Akhirnya, menteri besar yang dilantik secara menyalahi perlembagaan (menurut Abdullah) bukan sahaja diperkenankan MT Umno, malah mendapat pengiktirafan Umno dan kerajaan persekutuan satu demi satu. Terbaru ialah isu royalti dan jawatan Pengerusi UMNO Negeri.

Saya yakin Ahmad Said, Menteri Besar yang pekat loghat Terengganu ini akan merangka pelan pembangunan yang baik dan mapan, untuk jangka pendek dan panjang, untuk rakyat negeri Terengganu. Namun keyakinan rakyat sahaja tidak memadai. Yang penting beliau benar-benar melakukannya, menunaikan amanah rakyat dengan bijak dan berani. Tidak dapat tidak, PAS dan Pakatan Rakyat akan terus mengkritik apa juga projek kerajaan negeri selepas ini, kalaupun tidak kesemuanya, pasti krtitikan itu terhadap lebih 90% projek. Ianya sama seperti BN di negeri PR.

Saya lebih suka jika pembangunan tidak terlalu tertumpu di bandar seperti di kebanyakan negeri di Malaysia sehingga memperlihatkan jurang pembangunan yang ketara antara bandar dan luar bandar menjadikan masyarakat luar bandar begitu teringin berhijrah ke bandar seolah-olah hidup lebih senang di bandar. Sektor pertanian moden dan industri kecil dan sederhana perlu diserapkan supaya menjadi imej serasi dan terpahat kepada rakyat Terengganu di luar bandar.

Bidang pendidikan juga perlu dibuat secara bersungguh-sungguh dan berkesan, tidak hanya indah khabar atau untuk promosi sahaja. Beribu-ribu kanak-kanak khatam Quran tapi bila suruh baca, tergagap-gagap sambil nak mengeja.

Sektor belia dan sukan juga perlu diberi penekanan. Saya tak setuju dengan cara PAS sebelum ini yang seakan mengabaikan sektor ini (mungkin kerana peruntukan yang terhad) malah menganggap seolah-olah sukan itu melalaikan golongan muda.

Akhir kata, saya bukan penyokong Ahmad Said. Saya sokong kerajaan. BN jadi kerajaan pun saya sokong, PAS jadi kerajaan pun saya sokong. Namun menyokong bukan semestinya dengan pujian yang mengampu. Kadang-kadang sokong perlu juga dengan kritikan dan teguran. Memang terlalu awal untuk terus memuji-muji pentadbiran Ahmad Said, tapi saya meluat dan menyampah dengan kerajaan BN sebelum ini.

Saturday, June 14, 2008

Mudahnya menceroboh talian internet

Sekarang adalah masa untuk menonton Euro 2008. Tapi saya dah lama tak menulis di blog ni. Sekarang saya bertugas di luar pejabat. Saya akan terus bertugas di luar pejabat untuk tempoh kira-kira 3 bulan. Peluang memasuki internet amat terbatas dan saya manfaatkan sepenuhnya untuk hal-hal penting sahaja.

Berbalik tajuk di atas, saya bukan hackers yang bijak menceroboh komputer atau talian internet orang. Malam ni, saja nak cuba guna wireless port orang lain. Sejak ada laptop ni, saya kenalah cari jalan untuk memasuki internet melalui wireless adapter. Oleh kerana saya tiada kemudahan itu, saya cuba buat carian dari rumah.

Walaupun status nya security-enabled network, hanya dengan 2 kali teka, saya berjaya memasuki internet melalui akaun orang lain. Tak cukup dengan itu, saya juga berjaya menceroboh hingga ke setting pada gatewaynya. Hingga dapat tahu user id streamyxnya. Kan ke bahaya tu ? Kalau ye pun, buatlah password yang susah sikit. Ini tidak. Guna default password saja. Tak tukar-tukar lagi dah.

Nasihat saya, kalau set up wireless hub, jangan abaikan soal security.

Tuesday, June 03, 2008

Comelnya




Comel kan anak saya ni?
Kanak-kanak semuanya comel-comel. Hatinya pun bersih. Mukanya pun bersih.
Ibu bapa nya lah yang akan mencorakkan masa depannya.

Monday, May 26, 2008

Dia pergi jua

Kes 1
--------
Peduli apa dia pergi. Lagi bagus. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya.


Kes 2
--------
Dia ibarat melukut di tepi gantang. Adanya, tak menambah sukatan. Perginya pun tak mengurangkan sukatan.


Kes 3
--------
Aku rindu ...
Alangkah baiknya kalau ... tapi apakan daya ku ...
Doa ku, semoga cita-citanya tercapai ...

Parti Keadilan Rakyat

Antara kekuatan utama PKR adalah terletak pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kecerdikannya, karismanya, keberaniannya, strateginya.

Antara kelemahan utama PKR ialah pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hipokritnya, janjinya yang tak boleh dipegang, berdolak-dalik, tidak boleh dipercayai.

PAS pun berdolak-dalik juga tetapi tidak sampai menganiyai kawan. Cuma kadang-kadang terlepas pandang sehingga kawan berkecil hati.

Dalam perjuangan, jangan mudah ambil hati. Ingat matlamat adalah untuk Agama dan Negara tetapi bila kita merasa diri teraniaya, terpinggir, sukar untuk menghadapinya.

Artis di masjid

Biasanya, bila cakap pasal artis, kita cenderung untuk berkongsi hal-hal negatif. Kisah skandal artis, cerai berai, mabuk, dedah aurat, rantai artis lelaki dan macam-macam lagi umpatan dan kejian, tanda benci kita kepada kemungkaran. Alhamdulillah, benci kemungkaran itu tanda iman.

Tapi korang pernah tak jumpa artis kat masjid. Bukan artis nasyid atau artis akademi al-Quran. Tapi artis yang menyanyi, menari atau berlakun yang biasa dipandang daripada sudut negatif korang. Bukan sebab artis tu nak kahwin atau hadir kursus kahwin. Bukan sebab nak shooting. Tapi sebab nak solat. Tak pernah ? Tak pernah sebab artis tak pergi masjid ke atau sebab korang yang tak pernah pergi masjid ?

Dulu, pernah juga aku terlihat, arwah Mahmud Jun (semasa hayatnya lah) di Masjid Kg Baru. Selain tu ialah M.Rajoli juga di masjid yang sama. Apa khabar agaknya dia ? Sejak berita dia sakit, sekarang dah tak ada khabar berita lagi. Pernah juga dengar cerita negatif pasal M.Rajoli. Wallahua'lam.

Pagi tadi, terdengar lagu Ferhad, mengingatkan aku dengannya. Aku pernah terlihat si Ferhad ni beberapa kali hadir solat di Masjid Wilayah Persekutuan. Sekali tu di bulan Ramadhan, selepas solat Jumaat, dia beratur panjang bersama makmum lain untuk bayar zakat. Bukanlah nak puji sangat kata dia ni baik. Tapi sesekali bercerita kebaikan artis yang kita nampak, sebarkan, mudah-mudahan jadi ikutan selain menghilangkan rasa buruk sangka kita kepada mereka.

Semoga solat dapat menghindarkan kita (orang Islam) daripada perbuatan keji dan mungkar.

Wednesday, May 14, 2008

Mudahnya berjanji

Dalam pilihanraya 1982, PAS Terengganu pernah berjanji melalui manifestonya untuk menuntut royalti petrolium dinaikkan daripada 5 peratus menjadi 10 peratus. PAS gagal dalam pilihanraya itu.

Dalam pilihanraya 1999, tiada janji seperti itu tetapi PAS menang dan berjaya memerintah negeri. Malangnya, royalti petrolium bukan sahaja gagal dipertahankan pada kadar 5 peratus, sebaliknya menjadi 0 peratus. Tiada lagi royalti. Jauh sekali nak dinaikkan menjadi 10 peratus. Semua orang tahu siapa yang bertanggung jawab menjadikannya begitu. Kepentingan politik lebih utma daripada kepentingan rakyat.

Yang nak disentuh ialah mudahnya berjanji. Tapi bila nak laksanakan, barulah sedar realitinya. Halangan-halangan yang perlu ditempuhi. Ada yang perlu pindaan undang-undang. Ada yang perlu dikaji perjanjian. Ada yang perlu peruntukan besar. Ada yang perlu lihat semula bidang kuasa kerajaan negeri. Macam-macam lagi. Terpaksalah berdolak-dalik dengan rakyat. Pembangkang pula ambil kesempatan memperbesarkan isu. Tuntut ditunaikan segera janji-janji. Sebenarnya yang undi PR tak gelojoh pun minta janji ditunaikan. Sebaliknya yang undi BN pula yang beriya-iya mahu janji disegerakan.

Bila janji nak ditunaikan seperti pemberian 20 meter padu air percuma, dikatakan membazir pula. Rasuah lah. Tapi janji tetap janji. Mungkin lain kali tak boleh kata janji, tapi azam. Dalam Al-Quran ada disebut,
"Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Allah menyukai orang yang bertawakkal." - Aali 'Imraan : 159

Dalam pada itu, ada juga yang mula mengkritik, Menteri Besar Kedah lambat membuat perubahan. Yang terbaru, Menteri Besar Selangor juga dikatakan lembab. Slow !!! Tapi kesemua MB dan KM (kecuali Kelantan) bukankah masih baru menjadi wakil rakyat. Jangan kata nak menguruskan negeri, nak uruskan kalangan wakil rakyat pun masih dalam proses belajar lagi. Janganlah gopoh dan terlalu mendesak sangat. Boleh lah push sikit. Tapi janganlah keterlaluan sampai menjatuhkan kewibawaan.

Sebuah hadis rasulullah s.a.w. bermaksud,
"Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah".

Monday, May 12, 2008

Sejarah PAS

Dalam akhbar Siasah semalam (11 Mei 2008), ada satu berita kecil mengenai usaha untuk menerbitkan buku sejarah PAS secara rasmi. Antara orang penting yang akan terlibat termasuklah Sdr. Mustaffa Ali dan Sdr. Subky Latiff. Jika usaha ini menjadi kenyataan, saya kira, ini adalah buku rasmi sejarah PAS yang diterbitkan oleh Parti itu sendiri. Sebelum ini, ada juga buku-buku yang sudah dihasilkan yang menyentuh sejarah PAS tetapi saya sendiri tak pernah membaca apatah lagi memiliki buku sebegini.

Saya pernah membuat carian di internet sahaja untuk mengetahui sejarah PAS, tidak pernah pula membuat carian di mana-mana perpustakaan. Barangkali kalau nak buat tesis atau kertas kerja, barulah nak pergi ke perpustakaan. Begitulah budaya orang Melayu kita. :)

Di internet, banyak versi yang ada. Ada yang positif, ada yang negatif. Tiada siapa yang menyunting, tiada pembaca peruf, tiada yang boleh sahkan. Saya suka baca tulisan Ibnu Hasyim di http://ibnuhasyim.blogspot.com/. Beliau banyak menulis tentang sejarah PAS.

Saya sangat menyokong usaha penerbitan sebegini. Saya pernah memberi cadangan kepada Ibnu Hasyim supaya menulis buku sejarah PAS secara serius dan tersusun. Hari ini, ramai pejuang dalam PAS lebih tahu sejarah Parti UMNO daripada Parti PAS sendiri.

Saya pernah terbaca di internet, PAS ditubuhkan oleh Tuan Hj. Ahmad Fuad setelah gagal merebut jawatan tertinggi parti dalam UMNO melawan Tunku Abdul Rahman. Alangkah buruknya, sejarah penubuhan sebuah Parti Islam. Ia berpunca daripada perebutan jawatan, kecewa, tidak dapat menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

"Haji Ahmad Fuad tidak dapat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya beliau keluar dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951, PAS ditubuhkan sebagai persatuan yang berasingan daripada UMNO. Serpihan yang bukan utusan dari hati suci dan murni, tetapi kerana kecewa. Kekecewaan telah menjadi faktor utama wujudnya parti-parti serpihan di dalam arena politik di negara ini. Serpihan-serpihan itu menyebabkan UMNO sedikit sumbing."


Tiada siapa yang dapat menjawab tuduhan dan fitnah keji tersebut. Semua anak muda PAS tak tahu nak jawab sebab semuanya jahil sejarah termasuk saya. Orang tak tahu bagaimana UMNO cari duit ketika itu. Nak kutip derma daripada ceramah ? Orang Melayu masa tu haprak (Itu kata Tun Dr. M dalam puisinya), mana ada duit. Lalu diusahakan dengan cara yang tidak syar'ie dan ini mendapat tentangan daripada Hj Ahmad Fuad daripada sayap ulama dalam UMNO.

Contoh lain, Dewan Ulama PAS dikatakan pernah mengeluarkan fatwa haram bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam seperti MCA, MIC dan lain-lain. Tetapi hari ini, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP tetapi teragak-agak bahkan bersyarat pula bila dengan UMNO. Apa nak jawab ? Fatwa PAS itu dikatakan dikeluarkan pada tahun 60an.

Masa PAS bekerjasama dalam BN pada awal 70an, tak kecoh pulak pasal fatwa ni. Hanya bila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR, barulah dibongkar fatwa ini. Tahukah kita sebelum menyertai BN, Dewan ulama PAS sudah membincangkan perkara ini?

Contoh ke 3, di dalam buku terbaru tulisan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ada ditulis, ketika dalam BN, pemimpin-pemimpin PAS tak tahu buat kerja. Mereka hanya pandai bercakap. Bahkan digunakan kesempatan dalam lawatan kerja untuk menambah keahlian parti, mengembangkan pengaruh parti. Akhirnya PAS terpaksa dsingkirkan daripada BN. Wah ! begitu sahaja. Memang tak guna punya PAS.

Berapa ramai yang tahu sejarah pahit maung PAS dalam BN ? PAS menyertai BN ketika Tun Razak menjadi PM dan disingkirkan daripada BN ketika Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan Malaysia) menjadi PM. Berapa ramai yang tahu, dulu RTM menyiarkan iklan arak di TV dan radio ? Saya suka menonton rancangan cabutan Toto di TV ketika zaman kanak-kanak. Saya begitu yakin, Loteri Kebajikan Masyarakat itu tidak haram sebab perkataan Kebajikan di situ. Majalah Utusan Filem dan Fesyen menyiarkan gambar-gambar separuh bogel artis dan model tempatan. Lebih dahsyat daripada majalah di pasaran hari ini. Cerpen dan siri novel didalamnya pula menceritakan adegan lucah.

Saya harap buku sejarah PAS dapat membongkar kembali semua sejarah pahit manis perjuangan pemimpin terdahulu PAS, bukan sekadar sejarah penubuhan PAS sahaja. Walaupun ada tokoh yang tidak lagi bersama PAS, meninggal dunia di luar PAS, namun sumbangan yang pernah dicurahkan bersama PAS perlu diketahui oleh generasi baru. Sumber rujukan tidak semestinya datang daripada mulut orang PAS sendiri tetapi juga daripada tokoh sejarah di luar PAS seperti Prof. Khoo Kay Kim dan tokoh sejarawan di universiti-universiti tempatan.

Satu lagi, saya suka juga cadangkan supaya buku-buku lama terutama mengenai PAS diarkibkan di perpustakaan PAS sebelum habis dimakan anai-anai dan bubuk. Ia boleh menjadi rujukan kepada generasi akan datang.

Thursday, April 24, 2008

Terengganu tetap tuntut royalti

Malaysiakini melaporkan MB Terengganu tetap meneruskan tuntutan royalti petrolium.

"Permintaan supaya dikembalikan wang royalti itu adalah permintaan rakyat Terengganu," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Baguslah Datuk. Saya suka MB baru Terengganu ni. :)

Tapi setakat hari ini, belum ada seorangpun ADUN BN Terengganu yang menyokong tuntutan tersebut. Semua senyap sunyi. Protes secara diam ke atau diam tanda setuju ? atau kena sindrom bisu ? Atau semua belum mula bekerja lagi ?

Ishhh... slow nya.

Muzakkirah Wan Mokhtar 2

Membaca buku ini memang menyeronokkan bagi saya. Saya memang suka mengetahui kisah hidup seseorang apatah lagi orang itu seorang yang telah melalui liku-liku kehidupan yang pelbagai, suka duka, pahit manis, susah senang. Saya suka jika pengalaman itu dikongsikan dengan orang lain supaya kita dapat sama-sama menyelami kehidupan dahulu dan kini dari kaca mata dan perspektif yang berbeza. Lebih-lebih lagi jika itu seorang yang berjaya, ternama, terbilang atau hebat di mata masyarakat.

Selain itu juga saya suka membaca kisah yang sudah menjadi sejarah. Dulu, saya pun pernah belajar subjek sejarah, sejarah negara, sejarah Islam, sejarah fikah dan sebagainya. Sejarah mengajar kita menjadi dewasa. Sejarah menjadi panduan kepada kita dalam membuat keputusan, pertimbangan, mengambil tindakan dan sekaligus membentuk peribadi kita. Saya pernah terpengaruh dengan kawan-kawan yang mengatakan belajar sejarah tidak penting dan tidak perlu. Akhirnya saya rasa saya telah tertipu dengan diri sendiri kerana kejahilan memahami pentingnya sejarah. Orang belajar tafsir Al-Quran pun perlu memahami Asbabun Nuzul (sejarah sebab-sebab turunnya sesuatu ayat).

Membaca buku memoir hidup seseorang akan menjawab beberapa persoalan kepada kita kenapa penulis mengambil jalan itu. Mengapa dia membuat keputusan begitu dan seumpamanya. Kita boleh bersetuju dengan penulis tetapi tidak semestinya begitu kerana kita sendiri mungkin mempunyai latar belakang hidup dan persekitaran yang berbeza.

Buku ini tidak disusun mengikut urutan masa yang ditempuhi. Namun bab-bab yang awal sudah semestinya menceritakan sedikit pengenalan latar belakang diri penulis iaitu Tan Sri Wan Mokhtar. Dari pemerhatian saya, saya dapat lihat beliau sememangnya seorang yang berbakat sebagai seorang pemimpin, berkebolehan, berketokohan dan ada aura sebagai pemimpin. Tidak hairanlah beliau mampu menerajui Terengganu selama 25 tahun, satu tempoh yang lama. Ketokohan beliau menyerlah sejak usia muda lagi terutama ketika beliau belajar di Al Azhar.

Beliau berasal dari Kampung Nesan Empat, KT dan bukan Chukai. Ia mengingatkan saya dengan seorang kawan yang berasal dari kampung yang sama dan mempunyai tarikh lahir yang sama dengan saya. Chukai mengingatkan saya dengan seorang lagi kawan dan kami bertiga memang rapat.

Ada beberapa kisah menarik dan lucu akan saya tuliskan di sini yang saya petik daripada buku ini. Ia hanya secara ringkas sahaja kerana anda patut membeli buku ini untuk menikmati isi karyanya. Lain kali saya sambung lagi.

Wednesday, April 23, 2008

Finding a husband

Satu lagi yang menarik untuk dikongsi bersama.

So, a woman goes to the Husband Store to find a husband.

The 1st floor sign on the door reads:

Floor 1: These men have jobs.

The 2nd floor sign reads:

Floor 2: These men have Jobs and Love Kids.

The 3rd floor sign reads:

Floor 3: These men have Jobs, Love Kids and are extremely good looking.

Wow, she thinks, but feels compelled to keep going.

She goes to the 4th floor and the sign reads:

Floor 4: These men Have Jobs, Love Kids, are Drop-dead Good Looking and help with Housework.
Oh, mercy me! she exclaims, I can hardly stand it!
Still, she goes to the 5th floor and sign reads:

Floor 5: These men Have Jobs, Love Kids, are Drop-dead Gorgeous, help with Housework and Have a Strong Romantic Streak.
She is so tempted to stay, but she goes to the 6th floor and the sign reads:

Floor 6: You are visitor 31,456,012 to this floor.
There are no men on this floor.
This floor exists solely as proof that women are impossible to please.
Thank you for shopping at the Husband Store.

To avoid gender bias charges, the stores owner opens a New Wives store just across the street.

The 1st first floor has wives that love sex.

The 2nd floor has wives that love sex and have money.

The 3rd,4th, 5th and 6th floors have never been visited.

9 WORDS WOMEN USE

Saya jumpa ini di internet hari ini. Menarik, lucu dan saya mahu kongsi dengan anda.
Saya cuma copy and paste di sini.


1. Fine

This is the word women use to end an argument when they are right and you need to shut up.

2. Five Minutes

If she is getting dressed, this means a half an hour. Five minutes is only five
minutes if you have just been given five more minutes to watch the game before helping around the house.

3. Nothing

This is the calm before the storm. This means something, and you should be on your toes. Arguments that begin with Nothing usually end in Fine.

4. Go Ahead

This is a dare, not permission. Don’t Do It!

5. Loud Sigh

This is not actually a word, but it is a non-verbal statement often misunderstood by men. A loud sigh means she thinks you are an idiot and wonders why she is wasting her time standing here and arguing with you about nothing.
(Refer back to #3 for the meaning of nothing.)

6. That’s Okay

This is one of the most dangerous statements a women can make to a man. “That’s okay” means she wants to think long and hard before deciding how and when you will pay for your mistake.

7. Thanks

A woman is thanking you, do not question it or faint. Just say you’re welcome.

8. Whatever

Is a women’s way of saying FUCK YOU!

9. Don’t worry about it, I got it

Another dangerous statement, meaning this is something that a woman has told a man to do several times, but she is now doing it herself. This will later result in a man asking “What’s wrong?”

For the woman’s response refer to #3.

Monday, April 21, 2008

Kembalikan royalti petrolium Terengganu

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah secara terbuka meminta supaya royalti petrolium Terengganu dikembalikan semula. Saya menyokong 100% tuntutan ini kerana ia adalah hak rakyat negeri Terengganu. Kerajaan negeri juga adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat negeri Terengganu, yang diberi kuasa oleh rakyat, diamanahkan oleh rakyat untuk menguruskan sendiri perbelanjaan negeri. Lalu kenapa pula hak mengurus wang royalti diberi kepada pihak lain sehingga kerajaan Terengganu sendiri tidak tahu berapa perolehan Dana Persekutuan (nama baru royalti) yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh setahun ? Kemana atau dalam bidang apa wang tersebut dibelanjakan ? Berapa peratus untuk pendidikan, berapa peratus untuk pelaburan, berapa peratus untuk kebajikan, berapa peratus untuk agama, berapa peratus untuk belia, sukan, kebudayaan, infrastruktur dan berbagai lagi ?

Negeri yang tidak ada royalti pun dapat Dana Persekutuan, jadi apa istimewanya royalti petrolium kepada Terengganu ?

Saya ingin mengajak seluruh NGO yang berpaksi di Terengganu khususnya dan rakyat Terengganu serta anak-anak Terengganu diperantauan supaya tampil menyokong permintaan ini. Cara kerajaan Negeri menguruskan wang royalti satu ketika dahulu lebih baik berbanding sekarang kerana ia terbuka kepada perbahasan di DUN membolehkan rakyat mengetahui sendiri ke mana wang itu dibelanjakan.

Tidak kira lah parti mana yang memerintah negeri Terengganu dan siapa menteri besarnya, hak pengurusan wang royalti petrolium perlu dikembalikan semula kepada kerajaan negeri Terengganu, perbelanjaan yang telah dibuat ketika wang royalti dirompak perlu dijelaskan kepada rakyat dengan telus dan permohonan maaf perlu dibuat kepada kerajaan dan rakyat negeri Terengganu atas perbuatan engkar janji yang sungguh tidak bertanggungjawab dan tidak beramanah itu.

Thursday, April 17, 2008

Dewan orang ramai masih jadi Dewan UMNO

Saya difahamkan oleh seorang sahabat, dewan orang ramai yang berhampiran dengan rumah saya tak ada orang daripada Pakatan Rakyat nak uruskan. Bangunan tersebut kini masih menjadi bilik gerakan UMNO. Macam tempat saya, walaupun Kampung Melayu Ampang, tapi UMNO ada sekurang-kurangnya 4 cawangan di situ. (Maaf aku tak tahu berapa bilangan sebenar cawangan UMNO di situ.) Sebab tu ada sekurang-kurangnya 4 dewan yang dimonopoli UMNO. PAS baru ada 1 cawangan dan dalam proses nak tambah lagi 1 cawangan. PKR baru nak tubuh 1 cawangan. Dia lalu mencadangkan saya menubuhkan cawangan parti di situ supaya aktiviti masyarakat dapat dibuat selaras dengan kepimpinan baru kerajaan negeri Selangor.

Nampaknya, PKR dan PAS masih belum mempunyai bilangan ahli dan kepimpinan peringkat akar umbi yang cukup. Ini akan menyukarkan Pakatan Rakyat untuk mendekati masyarakat sekaligus mempromosikan program dan aktiviti kerajaan negeri. Sudahlah hebahan melalui radiopun tak dapat, melalui penggiat masyarakat setempat pun masih tiada.

Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya juga kurang terdedah dengan aktiviti berpersatuan. Hanya sekadar menempel dalam persatuan tertentu. Kalau nak saya gerakkan, saya rasa carilah orang yang lebih berkelayakan.

Bagaimana kalau saya cadangkan komponen PR menganjurkan program tertentu secara kecil-kecilan di kawasan yang disasarkan. Oleh kerana belum ada cawangan, PKR atau PAS kawasan perlu anjurkan sendiri. Tak perlulah dijemput orang besar-besar negeri. Buat program yang boleh menarik masyarakat tempat itu sahaja dan sambil itu boleh wujudkan kaunter pendaftaran ahli. Sebagai dorongan, bolehlah berikan cenderahati yang murah-murah sebagai tanda penghargaan kepada ahli baru.

Maklumat ahli baru kemudian dikumpulkan untuk dihubungi dan didekati. Dengan itu lebih mudahlah hendak memilih ahli yang bersesuaian sebagai penggerak cawangan baru yang hendak ditubuhkan.

Program yang bagaimana tu, kenalah fikirkan. Tempat yang ada isu dibangkitkan, tentu lebih mudah. Tetapi kalau tempat yang masyarakatnya diam dan semacam sudah berpuas hati, macam mana pula ? Asyik ceramah saja pun tak seronok juga. Gotong royong pun kadang-kadang liat juga. UMNO cawangan kampung saya dulu pun bukan aktif sangat beraktiviti. Dalam setahun, adalah sekali dua hantar surat jemputan aktiviti. Salah satunya ialah program takbir malam raya. Mungkin sebab susah nak menarik penyertaan orang ramai. PAS dan PKR mungkin lebih banyak pengalaman dan idea dalam soal ini.

Berpada-padalah bila memuji

Benarlah. Segala puji-pujian hanya bagi Allah. Kerana manusia selalunya lemah apatah lagi bila menerima pujian.

Bukan haram memuji manusia. Apakah rasulullah sendiri tidak pernah memuji sahabat-sahabatnya ? Tentu kita biasa mendengar atau membaca kisah rasulullah memuji seseorang, sebagai memotivasikan atau bertujuan menyetujui amalan yang baik dan betul.

Namun kita tentu biasa melihat manusia yang merosot atau menurun prestasinya selepas menerima puji-pujian yang agak berlebihan serta diberi publisiti yang keterlaluan. Ini termasuklah ahli sukan, seniman, ilmuwan, pelajar, pemimpin dan ahli politik.

Oleh itu ketika sesetengah orang begitu seronok meraikan kemenangan, perubahan yang positif, janji yang tertunai, pembelaan yang diberi perhatian; berhati-hatilah dan jangan terlalu memuji. Berpada-padalah. Bimbang nanti bila yang dipuji mula melakukan kesilapan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya kita sendiri malu untuk mengaku itulah sahabat kita, saudara kita atau pemimpin kita yang kita sendiri pilih dan nobatkan dahulu.

Wednesday, April 16, 2008

Muzakkirah Wan Mokhtar 1



Antara buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL baru-baru ini ialah sebuah buku tulisan Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, mantan Menteri Besar Terengganu berjudul Muzakkirah : Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Terengganu. Buku ini saya beli ketika nak balik. Tiba-tiba ternampak poster iklan buku ini di booth Utusan Publications dan saya terus mencarinya.

Kali terakhir saya bertemu dan bersalam dengannya ialah ketika selesai solat jumaat di masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang. Ketika itu, dia masih jadi MB Terengganu. Walaupun saya bukan penyokong atau peminat beliau, saya tak akan lepaskan peluang untuk bersalam dengannya jika berpeluang. Ketika dia datang ke masjid kampung saya dulu pun, saya tak lepaskan peluang itu malah turut sama menjamu selera. Ketika itu, sesetengah kampung hangat dengan isu kafir-mengkafir, solat dua imam, memulaukan jamuan orang UMNO, tak makan daging sembelihan orang UMNO dan sebagainya. Saya peduli apa semua tu. Orang kampung saya tak peduli sangat dengan semua tu. Semuanya bersaudara. Ini antara kelebihan penduduk kampung saya suatu masa dahulu.



Hari ini orang PAS ramai yang tak mengaku pernah mengkafirkan orang UMNO. Ada yang kata, masalahnya "bukan orang PAS mengkafirkan orang UMNO, tapi orang UMNO kata orang PAS mengkafirkan orang UMNO".

Berbelit-belit juga bunyinya tetapi saya tahu dan nampak apa yang berlaku depan mata saya. Dan saya juga dengar apa yang mereka kata. :)

Banyak yang menarik dengan isi kandungan buku ini. Insya Allah saya akan komen sikit-sikit antara kandungan yang menarik perhatian dan ingatan saya.

Friday, April 11, 2008

Penyokong UMNO Sabotaj

BN kalah teruk di kebanyakan tempat kerana ahli UMNO sabotaj. Sampaikan pengundi atas pagarpun dituduh sabotaj. Ahli parti komponen yang lain tak pula disebut. Rasanya, kalau nak dikira sabotaj, ahli MIC yang lebih ramai sabotaj. Gerakan, MCA dan IPF (IPF bukan komponen BN) pun tak kurang yang sabotaj.

Apakah definisi sabotaj UMNO ? Mengundi parti lawan sudah dikia sabotaj ? Kalau macam tu tentu susah nak dibuktikan. Undi tu kan rahsia. Berkempen untuk parti lawan ? Boleh lah tu. Soal yang lebih utama, apa tindakan terhadap mereka yang sabotaj ?

Sang Kelembai pun berkempen secara terbuka di atas pentas Pakatan Rakyat juga. Itu dikira sabotaj tak ? Atau sebab dia dah dipecat, dia tak dikira sebagai sabotaj ? Kita sama-sama tunggu dan lihat, apa tindakan UMNO kepada ahli yang sabotaj dan apa pula tindakan kepada Sang Kelembai.

Tuesday, April 08, 2008

RSS Feed

Ada lebih 25 laman blog yang aku sering baca hampir setiap hari. Kadang-kadang, aku jenguk 2 kali sehari. Tak semua ada berita baru. Jadi macam mana nak pastikan dah ada kemaskini terbaru ?

Oleh kerana aku menggunakan Firefox, aku cuma install Sage Firefox Add-ons. Setiap blog yang aku lawati dan menarik kandungannya, aku akan "Discover Feeds" (Magnifier) dan kemudian "Add feeds". Semua blog diletakkan dalam satu folder. Untuk semak berita terbaru, cuma "right click" folder dan pilih "Check Feeds". Tak sampai setengah minit, semua blog yang terkini akan diboldkan.

Cuba lah.

Test flash document





Monday, April 07, 2008

Wajah muslimat PAS di era 70an



Dipetik daripada sebuah buku terbitan tahun 1978, tulisan Datuk Mohd Asri Muda. :)

Wednesday, April 02, 2008

Perpaduan cara kita 2.

Seperti dijangka, seramai 1,938 anggota JKKK serta ahli PBT di Kedah diarahkan meletakkan jawatan oleh UMNO Kedah. Mereka akan dilantik semula sebagai ahli JKKK oleh kerajaan persekutuan. Memang semua orang tahu jawatan begini adalah lantikan politk dan digunakan untuk kepentingan politik selain kepentingan rakyat oleh pihak tertentu.

Maka selepas ini, wujudlah 2 jawatankuasa untuk kepentingan rakyat. Satu lantikan kerajaan negeri dan satu lagi lantikan persekutuan. Dengan ini, akan bertambahlah perpaduan dikalangan rakyat. Perpaduan ala UMNO. Mana pergiya 25 NGO yang berdegar-degar nak menyatukan orang Melayu tu. Apa reaksi dan tindakan mereka ? Siapakah sebenarnya yang menyuburkan perpecahan dikalangan rakyat.

Sementara di Selangor pula, ketua-ketua kampung disarankan meletak jawatan kerana 'menderhaka' kepada kerajaan negeri. Ini ekoran daripada sokongan kepada kepimpinan Abdullah Badawi dalam pertemuan bersama Menteri Kamajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhamad Muhd Taib baru-baru ini.

Tidak dinafikan, ketua-ketua kampung sekarang tertanya-tanya status kedudukan mereka. Akan terima elaun lagikah ? Ada kuasa lagikah ? Dirumitkan lagi dengan sesetengah penyokong parti lawan yang menyindir atau memulangkan paku buah keras yang pernah diterima dulu.

Selepas ini, akan timbullah berita kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, tandatangan JKKK dan penghulu tak laku di sana-sini, bertambahlah kerenah birokrasi, dan bertambah susahlah rakyat. Susah yang dibuat-buat. Susah yang sengaja dirancang dan diada-adakan. Anehnya ia lebih heboh diperkatakan di negeri dan kawasan yang majoritinya Melayu. Dan pencetusnya ialah UMNO ?

Tuesday, April 01, 2008

Umat Islam ramai

Menurut paderi tertinggi Vatican, Monsignor Vittorio Formenti yang membuat pengumpulan perangkaan dalam buku tahunan 2008 Vatican yang baru diterbitkan, orang Islam mewakili 19.2 peratus penduduk dunia dan katolik pula sebanyak 17.4 peratus.


Ramai aje tapi tak ada kualiti tak guna juga. Contohnya, ramai wanita Islam bertudung tetapi buat maksiat. Ramai lelaki Islam tapi masjid lengang. Umat Islam ramai tetapi ilmu mereka tak hebat. Kadar kemiskinan tinggi di kalangan umat Islam. Negara yang didominasi umat Islam lemah. Minat membaca lemah. Minat menghadiri majlis ilmu kurang. Suka berpoya-poya. Ramai jadi Mat Rempit, penagih dadah, peminta sedekah, makan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Bersama-sama kita berazam dan berusaha untuk melahirkan masyarakat Islam yang madani, yang berkualiti, yang bertaqwa, yang berilmu dan kuat. Kita mulakan dengan diri kita, keluarga kita dan sahabat handai kita. Insya Allah.

Monday, March 31, 2008

MB Terengganu angkat sumpah

Alhamdulillah, akhirnya majlis angkat sumpah MB Terengganu akhirnya telah selesai semalam. Bukan orang lain, orang BN juga. Habis tu yang kecoh sangat tu pasal apa ?

Selepas ini, kita tunggu pula senarai exco baru. Yang pentingnya kerja dapat dilaksanakan dengan penuh amanah dan cekap. Bercakap memang boleh. Tapi bila nak buat, mulalah bagi alasan itu ini.

Semasa balik kampung baru ni, bapa saudaraku yang dipanggil Ayah Teh sebut pasal jalanraya yang merentasi kampungku, Kampung Pulau Rusa. Sejak lepas pilihanraya, tiada kerja-kerja susulan dibuat. Semua dah terhenti.

Projek juta-juta di Pulau Wan Man boleh siap cepat. Monsoon Cup dengan kos jutaan ringgit diutamakan. Tapi jalanraya dari Durian Burung ke Pulau Rusa tak siap-siap. Sedangkan yang menggunakannya ialah rakyat marhaen. Setiap hari, beratus-ratus atau beribu-ribu kenderaan yang menggunakan jalan tersebut. Penduduk sekitarpun terpaksa hidu debu bila musim panas atau jalan menjadi becak bila musim hujan. Jalan menjadi sesak pada waktu puncak. Bila nak selesai kerja ni ? Dah tak reti nak bezakan mana projek yang perlu diutamakan dan disegerakan ke ? Begitu juga projek membesarkan jalanraya di Marang.

Harap MB baru lebih prhatin dengan masalah rakyat. Jalan ke Pulau Wan Man tu berapa kerat je penggunanya.

Aku juga suka mencadangkan supaya MB baru berani bersuara menuntut semula royalti petrolium supaya dapat diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri seperti sebelum 1999. Pak Lah pun tengah terdesak nak dapat semula sokongan rakyat Terengganu selepas Rosol Wahid dedahkan tindakan 22 Adun baru-baru ini adalah atas arahan Pak Lah. Kembalikan semula royalti petrolium rakyat Terengganu. Jangan buat senyap je. Sementara kerajaan negeri pula perlu lebih telus dan terbuka kepada rakyat dalam mengurus perbelanjaan.

Monday, March 24, 2008

Perpaduan cara kita.

Barisan Bertindak Perpaduan yang disertai oleh 25 NGO Melayu mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Mari kita lihat perpaduan cara UMNO.

1. Azalina dan Dr. Mashitah Ibrahim tidak dianggap sebagai mewakili Wanita UMNO walaupun dilantik menganggotai kabinet.

2. UMNO P.Pinang menyambut maulidurrasul secara berasingan di Masjid Kapitan Keling ketika sambutan secara rasmi dibuat oleh kerajaan P.Pinang di Seberang Jaya.

3. UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat menghentikan semua projek mega yang dirancang di negeri ini termasuk perkhidmatan bas RapidPenang yang telah beroperasi 31 Julai tahun lalu.

4. Pertubuhan Ketua-ketua Kampung Negeri Perak atau PKKNP dilaporkan akan memboikot semua program anjuran kerajaan negeri Perak kerana kononnya mereka dilantik oleh kerajaan negeri BN yang lampau.

Banyak lagi isu-isu kecil akan dapat kita saksikan dari semasa ke semasa bagaimana kita menangani isu perpaduan.

Melayu sokong BR kerana UMNO banyak beralah kepada asakan bukan Melayu ?

Awang Selamat dalam Utusan Malaysia hari ini mendedahkan, "Awang sudah bosan mendengar alasan kabur yang sengaja dibesar-besarkan. Sedarkah bahawa golongan termiskin di negara ini ialah orang Melayu sebagaimana laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)."

Awang Selamat sebenarnya mendedahkan betapa UMNO yang selama ini diberikan amanah oleh rakyat terutamanya orang Melayu telah gagal berperanan dengan berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan walaupun pemimpin-pemimpinnya kaya raya. Oleh itu, keputusan menolak BN yang teraju utamanya ialah UMNO bukanlah satu kesilapan.

Seterusnya, kata Awang lagi, "Sedarkah juga bahawa antara faktor makin ramai orang Melayu menolak BN kerana kecewa UMNO banyak beralah kepada asakan bukan Melayu."

Siapa kah yang cuba dipersalahkan oleh Awang di sini. Melayu yang membuat perubahan atau Melayu yang mengkhianati amanah rakyat ? Atau bukan Melayu yang sentiasa bijak mengambil kesempatan atas kelemahan UMNO ? Punca penolakan orang Melayu kepada UMNO (menurut pandangan Awang) di sini nampaknya tidak tepat. Awang masih terawang-awang di awangan, gagal mencari punca kenapa UMNO ditolak sebahagian besar orang Melayu.

Sunday, March 23, 2008

Krisis perlantikan MB Terengganu

Isu perlantikan MB Terengganu semakin memuncak apabila Datuk Ahmad Said (ADUN Kijal) menerima watikah perlantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) hari ini.

Krisis menjadi buntu apabila sebelum ini, surat perlantikan daripada PM mencadangkan nama Idris Jusoh sebagai MB Terengganu. PM sendiri nampaknya buntu dengan masalah yang berlaku di Terengganu. Sehingga kini, tidak diketahui, apakah usaha PM untuk menyelesaikan masalah konflik dengan istana Terengganu ini.

Walaupun telah diketahui daripada awal lagi bahawa MPPR tidak berkenan dengan calon yang dinamakan PM, namun PM sendiri tidak pernah berusaha menjernihkan keadaan dengan pihak MPPR. Hanya Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan membuat cadangan supaya PM dan Idris sendiri berjumpa dengan pihak MPPR untuk menyelesaikan kebuntuan. Cadangan ini lebih rasional dan manasabah serta bersesuaian dengan adab kita orang Islam dan Melayu. Saya hairan kenapa PM enggan berjumpa dengan pihak MPPR seolah-olah sengaja mahu memberi tekanan kepada MPPR. Membiarkan kebuntuan berlalu tanpa tindakan yang sesuai hanya mengundang spekulasi.

PM sepatutnya meminta penjelasan daripada MPPR sendiri kenapa calonnya tidak diperkenankan. Tindakan berdemonstrasi, bantahan secara terbuka, kain rentang, mengugut dan memboikot hanya akan mengeruhkan lagi suasana dan menyulitkan pentadbiran BN di masa akan datang. Tiada gunanya menekan pihak istana dengan menggunakan media massa kerana ia akan mengaibkan istana sedangkan istana hanya menggunakan haknya yang ada. Semoga masalah ini akan dapat di atasi segera.

Saya khuatir, jika kerajaan Terengganu ditumbangkan melalui undi tidak percaya oleh anggota BN, kelak rakyat akan melihat ia sebagai satu penderhakaan terbuka UMNO kepada istana Terengganu, kebongkakan dan keangkuhan yang pastinya akan dihukum oleh rakyat Terengganu. Ia pasti akan terpahat dalam sejarah yang tak mungkin dipadamkan lagi. UMNO TERENGGANU DERHAKA.

Wednesday, March 19, 2008

Tak payah lah kondem kabinet orang lebih-lebih

Berikutan pengumuman kabinet baru Pak Lah, timbul pula macam-macam cerita. SU UMNO letak jawatan lah, Ketua Wanita UMNO nak letak jawatan lah, MP tolak jawatan kabinet lah, orang Najib kena cantas lah.

Yang pro BA pun sibuk sama. Sedangkan perlantikan exco di negeri-negeri BA belum selesai lagi. Sebelum ni, nak bentuk kerajaan secara rasmi dan nak lantik MB pun dah kecoh.

Jadi pada pandangan aku, tak payah lah kita kondem kabinet Pak Lah tu. Selesaikan masalah di negeri BA dahulu. Mantapkan pentadbiran di Perak dan Selangor terutamanya. Tak payah kita syok tengok kekecohan dan kecelaruan BN sebab BR pun belum tentu tak bercelaru. Jangan hari ini kita gelakkan lawan, besok giliran kita pula digelakkan lawan. Buat malu kompeni je.

Masalah BN boleh berlaku kepada BA di masa mendatang sebab BA belum ada pakatan yang rasmi dan kukuh. Itupun belum lagi ada rakan yang kuat daripada Sabah dan Sarawak. Kalau dah ada nanti, masing-masing entah-entah dua kali lima dok berebut jawatan. Nak menteri penuh la. Nak menteri kanan la. Ancam nak letak jawatan la. Ugut nak mintak cerai la. Wanita tak puas hati la. Hmmmpphh....

Cuba tengok lirik lagu 2 kali 5 nyanyian ahli fiqir ni. Fikir-fikirkan lah.

dua kali lima sepuluh
lima kali dua sepuluh
lapan campur dua sepuluh
dua campur lapan sepuluh

sama pandai sama bodoh
sama lawa sama hodoh
sama cerdik sama belok
sama tenpok sama bokok

kwek kwek kwek kwek kwek kwek

jangan cakap lepas
biar pandai beralas
ada ubi ada batas
ada hari kami balas

hinamu hanya bias
cecarmu cuma tempias
hari ini kami berkias
esok lusa kami mengganas

Jangan suka jaga tepi kain orang lain
Kain sendiri yang terlondeh
Kata dulang paku serpih
Kata orang dia yang lebih

Tuesday, March 18, 2008

Kabinet baru

Letih dah aku menunggu bila nak tabal MB Terengganu ni. Semua negeri lain dah selesai. Idris Jusoh kata tak payah gopoh-gopoh. Ooo.. Jadi negeri lain tu semua gopoh la tu ?
Sabar je la Deris..

Pak Lah pun dah ada kabinet. Nampak gaya, Abdullah Mohd Zin dah tak jadi menteri lagi. Shabery Chik pulak yang naik. Menteri Penerangan dan Multimedia pulak tu. Sama-sama lah kita tengok penjenamaan semula RTM. Mungkin lepas ni rakyat boleh tengok demonstrasi di Malaysia keluar di kaca tv. Selama ni, kita hanya nampak demonstrasi di negara luar je tapi tidak dalam negara sendiri. Macam bola lah jugak. Lepas ni kelulusan untuk siaran tv dan radio dah kembali ke Kem. Penerangan semula la kot sebab dah gabung dengan multimedia. Shabery Chik ni dulu Semangat 46. Kita tengok dia beri ruang dekat Ku Li tak.

Razali Ismail jadi Tim. Men. Pelajaran. Sesuai lah tu gamaknya. Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh jadi Tim. di KDN. Radzi sudah terkeluar selepas berjaya mengeluarkan Shahidan. Tiada lagi Azmi Khalid. Tiada lagi Sazmi Miah, pejuang alam sekitar di Kelantan (sahaja). Tentu Ibrahim Ali gelak. Rafidah Aziz pun dah terkeluar. Kita tunggu episod permit AP yang baru.

Khalid Nordin jaga KPT (MOHE). Untung lah kroni dia. Sebelum ni, kat MARA pun, kroni dia dah kaya raya. Shahrir jaga pengguna. Kita tengok macam mana dia kawal kenaikan harga barang. Aku rasa dia ni jauh lebih bagus daripada Shafie Apdal.

Prowaris pun dah hantar surat suruh Pak Lah undur. Tapi sayang. Setahu aku Pak Lah tak baca surat-surat tu. Kalau dia baca pun, dia akan tertidur sebelum surat tu habis dibaca. Apa boleh buat. Sabar je lah UMNO.

Monday, March 17, 2008

Kisah Dr. Mashitah Ibrahim

Ini cerita dari Kuala Ketil, Kedah. Cerita ini diperolehi daripada seorang saudara yang tinggal di sana. Dia dan isterinya adalah antara petugas BN di situ. Dia kata kali ni, dia dah undi PAS sebab calon BN, Dato' Azeez Abdul Rahim dan bukan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Dengan kata lain, dia undi calon, bukan undi parti lagi.

Malah katanya, memang dia berpakat dengan kawan-kawannya untuk undi PAS walau pun dia bertugas untuk calon BN. Lalu diceritakan bagaimana Mashitah tak terpilih.

Mula-mula, katanya nama Dr. Mashitah sudah disenaraikan. Seminggu kemudian, nama dia dikeluarkan. Dia pergi jumpa Pak Lah. Dalam pertemuan tersebut, Khairi Jamaluddin menantu Pak Lah pun ada. Bila Dr. Mashitah minta penjelasan Pak Lah, hanya Khairi yang menjawab. Malah Khairi tengking Pak Lah dan Mashitah. Pak Lah tak terkata apa-apa. Diam je.

Dr. Mashitah kata, bila dia balik, dia menangis. "Macam tu ke PM kita ?", kata Dr. Mashitah. "Boleh ke menantu tengking Pak Mertua ? Saya sedih sangat."

Sebulan sebelum Parlimen dibubar, sudah ada satu pertemuan diatur antara Dr. Mashitah dengan ketua-ketua UMNO di Baling. Dalam pertemuan tu Dr. Mashitah tak dibenarkan bercakap. Khairi pun ada dalam pertemuan tu, memerhati dari jauh. Semua ketua-ketua Umno ni pakat hentam Mashitah. Ada yang kata susah nak jumpa AP (Ahli Parlimen), ada yang kata tak dapat satu sen pun daripada AP sejak Mashitah menang, isu Mashitah beli rumah berkembar dua biji dan macam-macam lagi. Ketua puteri kata, dia tak dapat jumpa AP sebab ketua bahagian tak benarkan (Grand Design ni dah lama dirancang). Apa-apa hal, jumpa ketua bahagian je. Kemudian dia bertanya, betul ke Mashitah ada tulis surat nak jadikan ibu tunggal di Baling sebagai pelacur untuk tambah rezeki ? Rupanya ada surat guna letterhead UMNO Baling dengan tandatangan Mashitah sudah diedar berhubung isu ini.

Mashitah yang dapat peluang bercakap terus menafikan dan berkata dia difitnah. Tentang peruntukan yang sifar tu, katanya , Ketua wanita sendiri yang cabar dia, tak mahu terima peruntukan daripada AP. Dia kata Wanita boleh buat kerja tanpa peruntukan daripada AP pun. (Mungkin Ketua Wanita tu takut jawatannya terancam dek Mashitah). Mashitah sahut cabaran tu.

Isu-isu lain pun turut dijawab oleh Ustazah glamour tu.

Jelaslah, KJ merancang semuanya. Malah kalau nak projek pun, Pak Lah suruh melalui KJ dulu dan KJ seperti juga proxy menteri Umno yang lain akan ambil komisyen. Dan Dr. Mashitah kena terima hakikat bila memilih Umno sebagai wadah perjuangan, itu adalah antara risiko-risikonya.

Jelaslah juga, BR menang sebab undi protes dan bukan atas kesedaran pengundi untuk membuat perubahan. Jadi BR kenalah kerja keras untuk buktikan mereka lebih baik daripada BN, tidak pilih kasih, salah guna kuasa. Peluang sebegini bukan datang selalu.

Memanglah bukan mudah nak satukan hati pengundi secara serentak seluruh Malaysia dalam PRU12 ni kalau tanpa bantuan Allah.

Firman Allah dalam surah Al-Anfaal ayat 63,
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dan firmannya lagi dalam Surah Ghafir (Surah Mukmin) ayat 60,
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Lalu teringat aku kepada munajat Tok Guru Nik Aziz di pagi 7 Mac 2008. Tuhan maha mengetahui bila masa yang sesuai untuk perkenankan doa hambanya.

Kuasa rakyat, kuasa Raja, Kuasa Menteri

Syukur, akhirnya MB Perak telah selamat mengangkat sumpah dan sekaligus kerajaan Barisan Rakyat (BR) mula dibentuk secara rasmi.

Paling menggembirakan ialah pihak BR lebih dahulu berjaya menyelesaikan masalah perlantikan MB berbanding kerajaan negeri BN walaupun BR hanya pakatan syok-syok saja. Tiada pakatan rasmi, pakatan rapuh dan tidak kukuh.

Sementara BN yang berpengalaman, ditambah pula dengan kemenangan majoriti 2/3 di Perlis dan Terengganu masih berteka-teki dan masih bercelaru, caca-merba, kucar-kacir dan belum ada penyelesaian secara rasmi. Media pro BN sendiri masih tidak jelas apakah perlantikan MB Perlis sudah selesai dan adakah calon MB Terengganu sudah dimuktamadkan ?

Suasana sebegini harus menjadi pengajaran kepada semua. Ia boleh berlaku semula di masa akan datang kepada pakatan mana sekalipun. Kuasa Raja dan Sultan yang ini perlu dihormati. Oleh itu jangan besar kepala bila dah pegang kuasa. Kelak bermasalah dihari mendatang, sendiri yang tanggung malu.

Selamat berkhidmat.

Thursday, March 13, 2008

Kerana kuasa

Ramai yang sering berkata (termasuk saya), penyokong mahupun pemimpin PAS taksub. Tidak berfikiran terbuka. Tidak memahami realiti sebenar politik di Malaysia.

Dalam PRU ke 12, PAS mengorbankan banyak kerusi untuk PKR termasuk di Kelantan dan Terengganu yang diketahui sebagai negeri PAS berkubu. Tidak lupa juga di Kedah. Masih tidak dilihat sebagai berfikiran terbuka ? Ini bukanlah kali pertama PAS mengorbankan kerusinya demi pakatan mengalahkan BN. Semasa wujud parti S46 pun, PAS pernah berkorban.

Lalu kali ini, pengorbanan itu dibalas Tuhan dengan kemenangan lebih banyak kerusi sehingga berjaya mewujudkan sebuah lagi kerajaan di Kedah. PAS menawarkan pula satu kerusi exco kepada DAP walaupun tiada pakatan rasmi dibuat dengan parti itu. DAP membisu.

Bila PAS pula mengharapkan satu kerusi exco di P.Pinang yang diperintah DAP diberikan kepada PAS, DAP dengan angkuh berkata, kerajaan P.Pinang adalah kerjasama antara DAP dan PKR sahaja. Siapakah yang tertutup mindanya dan siapa yang lebih terbuka mindanya ?

Bila Raja Muda Perak yang mewakili Sultan Perak lebih berkenan dengan calon PAS sebagai calon Menteri Besar, Lim Kit Siang secara terbuka membantah. Tidak taksubkah Kit Siang ? Sudah terbuka luaskah mindanya ? Atau beliau hanya mahu membenarkan kata-kata Hj. Hadi pada 2004 dahulu, Kit Siang dan Karpal Singh ubat yang telah tamat tempoh; masih dengan stail 70an ?

Di samping menghadapi masalah melantik MB di Perak, wujud pula masalah pembahagian jawatan exco. Lalu kita tertanya-tanya, benarkah matlamat mereka mahu menjatuhkan BN atau mahu berebut jawatan ? Atau mereka mahu mengesahkan kata-kata Pak Lah, pakatan PAS-PKR dan PKR-DAP hanya pakatan syok-syok saja ?

Tuhan sengaja menjadikan keputusan PRU sebegitu untuk menguji mereka, nafsu mereka, kebijaksanaan mereka menyelesaikan masalah, keikhlasan mereka, kesanggupan mereka untuk berkorban demi kepentingan rakyat. Itu belum lagi dilihat dalam pembahagian exco di Selangor. Selepas ini apa pula ? Ahli majlis PBT ? Ketua-ketua kampung ? Jangan sampai habis tempoh 5 tahun berkhidmat, masih bertelagah dengan lantikan jawatan hingga masalah rakyat terabai sudahlah.

BN Tidak Harus Terus Usaha Tawan Kelantan

Ketika orang sibuk bercerita pasal bantahan Lim Kit Siang/DAP terhadap perlantikan MB baru Perak drp PAS, saya berpendapat, ia hanya satu sandiwara DAP untuk memenangi hati pengundi mereka. DAP bimbang akan dimarahi penyokongnya sekali gus akan kehilangan pengaruh dengan cepat kerana mereka menang 18 kerusi, PAS hanya 6 kerusi; sudahnya PAS yang paling sedikit menang kerusi dan tiada pakatan secara langsung dengan DAP yang menerajui negeri.

Hakikatnya, DAP sudah menyetujui dari awal lagi dengan perlantikan itu. Semua orang sudah tahu, seawal hari Isnin lagi MB Perak akan dilantik daripada PAS. Pihak PAS sendiri sudah umumkan, tetapi DAP cuba bersandiwara kemudiannya atas kepentingan politiknya sekaligus melambatkan proses perlantikan secara rasmi. DAP sanggup menanggung risiko membantah keputusan sultan semata-mata untuk kepentingan politiknya, kemudian mengalah dan memohon maaf semula.

Sementara itu, mantan menteri penerangan yang dikatakan berkempen secara kelakar oleh Tun Dr.M dilaporkan berkata sudah sampai masanya untuk Umno insaf, bahawa masa dan wang yang telah banyak dicurahkan sebagai usaha untuk mengambil alih Kelantan itu, adalah satu usaha yang sia-sia.

Malah menurut beliau, wang yang dicurahkan untuk perjuangan politik di Kelantan itu lebih banyak menimbulkan perbalahan di kalangan pemimpin Umno di negeri itu.

Katanya, bagaimanapun kekalahan BN di Kelantan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan pembangunan di negeri itu, sekiranya ada satu kerjasama yang rapat antara kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan Persekutuan.

Sekali fikir, bodoh juga Zam bila berkata Usaha BN tawan Kelantan tak perlu diteruskan. Dah putus asa ke ? Atau dah tukar strategi ? Walaupun perenggan awal laporan Bernama itu menunjukkan kebodohan Zam, namun perenggan seterusnya menunjukkan kebijaksanaan, kematangan dan keterbukaan pula.

Apa pun, janganlah kerajaan pusat menganaktirikan projek pembangunan di Kelantan lagi kerana strategi itu bukan sahaja gagal sejak dahulu bahkan merugikan orang melayu sahaja. Usah bicara soal DEB kalau hakikatnya, pembelaan untuk orang melayu tidak diagihkan sama rata. DEB secara asasnya cantik tetapi dari segi perlaksanaannya hampa.

Ramai yang risau, P.Pinang akan buat sistem tender terbuka. Mampukah orang melayu bersaing ? Kelantan sudah lama melaksanakan sistem tender terbuka dan Terengganu juga melaksanakannya semasa PAS memerintah. Ramai juga syarikat bumiputera yang dapat balak dan projek-projek lain. Ketika BN memerintah, sistem tender tertutup dilaksanakan ataupun runding terus (direct nego). Ramai juga taukeh Cina yang dapat projek selain melayu ali baba. Projek pembangunan di Terengganu kini pun banyak dibolot oleh Patrick Lim. Jadi usahlah risau.

Kata Prof. Ungu Aziz, melayu perlu ada sifat kiasu iaitu takut kalah. Dengan itu, melayu akan mampu bersaing. PAS dan PKR menang besar dalam PRU 12 pun sebab sifat kiasu. PAS takut kalah di Kelantan. PKR takut hilang kerusi tunggal di Permatang Pauh. BN tiada rasa kiasu kerana yakin, BN mesti menang. Akhirnya BN lesu.

Wednesday, March 12, 2008

Cabaran untuk kerajaan BA

Akhbar Utusan Malaysia terus memainkan isu perkauman yang sememangnya sensitif untuk mewujudkan rasa terancam dikalangan orang melayu selepas BN tewas di Kuala Lumpur dan 5 negeri. Semalam, dengan tajuk Survival melayu tergugat dan hari ini dengan tajuk Melayu menang sorak, masing-masing menyiarkan 4 surat daripada pembaca (?). Masing-masing cuba "menyedarkan" orang melayu betapa mereka kini semakin terancam kerana DAP dan kaum bukan melayu khususnya Cina dan India semakin berani menuntut hak.

DAP seperti biasa digambarkan sebagai cauvinis. (DAP iaitu serpihan dari PAP - parti yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew dengan perjuangan cauvinisme Cinanya - terus meluaskan pengaruh di kalangan kaum Cina. - Saad Hashim, Ampang). DAP menolak DEB juga menjadi tajuk utama Utusan. Wujud juga seruan supaya orang melayu kembali bersatu. (p/s - Kalau ikhlas mahu bersatu, penyatuan tersebut mestilah atas nama agama dan bukan atas landasan perkauman kerana Islam menjamin keadilan dan keselamatan untuk semua kaum dan agama.

Ada juga yang membangkitkan DAP tidak mengiktiraf Islam. (DAP sejak dahulu telah menyatakan dengan terbuka yang parti itu tidak mengiktiraf dan menerima Islam. - Menghitung Hari, KL). Pak Malau dari Kajang menyebut, "Dan yang lebih memalukan ada di antara umat Islam dan Melayu telah sama-sama membantu DAP untuk menghapuskan sama sekali suara Melayu di Pulau Pinang."

Sokongan orang cina kepada DAP digambarkan sebagai berpunca daripada agenda perkauman seperti yang disebut oleh Mohd Radzwil Abdullah, "Cina melarikan diri dari Gerakan dan MCA kerana mereka beranggapan bahawa parti-parti itu gagal memperjuangkan agenda-agenda kaum mereka."

Perantau Sabah menyebut, "kain rentang parti DAP menyatakan “Undi MCA Bermakna Undi UMNO/Melayu”, atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis “ Undilah calon-calon Cina sahaja”."

Isu-isu sensitif yang ibarat bermain dengan api ini boleh mewujudkan suasana yang tegang dan amat merbahaya. Sejarah Kelantan membuktikan BN hanya dapat merampas kembali negeri itu melalui satu suasana darurat yang terancang melalui konsep pecah dan perintah dimana PAS akhirnya berpecah kepada PAS dan BERJASA.

Kini adalah menjadi tanggung jawab kerajaan baru BA yang dipilih untuk memastikan kebimbangan di atas tidak berasas serta membuktikan pentadbiran baru lebih membawa kebaikan, muhibbah, selamat, bersih dan adil.

Sementara itu, Harian Metro menyebut, "Antara badan paling awal menyuarakan kebimbangan nasib orang Melayu ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) yang mahu isu Melayu diberi perhatian kerana pemilikan aset Bumiputera hanya dua peratus di daerah Timur Laut dan 17 peratus di daerah Barat Daya."

Itulah antara jasa UMNO Pulau Pinang dalam memperjuangkan nasib orang melayu selepas bertahun-tahun BN menguasai negeri itu melalui dasar DEB nya. 2 peratus ???

Monday, March 10, 2008

Politik emosi

Zainuddin Maidin bersumpah, dia akan pastikan calon lawannya akan hilang wang pertaruhan. Sudahnya, dia hilang jawatan. Jawatan Ahli Parlimen dan jawatan Menteri.
YAB Datuk Nik Aziz menasihatkan supaya pemimpin dan penyokong parti pembangkang tidak amalkan politik balas dendam.

Ketika PAS menang di Terengganu pada 1999, bangunan SUK dikepung. Bekas Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar) tidak dibenarkan masuk walaupun untuk mengambil barang-barang peribadi.

Hari ini akhbar melaporkan, sekumpulan penyokong BA berkumpul di SUK Selangor. Mereka berkawal. Tak dapat dipastikan mereka memang diamanahkan berkawal oleh pihak yang bakal mengambil alih kerajaan atau panai-pandai sendiri. Di Kedah dan Perak juga sama. Dan kebanyakan mereka adalah penyokong PAS atau daripada kaum melayu. Tidak dapat dipastikan kesahihan laporan akhbar yang pro BN ini kerana tiada laporan drp media pro BA setakat ini.

Di Pulau Pinang, tokoh yang dinamakan sebagai bakal ketua menteri mengadakan kunjungan hormat kepada penyandang Ketua Menteri, Koh Tsu Koon. Peralihan kuasa dan penyerahan tugas akan dilakukan secara terhormat dan akan berjalan dengan lancar. Kan cantik tu. Kenapa Melayu yang bersopan susila, beradat dan beradab lagi beragama tidak dapat menunjukkan sikap lebih baik daripada mereka ?

Di Kedah, akhbar pro BN melaporkan PAS mengarahkan Tabika Kemas mengosongkan premis yang diduduki. Emosional bunyinya. Tidak dapat dipastikan sama ada selama ini, Kemas membayar sewa atau tidak. Di Selangor, tabika Kemas di tempat aku tidak lagi menumpang di dewan orang ramai. Sudah ada premis sendiri yang didirikan sejak tahun 2000 selepas kejadian tabika kemas di Terengganu dihalau (???). Sepatutnya tabika Kemas kena ada premis sendiri. Supaya tak mengganggu aktiviti masyarakat di dewan. Tak kan Kemas tak boleh sediakan peruntukan untuk bangunan Tadika ? Bila dah jadi begini, mula salahkan pembangkang. Dan pembangkang pula nampak macam tak sabar-sabar. (wallahua'lam sebab belum ada laporan daripada pihak pembangkang di Kedah. Jangan cepat menuduh hanya kerana laporan dari sebelah pihak.)

Banyak lagi laporan-laporan yang negatif dan positif yang jika dinilai, ianya berpunca daripada politik emosi yang tenang atau emosi yang tegang.
Moralnya, kita masih banyak dikawal oleh emosi dan perasaan amarah kita. Walaupun kita Islam dan Islam itu indah. Bermuhasabah lah.

Pasti ada hikmahnya kenapa PAS tewas di Terengganu. Allah maha mengetahui.

Coretan PRU ke 12

Keputusan pilihanraya ke 12 sudah pun diketahui umum. BN menang dalam kalah. BA juga serupa. Ada yang gembira dan ada yang sedih. Setakat ini tiada laporan orang terkena serangan jantung akibat keputusan mengejutkan dalam sejarah Malaysia ini. Alhamdulillah. Kalau dulu, bila Muhammad Ali, petinju lagenda dunia bertarung, pasti ada sahaja yang terkena serangan jantung.

Aku tidak menyesal dengan pilihan aku kali ini. Ini adalah kali ke 3 aku mengundi. Kawan-kawan sebaya aku sudah masuk kali ke 5 mengundi tapi aku lewat daftar sebagai pemilih. Sebelum keluar mengundi, aku beritahu isteriku, aku tidak berbelah bagi untuk mengundi kali ini. Aku dah solat istikharah hampir seminggu setiap kali selepas solat maghrib atau isyak walaupun sebelum itu aku dah buat pilihan. Manalah tahu, Allah nak tunjukkan sesuatu yang berbeza dengan apa yang aku fikirkan. Bahkan sebelum keluar mengundi, sekali lagi aku bersolat istikharah, memohon petunjuk Allah. Alhamdulillah, tidak terdetik sedikitpun rasa was-was.

Dalam pilihanraya ke 10, aku mengundi calon DAP (berketurunan Cina) yang bertanding melawan calon UMNO. Dalam pilihanraya ke 11, aku undi calon PKR (berketurunan India - mungkin kristian) yang menentang calon UMNO. Kali ini calon Melayu lawan Melayu. Tentulah lebih mudah membuat pilihan. :)

Dalam kereta, isteriku (masih ahli UMNO yang sah) bertanya calon mana nak dipilih ? Aku berikan jawapanku dan dia diam. Memang sudah ditakdirkan, aku yang setakat ini masih setia dengan perjuangan Islam menjadi menantu kepada seorang ketua cawangan UMNO dan ketua wanita UMNO cawangan parlimen Titiwangsa. Mungkin masa nikah dulu, dia tak tahu pendirian politik ku walaupun isteriku tahu. Kebetulan pula, anak saudara mertua ku juga sudah bernikah dengan seorang saudaraku yang merupakan ketua UMNO cawangan Pulau Rusa,KT masa itu.

Selepas keputusan diketahui satu demi satu, aku tak dapat menahan rasa gembira bila diumumkan, PAS menang di Titiwangsa. Hampir saja aku menjerit memberitahu isteriku. Isteriku mengingatkan aku supaya tidak menaikkan kemarahan kedua mertuaku yang tinggal sebumbung dengan kami. Kedua-dua petugas BN itu yang sudah lah tua, keletihan pula selepas 2 minggu bertungkus lumus berkempen. Calon mereka tewas pula. Kalau dah biasa tewas, tak mengapa; ini tak pernah tewas, tentulah tak mudah.

Semalam, ibu mertuaku hampir pitam ketika kami ke majlis kenduri kahwin di Shah Alam. Dalam perjalanan, kami sibuk bercerita pasal politik. Dia nampaknya tenang dan boleh terima keputusan dengan baik. Tiba-tiba, bila keluar dari kereta, dia hampir rebah dan dipapah oleh birasku yang lebih gagah daripada aku. Keletihan agaknya. Risau juga aku.

Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang pasti gembira dan yang kalah pasti bersedih. Akhbar melaporkan Tajol Rosli, bekas MB Perak mengunci diri dan menangis menerima berita kekalahan BN di Perak. Bukankah hanya Allah yang memiliki kuasa mutlak ?

Friday, March 07, 2008

Hari terakhir berkempen

Akhirnya, pada hari ini, khutbah Jumaat di KL menyentuh juga isu pilihanraya. Saya dah tertunggu-tunggu sejak minggu lepas lagi, bila khutbah nak bangkitkan isu pilihanraya ? Ye lah. Pilihanraya tu penting. Bagi umat Islam, pilihanraya berkait dengan urusan dunia dan akhirat. Hubungan antara manusia dgn manusia serta hubungan manusia dgn Penciptanya.

Sedikit sebanyak, khutbah hari ini boleh dianggap baik walaupun masih boleh dimantapkan lagi. Antaranya disebutkan kewajipan mewujudkan keamanan, keharmonian, sifat amanah yang perlu ada pada pengendali pilihanraya dan pihak berkuasa lain, hindari penyalahgunaan kuasa dan sebagainya lagi.

Yang boleh dimantapkan lagi, sepatutnya mimbar memberi panduan kepada jemaah untuk membuat pilihan yang tepat. Pilih yang paling hampir dengan Al Quran dan As Sunnah kerana agak mustahil untuk menemui yang betul-betul sempurna. Sebutkan juga kewajipan pemimpin dan rakyat menyeru kepada makruf dan mencegah yang mungkar. Sudahkah terlaksana.

Teringat saya kepada laporan Berita Harian sehari selepas manifesto BN dilancarkan. Seorang pendakwah dari Sarawak menyebut, sudah tiba masanya kerajaan menterjemahkan konsep Islam Hadhari dalam bentuk pelaksanaan pula. Dalam erti kata lain, pendekatan Islam Hadhari tu belum dilaksanakan lagi. Kalau diteliti dan dimuhasabah, memangpun. Retorik dan gimik je lebih. Tak ada apa-apa perubahan pun berbanding dulu.

Laporan BERNAMA pula menyebut tentang kekecohan penyokong PAS di Terengganu menahan bas yang membawa pelajar IPT pulang mengundi. Antara yang dilaporkan :

Seorang pelajar dari Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) Siti Zamimi Mohd Nawi, 20, ketika ditemui berkata beliau terkejut apabila bas yang dinaikinya dibaling batu oleh sekumpulan lelaki.

"Laluan bas yang membawa kami dihalang, kad pengenalan kami diperiksa kerana mereka mengatakan kami pengundi hantu sedangkan kami pengundi yang sah," katanya yang berasal dari Setiu Terengganu.


Setahu saya, 20 tahun bukan umur layak mengundi. Macam mana dia boleh kata dia pengundi yang sah ?

Thursday, March 06, 2008

BN atau BA ?

Aku terbaca artikel di http://penyokong-kj.blogspot.com/2008/03/24-jam-di-terengganu.html. Aku terpanggil untuk turut mengulas.

1. Kisah Masjid Kristal - Sebelum ini ada pihak telah menayangkan video dalam internet menggambarkan ada rupa berhala pada masjid ini. Jadi bila saya berada di sini dan melihat sendiri serta bertemu bual dengan orang di sini, maka cerita itu 'tidak benar' sama sekali. Ia hanya direka-reka oleh pihak berkenaan sahaja. Sebenarnya masjid ini bila diambil gambar ia ada balikan cahaya dan bayang. Lagipun ia tidak dicat seperti masjid-masjid lain. Memang sungguh bersinar dan berkilau pemandangannya.

1. Masjid kristal - isunya bukan imej misteri yang kelihatan dalam video clip tu. Itu hanya jenaka sinis sahaja. Penyokong yang serius dgn jenaka sinis itu, menunjukkan dia masih kurang cerdik. Isu sebenarnya ialah apa kejadahnya dibina masjid di pulau tak berpenghuni tu ? Masjid dibina bila ada keperluan (dimohon) oleh masyarakat setempat. Sifat masjid mesti diimarahkan dengan solat 5 waktu, ada majlis ilmu dan program kemasyarakatan lain. Kerajaan boleh bina replika atau benda lain untuk tarik pelancong tetapi bukan masjid, apatah lagi menggunakan wang berjuta-juta.

2. Mat Sabu - Orang-orang PAS Terengganu yang saya temui memberi komen mereka tidak suka Mat Sabu bertanding di Kuala Terengganu. Sepatutnya berilah orang atau anak Terengganu sendiri yang mewakili PAS. Takanlah tidak ada langsung anak Terengganu yang layak untuk dipilih sehingga terpaksa mengambil orang luar.
2. Mat Sabu - Masyarakat Terengganu perlu lebih berfikiran terbuka terutama dalam memilih ahli Parlimen. Ahli parlimen berbeza dengan ADUN. Orang luar sepatutnya tidak menjadi faktor untuk ditolak asalkan dia mampu membawa isu dengan baik di Parlimen. Kalau orang tempatan pun, tetapi tak mampu jadi jurucakap yang bernas di Parlimen, lebih baik tolak tepi je. Tapi aku setuju, Mat Sabu bukan pilihan terbaik. Rekodnya tercemar dengan isu khalwat dan gaya ceramahnya yang tidak dihiasi ciri-ciri Islamik.

3. Parti Keadilan Rakyat - Mereka kata 'Adil' susah nak menang di Terengganu. Dulu semasa 1999 orang-orang Terengganu terpengaruh dan merasa simpati dengan kes Anwar Ibrahim. Itulah sebab BN kalah teruk dalam pilihanraya 1999.
3. PKR - Sekali lagi, masyarakat Terengganu perlu berfikiran terbuka dalam membuat pilihan. Calon PAS bukan semestinya bagus. Ada kelulusan tinggi dalam bidang agama belum tentu dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat. Orang yang ada Phd pun belum tentu boleh jadi wakil rakyat yang bagus. Rekod tahun 1999 sudah membuktikan ada wakil rakyat PAS malah exco PAS yang kurang disenangi rakyat. Lihat Dr. Mashitah Ibrahim di Baling dan Dr. Amran Kasimin di Bangi.

4. Nasib Rakyat Terengganu - Dia orang cakap siapa menang pun kita rakyat masih macam ini juga. Walaupun nampak kemajuan dengan pembangunan sana sini tetapi berapa orang sahaja yang dapat faedahnya? Yang lain-lain cuma boleh tengok dan lihat sajalah.
4. Setuju.

5. Harga Minyak - Mereka kata sepatutnya kerajaan buatlah cara lain usahlah naikan harga minyak? Bila harga minyak naik jika setakad menjejaskan kenderaan saja tak kisah tetapi ia melibat dan menjejaskan perkara-perkara lain sama. Itu yang menyebabkan rakyat rasa semakin susah dan tertekan. Mereka cakap "Petronas tak pernah rugi sekalipun malah untung sepanjang masa berbilion-bilion ringgit...jadi kenapa perlu naikkan harga minyak? Masa Dr Mahathir dahulu minyak naik setahun sekali saja....tapi bila masa Pak Lah minyak naik 3 kali setahun".
5. Zaman Tun, minyak naik sikit-sikit. Selalunya kurang daripada 10 sen. Zaman Pak Lah, minyak naik 30 sen.

6. Anwar Ibrahim - Seorang pakcik tua beritahu saya Anwar Ibrahim tu telah silap kerana tak nak dengar nasihat Mahathir. Sepatutnya bila Mahathir suruh dia letak jawatan dia letaklah dulu. Sebab Mahathir dah tahu semua cerita-cerita yang tak baik berkenaan Anwar ini. Itu sebab Mahathir nak Anwar berundur sekejap, bila keadaan dah mula reda dan sepi, maka Anwar bolehlah masuk dan aktif kembali dalam umno. Sama juga dengan Ku Li. Jika dia tak lawan Mahathir dulu, mungkin Ku Li dah jadi Perdana Menteri selepas itu.
6. No komen.

Yang aku nak tambah, aku nak sangat supaya calon PKR di Rembau menang. Calon tu nampaknya hebat. Hehehe... Ke Rembau pulak perginya.

Satu lagi, sesekali, BN perlu dikalahkan juga supaya hilang sikit takbur dan egonya. Jangan jadi macam Johor. Bukan maju mana pun. Cuba tengok kampung-kampung orang melayu di Johor. Aku rasa suausana di Terengganu dan Kelantan (terutama di kawasan yang kekuatan antara 2 partinya seimbang) lebih baik kalau dibandingkan dengan Johor. Tak padan dengan taat setia melayu Johor kepada Umno.

Melayu Johor perlu berani berubah !!!

Tuesday, March 04, 2008

Penipuan dalam pilihanraya

Baru sekejap, seorang rakan memberitahu, ipar dia yang hardcore UMNO di Johor dah ke Kelantan seminggu mulai semalam untuk kempen dan akan mengundi di sana. Banyak duit ditaburkan.

Minggu lepas, seorang rakan lain (anak Kelantan) memberitahu, RM250 untuk balik mengundi di Kelantan. Begitulah antara kisahnya. Aku tak pasti adakah itu satu penipuan.

Semalam, di masjid, Ustaz yang mengajar beritahu, isteri dia berdaftar di Segambut tahun ni walaupun tak pernah tukar alamat. Segambut bukan tempat dia. Malah, tahun 2004, isterinya berdaftar di Setiu Terengganu. Bukan pernah tinggal di Terengganu pun. Saudara mara pun tak ada kat sana.

Katanya lagi, biarlah menang sedikit tapi tak menipu, daripada menang banyak tempat tapi menipu. Tak berkat. Gaji dan elaun pun dah jadi haram. Kalau hulur derma kepada masjid atau anak yatim pun dah tak berguna lagi sebab guna duit haram.

Politik tu tak kotor. Tapi hati manusia yang kotor. Dengan hati yang kotor, manusia menyalahgunakan akal untuk mencapai cita-cita nafsunya.

Patutkah manusia yang demikian keadaannya ﴾terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan﴿ menyangka Bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya ﴾dan menyeksakannya﴿? - Al Balad : 5

Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya ﴾harta benda, anak pinak pangkat dan pengaruh﴿ - At Takatsur : 1

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). - Al Baqarah : 188

Dan tidak ﴾dinamakan﴿ kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? - Al An'am:32

﴾Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah﴿ orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang
yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia ﴾segala kemewahannya dan kelazatannya﴿. oleh itu, pada hari ini ﴾hari kiamat﴿, Kami lupakan ﴾tidak hiraukan﴿ mereka sebagaimana mereka telah lupa ﴾tidak hiraukan persiapan-persipan untuk﴿ menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan kami. - Al A'raf:51

Monday, March 03, 2008

Antara isu peribadi dan isu nasional

PAS seperti juga di tahun-tahun 80an masih beranggapan isu peribadi mampu menarik sokongan kepada parti itu. Isu nasional pun turut diketengahkan tetapi bila isu peribadi dibongkar, berlumba-lumbalah pemimpin dan penyokong mereka menjuarai isu dan masing-masing turut ingin mengulas.
Dalam piihanraya kali ini, aku percaya, PAS boleh memperbaiki prestasi berbanding musim lepas. Tetapi kalau mahu meningkatkan lagi prestasi, PAS perlu lebih berhikmah. PAS berpolitik sambil berdakwah. Jadi berdakwah mesti dengan berhikmah. Isu peribadi perlu dikurangkan dan tidak lagi menjadi isu utama. Isu peribadi hanya isu syok sendiri. Ia hanya menyemarakkan semangat penyokong sedia ada tetapi tidak pada penyokong baru atau penyokong atas pagar.
Bukan isu tak tutup aurat itu tak penting, seperti calon ADUN Bkt Antarabangsa. Sebagai muslim, pemimpin yang mahu dipilih mestilah seorang yang menjaga syariat. Kalau mematuhi syariat itu tak penting, jangan terkejut jika ada pula yang berkata, solat tak penting, yang penting ialah mampu berkhidmat kepada rakyat secara berkesan.
Caci, maki, cerca dan sindiran; pernahkah digunakan oleh rasulullah dalam berdakwah ? Hanya Allah sahaja yang berhak melaknat makhluknya yang melampaui batas.

Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah 3 (Aali 'Imraan) Ayat 26.

Friday, February 29, 2008

Soalan untuk pengundi Terengganu

Pada tahun 1999, rakyat Terengganu telah membuat kejutan kerana nekad untuk menyerahkan pemerintahan kepada PAS/BA untuk tempoh sepenggal. Walaupun diancam dengan dakwaan Terengganu akan menjadi mundur, miskin, tiada pembangunan, kembali seperti tahun-tahun 60an dan 70an, namun rakyat Terengganu berani menanggung risiko. Tiada siapa menyangka, risiko royalti petrolium ditarik balik.
Pada tahun 2004, sekali lagi rakyat Terengganu membuat kejutan untuk mengembalikan pemerintahan kepada BN dengan janji pembangunan yang luar biasa, yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.
Soalannya, adakah rakyat Terengganu kesal kerana memilih PAS/BA pada tahun 1999? Pada tahun 2004, jawapannya mungkin "YA" tetapi bagaimana pula jawapannya pada hari ini ?
Benarkah, pada tahun 2004, kehidupan rakyat menjadi miskin ? Kembali kepada kehidupan tahun 60an atau 70an ? Tiada pembangunan ?
Apa pula faedah yang diperolehi rakyat selepas BN mengambil alih semula pemerintahan ? Berbaloikah menukar kerajaan pada tahun 1999 ? dan 2004 ? Wajarkah kerajaan BN ditukar semula kepada kerajaan BA/PAS untuk sekurang-kurangnya sepenggal ?
Bagaimana pula calon di tempat anda ? Adakah mesra rakyat atau payah berkira ? Ego atau tawaduk ? (Orang PAS pun ada yang ego, bukan aku tak tahu). Reti jadi pemimpin atau macam tak reti tapi buat-buat reti ? Berkarisma atau lebih kurang macam ahli politik kedai kopi je ? Bijak berucap dan cekap bekerja atau hanya pandai bercakap ? Atau bercakap pun buat orang mengantuk ? Macam Pak Lah, orang bercakap dia mengantuk, dia bercakap, orang mengantuk. Aakakakaka...
Macam aku, tak pernah berurusan dengan Adun mahupun ahli parlimen. Jadi aku tak tahu sangat baik buruk sikap mereka. Tapi benda tu tetap penting untuk memudahkan orang susah yang selalu berurusan dengan mereka.
Pertimbanglah dengan sebaik-baiknya. Perjuangan yang baik sekalipun mesti diimbangi dengan pendekatan yang baik serta calon yang baik.

Thursday, February 28, 2008

Ada malware cuba mengganggu

Nampaknya, dua posting aku yang terakhir cuba digodam dengan malware. Yolarr dan merr, nama samaran (mungkin computer generated name) cuba menunjukkan konon komputer aku dijangkiti virus.

Kepada sesiapa yang membaca blog aku ni, harap hati-hati. XPAntivirus atau XPAntispyware sebenarnya ialah malicious software (malware) yang cuba menyusup ke komputer anda. Tak perlu scan komputer anda dengan malware ni.

Gunakan antivirus atau antispyware anda yang sedia ada sahaja. Aku guna Eset Nod32 dan sesekali scan dengan Ad-aware. Tapi kalau pejabat anda mahu Antivirus atau Internet Security, boleh hubungi aku. Kami partner dengan F-Secure. Komputer aku slow, (AMD Sempron dengan 512MB RAM) jadi nazak bile guna F-Secure.

Vote for F-Secure Internet Security.

Wednesday, February 27, 2008

Kelam kabut pilihanraya

Suasana pilihanraya kali ini nampak agak kelam kabut. Paling serabut ialah di pihak BN. Sedikit sebanyak ini menggambarkan betapa lemahnya kepimpinan Pak Lah. Seolah-olah PM itu boleh digertak oleh anak buahnya. Oleh Shahidan Kassim, oleh Radzi Syeikh Ahmad, oleh Sultan Johor, oleh Idris Jusoh, oleh Aziz Shamsuddin dan ramai lagi. Tak boleh buat keputusan sendiri. Berbeza dengan karisma Tun Dr Mahathir. Walaupun aku benci Tun dalam hal-hal tertentu, tapi rasa kagum kepadanya tak dapat dinafikan. Cara dia menangani soalan wartawan, cara dia berucap, isi ucapannya. Tk hairanlah dia disegani kawan dan lawan.
Kelam kabut di pihak BA seperti sudah maklum. Kekurangan tokoh berwibawa, tiada ikatan rasmi yang kukuh antara parti. Namun di tempat aku, nampaknya kerjasama antara PKR dan PAS nampak amat baik. Tambahan pula kali ni, calonnya Melayu Islam. Tahun 1999, calon DAP vs UMNO dan tahun 2004, calon PKR ialah Dr. Xavier Jayakumar vs Dr. Rozaidah Talib.
Sepanjang kempen kali ini, sudah beberapa kali petugas PKR dan PAS dilihat bersolat di masjid berhampiran. Petugas BN tak pula kelihatan atau mereka tak pakai pakaian yang ada lambang dacing. Kenderaan yang ada lambang dacing pun hanya sekali kelihatan, itupun bendera kecil macam penyokong biasa je. Bilik gerakan mereka tak jauh pun daripada masjid.
Kalau tak ada aral, aku akan turun mengundi di Ampang.
Cakap berdegar-degar, undi belum tentu lagi dapat kat siapa. :) ekekeke...

Linda Zerain ? Eeee geli aku.
Azman Wahid bagi hadiah beg sekolah dengan lambang dacing untuk pelajar cemerlang PMR ? Dia ingat budak-budak nak pergi sekolah pakai beg dacing tu ke ?