Thursday, March 26, 2009

Dari hal sayap UMNO

Malam tadi, saya beritahu isteri saya, Shahrizat dah menang Ketua Wanita. Rafidah kalah. Spontan isteri saya jawab, "Padan muka dia."

Saya kata lagi, untuk ketua pemuda, terpaksa buat kiraan semula. Isteri saya tanya, "Kalau abang, Abang pilih siapa?" Saya jawab Khairi Jamaluddin.

Bagi saya, Si Mukhriz tu tak setanding dengan Khir dan KJ. Bukan sebab saya benci Mahathir. Tetapi jelas, Mukhriz tidak mewarisi sifat dan karisma bapanya. Khir dan KJ lebih berwibawa daripada dia, setakat ini. Ingat, orang politik sentiasa belajar dan menimba pengalaman. Mungkin satu hari nanti, Mukhriz pula lebih baik, siapa tahu.

Usah cerita pasal rasuah, semua sama je. Itu UMNO. Duit mesti kena keluar. Kalau tak, satu kerja pun tak jalan. Sukarelawan tu pun mesti diberi projek. Baru NGO yang pro UMNO meriah.

Friday, March 20, 2009

Sabaaaar lah UMNO

Sabaaaaaaarlah Ali. Begitu akhir lagu Ali Mamak.

Kesian Abang Ali. Dia tak bersalah. Cuma ejennya yang tersilap. Ejennya belanja makan sambil bersembang bertukar-tukar fikiran. Itulah masalahnya UMNO. Belanja makan pun tak boleh. Kalau dah ajak berjumpa, takkan sembang kosong je. Bersembang sambil makan, biasa lah tu. Ada ketikanya, hadir kenduri pun tak boleh. Tujuannya semata-mata nak sekat amalan rasuah politik atau politik wang. Boleh bertanding, tapi tak boleh berkempen. Apa punya undang-undang. Kalau berkempen dalam UMNO tu salah, adakah kempen untuk pilihanraya tu salah ? Adakah belanja makan ketika kempen pilihanraya pun rasuah ?

Masalah rasuah politik dalam UMNO memang berlaku secara terbuka. Masalah utama bukan belanja makan. Masalah utama ialah dapat duit poket secara tunai. Masalah utama ialah melancong percuma sambil membeli-belah. Masalah utama ialah ganjaran projek dari puluhan ribu hingga jutaan ringgit. Atau mungkinkah juga ada rasuah seks ? Tetapi setakat ini, yang dibuktikan oleh lembaga disiplin parti ialah belanja makan.

Ali tak akan melawan. Macam Isa Samad yang tidak melawan. Mereka tetap setia. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Itu cogan kata UMNO.

Bersatu. Betul ke bersatu ? Sebab bersatu ke jadi macam sekarang ? Mahu melayu bersatu dalam kerajaan. Mahu melayu bersatu dalam UMNO. Melayu lemah kerana tidak bersatu. Tetapi kalau bersatu dalam UMNO, Melayu jadi semakin lemah sebab UMNO sudah tidak dipercayai lagi. Kalau semua Melayu bersatu dalam UMNO, bukan sahaja UMNO malah Melayu juga tidak dipercayai lagi.

Bersetia. Setia ada makna. Kalau Isa Samad buat perangai Hang Jebat, di mana tempat dia sekarang ? Masih ada peluang bertanding Naib Presiden atau di penjara Sg. Buluh ? Abang Ali pun begitu juga. Jangan harap Ali akan ambil semangat Hang Jebat. SPRM tak perlu ambil masa lama untuk siasat. Peguam Negara pun tak teragak-agak.

Berkhidmat. Kalau ada ganjaran. Bilik gerakan UMNO, ada orang ke kalau duit tak turun ? Ada semangat bekerja ke mereka ?

Bila SPR lewatkan tarikh PRK 2 bukit, ramai yang kata ia memberi kelebihan kepada UMNO. Lepas ni kita lihat, adakah Ali akan turun berkempen di 2 bukit ? Setidak-tidaknya, sebahagian jentera kempen sudah lumpuh. Itu belum Pemilihan UMNO lagi. Selepas pemilihan, ramai lagi yang akan kecewa, marah dan protes. Peluang BN di 2 bukit sangat tipis kecuali melalui pecah undi. Sebab itu calon Bebas mesti ada.

Sekarang langkah UMNO semakin sumbang. Ambil tindakan pun salah. Tak ambil tindakan pun salah. Awalkan PRK pun salah, lewatkan pun salah. Bubarkan Dun Perak pun salah, tak bubarkan pun salah. Rampas kuasa di Perak pun salah, tak rampas pun salah. Sebab kalau tak rampas sekarang, PR berpeluang mengambil hati rakyat Perak. Manakala cawangan parti komponen BN pula semakin kekeringan wang. UMNO paling banyak Bahagian dan cawangan di Perak. Bila berkuasa, cawangan dapat projek kampung, dapat tapak pasar malam dan banyak keistimewaan lagi.

Bak kata Ali Mamak. "Kau tahu mak aku pesan macam mana ? Sabaaaaaaaar lah Ali".

Wednesday, March 18, 2009

Kerajaan Perpaduan

Idea kerajaan perpaduan kini sedang diolah sebegitu rupa untuk melaga-lagakan kalangan pemimpin PAS. Bukan pemimpin sahaja, malah penyokong PAS turut sama terlatah dek mainan musuh. Ia juga untuk terus menimbulkan keraguan di kalangan rakan dalam Pakatan. Geger di alam siber, riuh rendah di kedai kopi. Habis pemimpin di perli.

Tak dinafikan, idea yang tidak jelas, atau mungkin yang mencadangkan sendiri teragak-agak melontarkan idea, menyebabkan musuh dengan mudah mengeksploitasi sekali gus menjadi senjata ampuh untuk PRK terutama di dua bukit. Ia juga setidak-tidaknya dapat meringankan beban UMNO yang sedang bermasalah dengan rasuah.

Nik Aziz yang mudah melatah turut dijolok dengan soalan dan maklumat kabur daripada wartawan sekali gus dapat melariskan berita. Apakah pemimpin PAS kini kurang berkomunikasi hingga selalu bertelagah di media ? Saya tak faham kenapa Nik Aziz boleh begitu jauh tersalah faham dengan idea asal Haji Hadi itu. Idea tersebut sepatutnya terbuka untuk dibincang, disokong atau dikritik dengan sihat.

Saya tak fikir Haji Hadi begitu bodoh melontarkan idea kononnya supaya PAS dan UMNO bekerjasama lalu mahu meninggalkan Pakatan sedang UMNO bergelumang dengan pemberi dan pemakan rasuah. Ramai dikalangan pengkritik dalam PAS nampaknya cenderung untuk menuduh, memang wujud usaha bersungguh-sungguh puak tertentu dalam PAS mahu PAS meninggalkan Pakatan atau PAS bekerjasama dengan UMNO, hingga calon PAS di PRK KT tempoh hari pun turut digambarkan sebagai calon kompromi.

PAS belum menamakan calon di Bukit Gantang. Musuh memang sedang berusaha untuk meniup rasa curiga dan was-was dalam Pakatan dan dalam PAS. Ini sememangnya kerja syaitan, meniup rasa was-was dalam hati kita. Perbanyakkanlah berjumpa dan bermusyawarah apabila datang berita meragukan daripada orang-orang yang fasik. Jangan tambahkan kekeliruan rakyat.

Rasuah vs lobi

Semua akur, rasuah untuk memilih pemimpin dalam UMNO bukanlah perkara baru. Ada yang kata ia bermula pada zaman Mahathir (untuk salahkan Mahathir). Ada yang kata ia bermula pada zaman Anwar (untuk salahkan Anwar). Kalau tak salah saya, rungutan secara terbuka mula datang daripada Musa Hitam. Ketika itu, Musa dicabar Tengku Razaleigh yang pada ketika itu adalah Menteri Kewangan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Hari ini, semua veteran-veteran UMNO ini nak bercakap soal politik wang seolah-olah ia tak berlaku pada zaman mereka.

Generasi hari ini cuma mewarisi taktik dan teknik nya sahaja. Sudah tentu ia disesuaikan dengan teknologi dan kepakaran semasa. Aduan rasuah terus berkembang dan nampak jelas dalam UMNO dan PKR selain juga wujud dalam agensi-agensi kerajaan atau di kementerian tertentu. Dalam pada itu, lobi dibenarkan. Susah saya nak bezakan antara salah guna kuasa dengan lobi. Pakar undang-undang mungkin boleh bezakan.

Mahathir pernah guna ejen untuk melobi bertemu Presiden Amerika. Anwar pun mungkin sama. Nak jadi tuan rumah temasya sukan seperti sukan komanwel, sukan Asia, Piala Dunia dan Formula 1 pun kena melobi. Kita mungkin serah saja duit kepada ejen sebagai ganjaran untuk melobi. Bagaimana cara dia melobi, terserah kepada dia. Laporkan perkembangan hasil lobi kepada kita. Yang penting, kita dapat projek. Ada orang melobi untuk jawatan dalam perkhidmatan awam hingga ke peringkat menteri. Kadang-kadang, kesian juga lihat pegawai yang layak dan cemerlang tak dapat naik pangkat sebab tak melobi. Lobi untuk dapat kontrek tentulah lebih hebat. Orang PAS pun melobi juga. Bila dah melobi, tentulah pakai duit atau projek. Takkan dengan bagi ceramah dan tazkirah je, boleh dapat projek.

Nik Aziz, saya yakin tak terima duit atau projek. Kalau ada sumbangan pun, disalurkan untuk rakyat, untuk kepentingan negeri. Manakala kriteria pemilihan oleh Nik Aziz, bukan bersandar kepada sumbangan itu semata-mata, tetapi mengikut setakat mana manfaatnya projek + sumbangan kepada agama, rakyat dan negeri. Nik Aziz mungkin solat sunat istikharah setiap kali sebelum membuat keputusan penting.

Dalam UMNO hari ini, orang yang tidak terlibat dengan rasuah beli undi ialah orang yang mendapat jawatan secara lantikan atau yang menang tanpa bertanding macam Najib dan Tengku Adnan. Kalau tidak, jangan harap. Najib tu pun, sebelum menang tanpa bertanding, adakah tak main politik wang ?

Tuesday, March 10, 2009

Demonstrasi jalanan yang aman

Demonstrasi jalanan yang aman.

Sambutan maulidur rasul semalam sebenarnya adalah satu contoh bagaimana demonstrasi jalanan boleh dilakukan secara aman. Orang ramai berarak sambil mengangkat sepanduk. Tiada kekacauan, tiada rusuhan. Perempuan dan kanak-kanak juga turut serta. Apa yang penting ialah kerjasama semua pihak. Tiada provokasi daripada pihak yang mengawal mahupun yang dikawal.

Tapi bab lelaki dan perempuan bercampur gaul dalam kesesakan demonstrasi ni yang saya paling tak suka. Zaman rasulullah dulu, perempuan pun keluar ke medan perang juga, tapi mereka dalam kelompok mereka, bukan macam rojak.

Isu PPSMI : UMNO mahu tunjukkan peranannya

Isu PPSMI : UMNO mahu tunjukkan peranannya

Isu PPSMI akan dibahaskan dalam perhimpunan agung UMNO hujung Mac ini. Sebenarnya, kerajaan memang mahu meminda perlaksanaan PPSMI ini, cuma menunggu waktu yang sesuai. Asakan demi asakan yang semakin hebat diterima kebelakangan ini tidak menyenangkan UMNO. Ini kerana setakat hari ini, UMNO hampir tiada peranan langsung dalam memperjuangkan bahasa Melayu terutama dalam isu PPSMI ini. Jadi UMNO mahu tunjukkan kepada rakyat, bahawa perjuangan dan suara parti itulah sebenarnya suara keramat yang membawa kepada pindaan atau perubahan perlaksanaan PPSMI.

Ianya samalah seperti perjuangan kemerdekaan suatu ketika dahulu. Berbagai pihak sudah pun kedepan memperjuangkan kemerdekaan negara. Semuanya gagal atau digagalkan. Hanya melalui UMNO sahaja, akhirnya perjuangan itu berhasil. Ia berjaya walaupun mengikut acuan penjajah.

Adalah amat mustahil untuk kerajaan membuat sesuatu perubahan terhadap PPSMI tanpa UMNO memainkan peranannya. Walaupun UMNO Johor sudah lama mahu PPSMI diubah, tetapi suara UMNO Johor tenggelam. UMNO Johor hari ini bukan UMNO Johor 30 hingga 50 tahun dulu. Dan lebih memalukan lagi, ia ditenggelamkan oleh Menteri Pelajaran dari UMNO Johor sendiri.

Menteri Pelajaran bertanya, kenapa baru sekarang GMP bangkit dalam isu PPSMI ? Kenapa tidak 6 tahun dulu ? Ya. Kenapa UMNO sendiri tidak pernah bahaskan isu PPSMI secara lantang sejak dulu ? Kenapa Perhimpunan UMNO tahun 2009, baru nak dibahaskan ? Kenapa suara UMNO Johor sejak 6 tahun dulu ditenggelamkan ?

Dalam pada itu masih ramai yang tak faham-faham isu PPSMI. Mereka masih menganggap penentang PPSMI sebagai tidak nampak kepada pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Mereka masih tertanya-tanya apa isunya ? Apa salah anak-anak pandai bahasa Inggeris ? Takut anak tak pandai cakap melayu kah ? Tun Mahathir belajar bahasa Inggeris, tapi masih cakap bahasa Melayu.

Sudah berbagai rencana, artikel, penerangan malah buku dihasilkan menerangkan isu PPSMI, Kenapa ia dibantah. Buta dan pekakkah mereka ini ? Atau memang jenis tak membaca ?

Friday, March 06, 2009

Politik dan khianat

Adakah parti patut dipersalahkan jika wakil yang dipilihnya belot ?
Adakah rakyat patut dipersalahkan jika wakil yang dipilih khianat ?
Adakah negara patut dipersalahkan jika menteri yang dilantik menyalahgunakan kuasa ?
Adakah raja patut dipersalahkan jika MB yang diperkenannya salah mentadbir negeri ?

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al Baqarah :45)

Imuniti raja-raja mahu dikembalikan ?

Saya tidak setuju sama sekali imuniti ini dikembalikan. Mahathir telah bertindak betul menghapuskan imuniti raja-raja.

Keputusan menghapuskan imuniti raja-raja bukan sahaja telah disokong UMNO malah PAS pada ketika itu. Ia perlu dipertahankan. Tak payah pakat-pakat nak jilat semula kahak lama. Kuman itu sudah dikeluarkan.

Jangan berlebih-lebihan memuji dan memuja raja-raja. Berjuta-juta wang rakyat dibelanjakan mereka setiap tahun, tanpa pernah diketahui rakyat pun. Cukup-cukuplah kuasa yang masih ada pada mereka.

Wednesday, March 04, 2009

Raja-raja Melayu

Hari ini, kita mungkin masih ber"bangga" dengan Raja-raja Melayu. Kerana raja-raja kita hari ini masih Melayu. Selepas 20, 30 atau 40 tahun lagi, apakah kita masih bangga dengan Raja-raja ? Kerana adakah raja-raja ini masih Melayu tulin atau nama sahaja Melayu tetapi berjiwa barat ? Ruhnya dari barat.

Keturunan istana seperti juga orang kebanyakan, bercinta dengan sesiapa tanpa mengira bangsa. Kemudian mereka berkahwin dengan bukan Melayu. Lalu lahirlah Raja Muda yang bukan Melayu sepenuhnya. Apatah lagi cara hidupnya juga tidak Melayu. Komunikasinya juga bukan lagi Melayu. Persekitarannya tidak lagi Melayu. Tiada lah lagi ruh kemelayuan dalam dirinya. Mereka tidak lagi bergaul dengan masyarakat Melayu, dalam budaya Melayu.

Jadi pada masa itu, apakah kita masih akan menaruh harapan kepada mereka sebagai pembela adat dan budaya bangsa Melayu ? Pembela bahasa Melayu ? Muka pun dah tak ada muka Melayu. Cakap Melayu pun lebih teruk daripada orang putih. Nah. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku.

Dia ketua agama negeri. Buatnya dia tukar agama ? Macam mana ? Siapa nak bantah. Setakat bagi nasihat je la. Ikut tak ikut, itu keputusan dia sendiri. Pemuda UMNO pantang derhaka. Mufti kata tak boleh derhaka pada raja. Tak boleh berarak membantah raja. Lalu pemimpin melayu kita setia merafak sembah. Yang penting dapat anugerah Datuk.

Fikir-fikirlah wahai Melayu.

Kenapa mereka murtad

Jumaat lepas, saya solat Jumaat di masjid Ampang. Selalunya, khutbah jumaat di Selangor lebih seronok didengar berbanding khutbah di Wilayah Persekutuan seperti di masjid Jalan Duta. Isu-isu di masjid Jalan Duta selalunya terlalu duniawi. Macam dengar ceramah pendidikan moral je. Cuma bezanya ialah khutbah ada cukup rukunnya. Namun ia tiada kaitan dengan parti yang memerintah negeri Selangor berbanding persekutuan kerana keadaan ini sudah berlaku sejak sebelum 2008 lagi iaitu ketika Khir Toyo jadi MB. Cuma sesekali bila kerajaan terlalu mengawal isi kandungan khutbah, isinya menjadi hambar.

Khutbah di Selangor biasanya lebih menyentuh hati, mengajak diri bermuhasabah. Tak mengantuk mendengarnya apatah lagi jika khatibnya berjaya menyampaikan dengan berkesan.

Isu yang dibawa minggu lepas ialah "Kenapa mereka murtad ?". Saya lihat, khatib tidak membaca teks sebaliknya berkhutbah. Hanya sesekali dia seperti membaca teks, mungkin nota atau rujukan supaya khutbahnya tidak meleret-leret, serta nas yang dibacakan betul dan tepat.

Semalam, saya cuba mencari teks khutbah di portal JAIS. Tiada tajuk isu murtad di sana. Namun, apa yang penting, ia bukan menceritakan tentang hukuman untuk orang yang murtad. Ia menyentuh tentang sejauh mana kita suburkan akidah Islam dalam diri dan keluarga kita. Tidak cukup dengan hanya menghantar anak ke kelas fardhu ain sahaja, ajar anak mengaji, solat dan sebagainya tetapi soal tauhid tidak pernah dibincangkan dalam keluarga. Siapa idola anak-anak kita. Sejauh mana kita insaf bahawa Islam adalah agama kita, panduan kita, tujuan kita. Kita mahu mati dalam Islam. Syurga adalah cita-cita kita. Quran adalah petunjuk kita. Bandingkan dengan kehidupan seharian kita, cara hidup keluarga dan masyarakat kita. Adakah kita berpuas hati ? Sudah memadaikah dengan apa yang telah kita miliki ? Atau masih terlalu jauh ? Atau semakin jauh ?

Kemudian saya teringat dengan seorang mufti di Malaysia yang pernah bangkit dalam isu murtad, ketika kecoh isu Datuk Azhar Mansor di Ipoh. Pernah sang mufti berkata, beratus malah beribu orang di Malaysia yang sudah murtad. Hal ini tidak boleh dibiarkan lagi. Sudah terlalu lama parti itu memerintah dan keadaan semakin buruk. Parti itu sudah tidak boleh diharapkan lagi dalam isu ini. Anehnya, kebelakangan ini, mufti itu seperti mahu parti yang sudah tidak boleh diharap itu kembali berkuasa. Demi untuk Islam ?

Monday, March 02, 2009

Bahasa Melayu melambatkan kita untuk maju

Dalam isu bahasa melayu, apakah langkah atau tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak (kerajaan dan rakyat) untuk memartabatkan bahasa melayu ? Benarkah kita semua sangat sayangkan bahasa kita ? Benarkah kita bersungguh-sungguh mahu melihat bahasa kita dimartabatkan ?

Saya pernah ajukan soalan ini dalam satu portal forum di internet. Dan akibatnya, saya dituduh skema. Dalam erti kata lain, anak-anak muda tidak berminat untuk menggunakan bahasa melayu dengan sebaik mungkin. Sebenarnya, bahasa bangsa lain pun tercemar juga dan selalunya, golongan remaja dan belia lah yang suka mengubah suai bahasa dengan perkataan-perkataan baru. Lihat filem atau drama Indonesia atau drama Thai di astro. Mereka juga kerap menggunakan bahasa rojak.

Ada yang mahu papan tanda-papan tanda mengutamakan bahasa melayu dahulu. Kalau kita ke kompleks beli belah, kebanyakan papan tanda hari ini menggunakan bahasa Inggeris. Kalau dwi bahasa tu tak apalah juga, masalahnya hanya bahasa Inggeris sahaja. Adakah ini bertujuan untuk menjadikan rakyat kita lebih menguasai bahasa Inggeris selain untuk pelancong ? Disamping itu, kita juga gemar menggunakan nama-nama asing untuk tempat dan bangunan.

Martabat bahasa melayu bukan setakat di papan tanda sahaja tetapi yang lebih penting ialah banyaknya bahan penerbitan, cetakan dan terjemahan dalam bahasa melayu. Satu ketika dahulu, ramai ulama melayu menterjemahkan kitab-kitab agama ke bahasa melayu (jawi). Begitu cara mereka mahu menjadikan orang Melayu celik ilmu agama sekaligus memartabatkan bahasa melayu.

Andai satu hari nanti, generasi akan datang di Malaysia semakin pandai berbahasa Inggeris, adakah mereka masih berminat untuk membeli akhbar berbahasa melayu, majalah berbahasa melayu dan buku-buku berbahasa melayu ? Atau mungkinkah mereka berasa malu untuk membelinya seperti kita malu untuk membeli malah membawa akhbar jawi Utusan Melayu beberapa tahun lepas ?

Maaf, saya bukan tidak mahu melihat anak-anak kita akan datang mampu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi jika kita lihat, ulama-ulama yang mahir berbahasa arab masih berbangga dengan bahasa melayunya berbanding yang mahir bahasa Inggeris, sudah mulai malu untuk menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kenapa jadi begitu ya ?

Dalam pada itu, masih ada yang beranggapan golongan yang memperjuangkan bahasa malayu dalam isu PPSMI sebagai menyekat usaha memajukan anak bangsa. Dalam erti kata lain, kita tidak akan maju jika terus belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu atau Bahasa melayu tidak mampu menjadikan kita maju.

Sunday, March 01, 2009

Kluk Klek

Selepas melabelkan PAS sebagai kluk klek dalam PRK Kuala Terengganu Januari lalu, kredibiliti kerajaan BN semakin terhakis apabila mereka sendiri mengubah keputusan yang sudah dibuat dalam tempoh yang singkat. Ia menunjukkan kerajaan tidak berhati-hati dalam membuat keputusan, terburu-buru dan tidak berfikir panjang.

Sehari selepas mengumumkan kenaikan kadar tol, kerajaan menangguhkannya pula. Beberapa minggu selepas akhbar mengumumkan LCCT Labu dibatalkan, Menteri Pengangkutan berkata, keputusan belum muktamad pula. Beberapa hari kemudian, Timbalan PM mengesahkan pula projek tersebut sah batal.

Selepas beberapa minggu mengumumkan kemungkinan harga gula akan naik hingga berlaku kekurangan gula di sesetengah tempat, kerajaan mengumumkan harga gula tidak akan naik dalam masa terdekat (mungkin sekurang-kurangnya untuk tahun ini.)

Sebelum ini, kerajaan begitu yakin bahawa ekonomi kita tidak akan terjejas dengan krisis ekonomi global. Kenyataan keluar dari mulut di Kementerian Kewangan sendiri. Kini semua sudah tahu, bagaimana kita semua terkesan dengan krisis yang melanda hingga ada pakej rangsangan berbilion ringgit. Kalau kesannya sedikit sekalipun, masakan pekejnya berbilion ringgit ?

Terbaru, selepas mengeluarkan kebenaran kepada agama lain untuk menggunakan perkataan Allah (dengan syarat tertentu), kini kerajaan menarik balik pula kebenaran tersebut.

Tidakkah semua ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mampu berfikir jauh ? Semua dibuat secara terburu-buru, tanpa kajian mendalam. Ia sebenarnya memalukan negara. Apakah kita memiliki sekumpulan menteri yang pendek akal ? Sekumpulan menteri yang hanya tahu mengangguk dalam mesyuarat kabinet. Atau pegawai yang melaksanakan arahan menteri tersebut yang hanya tahu menurut perintah menteri. Semua laporan dan kajian hanya untuk menyedapkan telinga menteri. Apa yang menteri mahu dengar itu yang kita beri.

Keadaan ini samalah seperti media Utusan Malaysia dan TV3 yang hanya melaporkan apa yang mahu didengar oleh orang UMNO, bukan melaporkan hal sebenar secara adil. Lalu kita semua tertipu oleh tipu daya yang kita sendiri cipta. Status kerajaan Perak kini juga masih tergantung. Ia bukan hal kecil. Sebuah negeri menjadi taruhan. Seluruh negara turut menanggung akibatnya kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia. Berapa lama isu ini akan selesai, tiada siapa yang dapat menjawab. Tergamak kerajaan membiarkan keadaan ini demi kepentingan politik kepartian walhal kerajaan tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ini dengan lebih cepat dan melegakan rakyat dan para pelabur ?

Thursday, February 26, 2009

Puisi oleh Datuk A. Samad Said

Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …

Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.

Monday, February 23, 2009

Sedekah

Semalam, isteri saya menceritakan, maknya memberitahu, buah betik yang ditanam dibelakang rumah kami dah hilang. Mungkin dimakan musang agaknya. Saya pernah ternampak musang di kawasan kampung ini pada waktu malam. Di kampung (Terengganu), musang bukan setakat makan buah dan ayam, malah kucing yang belum cukup dewasa pun dimakannya.

Dalam kuliyah maghrib sehari sebelum itu, ustaz ada membacakan sebuah hadis yang maksudnya, "Apa jua tanaman yang kita usahakan, kemudian ia sama ada menjadi makanan manusia atau haiwan atau sesuatu yang lain, maka ia akan menjadi sedekah hingga hari kiamat." Hadis sahih riwayat Muslim.

Jadi saya sebutkan kepada isteri saya, tak apa lah, sedekah saja lah, sambil saya sebutkan pasal hadis tersebut. Ustaz yang mengajar tu pun ada sebut, ia juga berlaku kepada dirinya sendiri. Pokok pisang yang ditanamnya, habis dipotong untuk diambil daunnya tanpa kebenaran. Mula-mula, merungut juga ustaz tu. Tapi kata isterinya, sedekah saja lah. Apa yang penting hati kena ikhlas dan redha.

Namun, sedekah bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha menghalang masalah tersebut daripada berulang. Bayangkan petani padi yang diserang masalah tikus atau siput atau ulat yang merosakkan bendangnya. Takkan boleh kata sedekah saja. Habislah hasil sebendang. Habis tu anak isteri nak makan apa ? Cuma kalau ia berlaku atas kecuaian kita atau setelah puas kita berusaha dan bertawakal, maka barulah kita kena terima dan redha dengan ketentuan Allah. Jangan pula kita menyumpah manusia atau haiwan yang mencuri hasil tanaman kita itu. Ingat, pahala sedekah itu kekal hingga hari kiamat.

Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. - Al Baqarah:263.

Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. - Al Baqarah:264.

... dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki - Saba':39

Jadi, dalam kes Ibrahim Ali yang kini menjadi ahli parlimen bebas, biar saya katakan, sedekah saja lah. Lagi pun ia adalah atas kecuaian PAS sendiri. Amacam ? Boleh ? he..he..he.. Besar ganjarannya tu.

Wednesday, February 18, 2009

Seronok dedahkan rahsia orang

Semua blogger politik gatal nak menyentuh sedikit isu gambar YB Elizabeth. Saya pun pada mulanya nak menulis juga. Tapi terpaksa tangguh kerana hal lain. Ye lah, bila baca kepada laporan awal, memang sah dia buat perkara tak bermoral. Kalau orang Islam, senang nak putuskan tindakan. Tapi kalau bukan Islam, nak rujuk kat mana ?

Tetapi, selepas 2 hari, nampak seolah-olah, bukan YB Elizabeth terang-terang buat salah seperti laporan awal. Macam gitu, tak jadilah saya nak komen panjang. Kita yang tak tengok gambar sebenar, kemudian nak buat rumusan. Berilah kepada yang bertanggung jawab sahaja menilainya, sama ada polis, j/k disiplin PKR mahupun j/k Pakatan.

Sebenarnya, siapa yang lebih teguh dalam menyimpan rahsia ? Lelaki atau perempuan. Kalau bab gambar-gambar lucah ni, lelakilah paling ke depan menyebarkan keaiban orang lain. Dalam dunia perolehan pula, saya dapati lelaki lebih banyak membocorkan maklumat sebut harga dan tender. Belanja minum kopi atau main golf je, sponsor itu ini serba sikit, boleh dapat info. Perempuan selalunya susah sikit, walaupun tak dinafikan ada juga.

Bila berlaku kes buang anak, bunuh anak dan sebagainya, hanya perempuan akan disalahkan. Hanya bukti depan mata sahaja yang diambil tindakan. Jalan mudah lah katakan. Bukan saya nak membela nasib perempuan zina itu, tapi sudahlah dia malu kepada masyarakat, tertekan sampai setengah gila, berdepan pula dengan hukuman penjara; sedang lelaki bangsat tu mungkin sedang tersengih atau geli hati melihat perempuan yang dirosakkannya menghadapi semua itu. Dia tak rasa bersalah ke melihat perempuan itu ? melihat anaknya hancur dalam longkang atau digonggong anjing liar ? Betul ke Islam menolak sepenuhnya bukti melalui DNA ? Apa pula tindakan proaktif kita untuk membendung dan menghentikan hal ini daripada berleluasa ?

Lihat berita ini :
-------------------------------------------
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah sengaja melakukan pembunuhan bayi yang baru dilahirkannya, dua tahun lalu.

Unah Suma, 28, didakwa melakukan pembunuhan itu dalam keadaan beliau belum pulih daripada kesan melahirkan bayinya dengan pertimbangan fikirannya yang terganggu.

Tertuduh yang dirogol anak saudara majikannya yang mabuk sehingga melahirkan bayi itu didakwa melakukan kesalahan itu di bilik rumah majikannya di No 30, Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, antara jam 1 pagi dan jam 2.30 pagi, 3 Jun 2007.
--------------------------------------------

Kita tak tahu apa pula hukuman untuk perogol itu ? Patut bunuh je. Paling minimapun, dia patut dihukum di khalayak ramai.

Thursday, February 12, 2009

Nasi Dagang Terengganu

Saya suka makan nasi dagang terutama nasi dagang Terengganu. Di KL, ada satu tempat yang nasi dagangnya memang sedap. Pengusahanya adalah orang Terengganu.

Hampir setiap minggu atau setidak-tidaknya, 2 minggu sekali, saya bawa keluarga saya bersarapan nasi dagang di AU5 Hulu Klang. Waktu perniagaannya saya tak pasti. Selain nasi dagang, juga ada disediakan roti bom dan nasi lemak. Ia terletak di sebelah stesen minyak esso dan petronas.

Anda boleh download placemark nasi dagang tu di sini. Gunakan googleearth untuk tahu di mana lokasinya.

Friday, February 06, 2009

Serahkan kepada Allah

Serahkan kepada rakyat
Biar rakyat tentukan pilihan
Biar rakyat buat keputusan

Serahkan kepada Tuanku
Merafak sembah menjunjung titah

Tetapi...
Tiada keadilan sebenar pada diri manusia
Keadilan hanya daripada Allah
Serahkan kepada Allah


Tetapi...
Mereka merampas secara tidak bermoral
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Status adun Bebas masih menjadi pertikaian
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Mereka sebenarnya belum mandapat majoriti
Serahkan kepada Allah

Jika ia hak kita
Pasti Alah akan kembalikan kepada kita
Bagaimana caranya
Bila masanya
Serahkan kepada Allah

Usah kecewa lagi
Serahkan kepada Allah

Takkan berserah sahaja tanpa berusaha ?
Bukankah selama ini kita sentiasa berusaha ?
Teruskan usaha dan
Serahkan kepada Allah

Thursday, February 05, 2009

Tumbangnya kerajaan PR Perak

Bersabarlah. Tak perlu sedih-sedih. Kita dah biasa dengan kekalahan demi kekalahan.

Tak usahlah melawan lagi. Terimalah keputusan Sultan. Percayalah, dengan ketentuan Allah.

Perangai orang PAS pun dah terikut-ikut dengan orang PKR dan DAP. Macam tak boleh terima kenyataan. Kawallah perasaan tu.

Ambil wudhu. Sujud kepada Allah. Dia Maha Mengetahui. Dia Maha Berkuasa.

Wednesday, February 04, 2009

Rasa "Yakin Tak Boleh" BN pengaruhi keputusan SPR

Selalunya, bila ada pilihanraya kecil, pihak yang akan bertanding akan bersorak-sorai. Lebih besar peluang untuk menang, lebih riuh lah soraknya. Apatah lagi jika kerusi yang kosong, asalnya adalah milik lawan.

Tetapi kalah menang pertandingan adalah ketentuan Allah. Walau selicik mana perancangan manusia, mana mungkin dapat mengatasi perancangan Allah. Namun keyakinan hati mempengaruhi rasa teruja diri.

Bila speaker Perak mengumumkan dua kerusi DUN yang asalnya milik PR kosong, UMNO menyambut dingin. Kemenangan PR bukan besar mana pun. Tetapi UMNO dan BN jelas tidak berminat atau tidak bersedia untuk PRK. Logiknya,inilah peluang untuk BN mengurangkan majoriti kerajaan PR. Dengan kata lain, UMNO dan BN memiliki semangat "Yakin Tak Boleh". Adakah PR memiliki semangat "Yakin Boleh" ?

PR mempunyai pilihan untuk membubarkan DUN Perak seluruhnya, tetapi saya bimbang kalau keputusannya 2 kali 5 sahaja iaitu majoriti 1 kerusi. Sudahlah belanjanya besar, banyak masa terbuang, hasilnya tak seberapa. Kalau DUN Perak dibubarkan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mungkin terpaksa ditangguhkan lagi dan ini tentu mengecewakan Najib. Tetapi kerajaan negeri tidak wajar membubarkan DUN semata-mata kerana mahu "mengacau" Najib.

Apa yang lebih membimbangkan ialah BN menggunakan taktik politik Darurat. Darurat kerajaan penjajah pada 1948 melumpuhkan gerakan yang digelar "kiri" iaitu yang tidak pro pemerintah (penjajah). Darurat Kelantan 1977 melumpuhkan kerajaan negeri dan PAS Kelantan. Sekali lagi ia menguntungkan kerajaan persekutuan. Tidak mustahil, provokasi dibuat untuk mewujudkan suasana tidak aman di Perak. Minta dijauhkan Allah. Ia boleh memberi implikasi yang besar, bukan hanya di Perak malah ke seluruh negara. In bukan tahun 1977 lagi. Ini zaman ledakan maklumat.

..............................

Tunggu dan lihat sajalah.

Ada yang kata Perak kini ada 3 Adun Bebas. Tapi yang 2 orang semalam tu betul ke masih sah Adun ?

Adun Bota dilaporkan melompat semula ke BN.

BN boleh mempersembahkan surat akuan daripada 3 Adun bebas yang membuat perakuan menyokong kerajaan baru BN di Perak tetapi ketiga-tiga Adun ini sebelum ini juga sudah membuat surat akuan kepada Sultan menyokong kerajaan PR dan kini mereka ingkar. Boleh kah surat akuan mereka ini dipercayai ?

Jika BN dapat merampas kuasa petang ini, adakah rakyat Perak akan gembira ? Tidakkah kerajaan BN juga terdedah kepada suasana tidak stabil ?

Bagaimana pula jika mahkamah selepas ini mengesahkan 2 Adun Bebas itu bukan Adun lagi. Jika pilihanraya kecil memihak kepada PR, akan bertukar kerajaan semulakah negeri Perak.

Kalau begitu rumitnya, eloklah pilihanraya negeri dibuat di negeri Perak. Biar rakyat putuskan semula. Pilih calon yang betul-betul berkualiti dan setia.

Sunday, February 01, 2009

Lompat parti

Saya tidak rasa gembira bila ada ADUN UMNO melompat ke PKR. Ini kerana saya tidak setuju dengan amalan lompat parti, terutama bila ia melibatkan orang yang sudah diamanahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang sah untuk menjadi ADUN.

Tetapi memang sukar kalau jadi ADUN, tiba-tiba tidak mendapat kerjasama penuh daripada parti yang diwakili sendiri. Peruntukan daripada parti sendiri disekat. Rakan-rakan sendiri mengkhianati.

Apa yang berlaku di Perak hari ini sangat menyusahkan kerajaan negeri dan rakyat. Seorang adun UMNO masuk PKR. Dua orang adun PKR tak pasti status sebenarnya. Ada laporan mengatakan sudah letak jawatan. Tetapi ada yang kata ia bukan daripada tuan punya badan sendiri. Kesahihan surat letak jawatan itu diragui.

Seorang ADUN DAP juga dilaporkan hilang. Dan ia berlaku hanya beberapa hari sebelum sambutan ulangtahun ke 25 pemerintahan Sultan Azlan Shah. Sultan tentu tidak gembira.

Ketika kerajaan negeri hendak dibentuk tahun lalu, semua sudah tandatangan kepada Sultan, pengakuan setuju dengan MB dan kerajaan yang akan dibentuk. Kini tiada janji yang tak boleh diingkari. Itulah politik.

Mungkinkah ini semua taktik/tekanan supaya MB Perak (dengan perkenan Sultan) membubarkan DUN Perak ? Saya lihat, taktik Anwar Ibrahim dalam isu 16 Semptember 2008 juga sebagai taktik untuk memberi tekanan kepada PM supaya membubarkan Parlimen. Tetapi PM tidak termakan dengan gertakan Anwar. Dan akhirnya tiada apa-apa berlaku.

Saya harap semua akan berakhir dengan cepat, tenang dan selamat. Saya tidak fikir kerajaan negeri akan bertukar tangan sebelum sambutan Jubli Perak Sultan. Kedua-dua pihak tidak sepatutnya mencemarkan sambutan ini.

Saturday, January 31, 2009

PPSMI - wajarkah diteruskan (2) ?

Saya juga tidak menyokong demonstrasi, kecuali kalau agama saya dihina dan dipijak-pijak.

Dalam isu PPSMI, saya setuju bahawa pelaksanaannya dahulu dibuat secara tergesa-gesa. Namun setelah masuk tahun ke 7 perlaksanaannya, adalah agak sukar untuk menarik balik kerana ia dikira sebagai langkah undur ke belakang. Ia melibatkan kos yang besar, kesan yang negatif kepada anak-anak. Kementerian Pelajaran tidak sepatutnya terlalu kerap menukar silibus dan kaedah pengajaran kerana ia menyukarkan ibu bapa memantau pelajaran anak-anak selain mengelirukan anak-anak itu sendiri. Apatah lagi kesan PPSMI sudah mula menampakkan sedikit kemajuan.

Amat sayang sekali, suatu hari nanti, bahasa melayu tidak lagi berkembang dengan istilah-istilah baru sains. Bahasa melayu akan menjadi bahasa lingua franca, bahasa perbualan sahaja, bukan lagi bahasa ilmu. Itupun dirosakkan lagi dengan bahasa rojak. Tiada guna lagi penterjemahan dibuat untuk buku-buku ilmiah sains dan matematik kerana tiada siapa mahu menggunakannya. Majalah, jurnal, makalah sains dalam bahasa melayu akan terhapus.

Saya tetap berpendapat, kaedah pengajaran Bahasa Inggeris perlu diperbetulkan dan bukan melalui pengajaran Sains dan Matematik. Malah tahap penguasaan Bahasa Melayu dikalangan anak-anak hari ini juga lemah dan perlu diperbaiki semula. Formula perlu dicari untuk mengatasi masalah terutama di kalangan penduduk luar bandar dan keluarga miskin dalam meningkatkan penguasaan BI mereka.

Ketika saya sekolah menengah dulu, ada beberapa orang anak arab (Iraq) di sekolah saya. Bapanya adalah guru bahasa arab di sekolah tersebut. Yang pasti, daripada segi qawa'id (tatabahasa / grammar), pelajar kita jauh lebih baik daripada mereka. Ini diakui sendiri oleh semua ustaz-ustaz yang mengajar bahasa arab. Tetapi kalau suruh bercakap, sudah tentu pelajar kita akan tergagap-gagap malah mungkin sukar nak memahami perbualan dalam bahasa arab. Ketika itu, kami baru 2-3 tahun terdedah dengan bahasa arab.

Belajar bahasa arab nyata lebih cepat dikuasai berbanding bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris sudah dipelajari sejak darjah 1 lagi. Ini kerana kami ada 3 guru yang mengajar bahasa arab berbanding hanya 1 guru bahasa inggeris. Untuk bahasa arab, seorang guru mengajar kefahaman (muthalaah), seorang mengajar tatabahasa (qawa'id) dan seorang lagi mengajar perbualan (muhadathah). Ditambah lagi pelajaran bahasa arab secara tidak langsung daripada subjek tafsir al quran dan tafsir hadith. Ketika itu, subjek agama islam diajar dalam bahasa melayu tetapi oleh kerana al quran dan hadith dalam bahasa arab, kami perlu memahami setiap kalimah sebelum memahami keseluruhan maksud ayat.

Memang, cara terbaik untuk menguasai ilmu al quran dan pengajian Islam ialah dengan menguasai bahasa arab. Begitu juga, cara terbaik untuk menguasai ilmu sains dan teknologi ialah dengan menguasai bahasa Inggeris (kecuali anda belajar di negara seperti Rusia atau Jepun).

.................................................

Saya gembira melihat anak saya sudah mula boleh bertutur dalam bahasa inggeris sejak belajar di tadika (bukan tadika kemas, bukan tadika Pasti). Ayah saya pun dulu kalau boleh nak hantar saya ke sekolah jenis kebangsaan inggeris, malangnya sekolah jenis itu telah dihapuskan pada zaman saya.

.................................................

TUJUH pilihan yang dicadangkan selepas persidangan meja bulat PPSMI :-

1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.

2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.

3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.

4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.

5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.

6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan

7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Daripada tujuh pilihan yang ada, saya pilih pilihan ke 6.

Tetapi saya lebih suka kalau subjek sejarah, tamadun dan pendidikan moral (tatarakyat ?) diajar dalam bahasa inggeris dan bukan sains dan matematik. Ini kerana pelajaran tersebut lebih banyak vocabulary nya dan dalam bentuk penceritaan dan ada dialognya. Dulu sejarah diajar diperingkat sekolah rendah tetapi kenapa sekarang tiada lagi ? Apapun, beban pelajar perlu juga diambil kira.

Kini, program ko-kurikulum mula diberi perhatian. Ia wajar dibuat dalam bahasa Inggeris. Pergerakan pengakap, bulan sabit, aktiviti sukan, pementasan dan sebagainya, bukankah elok menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa komunikasi ?

Friday, January 30, 2009

Demonstrasi PPSMI

Bersempena dengan program khas Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang akan berlangsung pada hari Sabtu 31 Januari 2009, pada jam 3.00 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semua rakyat digesa hadir menyokong para tokoh bahasa dan pemimpin Pakatan Rakyat agar menyampaikan bantahan kepada kerajaan BN.

Antara yang dijangka hadir adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Shahrin Md Zain, Prof. Abdullah Hassan, Ainon Mohd., Hasni Abas, Suhaizan Kayat, parti PAS dengan Dr. Nasharuddin Md. Isa, Mohd. Sabu bersama Pemuda PAS diketuai Salehuddin Ayub, manakala PKR dengan peneraju utama Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua AMK Pusat) bersama jentera padu AMK khususnya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor dan disokong oleh ahli MPT PKR Tian Chua.

................................................

Mengikut pemerhatian saya, antara yang membantah PPSMI dengan yang menyokong PPSMI, lebih kurang sama banyak. Kalau lebih ramai yang membantahpun, mungkin beza nsibahnya tidak besar.

Kesimpulannya, ramai rakyat sedar pentingnya Bahasa Kebangsaan dan penguasaan Bahasa Inggeris. Kebanyakan yang menyokong PPSMI adalah kerana mahu penguasaan BI dipertingkatkan. Manakala yang membantah pula tidak menolak pentingnya penguasaan BI cuma kaedah dan pendekatannya yang tidak disetujui.

Jadi, apakah kaedah terbaik untuk meningkatkan penguasaan BI ? Apa kata kalau semua pihak ini berbincang pula bagaimanakah kaedah yang paling baik untuk meningkatkan penguasaan BI terutama di kalangan orang Melayu, di bandar dan luar bandar.

................................................
Ini pula saya kutip daripada komen seseorang dalam dalam blog tukartiub.

Contoh dalam kelas IT dalam BM- Ikut cikgu buat , ambil barang keras ini dan cucuk dalam lobang port USB, ini ialah alat cucuk dan main. Barang lembut ini sungguh mudah main dan boleh tambah satu batang gembira.....siapa yang ngoook sekarang?
* (use this hardware and plug direct to the USB port.The software is user friendly and a joystick may be added)

Terjemahan di atas mungkin dibuat secara seloroh tetapi ia menunjukkan kelemahan kita mencari istilah yang sesuai. Manual linux dalam versi Indonesia mudah ditemui di internet tetapi manual dalam bahasa Melayu ? Manual barangan elektrik yang kita beli pun biasa dilengkapi dengan manual bahasa Indonesia tetapi hanya sedikit yang dalam bahasa Melayu. Walaupun kita selalu mengaku kita lebih maju daripada Indonesia, tetapi 10 universiti terbaik di Asia Tenggara tidak termasuk daripada negara kita. Rujuk sini.

Lagipun, kebanyakan kita lebih suka beli majalah hiburan, Tabloid sensasi, dvd cetak rompak di pasar malam berbanding beli buku istilah yang dikeluarkan oleh DBP sebagai rujukan. Kalau beli buku tu rasa macam membazir kan ?

Wednesday, January 28, 2009

Fitnah kepada seorang Imam

Ramlang Porigi, nama yang tersohor dalam isu Sumpah Keramat Saiful Bukhari di Masjid Wilayah telah dipecat daripada jawatannya. Dia kini tiada kerja.

Begitulah kejamnya orang politik. Selepas memaksa imam tersebut menjadi saksi, menutup peluang kepada nya untuk membela diri memberi penjelasan melalui media, kini dia dibuang kerja.

Dia cuba berpaut pada dahan yang lagi satu, naik ke pentas ceramah dan beri penjelasan. Dia yang ketika itu hanya nampak itulah sahaja peluang terbaik untuk membersihkan namanya yang menjadi bahan fitnah. Tapi fitnah lain pula menimpanya. Kesian dia. Seorang imam muda dengan begitu mudah diperkotak-katikkan oleh orang-orang politik.

Siapakah yang akan datang membela nasibnya ? Puak yang lagi satukah ? Atau dia akan terbiar begitu tanpa pembelaan, tanpa kerja ? Kerajaan Selangor tak boleh bantukah beri pekerjaan yang sesuai untuknya. Itulah harapan saya.

Thursday, January 22, 2009

UMNO/BN mengajar ahlinya bersifat sombong

Salam.

Dalam PRK K.Trg baru-baru ini, UMNO dan BN bermati-matian cuba menafikan calonnya sombong. Beribu-ribu ringgit terpaksa digunakan untuk memulihkan imej sombong yang melekat padanya.

Anehnya yang mulakan isu calon sombong ialah orang UMNO/BN sendiri. Ini diakui oleh jentera UMNO sendiri.

Semalam, Zahid Hamidi, seorang menteri di JPM yang menjaga hal ehwal agama mengarahkan kakitangan persekutuan di Perak supaya jangan menghadiri mesyuarat dengan kerajaan negeri. Sombong tak ? Tidakkah itu angkuh namanya ?

Langkah kerajaan persekutuan menubuhkan JKKP itu sendiri pun sudah jelas sombong dan angkuh. Mereka enggan mengiktiraf JKKK kerajaan negeri walhal Kerajaan negeri hanya mengikut kaedah pentadbiran asal yang sudah sekian lama wujud di negeri masing-masing. Cuma ada sedikit perubahan dari segi lantikan misalnya namun daripada segi bidang kuasa JKKK dan penghulu tetap sama. Tapi BN dengan dipelopori UMNO bertindak angkuh menghina kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Selepas mendakwa pembangkang memecah-belahkan masyarakat, mereka bertindak memecah-belahkan dan menyusahkan masyarakat.

Anggota UMNO/BN juga diharamkan menyertai jawatankuasa atau jawatan peringkat kerajaan negeri PR. Jika tawaran diterima, bersedialah untuk diambil tindakan. Hadir jemputan pun dikira salah besar. Kalau anggota tersebut sendiri yang menolak, itu hak dia lah tetapi sampai akan dikenakan tindakan tatatertib malah akan digantung atau dipecat. Sombong tak ? Angkuh tak ?

Kalau kita lihat, pembangkang pernah diajak menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) dan mereka terima. Ada juga yang menyertai jawatankuasa kewangan atau kira-kira peringkat negeri, pun mereka terima. Tetapi bagi UMNO dan BN, tidak sama sekali.

Di parlimen pun, usul daripada pembangkang diharamkan daripada disokong atau disetujui oleh anggota BN. Ahli Parlimen JB, Shahrir Samad dan bekas ahli parlimen Teluk Kemang, S.Sothinathan pernah dikenakan tindakan kerana menyokong usul pembangkang walaupun usul itu baik, untuk kepentingan rakyat. Sombong tak ? Angkuh tak ?

Pembangkang pula tidak teragak-agak menyokong usul pihak kerajaan selagi ia membawa kepada kebaikan untuk rakyat dan negara.

Begitulah sebenarnya. UMNO dan BN lah yang mengajar anggotanya supaya sombong dan angkuh. Hanya kita sahaja yang bagus dan baik dan yang bagus dan baik mesti datang hanya daripada kita.

Wallahua'lam.

Tuesday, January 20, 2009

X-Factor lemahkan UMNO

Terima kasih kepada SUKJ yang menyiarkan komen saya tentang sumbangan Che Det dalam PRK K.Trg. SUKJ berkata, "Saya merasa amat yakin jika dapat menyatakan di sini bahawa Dr. Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab memecah belahkan orang-orang Melayu pada hari ini. Bukan Anwar Ibrahim, bukan Pak Lah atau Khairy dan bukan PAS atau PKR."

Sebenarnya Che Det memang berperanan langsung memecah belahkan orang-orang Melayu, bukan pada hari ini saja malah sejak zaman Tunku, Tun Hussein Onn, pada zamannya sendiri dan kini pada zaman Pak Lah. Pada zaman Tun Hussein Onn, Che Det berperanan menyingkirkan PAS daripada BN, bimbang beberapa tokoh dalam PAS boleh menyainginya. Pada zamannya sendiri, beberapa orang tokoh berkarisma UMNO tersingkir dan terbenam. Pada zaman Pak Lah, dia mahu singkir dan benamkan seorang lagi anak muda yang mula menunjukkan kewibawaannya iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) yang nampaknya menjadi saingan utama pula kepada anaknya Mukhriz.

Che Det memang tak boleh duduk diam selagi KJ tidak dijatuhkan. Dia tak kisah anaknya kurang menonjol, kurang wibawa, tidak licik sepertinya, yang penting legasinya perlu diteruskan. Pada hari ini, semua ulasan Che Det terhadap Pak Lah perlu dilihat sebagai ditujukan kepada KJ dan bukan Pak Lah.

Che Det sedar, Pak Lah mahu berundur sebulan dua lagi; maka apa perlu serangan diteruskan ? Najib yang mengetuai kempen di Pmtg Pauh dan K.Trg, dan akan menggantikan Pak Lah; jadi kenapa tak dibantu ? Jawabnya, sebab faktor KJ. Ditambah pula Pemuda KT mencalonkan KJ sebagai calon KP Umno dan bukan Mukhriz.

Kata Che Det, "Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang."

Saya terjemahkan begini, "Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong Khairy Jamaluddin, maka saya akan pastikan beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang."

Bagi Che Det, hanya dia dan keturunannya sahaja yang bersih, putih, jernih. Bukankah dia yang mulakan kempen bersih, cekap, amanah ? Kenapa Pak Lah yang dapat title "Mr. Clean" ? Bila populariti Pak Lah mencanak pada PRU 2004, Che Det mula rasa tak selesa. Dia mula memainkan peranan mencari salah Pak Lah. Bila nama KJ naik sebagai naib ketua pemuda tanpa bertanding, dia semakin sesak nafas dan sakit jantung. Akhirnya dia berjaya dalam PRU 12, dalam PRK P. Pauh dan PRK K.Trg.

Tulisan saya bukanlah tanda sokongan saya kepada KJ, tetapi anda sendiri boleh menilai antara KJ dan Mukhriz, bandingkan secara jujur.

Berikut tulisan saya yang tersiar dalam blog SUKJ.

................................
Sebenarnya Dr. Mahathir turut berperanan mengalahkan calon BN dalam PRK K.T baru-baru ini. Sebelum itu beliau juga telah turut berperanan mengalahkan calon BN dalam PRU12 dan PRK P.Pauh.

Beliau tidak pernah henti-henti mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi BN. Kalau dia betul hendak membantu UMNO/BN, dia boleh beri kenyataan yang berpihak kepada UMNO/BN. Berilah nasihat cara orang tua atau dia menangis sekali lagi macam dulu dengan puisi Melayu mudah lupanya.

Disebaliknya kini kita meragui keikhlasannya. Terbaru, beliau berkata keputusan ini adalah undi tidak percaya kepada Pak Lah. Sebenarnya dia hendak kata, ini undi tidak percaya kepada Khairy kerana anaknya Mukhriz hendak lawan Khairy.

Dia hendak Najib berani, maksudnya berani untuk sokong Mukhriz, walaupun Mukhriz tergagap-gagap setiap kali disergah pembangkang mahupun rakan dalam BN. Dia tetap mahu anaknya Mukhriz memimpin pemuda UMNO dan Najib menjadi bonekanya. Hanya dengan cara ini saja, BN kembali gagah.

...................................

Maafkan saya. Mungkinkah saya terlalu buruk sangka dengan Che Det ?

Monday, January 19, 2009

K.Terengganu, Raja Nazrin dan iktibar

Saya cuba untuk tidak terlalu banyak menulis hal-hal politik, tetapi dek kerana banyak sangat baca berita politik, semacam ada rasa ketagih pula, bila tak tulis rasa macam tak puas hati.

Ketika keputusan PRK KT diumumkan, saya sedang bertahlil di Ampang Tasik. Selesai doa tahlil, beberapa orang jemaah sibuk menelefon rakan untuk bertanya keputusan. Saya pula meninjau Malaysiakini melalui handset. Dapat keputusan, saya tunjukkan kepada beberapa jemaah lain.

Mereka bertanya, "Siapa menang ? Kita menang ?". Saya bukan orang Ampang Tasik. Saya tak kenal siapa mereka, dan saya pasti mereka juga tak kenal saya. Jadi siapa "Kita" ? Serba salah saya nak jawab. Akhirnya jelas mereka penyokong PAS berikutan reaksi yang ditunjukkan. Sebelum maghrib, saya agak gelisah juga sebab BN mendahului. Maklumlah, undi POS dikira lebih awal. Dari situ, BN dah mendahului 1000 undi.

Yang menggembirakan saya, kemenangan PAS bukan atas faktor undi Cina. Bukan saya tak senang dengan undi Cina, tapi ia membuka peluang UMNO untuk meningkatkan lagi isu perkauman. Bila Pakatan menang, itu disebabkan faktor undi Cina dan India. Bila BN menang, itu kononnya sebab undi Melayu. Walhal selama ini undi bukan Melayulah juga yang memenangkan calon BN.

Titah ucapan Raja Muda Perak cuba dieksploitasi oleh UMNO. Kononnya, titah tersebut ditujukan kepada MB Perak. Mereka sendiri tak mahu ambil iktibar. Titah tersebut sepatutnya diterima secara positif, bukan saja oleh orang PAS, UMNO dan orang Melayu malah juga kepada DAP, MCA, Gerakan, MIC dan semua rakyat Malaysia. Ia adalah fakta sejarah, dan semua patut belajar daripada sejarah. Berapa banyak tanah yang telah tergadai kepada bukan Melayu akibat kecuaian dan kelalaian UMNO ? Bumi Singapura yang tak mungkin akan kembali ke tangan kita, Raja-raja Melayu tak terkilankah ? Malah sehingga hari ini pun, semakin banyak tanah di Johor menjadi milik tauke Singapura, siapa yang bijak sangat tu ? Pulau Pinang bagaimana pula ? Apa tindakan UMNO untuk membaiki keadaan ini ? Bezanya tanah kampung baru di Perak menjadi milik Cina yang bukan tauke, sedang tanah di P.Pinang, Johor, K.Lumpur, N.Sembilan, Genting dan banyak tempat lagi menjadi milik tauke besar yang mengenyangkan UMNO.

Kalau diamati titah ucapan Raja Nazrin, jelas baginda membandingkan suasana ketika itu (ketika Rancangan Briggs dilancarkan) dengan nasib orang Melayu ketika itu yang tidak diberi langsung kemudahan seistimewa penghuni kampung baru. Rancangan Felda belum ada ketika itu. Tiada pendudukan terancang khas untuk orang Melayu yang lengkap dengan elektrik, air, sekolah, kesihatan seperti yang dinikmati di kampung baru tersebut.

Iktibarnya, agihan kemudahan dan kekayaan perlulah seimbang. Memang PAS perlu belajar daripada situ tetapi UMNO juga perlu sedar diri tu siapa. UMNO perlu sedar merekalah selama ini yang tamakkan kuasa dan wang hingga sanggup menggadaikan tanah Melayu kepada kaum lain.

Sunday, January 18, 2009

Isu pembangunan dalam pilihanraya kecil

Pada saya, isu pembangunan bukanlah isu yang menjadi tarikan utama kepada pengundi dalam PRK (pilihanraya kecil). Apa yang lebih penting lagi ialah kemampuan calon untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Pembangunan dibawa oleh sebuah kerajaan, bukan seorang wakil rakyat. Sama ada wakil rakyat berada dalam kerajaan atau tidak, bukan bermakna pembangunan tidak akan dibuat di situ.

Sejarah telah membuktikan kawasan yang diwakili pembangkang pun turut terlibat dalam program pembangunan kerana wakil rakyat bukan faktor utama dalam kerajaan memutuskan untuk sesuatu projek.

Menyelesaikan masalah penduduk juga termasuk dalam maksud pembangunan. Jika masalah penduduk terbengkalai tanpa tindakan hingga bertahun-tahun, baru boleh dikatakan tiada pembangunan.

Rakyat mahu pemimpin yang mudah didekati. Setidak-tidaknya ada wakilnya. Dan wakilnya pula bukan jenis yang ambil kesempatan, minta duit kopi misalnya.

Rakyat juga mahu melihat tindakan susulan kepada aduan yang dibuat, bukan sekadar tempat mengadu dan kemudian senyap begitu sahaja. Tak kiralah daripada parti mana. Walau penyokong hardcore parti sekalipun, kalau aduan tak diendah bertahun-tahun, pasti kecewa dan memberontak juga akhirnya.

Tahniah daripada saya untuk Abdul Wahid Endut, PAS dan semua jentera PR. Selepas 5 penggal jadi ADUN, Wahid wajar diberi gelaran Datuk kerana sudah banyak jasanya kepada rakyat. Kalau dalam UMNO, belum jadi ADUN pun dah dapat anugerah Datuk. Paling koman pun dapat anugerah Datuk sebelum masuk penggal ke 2.

Sebuah portal pro UMNO menyiarkan gambar rumah banglo Wahid Endut di sini. Nak tergelak saya. 5 penggal jadi ADUN, banglo Wahid bolehlah disifatkan sebagai biasa saja. Tidak seperti istana Adun-adun UMNO. Rumah macam rumah Wahid banyak di Terengganu. Rumah bapa saudara saya, ahli JKKK Umno pun lagi hebat daripada itu. Orang Terengganu ramai yang buat rumah tanpa pinjaman bank pun. Sedikit demi sedikit dibuatnya. Lama-lama jadi banglo besar jugak.

Orang Kuala Terengganu memang hebat kerana bijak menggunakan kuasa undi di tangan. Mat Said kena kerja keras nampak gayanya.

Thursday, January 15, 2009

PRK K.Terengganu (6)

Salam.

Post ini sepatutnya diterbitkan semalam tapi tak sempat sebab sibuk.

Dalam posting sebelum ini, saya sebut gerak kerja Muslimat dan Wanita PR yang lemah. Hari ini, Pak MSK menceritakan sedikit sebanyak di PerakExpress.com.

Di Terengganu, kerja-kerja parti (PAS) selalu dibuat oleh orang lelaki. Kelemahan ketara di pihak muslimat mungkin menjadi faktor Terengganu sukar di tawan PAS. Undi perempuan gagal didekati. Setakat ini, belum ada muslimat di Terengganu yang boleh menandingi Dr. Lo Lo, Dr. Halimah Ali, Dr. Siti Mariah, YB Zuraida, YB Fuziah Salleh dll. Muslimat PAS Terengganu perlu banyak belajar dan berkursus "seni" mendekati pengundi, bagaimana untuk memasyarakatkan Muslimat PAS. Jangan takut digelar Erdogan dan sebagainya. Guru-guru Kemas yang dilabel "Mak Cik" tu rasanya lebih hebat dan meluas gerak kerjanya ke segenap kampung berbanding muslimat PAS.

Jangan marah...

.................................................

Dalam posting sebelum ini juga saya sebut, undi penentu bukan pengundi Cina tetapi pengundi Melayu. Hari ini laporan analisis menyebut, pengundi Cina cenderung kepada PR manakala pengundi Melayu masih belum jelas. Inilah yang saya maksudkan. Sebahagian pengundi Melayu boleh pada saat akhir beralih sokongan.

Namun kajiselidik itu juga mendapati isu mengenai ancaman terhadap kuasa politik Melayu tidak begitu mendapat perhatian di kawasan majoriti Melayu ini. Saya sebenarnya sedikit bimbang isu ini digunakan untuk mempengaruhi undi Melayu. Mustaffa Ali juga telah mendedahkan bagaimana surat layang "Buletin Anak Jawa Selangor" disebarkan dengan isi kandungan yang menggunakan isu perkauman ini.

.................................................

Laporan lain menyebut, suasana kempen di KT tidak semeriah PRK lain sebelum ini. Mungkin orang KT dah muak dengan ceramah politik. Budaya ceramah dengan kehadiran berpusu-pusu sudah bermula sejak tahun awal 80an lagi. Sejak nama Haji Hadi naik. Sekarang dah tahun 2009. Dah dekat 30 tahun. Walaupun generasi yang hadir sudah bertukar, isu juga bertukar, tetapi untuk tahun 2009 dan 2008, tak banyak isu baru. Sesetengah ceramah boleh diikuti melalui internet sahaja.

Kehadiran lebih 2000 - 5000 orang dalam ceramah PR adalah biasa dan tidak dianggap meriah lagi. Ia hanya meniup semangat penyokong sahaja. Dari segi kesan, mendekati dari rumah ke rumah, kedai ke kedai adalah lebih berkesan. Ini memerlukan petugas memiliki skill komunikasi yang sopan dan baik, senyuman menawan seperti yang dilakukan oleh Wan Farid. Kalau jenis maki hamun atau jenis Raja lawak, perli tak kira tempat dan orang, sendiri buat lawak, sendiri gelak, payah sikit la.

Sebaran risalah-risalah ringkas juga amat berguna. Komen-komen di internet memang menyebelahi PR. Tetapi berapa kerat orang KT mendapat maklumat ini ? Sumber rujukan suri-suri rumah dan orang kampung yang tak masuk pejabat masih pada akhbar Utusan, Berita Harian dan TV3. Yang ini perlu diberi perhatian oleh PR.

.................................................

Ada tanda-tanda kerisauan di pihak PR bahawa kemenangan belum terjamin. Itu sebenarnya lebih baik daripada terlalu yakin. Saya risau melihat reaksi sesetengah penyokong yang terlalu yakin, terutama di kalangan petugas PAS. Penyokong PAS perlu bersikap terbuka menerima teguran, kritikan dan tunjuk ajar daripada rakan dalam Pakatan walaupun dalam sesetengah hal, PAS lebih baik daripada mereka. Petugas tempatan juga perlu lebih agresif, pantas dan tidak suka bertangguh. Bukan agresif mem"provoke" pihak lawan.

Lagi satu, jangan terlalu bangga dengan gerak kerja yang terancang dan tersusun serta bilangan petugas yang ramai di setiap UPU berbanding rakan dalam Pakatan. Ini saya pernah dengar di Selangor. Di manapun kita berada, jangan berat tulang memberi kerjasama kepada rakan Pakatan, dan jangan bodoh sombong untuk tidak menerima sokongan tenaga dan idea daripada mereka.

Wallahua'lam.

Monday, January 12, 2009

PRK K.Terengganu (5)

Salam.

Royalti : Siapa yang mula mempolitikkannya ?

"Kita nak buktikan kepada rakyat Terengganu bahawa kita belanja wang ihsan sepenuhnya untuk pembangunan rakyat dan negeri Terengganu." - Abdullah Ahmad Badawi, Timb. Perdana Menteri; 27 Okt 2000

"Kerajaan sentiasa memastikan wang ihsan daripada royalti minyak Terengganu yang kini dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) digunakan secara berhemat untuk manfaat rakyat negeri berkenaan." - Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri; 31 Ogos 2006

"Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain. RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain. Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion." - Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu; 14 Dis 2008

Tidakkah ini bermakna kerajaan persekutuan sudah menyalahgunakan wang royalti sebanyak RM1.5 bilion untuk kegunaan bukan di negeri Terengganu? Baiklah, wang itu akan dikembalikan semula, dan rakyat Terengganu tidaklah terlalu kejam untuk membiarkan rakyat negeri lain "susah" sedangkan rakyat Terengganu "kaya-raya" atau negeri Terengganu "pesat membangun", namun tidakkah rakyat Terengganu berhak untuk mengetahui di manakah wang RM1.5 bilion itu dibelanjakan ? Siapapun yang menang di KT, saya amat berharap supaya persoalan ini dijawab.

.................................................

Pengundi Cina jadi penentu ?

Saya melihat sebaliknya. Memang setiap undi adalah penentu. Bukan undi Cina, tetapi lebih penting lagi ialah undi Melayu kerana bilangannya lebih besar. Kalau 2 % sahaja orang Melayu menukar sokongan daripada PRU12 lalu, keputusan sudah banyak berubah. BN cuba tonjolkan seolah-olah ramai Melayu di Perak dan Selangor semakin tidak puas hati dengan kerajaan PR melalui NGO seperti PEWARIS. Ibrahim Ali turut membantu mengapi-apikan semangat Melayu. Sebagai tindak balas, PAS banyak melaporkan semakin ramai pengundi Melayu di Selangor menyertai parti itu.

DAP nampaknya begitu bersungguh-sungguh membantu pada kali ini. Saya rasa ini kali pertama DAP berusaha sehebat ini membantu kempen PAS apatah lagi di Terengganu. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan yang sihat dalam iklim politik Malaysia. Sejauh mana ia memberi kesan baik dan buruk kepada PAS, DAP dan BN, kita kena sama-sama tunggu. Sejauh mana pula PAS mampu membantu calon DAP jika mereka bertanding dalam PRK ? Adakah Karpal Singh sudi menerima sokongan terbuka PAS ?

Saya menjangka trend pengundian keseluruhan tidak banyak berubah berbanding PRU lepas. Walaupun begitu, oleh kerana majoriti yang diperolehi adalah kecil, sedikit perubahan pun pasti akan memberi kesan yang besar kepada keputusannya nanti. Saya masih melihat peluang kedua-dua parti yang bertanding 50:50. Calon bebas juga mungkin akan mendapat undi lebih kurang macam Tok Mun dulu atau mungkin lebih baik lagi.

.................................................

Calon BN sombong ?

Ramai yang turut beri komen. Yang mengaku kenal kata dia sombong. Yang mengaku tak kenal kata dia tak sombong. Saya (yang tak kenal dia) rasa dia tak sombong. Cuma dia nampak macam sombong. Dia ada masalah dalam mendekati golongan tertentu. Dia kurang pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan golongan petani, peniaga kecil, golongan berpendapatan rendah, orang kampung dan sebagainya. Ada orang memang jenis tak ada skill dalam bergaul dengan segenap lapisan masyarakat. Saya sendiri pun kurang skill ni. Setakat senyum je boleh la. Nak bersembang tu tak pandai nak cari topik sesuai.

.................................................

Tempang di sana-sini

Dalam PRK Kuala Brang, Mat Taib berkampung di Kuala Brang. Tinggal di sana selama 2 minggu. Tiap-tiap hari turun bertemu rakyat. Mungkin sebab dia Menteri Luar Bandar. Tetapi di KT tidak. Adakah kerana KT bukan luar bandar ?

Dalam PRK Kuala Brang dan Pengkalan Pasir, KJ ditugaskan mengetuai jentera pemuda. Dalam PRK P036, tak tahu siapa ketuai jentera pemuda. Mungkinkah untuk elak perang pertandingan pemuda UMNO 2009 ?

Rafidah Aziz hari tu beriya-iya mendakwa akan mengetuai jentera Wanita UMNO dalam PRK KT. Tiba-tiba sunyi sepi, hilang entah ke mana. Hari penamaan calon pun tak nampak muka. Sakit lutut berulang lagi ke ? Atau wanita UMNO ada masalah ?

Kumpulan Erdogan dalam PAS dikatakan tidak bersungguh-sungguh membantu calon PAS. Syed Azman, Husam Musa dan ramai lagi tokoh PAS yang dilabel sebagai kumpulan Erdogan kurang turut serta. Betul ke ?

Kempen Wanita, Puteri, Muslimat dan Nisa' sangat penting. Tetapi seperti biasa, kempen mereka senyap-senyap. Kurang promosi baik di media internet mahupun media cetak dan TV. Pengundi wanita amat penting untuk didekati. Saya tak pasti sejauh mana Muslimat PAS dan rakan dalam PR berkerjasama.

Wallahua'lam.

Sunday, January 11, 2009

Royalti : Tian Chua mahu 20 peratus untuk Terengganu

Salam.

Tian Chua, ahli parlimen Batu yang juga Ketua Penerangan PKR mahu kerajaan pusat membayar 20 peratus daripada hasil petrolium sebagai bayaran royalti kepada negeri Terengganu.

Seingat saya, dalam pilihanraya tahun 1982, PAS pernah berjanji untuk menuntut 10 peratus royalti untuk negeri Terengganu berbanding 5 peratus yang diperuntukkan. PAS kalah dalam pilihanraya pada tahun tersebut. Hakikatnya, bila PAS menang di Terengganu dalam PRU tahun 1999, royalti bukan bertambah daripada 5 kepada 10 peratus, tetapi menjadi 0 peratus.

Moral ceritanya, tak usah lah berjanji dengan janji yang keterlaluan. Saya khuatir kalau PR menang di persekutuan dalam PRU 13 akan datangpun, berbagai-bagai alasan akan digunakan untuk tidak memberi royalti terlalu banyak kepada negeri-negeri. Nak dapat 5 peratus tu pun bukan mudah. Kalau pemimpin negeri pada masa itu tak buat apa-apa, memang tak dapat lah jawabnya.

Janji PRU lepas di Selangor dan Kedah pun banyak lagi yang belum tertunai. Memang berbagai-bagai alasan diberikan, tetapi janji itu tetap telah tertulis di poster-poster dan manifesto-manifesto masing-masing. Jangan melenting bila lawan ambil kesempatan menggunakannya sebagai senjata. Ukur baju di badan sendiri. Sendiri cari pasal, sendiri tanggung lah. Alhamdulillah, sebahagiannya sudah dimulakan. Namun yang belum lagi tu kena tunaikan juga nanti.

Wallahua'lam.

Friday, January 09, 2009

Palestin dan Pilihanraya

Salam.

1. Isu Palestin

Bila hati saya rasa tersentuh, saya mudah menangis. Apatah lagi jika ayah, ibu atau abang-abang saya menangis, saya jadi lebih mudah menangis.

Anehnya, bila dalam solat atau ketika berdoa, saya sukar unutk menangis. Kecuali bila nasib malang atau kesusahan menimpa betul-betul atas bahu saya, baru saya boleh menangis dalam solat atau ketika munajat. Di zaman sekolah, kawan-kawan turut menangis bila Ustaz teresak-esak menangis ketika berdoa, dan saya hanya cuba untuk menangis dengan muka insaf dan sedih, tetapi air mata tak juga keluar.

Dalam solat Jumaat hari ini, ketika doa qunut dibaca imam, entah kenapa, mudah pula air mata saya keluar walaupun tak sampai menitis, tetapi setidak-tidaknya bergenang juga di kelopak mata. Apatah lagi bila imam turut sebak, bertambah-tambahlah sedih, sayu dan pilu di hati. Apakah tindakan lain yang lebih berkesan yang boleh kita buat ?

Kata ustaz saya, orang Yahudi, kalau ada penjual surat khabar bukan Yahudi disebelahnya dan penjual surat khabar Yahudi di seberang jalan, dia akan melintas jalan walaupun terpaksa memanjat jejantas untuk beli surat khabar. Kita beli barang dapur di kedai orang Islam atau di pasar raya / hypermarket yang tauke besarnya orang negara yang pro Yahudi ? Mungkin kita akan jawab, "aahhh, kedai runcit Islam tu pun beli kat pemborong atau hypermarket tu juga." Kita memang suka berdolak-dalih.

.......................................

2. PRK K.Terengganu

Nak tergelak saya dengar temuramah wartawan TV3 dengan Ketua Wanita Terengganu. Rasanya, kalau ketua puteri UMNO pun boleh bagi jawapan kemas sikit lagi berbanding Ketua Wanita tu. Ibrahim Baba turut mengulas.

Setakat hari ini, saya agak lemas melihat kedua-dua pihak berkempen. UMNO dengan kelemahannya, PAS pun sama juga. Kalau PAS boleh berhujjah dengan bernas, bagus juga, tapi setakat ni, masih nampak lemah dan tak bertenaga langsung. Wahid kata kita ada banyak isu, tapi isunya hanya ulangan yang lepas-lepas, yang sudah diketahui rakyat. Mustaffa Ali pula gagal menunjukkan bukti atau saksi dengan dakwaannya tentang orang minta kad pengenalan. Balik kepada isu yang sudah digunakan dalam PRU12 lepas dengan harapan kali ini ia boleh memberi kesan. Guna isu sama pun tak apa tetapi kupas dan ulaslah dengan baik. Saya tak ikuti kempen mereka tetapi diharap mereka boleh sebarkan maklumat dengan berkesan, bukan melalui ceramah sahaja tetapi melalui edaran teks dan ziarah rumah ke rumah.

UMNO pula nampak serba gelisah juga. Blog yang pada mulanya nampak bersemangat, tiba-tiba mapuh kerah. Pak Lah dan Najib tak habis-habis nasihatkan ahli UMNO jangan berkempen untuk jawatan dalam parti, tetapi kempen untuk BN K.Terengganu. Tapi kalau kita baca blog-blog pro-UMNO, kempen lebih kepada promosi calon pilihan mereka. Pak Lah juga pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN.

Tak kan nak undi Tok Bomoh yang dapat ilham bertanding melalui mimpi tu.

.....................................

Bila tengok anak kita seronok dapat pergi sekolah, tersenyum riang dan nampak begitu teruja sekali. Kemudian kita tengok gambar anak Palestin yang hanya nampak kepala di surat khabar dengan darah bercampur debu tanah. Betapa beruntung dan bertuahnya kita. Mungkin OIC patut adakan pasukan tentera pengaman bersama yang berpangkalan di bumi Palestin.

Kita perlu lebih tegas dan istiqamah memboikot produk-produk yang boleh dan mampu kita boikot. Ayuh dan jangan bertangguh lagi.

Wallahua'lam.

Wednesday, January 07, 2009

Ringkas yang tak ringkas

Salam.

Ditulis oleh Te@m IT
TUESDAY, 06 JANUARY 2009 13:19

Calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu Azharuddin Adam, adalah seorang ahli perniagaan dan merupakan anak kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu Tan sri Wan Mokhtar Ahmad.

Sebelum menjadi setiausaha politik kepada wan Mokhtar, Ayah beliau, Adam Taib merupakan pengarah pelajaran negeri Terengganu.Kemudian beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Wan Mokhtar selepas bersara wajib dari Jabatan Pelajaran Terengganu.
Adam Taib menjadi SUP MB sehingga tahun 1999 dan kemudian kerajaan Terengganu bertukar tangan kepada PAS.

Pada tahun 2004 selepas BN dapat menawan semula Terengganu dengan cara yang sangat jijik, Ayah kepada Azharuddin ini dilantik pula sebagai pengarah U-Best di zaman Idris Jusoh.

U-Best adalah sebuah agensi kerajaan negeri yang dibentuk menggantikan unit Pembangunan Insan dizaman Kerajaan PAS.U-Best dilihat bekerja untuk kepentingan Umno.

Azaharuddin merupakan ahli perniagaan yang dikatakan sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang ada pada hari ini kerana beliau seringkali dipinggiran sejak akhir-akhir ini.

........................................

Hari Jumaat, 2hb Januari di Masjid Ampang.

Seorang Pakcik kedengaran bersembang dengan rakan sebelahnya ketika iktikaf menunggu waktu solat Jumaat. Saya duduk dibelakangnya. Katanya, "Hj Hadi kata , politik punya pasal, mengumpat boleh. Ada ka ???". "Mana boleh ? Sebab politik boleh mengumpat." Rakan sebelahnya hanya tersenyum tanpa menjawab. Kalau pakcik tu cakap dengan saya, mahu je saya jawab, "Yang pakcik ni mengumpat Hj Hadi dalam masjid di hari Jumaat, ketika iktikaf, tak pa pulak."

Pakcik tu agaknya teruja dengan PRK KT. Sampai dengan orang Ampang, Selangor pun dia berkempen. Kalau nak berkempen, pergi lah ke KT, bukan kempen dalam masjid kat Selangor.

.......................................

Ada bloger mengangkat DS Idris Jusoh sebagai bapa pembangunan Terengganu. Walau hanya sepenggal jadi MB, macam-macam dia buat. TS Wan Mokhtar jadi MB 25 tahun, apa dia buat ? Kesian ... Buta sejarah betul.

DS Idris telah dipermudahkan urusannya oleh kerajaan pusat, selepas BN kalah teruk dalam PRU 10 di Terengganu. Ia bertujuan menunjukkan betapa betul dan bijaknya keputusan rakyat Terengganu dalam PRU 11, selain supaya rakyat Kelantan cemburu. Idris juga bijak mempromosikan setiap projek di Terengganu. Beliau dilihat mempunyai banyak idea baru. Banyak pembangunan di zaman Idris sebenarnya sudah direncanakan sejak zaman Wan Mokhtar lagi, cuma gagal disudahkan kerana pelbagai halangan tertentu.

Apa yang telah dilakukan oleh Wan Mokhtar adalah sesuai untuk keadaan pada masa itu. Jangan dilupakan Tasik Kenyir, Perkaya, Menara Permint, Bangunan SUK, Hotel Primula, Pelabuhan Kemaman, Royalti Petrolium, Wisma Maidam, Pasar Payang yang tersusun, Kusza, Jambatan (walaupun bertol), Terengganu sebagai destinasi pelancongan, Masjid Terapung, Yayasan Islam, jalan berturap diseluruh pelusuk kampung, Kemaman Supply Base, Rantau Petronas, Stesen elektrik Paka, beberapa bandar baru dan banyak lagi. Bukan nak berkempen membela beliau, tapi usahlah sampai menafikan jasanya yang 25 tahun itu. Sudahlah tak bejawatan lagi, pembangkang pun dok mengata, bekas penyokong pun dah tutup sebelah mata. Takkan nak tunggu Allah jemput dia baru nak dipuji semula.

Wallahua'lam.

Friday, January 02, 2009

PRK K.Terengganu (5)

Salam.

Selepas nama Adun Wakaf Mempelam diumumkan sebagai calon PAS di PRK Parlimen KT, reaksi berbelah bagi dapat dilihat dengan jelas di portal TranungKite, sebuah portal yang pro PAS (memang pengasasnya orang PAS Dungun).

Saya sendiripun pada mulanya rasa bercampur-campur antara terkejut, sokong, suka, resah dan macam-macam. Belum apa-apa, ada yang kata BN pasti menang. Macam lah Wan Farid tu bagus sangat.

Ada yang kata susah PAS nak menang. Dah tahu susah, kenalah kerja keras. Takkan sebab susah, nak give up. Putus asa. Patah semangat. Macam tu ke pejuang Islam ? Mengaku kalah sebelum berjuang ?

Wahid, anak kelahiran Pulau Rusa, kampung kelahiran saya juga. Kampung Pulau Rusa, pada tahun-tahun 70an lebih condong kepada BN. Kalau tak silap, masa tu, Pulau Rusa diletak dalam DUN Manir, yang ADUNnya Cikgu Wel (Ismail). Selepas tahun 80an, ia dipindah ke DUN Wakaf Mempelam. Ketika itu nama seperti Hj Hadi dan Harun Taib muncul, dan penduduk mula condong kepada PAS. Selepas krisis UMNO 1987, kekuatan PAS semakin teguh sehingga kini. Saya masih ingat muka-muka orang yang dulunya penyokong kuat BN tetapi kini dah jadi penyokong PAS.

Wahid mula jadi ADUN PAS di situ sejak 1990. Sebelum itu, Mustaffa Ali jadi ADUN Wakaf Mempelam. Jadi tak hairanlah Mastafa Ali dikatakan sebagai sifu beliau. Saya setuju, Wahid diketengahkan ke Parlimen pula. Dah lama sangat dia jadi ADUN di situ. Dia dah pernah jadi exco pun. Syed Azman boleh fokus di DUN. Mungkin Syed Azman boleh jadi exco satu hari nanti, atau MB. InsyaAllah.

Stail ceramah Wahid, pada saya macam stail ceramah Mustaffa Ali. Kadang-kadang saya tak berapa suka. Tapi bukan saya tak sokong beliau. Sokong sangat-sangat. Dalam hal berceramah ni, memang setiap orang ada stail masing-masing, dan ada peminat masing-masing. Yang kita tak suka, ada orang lain suka. Yang kita suka, ada orang tak suka.

Pernah ditahun 90an, saya balik kampung, jalan berlubang sana sini. Mahu je saya hentam ADUN PAS tu. Tapi masa tu tak ada blog. Saya cakap-cakap belakang je dengan kawan-kawan. Tak sampai setahun, jalan kembali diturap cantik. Alhamdulillah, pemimpin cakna. Ketika PAS jadi kerajaan di Terengganu, saya pernah kondem pasal sesuatu melalui emel kepada Harakahdaily dan kepada emel YB. Emel saya kepada YB kena tendang. Harakahdaily langsung tak ada respon. Dalam harakah cetak pun tak ada. Tak apalah. Tegur, tetap tegur. Sokong tetap sokong. Yang kita sokong ialah dasarnya, Yang kita tegur adalah kelemahan dan lepas pandangnya.

Saya yakin PAS akan menang dalam PRK kali ini. Itulah doa saya. Orang luar KT ada yang kurang minat dengan calon PAS itu, kerana faktor pengaruh Mustaffa Ali. Bagi saya, beri peluang Wahid Endut pamirkan kebolehan beliau.

Kumpulan Endogan, saya tak tahu siapa yang cipta istilah itu. Apa yang saya nampak, orang membuat tafsiran melulu tentang kumpulan yang agak moderate ini. Memang mereka mempunyai pemikiran yang lain daripada biasa, tetapi saya tak nampak mereka terlalu pro Anwar. Hadir dalam program Anwar bukan semestinya sebab mereka terlalu kagum dengan Anwar. Saya yakin, PAS merancang siapa yang sesuai untuk dihantar mewakili parti ke sesuatu majlis. PAS adalah sebuah parti yang semakin matang hari ini. Perbezaan pendapat diterima secara terbuka dan lapang dada, tanpa rasa buruk sangka atau curiga sesama sendiri seperti dalam UMNO.

Selamat berjuang kepada PAS dan Selamat berjaya.

Wallahua'lam

Wednesday, December 31, 2008

Baca kisah-kisah lama

Salam.

Semalam saya sempat baca buku Memoir Shamsiah Fakeh. Buku baru tapi mengkisahkan hal-hal lama. Saya belum habis baca buku tu. Saya rasa kasihan dan terkenang-kenang bagaimana susahnya orang dulu-dulu. Bukan saya menyokong perjuangan PKM. Cuma selepas habis beberapa bab permulaan buku tersebut, saya teringat foto-foto lama saudara-mara saya dulu-dulu. Pakaian mereka, suasana kampungnya, rumahnya, memang daif. Foto-foto tersebut sebahagiannya disimpan oleh abang saya di Chendering dan sebahagian lagi disimpan oleh bapa saudara saya, (Ayah Teh) di Kampung Kepong, KT.

Shamsiah tu kira beruntung juga. Sebab dia berpeluang ke sekolah pada tahun-tahun 40an. Ayah saya pun sempat bersekolah sebab masa itu, dia tinggal di Kampung Tanjung, KT. Kira dalam kawasan bandar lah tu. Ayah saya sempat belajar sampai darjah 6 sahaja, kerana masalah kemiskinan. Mengikut kata ayah, masa tu kelas sampai darjah 9. Lebih kurang PMR la gamaknya. Tapi masa tu, bukan semua orang mula bersekolah seawal usia 7 tahun. Hanya yang tinggal tak jauh dari sekolah sahaja yang mampu ke sekolah. Yang perempuan, tentulah lebih payah.

Zaman Jepun, mak saya pernah ceritakan, Tok bawa Mak ke dalam hutan, sembunyi daripada Jepun. Ayah saya sempat belajar bahasa dan lagu Jepun. Tapi alhamdulillah, tiada apa yang buruk berlaku kepada tok nenek saya pada masa tu.

Mak tak sekolah. Hanya selepas kerajaan wujudkan kelas dewasa untuk basmi buta huruf, mak boleh membaca rumi. Tulisan jawi memang mak boleh baca sejak kanak-kanak. Orang dulu-dulu, walaupun tak ada sekolah rasmi, tapi mereka belajar agama juga. Saya sempat ikut mak ke kelas dewasa. Ramai juga yang hadir ke kelas dewasa tu. Kira bersemangat juga lah orang melayu kita. Dah tua-tua pun masih ke sekolah lagi.

Tentang Shamsiah Fakeh, nanti kalau rajin, saya cerita lain kali. Tapi saya percaya dia betul. Apa yang dia lakukan pada masa itu sesuai dengan keperluan masa itu. Selepas merdeka, keadaan memaksa dia terus bersama PKM.

Wallahua'lam.

Friday, December 26, 2008

PRK K.Terengganu (4)

Salam.

Bila YB Ibrahim Ali meramalkan, BN akan menang dalam PRK P36 Kuala Terengganu, ramai juga penyokong PAS yang marah-marah dan mencabar MP Bebas itu supaya letak jawatan.

Saya berpendapat, PAS sepatutnya memandang positif dengan ramalan tersebut. Ibrahim Ali memang bukan seorang tok bomoh atau ahli nujum. Kalau dia boleh buat ramalan dengan bagus, masakan dia pernah kalah teruk dalam satu pilihanraya kecil di Kelantan suatu ketika dahulu. Masa itu, dia yakin dia boleh menang atau sekurang-kurangnya dapat jumlah undi yang memuaskan. Kalau dia tahu akan kalah teruk begitu, dah tentu awal-awal lagi dia sudah buat baik dengan PAS. Hanya selepas itu, barulah dia mula buat baik dengan PAS, selepas dia sedar, kailnya panjang sejengkal.

Ramalan Ibrahim Ali itu patut dianggap sebagai satu cabaran kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau ramalan itu menjadi kenyataan, pasti Ibrahim Ali akan berkata, "Ambo doh royak doh ari tu, demo tok sir ccayo."

Saya bimbang petugas dan penyokong PAS terlalu yakin akan menang dalam PRK kali ini, melihat kepada perkembangan semasa. Sikap sebegini selalunya membawa padah. Setidak-tidaknya, Ibrahim Ali cuba mengingatkan PAS supaya tidak terlalu yakin, tidak memandang mudah cabaran kali ini.

Manakala YB Ibrahim Ali pula perlu turun membantu PAS berkempen kerana yang bertanding adalah PAS, bukan PKR atau DAP. Ibrahim perlu membuktikan kepada PAS bahawa Ibrahim tidaklah terlalu bermusuh dengan PAS. Inilah masanya untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada PAS yang memberinya peluang berbahas di parlimen untuk penggal kali ini. Walaupun saya percaya, bukan semua orang KT berkenan sangat dengan stail Ibrahim Ali, tetapi jangan diperkecilkan kemampuan beliau.

Jadi kepada YB Ibrahim Ali. Bantulah PAS di KT. Sekurang-kurangnya, turunlah bersama-sama pemimpin PAS pada hari penamaan calon nanti sebagai tanda sokongan.

Wallahua'lam.

Thursday, December 25, 2008

JHEAT latih ramai imam muda

Salam,

Rasulullah bersabda, "Pilihlah imam di kalangan kamu daripada yang terbaik bacaannya."

Kadang-kadang, saya rasa agak terkilan bila solat berjamaah di masjid-masjid atau surau yang imamnya kurang baik bacaannya. Imam-imam yang sudah tua dulunya mempunyai mutu bacaan yang sangat baik pula sudah berubah. Mungkin kerana tua, mungkin kerana masalah gusi atau giginya, mungkin kerana pernah kena strok atau penyakit lain yang menyebabkan sebutannya sudah kurang jelas dan tidak cantik lagi.

Imam-imam yang bacaannya sudah kurang baik, eloklah berundur secara terhormat. Menunggu kerajaan atau pihak berkuasa menggugurkan akan menimbulkan mainan politik yang tidak jujur sedangkan kita mahu solat kita dan jemaah yang dipimpin sempurna.

Bacaan imam-imam muda selalunya lebih baik, terutama yang berkelulusan agama. Seronoknya bila solat berimamkan imam muda yang lantang dan jelas sebutannya, baik tajwidnya, lancar bacaannya.

Di Selangor, imam-imam muda memang semakin ramai tetapi ramai juga imam-imam tua yang mula jauh hati. Maklumlah, elaun imam mungkin terjejas. Saya rasa, elok negeri-negeri lain selain Terengganu juga segerakan melatih dan melantik imam-imam muda. Sebab masalah imam yang kurang sempurna bacaan dan sebutannya ada di mana-mana. Imam-imam tua eloklah diberi ganjaran seumpama pencen supaya mereka tidak terlalu jauh hati manakala imam muda janganlah terlalu sombong atau memandang rendah dengan imam tua. Hormatilah mereka kerana mereka lebih tua, lebih banyak amal beranding kita yang muda sebagaimana saranan Imam Al Ghazali.

Wallahua'lam.

Wednesday, December 24, 2008

PRK K.Terengganu (3)

Bakal calon BN sudah diumumkan. Bakal calon AKIM juga sudah diumumkan. Bakal calon Bebas juga sudah ada bayangan. Bakal calon PAS sahaja yang masih menjadi debaran.

Sejauh manakah pengundi Kuala Terengganu akan "melayan" calon-calon pengacau dalam PRK kali ini. Semua orang tahu, calon-calon pengacau tak perlu kredibel, wibawa, ketokohan. Parti yang diwakili pun tak ada wibawa. Perjuangan mereka pun kabur. Haluan mereka ikut suka dia saja. Ikut trend semasa saja. Tengok calon AKIM di TV3 malam tadi. Cakap pun tak ada karisma. Baru letak jawatan dalam PKR. Nampak sangat tak berpegang kepada asas perjuangan yang kukuh.

Apakah pengundi KT masih mahu suka-suka memilih calon sebegini. Apakah pengundi KT mahu dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mengenengahkan calon yang berwibawa ke Parlimen ? Undi untuk suka-suka saja. Lantak dia orang lah. Siapa menang, siapa kalah pun, bukan ada kesan perubahan serta merta pun. Lepas tu gelak-gelak, sengih-sengih.

Memang ada pengundi macam ni di KT. Saya orang KT dan sesekali balik kampung, masih terlihat sikap ambil mudah sebegini. Harap generasi berpelajaran bangkit membantu mencorakkan masyarakat KT menjadi masyarakat yang disegani. Generasi berilmu semakin bercambah dengan pesat di Terengganu kebelakangan ini. Generasi Ulul Albab, kata Datuk Seri Idris Jusoh.

Calon BN, Datuk Wan Farid, agak popular di kalangan orang UMNO (dan mungkin BN), tetapi saya kira tidak begitu popular dikalangan pengundi atas pagar, apa tah lagi PAS. Tetapi khabarnya, ada juga orang UMNO sendiri yang cakap-cakap belakang pasal Wan Farid. Mungkin ia akan menjadi satu advantage kepada PAS. Tetapi ia bukan jaminan.

Calon PAS, sama ada Dr. Syed Azman, atau Dr. Khazani, atau Mat Sabu, atau Mustaffa Ali. Dua nama terakhir tu sebenarnya kurang popular di KT. Bukan masalah kewibawaan. Bukan masalah kredibiliti. Tapi itulah sentimennya sekarang. Jangan beri peluang lawan rebut peluang atas kelemahan yang sudah dimaklumi. Walaupun Nik Aziz lebih suka dengan Mat Sabu, tapi janganlah kita melihat ia sebagai satu perintah seorang ulama. Nik Aziz tak kecil hati pun kalau Mat Sabu tak terpilih. Nik Aziz pun tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan yang masih berbekas ialah menyerahkan kerusi parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim Ali.

Saya kurang arif, apa masalah dengan Dr. Syed Azman kerana saya tidak menetap di Terengganu. Mungkin orang KT lebih maklum sebab dia pernah jadi MP Kuala Terengganu. Dr. Khazani belum teruji. Latar belakang akademik beliau nampak meyakinkan tetapi politik adalah satu perkara yang berbeza. Ia berkait dengan strategi, pendekatan. Orang politik tak tahu malu. Kalau tersilap langkah atau kata, itu biasa bagi orang politik. Buat selamba je macam Ibrahim Ali. Apa yang penting buat masa ini, calon PAS mestilah meyakinkan pengundi KT, rajin dekati pengundi.

Dalam soal isu pula, nampaknya PAS sudah terperangkap oleh Khairi Jamaludin. Budak ini memang bijak. Tak hairanlah Mukhriz pun takut nak berdepan dengan Khairi. Di parlimen pun, anda boleh lihat perbezaan ketara Khairi dengan Mukhriz. Sampai Husam Musa pun mengelabah diasak Khairi dihadapan ribuan penyokong sendiri. Sabar Husam. Dalam politik mana boleh malu. Ha..ha..ha..

DAP seperti biasa memberi respon yang seperti sudah-sudah. Walaupun dia tahu itu perangkap BN, tapi dia takut kehilangan sokongan di tempat-tempat yang dikuasainya. Jadi tindakan balas yang segera ala-ala melatah itu sememangnya dikira perlu. Tapi saya lebih suka dengan jawapan Khalid Samad seperti yang tersiar dalam Sinar Harian semalam.

Bagi saya, hudud hanya sebahagian daripada tanda berdaulatnya Islam di Malaysia. Sebagai orang Islam, lambat atau cepat, usaha ke arah itu perlu diteruskan. Sama ada melalui dakwah, tarbiyah, pendidikan, perbincangan, pilihanraya, pindaan perlembagaan, atau apa sahaja usaha ke arah itu perlu diteruskan. Baik kepada orang Islam, mahupun kepada yang bukan Islam, dakwah perlu diteruskan. Dan hudud boleh dilaksanakan bila sokongan sudah mencukupi. Usaha sekarang ialah untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Baru-baru ini ada khabar angin, PAS akan bekerjasama dengan UMNO. Kalau PAS mahu bekerjasama dengan UMNO, PAS perlu kenakan syarat, UMNO mesti sanggup sama-sama menyokong usaha ke arah melaksanakan hudud dan qisas di Malaysia. Syarat ini tak perlu diberi kepada PKR dan DAP sebab mereka bukan parti yang berteras kepada Melayu Islam. Tetapi UMNO berpaksi dengan sokongan orang Melayu yang Islam. Jadi UMNO wajar dikenakan syarat itu. Guana gamok ? Boleh ?

Tuesday, December 23, 2008

PPSMI - wajarkah diteruskan ?

Saya sangat bersetuju dengan tulisan Dr. Khir Toyo mengenai isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ) di blog beliau. Lihat di sini.

Semua pihak sedar betapa pentingnya menguasai Bahasa Inggeris. Generasi terdahulu yang mengambil peperiksaan LCE, MCE dan HSC (sebelum diganti dengan SRP, SPM dan STP) walaupun tidak berkelulusan tinggi tetapi lebih mahir dan yakin berbahasa Inggeris berbanding generasi selepasnya walaupun generasi selepas itu berkelulusan Sarjana Muda dari luar negara.

Namun itu bukanlah salah dasar pendidikan kebangsaan. Perkembangan ilmu selepas dasar pendidikan kebangsaan diperkemaskan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan bertujuan memupuk perpaduan melalui satu bahasa, selain mengembang pesatkan penguasaan ilmu kepada masyarakat Malaysia. Kesannya, generasi berilmu telah berkembang pesat termasuk dikalangan masyarakat Melayu selepas bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.

Saya rasa, matlamat itu telah tercapai. Perpaduan kaum agak sukar sedikit bukan kerana bahasa melayu tetapi kerana faktor politik perkauman yang selalu menjadi senjata penting untuk menarik sokongan. Yang paling ralat ialah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah terutama dalam masyarakat melayu di kampung-kampung. Saya dan isteri saya juga tidak terkecuali. Ramai rakan-rakan saya, termasuk ada yang berkelulusan luar negara tidak mahir atau tidak yakin bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Banyak pihak sama ada yang menyokong PPSMI mahupun yang menentang melihat PPSMI bermatlamat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Namun Dr. Khir menghuraikan objektif PPSMI kepada maksud yang lebih tepat dan lengkap. Menurut Dr.Khir, PPSMI bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Lihat para 1 - 3 dalam blognya untuk huraian yang lebih lengkap.

Yang menjadi isu ialah wajarkah dasar ini diteruskan ? Bagaimana dengan penguasaan Sains dan Matematik, adakah pelajar-pelajar ini semakin baik atau semakin kelam kabut ?

Dulu saya kurang gemar belajar bahasa Inggeris kerana selalunya guru bahasa Inggeris garang. Kakak dan abang saya sempat belajar dalam bahasa Inggeris di sekolah jenis kebangsaan Inggeris dan sekolah grammar kindergarten, mereka nampak seronok belajar dalam bahasa Inggeris, mahu menunjukkan kebolehan dan kepandaian mereka semasa kami masih kecil dahulu.

Saya rasa, kaedah belajar bahasa Inggeris itu yang perlu diperbaiki. Saya sangat menyokong pengajaran ilmu kesusasteraan dalam bahasa Inggeris, malah subjek sejarah juga yang mahu diperkenalkan semula di peringkat sekolah rendah, elok sekali diajar dalam bahasa Inggeris. Kalau tak silap saya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pernah mencadangkan subjek sejarah diajar dalam bahasa Inggeris sekitar tahun 2001 - 2003. Hari ini, dalam akhbar Sinar Harian, seorang penulis Prof. Rahman Shaari juga memberi pandangan yang sama malah mahu subjek sastera melayu diajar dalam bahasa Inggeris.

Pelajaran bahasa Inggeris perlu menjadi lebih menarik melalui aktiviti lakonan, drama, puisi, perbincangan, kajian, nyanyian, berbagai aktiviti kesenian, penulisan dan sebagainya. Tetapi jangan diganggu subjek Sains dan Matematik, kerana ia adalah berkait dengan kemahiran hidup. Tak faham matematik, nak jadi cashier kat supermarket pun tak layak.

Selain itu, PPSMI juga menjadikan bahasa melayu bukan lagi bahasa ilmu, bukan bahasa sains, bukan bahasa matematik. Penggunaan bahasa melayu yang meluas tidak menjadikan ia sebagai bahasa ilmu seperti bahasa jawa. Dulu, kecoh seketika bila ada seorang ahli politik mendakwa bahasa jawa bukan bahasa ilmu. Apa erti bahasa ilmu ? Walau berjuta orang menggunakannya untuk perbualan harian, itu disebut lingua franca. Tetapi bila bahasa itu banyak digunakan dalam kajian, penulisan, buku-buku ilmiah journal-journal, barulah layak dipanggil bahasa ilmu. Kini, pengkayaan istilah bahasa melayu menjadi terbantut kerana PPSMI. Perlukah istilah-istilah baru yang sentiasa berkembang dalam sains diterjemahkan atau dicari istilah melayunya ?

Akhirnya, cintailah bahasa kita. Daulatkanlah bahasa kita. Bersama-samalah kita jadikan bahasa ibunda kita sebagai bahasa ilmu. Kalau masyarakat negara lain seperti Thailand, Jepun, Korea dan China boleh maju dengan bahasa ibunda mereka, tulisan ibunda mereka, kenapa kita tidak. Cukuplah kita membonzaikan perkembangan tulisan jawi. Jangan bonzaikan bahasa Malaysia, menjadi kecil dan sekadar hiasan semata-mata.

Monday, December 15, 2008

PRK K.Terengganu (2)

Persoalan PRK Kuala Terengganu semakin suspen. Siapa calon BN, siapa calon PAS, siapa calon Bebas, siapa lagi pengacau yang akan turut serta ? Apakah pengundi masih mahu BN mewakili mereka di Parlimen ? Apakah pengundi KT masih menolak calon import ? Apakah pengundi KT masih rela merosakkan undi mereka dengan memilih seorang nenek glamour ? Apakah nenek itu akan turut bertanding ? Apakah dia akan menerima pertambahan undi atau undinya akan merosot teruk kali ini ?

Bernama melaporkan Wan Ahmad Farid yang disebut-sebut sebagai salah seorang bakal calon BN telah dilantik semula sebagai senator. Adakah ini petanda dia tidak akan menjadi calon BN ? Dari cakap-cakap semasa berada di KT minggu lepas, ramai yang berkata, Wan Farid ramai orang tak mboh. Jadi, kalau BN mahu mencerahkan peluang untuk menang, jangan letak Wan Farid. Tak kiralah apa spekulasi yang akan timbul berikutan keputusan itu.

Sementara itu, Nordiana Shafie tidak pula dilantik semula sebagai senator. Adakah itu tanda-tanda nama beliau turut tersenarai pendek ? Khabarnya, Diana semakin popular dikalangan puteri. Wanita UMNO boleh terima ke ?

Dalam kelompok PAS pula, nama Wan Mutalib dan Mustafa Ali masih disebut-sebut. Tetapi daripada reaksi di KT baru-baru ini, kebanyakan orang menjuihkan bibir bila kedua-dua nama disebut. Saya berpendapat, eloklah PAS lupakan saja nama tersebut sebagai calon walaupun mereka masih sangat berguna untuk gerak kerja PAS. Begitu jugalah Abu Bakar Chik. Harun Taib saya kira sedang menghitung hari-hari terakhir walaupun masih ramai penyokong totoknya di Manir.

Mohamad Sabu, ramai orang luar mahu beliau bertanding sekali lagi di situ. Tetapi adakah orang KT sendiri sudah boleh menerima beliau sebagai calon ? Adakah orang KT menolak Mat Sabu dalam PRU 12 semata-mata kerana dia orang luar atau ada faktor lain ? Nama yang agak popular setakat ini ialah Syed Azman.

Apapun, Terengganu sudah menerima semula royalti petrolium yang dinafikan haknya oleh kerajaan BN selama ini. Beriya-iya, beri penerangan kononnya royalti tu sebenarnya hanyalah ehsan kerajaan persekutuan sahaja. Dalam sidang DUN pun, wakil BN hanya sebut ehsan dan bukan lagi royalti. Tiba-tiba jadi royalti semula. Jadi betullah PAS selama ini. Betullah penjelasan Salleh Abas dulu tu. BN cuma tipu rakyat Terengganu je. BN permainkan rakyat Terengganu. Malah RM1.5 bilion royalti tersebut telah disalah gunakan oleh BN untuk tujuan yang "baik???", tetapi tanpa izin rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu patut menuntut kerajaan Persekutuan dan UMNO Terengganu memohon maaf kerana merekalah yang bertanggung jawab atas penipuan, penyalahgunaan, membantutkan perancangan pembangunan negeri, membazir wang rakyat dengan memberi penerangan palsu. Atau rakyat sudah maafkan mereka dengan begitu mudah ? Tanpa perlu meminta maaf ? Tanpa perlu mengakui kesalahan mereka ? Tanpa menunjukan rasa kesal dan bersalah ? Orang yang sombong, angkuh dan takbur memang susah nak mohon maaf walaupun terang-terang buat salah dengan sengaja, dengan niat.

Saya sangat berharap pengundi di KT dapat mengajar BN supaya berpolitik secara sihat. Tidak ada calon mahupun parti yang sempurna, tanpa cacat cela atau kelemahan disana-sini. Tetapi kalau yang dalam kategori TERLAMPAU, BERDO'OH LALU, memang patut kena ajar.