Friday, March 06, 2009

Politik dan khianat

Adakah parti patut dipersalahkan jika wakil yang dipilihnya belot ?
Adakah rakyat patut dipersalahkan jika wakil yang dipilih khianat ?
Adakah negara patut dipersalahkan jika menteri yang dilantik menyalahgunakan kuasa ?
Adakah raja patut dipersalahkan jika MB yang diperkenannya salah mentadbir negeri ?

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al Baqarah :45)

Imuniti raja-raja mahu dikembalikan ?

Saya tidak setuju sama sekali imuniti ini dikembalikan. Mahathir telah bertindak betul menghapuskan imuniti raja-raja.

Keputusan menghapuskan imuniti raja-raja bukan sahaja telah disokong UMNO malah PAS pada ketika itu. Ia perlu dipertahankan. Tak payah pakat-pakat nak jilat semula kahak lama. Kuman itu sudah dikeluarkan.

Jangan berlebih-lebihan memuji dan memuja raja-raja. Berjuta-juta wang rakyat dibelanjakan mereka setiap tahun, tanpa pernah diketahui rakyat pun. Cukup-cukuplah kuasa yang masih ada pada mereka.

Wednesday, March 04, 2009

Raja-raja Melayu

Hari ini, kita mungkin masih ber"bangga" dengan Raja-raja Melayu. Kerana raja-raja kita hari ini masih Melayu. Selepas 20, 30 atau 40 tahun lagi, apakah kita masih bangga dengan Raja-raja ? Kerana adakah raja-raja ini masih Melayu tulin atau nama sahaja Melayu tetapi berjiwa barat ? Ruhnya dari barat.

Keturunan istana seperti juga orang kebanyakan, bercinta dengan sesiapa tanpa mengira bangsa. Kemudian mereka berkahwin dengan bukan Melayu. Lalu lahirlah Raja Muda yang bukan Melayu sepenuhnya. Apatah lagi cara hidupnya juga tidak Melayu. Komunikasinya juga bukan lagi Melayu. Persekitarannya tidak lagi Melayu. Tiada lah lagi ruh kemelayuan dalam dirinya. Mereka tidak lagi bergaul dengan masyarakat Melayu, dalam budaya Melayu.

Jadi pada masa itu, apakah kita masih akan menaruh harapan kepada mereka sebagai pembela adat dan budaya bangsa Melayu ? Pembela bahasa Melayu ? Muka pun dah tak ada muka Melayu. Cakap Melayu pun lebih teruk daripada orang putih. Nah. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku.

Dia ketua agama negeri. Buatnya dia tukar agama ? Macam mana ? Siapa nak bantah. Setakat bagi nasihat je la. Ikut tak ikut, itu keputusan dia sendiri. Pemuda UMNO pantang derhaka. Mufti kata tak boleh derhaka pada raja. Tak boleh berarak membantah raja. Lalu pemimpin melayu kita setia merafak sembah. Yang penting dapat anugerah Datuk.

Fikir-fikirlah wahai Melayu.

Kenapa mereka murtad

Jumaat lepas, saya solat Jumaat di masjid Ampang. Selalunya, khutbah jumaat di Selangor lebih seronok didengar berbanding khutbah di Wilayah Persekutuan seperti di masjid Jalan Duta. Isu-isu di masjid Jalan Duta selalunya terlalu duniawi. Macam dengar ceramah pendidikan moral je. Cuma bezanya ialah khutbah ada cukup rukunnya. Namun ia tiada kaitan dengan parti yang memerintah negeri Selangor berbanding persekutuan kerana keadaan ini sudah berlaku sejak sebelum 2008 lagi iaitu ketika Khir Toyo jadi MB. Cuma sesekali bila kerajaan terlalu mengawal isi kandungan khutbah, isinya menjadi hambar.

Khutbah di Selangor biasanya lebih menyentuh hati, mengajak diri bermuhasabah. Tak mengantuk mendengarnya apatah lagi jika khatibnya berjaya menyampaikan dengan berkesan.

Isu yang dibawa minggu lepas ialah "Kenapa mereka murtad ?". Saya lihat, khatib tidak membaca teks sebaliknya berkhutbah. Hanya sesekali dia seperti membaca teks, mungkin nota atau rujukan supaya khutbahnya tidak meleret-leret, serta nas yang dibacakan betul dan tepat.

Semalam, saya cuba mencari teks khutbah di portal JAIS. Tiada tajuk isu murtad di sana. Namun, apa yang penting, ia bukan menceritakan tentang hukuman untuk orang yang murtad. Ia menyentuh tentang sejauh mana kita suburkan akidah Islam dalam diri dan keluarga kita. Tidak cukup dengan hanya menghantar anak ke kelas fardhu ain sahaja, ajar anak mengaji, solat dan sebagainya tetapi soal tauhid tidak pernah dibincangkan dalam keluarga. Siapa idola anak-anak kita. Sejauh mana kita insaf bahawa Islam adalah agama kita, panduan kita, tujuan kita. Kita mahu mati dalam Islam. Syurga adalah cita-cita kita. Quran adalah petunjuk kita. Bandingkan dengan kehidupan seharian kita, cara hidup keluarga dan masyarakat kita. Adakah kita berpuas hati ? Sudah memadaikah dengan apa yang telah kita miliki ? Atau masih terlalu jauh ? Atau semakin jauh ?

Kemudian saya teringat dengan seorang mufti di Malaysia yang pernah bangkit dalam isu murtad, ketika kecoh isu Datuk Azhar Mansor di Ipoh. Pernah sang mufti berkata, beratus malah beribu orang di Malaysia yang sudah murtad. Hal ini tidak boleh dibiarkan lagi. Sudah terlalu lama parti itu memerintah dan keadaan semakin buruk. Parti itu sudah tidak boleh diharapkan lagi dalam isu ini. Anehnya, kebelakangan ini, mufti itu seperti mahu parti yang sudah tidak boleh diharap itu kembali berkuasa. Demi untuk Islam ?

Monday, March 02, 2009

Bahasa Melayu melambatkan kita untuk maju

Dalam isu bahasa melayu, apakah langkah atau tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak (kerajaan dan rakyat) untuk memartabatkan bahasa melayu ? Benarkah kita semua sangat sayangkan bahasa kita ? Benarkah kita bersungguh-sungguh mahu melihat bahasa kita dimartabatkan ?

Saya pernah ajukan soalan ini dalam satu portal forum di internet. Dan akibatnya, saya dituduh skema. Dalam erti kata lain, anak-anak muda tidak berminat untuk menggunakan bahasa melayu dengan sebaik mungkin. Sebenarnya, bahasa bangsa lain pun tercemar juga dan selalunya, golongan remaja dan belia lah yang suka mengubah suai bahasa dengan perkataan-perkataan baru. Lihat filem atau drama Indonesia atau drama Thai di astro. Mereka juga kerap menggunakan bahasa rojak.

Ada yang mahu papan tanda-papan tanda mengutamakan bahasa melayu dahulu. Kalau kita ke kompleks beli belah, kebanyakan papan tanda hari ini menggunakan bahasa Inggeris. Kalau dwi bahasa tu tak apalah juga, masalahnya hanya bahasa Inggeris sahaja. Adakah ini bertujuan untuk menjadikan rakyat kita lebih menguasai bahasa Inggeris selain untuk pelancong ? Disamping itu, kita juga gemar menggunakan nama-nama asing untuk tempat dan bangunan.

Martabat bahasa melayu bukan setakat di papan tanda sahaja tetapi yang lebih penting ialah banyaknya bahan penerbitan, cetakan dan terjemahan dalam bahasa melayu. Satu ketika dahulu, ramai ulama melayu menterjemahkan kitab-kitab agama ke bahasa melayu (jawi). Begitu cara mereka mahu menjadikan orang Melayu celik ilmu agama sekaligus memartabatkan bahasa melayu.

Andai satu hari nanti, generasi akan datang di Malaysia semakin pandai berbahasa Inggeris, adakah mereka masih berminat untuk membeli akhbar berbahasa melayu, majalah berbahasa melayu dan buku-buku berbahasa melayu ? Atau mungkinkah mereka berasa malu untuk membelinya seperti kita malu untuk membeli malah membawa akhbar jawi Utusan Melayu beberapa tahun lepas ?

Maaf, saya bukan tidak mahu melihat anak-anak kita akan datang mampu menguasai bahasa Inggeris. Tetapi jika kita lihat, ulama-ulama yang mahir berbahasa arab masih berbangga dengan bahasa melayunya berbanding yang mahir bahasa Inggeris, sudah mulai malu untuk menggunakan bahasa melayu sepenuhnya. Kenapa jadi begitu ya ?

Dalam pada itu, masih ada yang beranggapan golongan yang memperjuangkan bahasa malayu dalam isu PPSMI sebagai menyekat usaha memajukan anak bangsa. Dalam erti kata lain, kita tidak akan maju jika terus belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu atau Bahasa melayu tidak mampu menjadikan kita maju.

Sunday, March 01, 2009

Kluk Klek

Selepas melabelkan PAS sebagai kluk klek dalam PRK Kuala Terengganu Januari lalu, kredibiliti kerajaan BN semakin terhakis apabila mereka sendiri mengubah keputusan yang sudah dibuat dalam tempoh yang singkat. Ia menunjukkan kerajaan tidak berhati-hati dalam membuat keputusan, terburu-buru dan tidak berfikir panjang.

Sehari selepas mengumumkan kenaikan kadar tol, kerajaan menangguhkannya pula. Beberapa minggu selepas akhbar mengumumkan LCCT Labu dibatalkan, Menteri Pengangkutan berkata, keputusan belum muktamad pula. Beberapa hari kemudian, Timbalan PM mengesahkan pula projek tersebut sah batal.

Selepas beberapa minggu mengumumkan kemungkinan harga gula akan naik hingga berlaku kekurangan gula di sesetengah tempat, kerajaan mengumumkan harga gula tidak akan naik dalam masa terdekat (mungkin sekurang-kurangnya untuk tahun ini.)

Sebelum ini, kerajaan begitu yakin bahawa ekonomi kita tidak akan terjejas dengan krisis ekonomi global. Kenyataan keluar dari mulut di Kementerian Kewangan sendiri. Kini semua sudah tahu, bagaimana kita semua terkesan dengan krisis yang melanda hingga ada pakej rangsangan berbilion ringgit. Kalau kesannya sedikit sekalipun, masakan pekejnya berbilion ringgit ?

Terbaru, selepas mengeluarkan kebenaran kepada agama lain untuk menggunakan perkataan Allah (dengan syarat tertentu), kini kerajaan menarik balik pula kebenaran tersebut.

Tidakkah semua ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mampu berfikir jauh ? Semua dibuat secara terburu-buru, tanpa kajian mendalam. Ia sebenarnya memalukan negara. Apakah kita memiliki sekumpulan menteri yang pendek akal ? Sekumpulan menteri yang hanya tahu mengangguk dalam mesyuarat kabinet. Atau pegawai yang melaksanakan arahan menteri tersebut yang hanya tahu menurut perintah menteri. Semua laporan dan kajian hanya untuk menyedapkan telinga menteri. Apa yang menteri mahu dengar itu yang kita beri.

Keadaan ini samalah seperti media Utusan Malaysia dan TV3 yang hanya melaporkan apa yang mahu didengar oleh orang UMNO, bukan melaporkan hal sebenar secara adil. Lalu kita semua tertipu oleh tipu daya yang kita sendiri cipta. Status kerajaan Perak kini juga masih tergantung. Ia bukan hal kecil. Sebuah negeri menjadi taruhan. Seluruh negara turut menanggung akibatnya kerana ia menjejaskan kredibiliti kerajaan Malaysia. Berapa lama isu ini akan selesai, tiada siapa yang dapat menjawab. Tergamak kerajaan membiarkan keadaan ini demi kepentingan politik kepartian walhal kerajaan tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ini dengan lebih cepat dan melegakan rakyat dan para pelabur ?

Thursday, February 26, 2009

Puisi oleh Datuk A. Samad Said

Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …

Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.

Monday, February 23, 2009

Sedekah

Semalam, isteri saya menceritakan, maknya memberitahu, buah betik yang ditanam dibelakang rumah kami dah hilang. Mungkin dimakan musang agaknya. Saya pernah ternampak musang di kawasan kampung ini pada waktu malam. Di kampung (Terengganu), musang bukan setakat makan buah dan ayam, malah kucing yang belum cukup dewasa pun dimakannya.

Dalam kuliyah maghrib sehari sebelum itu, ustaz ada membacakan sebuah hadis yang maksudnya, "Apa jua tanaman yang kita usahakan, kemudian ia sama ada menjadi makanan manusia atau haiwan atau sesuatu yang lain, maka ia akan menjadi sedekah hingga hari kiamat." Hadis sahih riwayat Muslim.

Jadi saya sebutkan kepada isteri saya, tak apa lah, sedekah saja lah, sambil saya sebutkan pasal hadis tersebut. Ustaz yang mengajar tu pun ada sebut, ia juga berlaku kepada dirinya sendiri. Pokok pisang yang ditanamnya, habis dipotong untuk diambil daunnya tanpa kebenaran. Mula-mula, merungut juga ustaz tu. Tapi kata isterinya, sedekah saja lah. Apa yang penting hati kena ikhlas dan redha.

Namun, sedekah bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha menghalang masalah tersebut daripada berulang. Bayangkan petani padi yang diserang masalah tikus atau siput atau ulat yang merosakkan bendangnya. Takkan boleh kata sedekah saja. Habislah hasil sebendang. Habis tu anak isteri nak makan apa ? Cuma kalau ia berlaku atas kecuaian kita atau setelah puas kita berusaha dan bertawakal, maka barulah kita kena terima dan redha dengan ketentuan Allah. Jangan pula kita menyumpah manusia atau haiwan yang mencuri hasil tanaman kita itu. Ingat, pahala sedekah itu kekal hingga hari kiamat.

Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. - Al Baqarah:263.

Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. - Al Baqarah:264.

... dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki - Saba':39

Jadi, dalam kes Ibrahim Ali yang kini menjadi ahli parlimen bebas, biar saya katakan, sedekah saja lah. Lagi pun ia adalah atas kecuaian PAS sendiri. Amacam ? Boleh ? he..he..he.. Besar ganjarannya tu.

Wednesday, February 18, 2009

Seronok dedahkan rahsia orang

Semua blogger politik gatal nak menyentuh sedikit isu gambar YB Elizabeth. Saya pun pada mulanya nak menulis juga. Tapi terpaksa tangguh kerana hal lain. Ye lah, bila baca kepada laporan awal, memang sah dia buat perkara tak bermoral. Kalau orang Islam, senang nak putuskan tindakan. Tapi kalau bukan Islam, nak rujuk kat mana ?

Tetapi, selepas 2 hari, nampak seolah-olah, bukan YB Elizabeth terang-terang buat salah seperti laporan awal. Macam gitu, tak jadilah saya nak komen panjang. Kita yang tak tengok gambar sebenar, kemudian nak buat rumusan. Berilah kepada yang bertanggung jawab sahaja menilainya, sama ada polis, j/k disiplin PKR mahupun j/k Pakatan.

Sebenarnya, siapa yang lebih teguh dalam menyimpan rahsia ? Lelaki atau perempuan. Kalau bab gambar-gambar lucah ni, lelakilah paling ke depan menyebarkan keaiban orang lain. Dalam dunia perolehan pula, saya dapati lelaki lebih banyak membocorkan maklumat sebut harga dan tender. Belanja minum kopi atau main golf je, sponsor itu ini serba sikit, boleh dapat info. Perempuan selalunya susah sikit, walaupun tak dinafikan ada juga.

Bila berlaku kes buang anak, bunuh anak dan sebagainya, hanya perempuan akan disalahkan. Hanya bukti depan mata sahaja yang diambil tindakan. Jalan mudah lah katakan. Bukan saya nak membela nasib perempuan zina itu, tapi sudahlah dia malu kepada masyarakat, tertekan sampai setengah gila, berdepan pula dengan hukuman penjara; sedang lelaki bangsat tu mungkin sedang tersengih atau geli hati melihat perempuan yang dirosakkannya menghadapi semua itu. Dia tak rasa bersalah ke melihat perempuan itu ? melihat anaknya hancur dalam longkang atau digonggong anjing liar ? Betul ke Islam menolak sepenuhnya bukti melalui DNA ? Apa pula tindakan proaktif kita untuk membendung dan menghentikan hal ini daripada berleluasa ?

Lihat berita ini :
-------------------------------------------
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah sengaja melakukan pembunuhan bayi yang baru dilahirkannya, dua tahun lalu.

Unah Suma, 28, didakwa melakukan pembunuhan itu dalam keadaan beliau belum pulih daripada kesan melahirkan bayinya dengan pertimbangan fikirannya yang terganggu.

Tertuduh yang dirogol anak saudara majikannya yang mabuk sehingga melahirkan bayi itu didakwa melakukan kesalahan itu di bilik rumah majikannya di No 30, Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, antara jam 1 pagi dan jam 2.30 pagi, 3 Jun 2007.
--------------------------------------------

Kita tak tahu apa pula hukuman untuk perogol itu ? Patut bunuh je. Paling minimapun, dia patut dihukum di khalayak ramai.

Thursday, February 12, 2009

Nasi Dagang Terengganu

Saya suka makan nasi dagang terutama nasi dagang Terengganu. Di KL, ada satu tempat yang nasi dagangnya memang sedap. Pengusahanya adalah orang Terengganu.

Hampir setiap minggu atau setidak-tidaknya, 2 minggu sekali, saya bawa keluarga saya bersarapan nasi dagang di AU5 Hulu Klang. Waktu perniagaannya saya tak pasti. Selain nasi dagang, juga ada disediakan roti bom dan nasi lemak. Ia terletak di sebelah stesen minyak esso dan petronas.

Anda boleh download placemark nasi dagang tu di sini. Gunakan googleearth untuk tahu di mana lokasinya.

Friday, February 06, 2009

Serahkan kepada Allah

Serahkan kepada rakyat
Biar rakyat tentukan pilihan
Biar rakyat buat keputusan

Serahkan kepada Tuanku
Merafak sembah menjunjung titah

Tetapi...
Tiada keadilan sebenar pada diri manusia
Keadilan hanya daripada Allah
Serahkan kepada Allah


Tetapi...
Mereka merampas secara tidak bermoral
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Status adun Bebas masih menjadi pertikaian
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Mereka sebenarnya belum mandapat majoriti
Serahkan kepada Allah

Jika ia hak kita
Pasti Alah akan kembalikan kepada kita
Bagaimana caranya
Bila masanya
Serahkan kepada Allah

Usah kecewa lagi
Serahkan kepada Allah

Takkan berserah sahaja tanpa berusaha ?
Bukankah selama ini kita sentiasa berusaha ?
Teruskan usaha dan
Serahkan kepada Allah

Thursday, February 05, 2009

Tumbangnya kerajaan PR Perak

Bersabarlah. Tak perlu sedih-sedih. Kita dah biasa dengan kekalahan demi kekalahan.

Tak usahlah melawan lagi. Terimalah keputusan Sultan. Percayalah, dengan ketentuan Allah.

Perangai orang PAS pun dah terikut-ikut dengan orang PKR dan DAP. Macam tak boleh terima kenyataan. Kawallah perasaan tu.

Ambil wudhu. Sujud kepada Allah. Dia Maha Mengetahui. Dia Maha Berkuasa.

Wednesday, February 04, 2009

Rasa "Yakin Tak Boleh" BN pengaruhi keputusan SPR

Selalunya, bila ada pilihanraya kecil, pihak yang akan bertanding akan bersorak-sorai. Lebih besar peluang untuk menang, lebih riuh lah soraknya. Apatah lagi jika kerusi yang kosong, asalnya adalah milik lawan.

Tetapi kalah menang pertandingan adalah ketentuan Allah. Walau selicik mana perancangan manusia, mana mungkin dapat mengatasi perancangan Allah. Namun keyakinan hati mempengaruhi rasa teruja diri.

Bila speaker Perak mengumumkan dua kerusi DUN yang asalnya milik PR kosong, UMNO menyambut dingin. Kemenangan PR bukan besar mana pun. Tetapi UMNO dan BN jelas tidak berminat atau tidak bersedia untuk PRK. Logiknya,inilah peluang untuk BN mengurangkan majoriti kerajaan PR. Dengan kata lain, UMNO dan BN memiliki semangat "Yakin Tak Boleh". Adakah PR memiliki semangat "Yakin Boleh" ?

PR mempunyai pilihan untuk membubarkan DUN Perak seluruhnya, tetapi saya bimbang kalau keputusannya 2 kali 5 sahaja iaitu majoriti 1 kerusi. Sudahlah belanjanya besar, banyak masa terbuang, hasilnya tak seberapa. Kalau DUN Perak dibubarkan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mungkin terpaksa ditangguhkan lagi dan ini tentu mengecewakan Najib. Tetapi kerajaan negeri tidak wajar membubarkan DUN semata-mata kerana mahu "mengacau" Najib.

Apa yang lebih membimbangkan ialah BN menggunakan taktik politik Darurat. Darurat kerajaan penjajah pada 1948 melumpuhkan gerakan yang digelar "kiri" iaitu yang tidak pro pemerintah (penjajah). Darurat Kelantan 1977 melumpuhkan kerajaan negeri dan PAS Kelantan. Sekali lagi ia menguntungkan kerajaan persekutuan. Tidak mustahil, provokasi dibuat untuk mewujudkan suasana tidak aman di Perak. Minta dijauhkan Allah. Ia boleh memberi implikasi yang besar, bukan hanya di Perak malah ke seluruh negara. In bukan tahun 1977 lagi. Ini zaman ledakan maklumat.

..............................

Tunggu dan lihat sajalah.

Ada yang kata Perak kini ada 3 Adun Bebas. Tapi yang 2 orang semalam tu betul ke masih sah Adun ?

Adun Bota dilaporkan melompat semula ke BN.

BN boleh mempersembahkan surat akuan daripada 3 Adun bebas yang membuat perakuan menyokong kerajaan baru BN di Perak tetapi ketiga-tiga Adun ini sebelum ini juga sudah membuat surat akuan kepada Sultan menyokong kerajaan PR dan kini mereka ingkar. Boleh kah surat akuan mereka ini dipercayai ?

Jika BN dapat merampas kuasa petang ini, adakah rakyat Perak akan gembira ? Tidakkah kerajaan BN juga terdedah kepada suasana tidak stabil ?

Bagaimana pula jika mahkamah selepas ini mengesahkan 2 Adun Bebas itu bukan Adun lagi. Jika pilihanraya kecil memihak kepada PR, akan bertukar kerajaan semulakah negeri Perak.

Kalau begitu rumitnya, eloklah pilihanraya negeri dibuat di negeri Perak. Biar rakyat putuskan semula. Pilih calon yang betul-betul berkualiti dan setia.

Sunday, February 01, 2009

Lompat parti

Saya tidak rasa gembira bila ada ADUN UMNO melompat ke PKR. Ini kerana saya tidak setuju dengan amalan lompat parti, terutama bila ia melibatkan orang yang sudah diamanahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang sah untuk menjadi ADUN.

Tetapi memang sukar kalau jadi ADUN, tiba-tiba tidak mendapat kerjasama penuh daripada parti yang diwakili sendiri. Peruntukan daripada parti sendiri disekat. Rakan-rakan sendiri mengkhianati.

Apa yang berlaku di Perak hari ini sangat menyusahkan kerajaan negeri dan rakyat. Seorang adun UMNO masuk PKR. Dua orang adun PKR tak pasti status sebenarnya. Ada laporan mengatakan sudah letak jawatan. Tetapi ada yang kata ia bukan daripada tuan punya badan sendiri. Kesahihan surat letak jawatan itu diragui.

Seorang ADUN DAP juga dilaporkan hilang. Dan ia berlaku hanya beberapa hari sebelum sambutan ulangtahun ke 25 pemerintahan Sultan Azlan Shah. Sultan tentu tidak gembira.

Ketika kerajaan negeri hendak dibentuk tahun lalu, semua sudah tandatangan kepada Sultan, pengakuan setuju dengan MB dan kerajaan yang akan dibentuk. Kini tiada janji yang tak boleh diingkari. Itulah politik.

Mungkinkah ini semua taktik/tekanan supaya MB Perak (dengan perkenan Sultan) membubarkan DUN Perak ? Saya lihat, taktik Anwar Ibrahim dalam isu 16 Semptember 2008 juga sebagai taktik untuk memberi tekanan kepada PM supaya membubarkan Parlimen. Tetapi PM tidak termakan dengan gertakan Anwar. Dan akhirnya tiada apa-apa berlaku.

Saya harap semua akan berakhir dengan cepat, tenang dan selamat. Saya tidak fikir kerajaan negeri akan bertukar tangan sebelum sambutan Jubli Perak Sultan. Kedua-dua pihak tidak sepatutnya mencemarkan sambutan ini.

Saturday, January 31, 2009

PPSMI - wajarkah diteruskan (2) ?

Saya juga tidak menyokong demonstrasi, kecuali kalau agama saya dihina dan dipijak-pijak.

Dalam isu PPSMI, saya setuju bahawa pelaksanaannya dahulu dibuat secara tergesa-gesa. Namun setelah masuk tahun ke 7 perlaksanaannya, adalah agak sukar untuk menarik balik kerana ia dikira sebagai langkah undur ke belakang. Ia melibatkan kos yang besar, kesan yang negatif kepada anak-anak. Kementerian Pelajaran tidak sepatutnya terlalu kerap menukar silibus dan kaedah pengajaran kerana ia menyukarkan ibu bapa memantau pelajaran anak-anak selain mengelirukan anak-anak itu sendiri. Apatah lagi kesan PPSMI sudah mula menampakkan sedikit kemajuan.

Amat sayang sekali, suatu hari nanti, bahasa melayu tidak lagi berkembang dengan istilah-istilah baru sains. Bahasa melayu akan menjadi bahasa lingua franca, bahasa perbualan sahaja, bukan lagi bahasa ilmu. Itupun dirosakkan lagi dengan bahasa rojak. Tiada guna lagi penterjemahan dibuat untuk buku-buku ilmiah sains dan matematik kerana tiada siapa mahu menggunakannya. Majalah, jurnal, makalah sains dalam bahasa melayu akan terhapus.

Saya tetap berpendapat, kaedah pengajaran Bahasa Inggeris perlu diperbetulkan dan bukan melalui pengajaran Sains dan Matematik. Malah tahap penguasaan Bahasa Melayu dikalangan anak-anak hari ini juga lemah dan perlu diperbaiki semula. Formula perlu dicari untuk mengatasi masalah terutama di kalangan penduduk luar bandar dan keluarga miskin dalam meningkatkan penguasaan BI mereka.

Ketika saya sekolah menengah dulu, ada beberapa orang anak arab (Iraq) di sekolah saya. Bapanya adalah guru bahasa arab di sekolah tersebut. Yang pasti, daripada segi qawa'id (tatabahasa / grammar), pelajar kita jauh lebih baik daripada mereka. Ini diakui sendiri oleh semua ustaz-ustaz yang mengajar bahasa arab. Tetapi kalau suruh bercakap, sudah tentu pelajar kita akan tergagap-gagap malah mungkin sukar nak memahami perbualan dalam bahasa arab. Ketika itu, kami baru 2-3 tahun terdedah dengan bahasa arab.

Belajar bahasa arab nyata lebih cepat dikuasai berbanding bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris sudah dipelajari sejak darjah 1 lagi. Ini kerana kami ada 3 guru yang mengajar bahasa arab berbanding hanya 1 guru bahasa inggeris. Untuk bahasa arab, seorang guru mengajar kefahaman (muthalaah), seorang mengajar tatabahasa (qawa'id) dan seorang lagi mengajar perbualan (muhadathah). Ditambah lagi pelajaran bahasa arab secara tidak langsung daripada subjek tafsir al quran dan tafsir hadith. Ketika itu, subjek agama islam diajar dalam bahasa melayu tetapi oleh kerana al quran dan hadith dalam bahasa arab, kami perlu memahami setiap kalimah sebelum memahami keseluruhan maksud ayat.

Memang, cara terbaik untuk menguasai ilmu al quran dan pengajian Islam ialah dengan menguasai bahasa arab. Begitu juga, cara terbaik untuk menguasai ilmu sains dan teknologi ialah dengan menguasai bahasa Inggeris (kecuali anda belajar di negara seperti Rusia atau Jepun).

.................................................

Saya gembira melihat anak saya sudah mula boleh bertutur dalam bahasa inggeris sejak belajar di tadika (bukan tadika kemas, bukan tadika Pasti). Ayah saya pun dulu kalau boleh nak hantar saya ke sekolah jenis kebangsaan inggeris, malangnya sekolah jenis itu telah dihapuskan pada zaman saya.

.................................................

TUJUH pilihan yang dicadangkan selepas persidangan meja bulat PPSMI :-

1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.

2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.

3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.

4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.

5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.

6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan

7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Daripada tujuh pilihan yang ada, saya pilih pilihan ke 6.

Tetapi saya lebih suka kalau subjek sejarah, tamadun dan pendidikan moral (tatarakyat ?) diajar dalam bahasa inggeris dan bukan sains dan matematik. Ini kerana pelajaran tersebut lebih banyak vocabulary nya dan dalam bentuk penceritaan dan ada dialognya. Dulu sejarah diajar diperingkat sekolah rendah tetapi kenapa sekarang tiada lagi ? Apapun, beban pelajar perlu juga diambil kira.

Kini, program ko-kurikulum mula diberi perhatian. Ia wajar dibuat dalam bahasa Inggeris. Pergerakan pengakap, bulan sabit, aktiviti sukan, pementasan dan sebagainya, bukankah elok menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa komunikasi ?

Friday, January 30, 2009

Demonstrasi PPSMI

Bersempena dengan program khas Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang akan berlangsung pada hari Sabtu 31 Januari 2009, pada jam 3.00 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semua rakyat digesa hadir menyokong para tokoh bahasa dan pemimpin Pakatan Rakyat agar menyampaikan bantahan kepada kerajaan BN.

Antara yang dijangka hadir adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Shahrin Md Zain, Prof. Abdullah Hassan, Ainon Mohd., Hasni Abas, Suhaizan Kayat, parti PAS dengan Dr. Nasharuddin Md. Isa, Mohd. Sabu bersama Pemuda PAS diketuai Salehuddin Ayub, manakala PKR dengan peneraju utama Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua AMK Pusat) bersama jentera padu AMK khususnya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor dan disokong oleh ahli MPT PKR Tian Chua.

................................................

Mengikut pemerhatian saya, antara yang membantah PPSMI dengan yang menyokong PPSMI, lebih kurang sama banyak. Kalau lebih ramai yang membantahpun, mungkin beza nsibahnya tidak besar.

Kesimpulannya, ramai rakyat sedar pentingnya Bahasa Kebangsaan dan penguasaan Bahasa Inggeris. Kebanyakan yang menyokong PPSMI adalah kerana mahu penguasaan BI dipertingkatkan. Manakala yang membantah pula tidak menolak pentingnya penguasaan BI cuma kaedah dan pendekatannya yang tidak disetujui.

Jadi, apakah kaedah terbaik untuk meningkatkan penguasaan BI ? Apa kata kalau semua pihak ini berbincang pula bagaimanakah kaedah yang paling baik untuk meningkatkan penguasaan BI terutama di kalangan orang Melayu, di bandar dan luar bandar.

................................................
Ini pula saya kutip daripada komen seseorang dalam dalam blog tukartiub.

Contoh dalam kelas IT dalam BM- Ikut cikgu buat , ambil barang keras ini dan cucuk dalam lobang port USB, ini ialah alat cucuk dan main. Barang lembut ini sungguh mudah main dan boleh tambah satu batang gembira.....siapa yang ngoook sekarang?
* (use this hardware and plug direct to the USB port.The software is user friendly and a joystick may be added)

Terjemahan di atas mungkin dibuat secara seloroh tetapi ia menunjukkan kelemahan kita mencari istilah yang sesuai. Manual linux dalam versi Indonesia mudah ditemui di internet tetapi manual dalam bahasa Melayu ? Manual barangan elektrik yang kita beli pun biasa dilengkapi dengan manual bahasa Indonesia tetapi hanya sedikit yang dalam bahasa Melayu. Walaupun kita selalu mengaku kita lebih maju daripada Indonesia, tetapi 10 universiti terbaik di Asia Tenggara tidak termasuk daripada negara kita. Rujuk sini.

Lagipun, kebanyakan kita lebih suka beli majalah hiburan, Tabloid sensasi, dvd cetak rompak di pasar malam berbanding beli buku istilah yang dikeluarkan oleh DBP sebagai rujukan. Kalau beli buku tu rasa macam membazir kan ?

Wednesday, January 28, 2009

Fitnah kepada seorang Imam

Ramlang Porigi, nama yang tersohor dalam isu Sumpah Keramat Saiful Bukhari di Masjid Wilayah telah dipecat daripada jawatannya. Dia kini tiada kerja.

Begitulah kejamnya orang politik. Selepas memaksa imam tersebut menjadi saksi, menutup peluang kepada nya untuk membela diri memberi penjelasan melalui media, kini dia dibuang kerja.

Dia cuba berpaut pada dahan yang lagi satu, naik ke pentas ceramah dan beri penjelasan. Dia yang ketika itu hanya nampak itulah sahaja peluang terbaik untuk membersihkan namanya yang menjadi bahan fitnah. Tapi fitnah lain pula menimpanya. Kesian dia. Seorang imam muda dengan begitu mudah diperkotak-katikkan oleh orang-orang politik.

Siapakah yang akan datang membela nasibnya ? Puak yang lagi satukah ? Atau dia akan terbiar begitu tanpa pembelaan, tanpa kerja ? Kerajaan Selangor tak boleh bantukah beri pekerjaan yang sesuai untuknya. Itulah harapan saya.

Thursday, January 22, 2009

UMNO/BN mengajar ahlinya bersifat sombong

Salam.

Dalam PRK K.Trg baru-baru ini, UMNO dan BN bermati-matian cuba menafikan calonnya sombong. Beribu-ribu ringgit terpaksa digunakan untuk memulihkan imej sombong yang melekat padanya.

Anehnya yang mulakan isu calon sombong ialah orang UMNO/BN sendiri. Ini diakui oleh jentera UMNO sendiri.

Semalam, Zahid Hamidi, seorang menteri di JPM yang menjaga hal ehwal agama mengarahkan kakitangan persekutuan di Perak supaya jangan menghadiri mesyuarat dengan kerajaan negeri. Sombong tak ? Tidakkah itu angkuh namanya ?

Langkah kerajaan persekutuan menubuhkan JKKP itu sendiri pun sudah jelas sombong dan angkuh. Mereka enggan mengiktiraf JKKK kerajaan negeri walhal Kerajaan negeri hanya mengikut kaedah pentadbiran asal yang sudah sekian lama wujud di negeri masing-masing. Cuma ada sedikit perubahan dari segi lantikan misalnya namun daripada segi bidang kuasa JKKK dan penghulu tetap sama. Tapi BN dengan dipelopori UMNO bertindak angkuh menghina kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Selepas mendakwa pembangkang memecah-belahkan masyarakat, mereka bertindak memecah-belahkan dan menyusahkan masyarakat.

Anggota UMNO/BN juga diharamkan menyertai jawatankuasa atau jawatan peringkat kerajaan negeri PR. Jika tawaran diterima, bersedialah untuk diambil tindakan. Hadir jemputan pun dikira salah besar. Kalau anggota tersebut sendiri yang menolak, itu hak dia lah tetapi sampai akan dikenakan tindakan tatatertib malah akan digantung atau dipecat. Sombong tak ? Angkuh tak ?

Kalau kita lihat, pembangkang pernah diajak menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) dan mereka terima. Ada juga yang menyertai jawatankuasa kewangan atau kira-kira peringkat negeri, pun mereka terima. Tetapi bagi UMNO dan BN, tidak sama sekali.

Di parlimen pun, usul daripada pembangkang diharamkan daripada disokong atau disetujui oleh anggota BN. Ahli Parlimen JB, Shahrir Samad dan bekas ahli parlimen Teluk Kemang, S.Sothinathan pernah dikenakan tindakan kerana menyokong usul pembangkang walaupun usul itu baik, untuk kepentingan rakyat. Sombong tak ? Angkuh tak ?

Pembangkang pula tidak teragak-agak menyokong usul pihak kerajaan selagi ia membawa kepada kebaikan untuk rakyat dan negara.

Begitulah sebenarnya. UMNO dan BN lah yang mengajar anggotanya supaya sombong dan angkuh. Hanya kita sahaja yang bagus dan baik dan yang bagus dan baik mesti datang hanya daripada kita.

Wallahua'lam.

Tuesday, January 20, 2009

X-Factor lemahkan UMNO

Terima kasih kepada SUKJ yang menyiarkan komen saya tentang sumbangan Che Det dalam PRK K.Trg. SUKJ berkata, "Saya merasa amat yakin jika dapat menyatakan di sini bahawa Dr. Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab memecah belahkan orang-orang Melayu pada hari ini. Bukan Anwar Ibrahim, bukan Pak Lah atau Khairy dan bukan PAS atau PKR."

Sebenarnya Che Det memang berperanan langsung memecah belahkan orang-orang Melayu, bukan pada hari ini saja malah sejak zaman Tunku, Tun Hussein Onn, pada zamannya sendiri dan kini pada zaman Pak Lah. Pada zaman Tun Hussein Onn, Che Det berperanan menyingkirkan PAS daripada BN, bimbang beberapa tokoh dalam PAS boleh menyainginya. Pada zamannya sendiri, beberapa orang tokoh berkarisma UMNO tersingkir dan terbenam. Pada zaman Pak Lah, dia mahu singkir dan benamkan seorang lagi anak muda yang mula menunjukkan kewibawaannya iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) yang nampaknya menjadi saingan utama pula kepada anaknya Mukhriz.

Che Det memang tak boleh duduk diam selagi KJ tidak dijatuhkan. Dia tak kisah anaknya kurang menonjol, kurang wibawa, tidak licik sepertinya, yang penting legasinya perlu diteruskan. Pada hari ini, semua ulasan Che Det terhadap Pak Lah perlu dilihat sebagai ditujukan kepada KJ dan bukan Pak Lah.

Che Det sedar, Pak Lah mahu berundur sebulan dua lagi; maka apa perlu serangan diteruskan ? Najib yang mengetuai kempen di Pmtg Pauh dan K.Trg, dan akan menggantikan Pak Lah; jadi kenapa tak dibantu ? Jawabnya, sebab faktor KJ. Ditambah pula Pemuda KT mencalonkan KJ sebagai calon KP Umno dan bukan Mukhriz.

Kata Che Det, "Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang."

Saya terjemahkan begini, "Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong Khairy Jamaluddin, maka saya akan pastikan beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang."

Bagi Che Det, hanya dia dan keturunannya sahaja yang bersih, putih, jernih. Bukankah dia yang mulakan kempen bersih, cekap, amanah ? Kenapa Pak Lah yang dapat title "Mr. Clean" ? Bila populariti Pak Lah mencanak pada PRU 2004, Che Det mula rasa tak selesa. Dia mula memainkan peranan mencari salah Pak Lah. Bila nama KJ naik sebagai naib ketua pemuda tanpa bertanding, dia semakin sesak nafas dan sakit jantung. Akhirnya dia berjaya dalam PRU 12, dalam PRK P. Pauh dan PRK K.Trg.

Tulisan saya bukanlah tanda sokongan saya kepada KJ, tetapi anda sendiri boleh menilai antara KJ dan Mukhriz, bandingkan secara jujur.

Berikut tulisan saya yang tersiar dalam blog SUKJ.

................................
Sebenarnya Dr. Mahathir turut berperanan mengalahkan calon BN dalam PRK K.T baru-baru ini. Sebelum itu beliau juga telah turut berperanan mengalahkan calon BN dalam PRU12 dan PRK P.Pauh.

Beliau tidak pernah henti-henti mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi BN. Kalau dia betul hendak membantu UMNO/BN, dia boleh beri kenyataan yang berpihak kepada UMNO/BN. Berilah nasihat cara orang tua atau dia menangis sekali lagi macam dulu dengan puisi Melayu mudah lupanya.

Disebaliknya kini kita meragui keikhlasannya. Terbaru, beliau berkata keputusan ini adalah undi tidak percaya kepada Pak Lah. Sebenarnya dia hendak kata, ini undi tidak percaya kepada Khairy kerana anaknya Mukhriz hendak lawan Khairy.

Dia hendak Najib berani, maksudnya berani untuk sokong Mukhriz, walaupun Mukhriz tergagap-gagap setiap kali disergah pembangkang mahupun rakan dalam BN. Dia tetap mahu anaknya Mukhriz memimpin pemuda UMNO dan Najib menjadi bonekanya. Hanya dengan cara ini saja, BN kembali gagah.

...................................

Maafkan saya. Mungkinkah saya terlalu buruk sangka dengan Che Det ?