Thursday, August 20, 2009

BN makin terhimpit

BN makin terhimpit dengan berbagai masalah. BN semakin sesak nafas, tetapi bukan H1N1. Ada beberapa berita yang sungguh mendukacitakan BN.

1. Calon Timbalan Presiden MIC, Subramaniam mendapat perintah injuksi menghalang anak Presiden MIC daripada menerbitkan artikel yang memfitnah dirinya. - MIC masih dan semakin retak.

2. Presiden MCA, Ong Tee Keat dan Ahli Parlimen Bintulu (Bendahari SPDP) semakin terlondeh dan saling melondehkan antara satu sama lain. MCA dan SPDP semakin retak. Kedua-duanya rakan BN.
Ditanya sekiranya pendedahan mengenai sumbangan (RM10juta) itu akan memberi kesan ke atas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaaan rasuah dalam projek PKFZ, Tiong berkata:

"Kenapa ia akan memberi kesan? Ini hanya antara saya dengan dia (Ong). Duit ini adalah duit peribadi saya, jadi ini adalah antara saya dengan dia."


3. Bekas rakan kongsi calon BN Permatang Pasir, tampil mendedahkan isu sebenar yang membabitkan firma guaman milik calon BN itu.

4. Muhyiddin Yassin menafikan dia pernah jual tanah kepada Singapura ketika jadi MB Johor. Tapi penafian "anak Yassin" (gelaran oleh Sultan Johor) terlalu ringkas berbanding laporan akhbar yang detail menyukarkan rakyat untuk terus percaya dengan TPM Malaysia itu. Rujuk di sini.

5. Pilihanraya Permatang Pasir mengajak SPRM untuk membuka semula kertas siasatan ke atas bekas TKM P.Pinang. Kalau tiada pilihanraya ini, nescaya tidaklah SPRM terdorong untuk membuka semula siasatan yang sudah ditutup beberapa bulan lepas.

6. Pendedahan surat terbaru berkenaan sisatan kematian Teoh Beng Hock menjadikan SPRM semakin tidak sabar untuk membongkar semua fail exco di Selangor.

Ya. Yang salah kena bongkarkan juga termasuk SPRM sendiri, MCA, MIC, SPDP, Rohaizat, Muhyiddin dan exco Selangor.

Satu Malaysia untuk semua. Pas untuk semua. Islam untuk semua.

Pemuda PAS Perak tak fikir panjang

Entah apa rasionalnya, Pemuda PAS Perak tampil membuat aduan kepada Raja Muda Perak tentang MB Perak, Zambry menggunakan masjid untuk tazkirah ringkas. Kononnya ia menyalah gunakan masjid/surau untuk tujuan politik. Kononnya Zambry tiada tauliah.

Sebelum ini, ketika Nizar jadi MB, Nizar tak pernah buat benda yang sama ke ? Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, perkara seumpama ini tak pernah berlaku ke ? Malah ia sedang berlaku dan akan diteruskan.

Hal sekecil itu pun nak diadukan. Dia bukan berkempen suruh undi BN atau suruh masuk UMNO pun. Macam dah tak ada modal nak bertindak je. Nampak sangat kesalahan yang sengaja dicari-cari. Usahlah keterlaluan. Meluat orang tengok. Carilah isu yang lebih besar, lebih serius. Adakah pemuda PAS Perak sudah berbincang sebelum bertindak atau main ikut emosi saja.

Wednesday, August 19, 2009

Masuk syurga

Dalam berita TV malam tadi, dilaporkan, Nik Aziz mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawan ahli UMNO tidak akan masuk syurga.

Dalam surat khabar hari ini, Nik Aziz menafikan laporan yang memetik kenyataan beliau sebelum ini kononnya ahli UMNO tidak akan masuk syurga.

Semalam, siar berita besar-besar, tentang kenyataan Nik Aziz kata ahli UMNO tak layak masuk syurga. Lepas tu manipulasi cukup-cukup berita tu. Sensasikan dan sebarkan seluas-luasnya. Minta alim ulama dan cendekiawan agama komen dan ulas, kondem dan sinis. Lepas pilihanraya nanti, minta maaf semula. Tarik balik laporan. Tajuk kecil pun jadilah untuk minta maaf.

Begitulah media kita hari ini. Dan kita masih mahu mengeluarkan wang untuk membeli, membaca dan percaya laporan yang kita tahu lebih banyak menipu itu.

Dan kita gagal mengambil secara positif isi kenyataan Nik Aziz. Beliau mahu kita bermuhasabah diri, setiap apa yang kita buat di dunia ini dicatat oleh malaikat di kiri dan kanan kita, akan menjadi modal untuk ditimbang di akhirat kelak yang kesudahannya syurga dan neraka. Tidak kiralah PAS atau UMNO, yang penting, Islam perlu diterapkan dalam kehidupan kita, bersebati bersama-sama amal, pemikiran dan perbuatan kita.

Monday, August 17, 2009

Nik Aziz

Akhir-akhir ini, Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz sering dilaporkan memberi kenyataan-kenyataan yang kontroversi dan agak terburu-buru. Sama ada kenyataannya diputarbelitkan dengan laporan sedemikian atau memang Nik Aziz agak gelojoh menjawab soalan provokasi wartawan.

Antaranya ialah isu menghina Islam oleh DAP dan terbaru, isu orang UMNO tak boleh ke syurga. Saya memang kurang selsesa dengan Nik Aziz. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu berhati-hati dan berhikmah. Kenyataan daripada Nik Aziz terlalu mudah dieksploitasikan.

Dalam isu menghina Islam misalnya, sebenarnya kita tidak jelas, apakah perkataan yang dikatakan menghina Islam itu ? Ia hanya muncul dalam sebuah blog. Komen yang dikatakan menghina pula datang daripada pengunjung blog. Siapa pengunjung blog dan siapa pemilik blog tidak jelas. Setakat ini tak tahu siapa yang punya.

Jadi tak perlulah kita memaki hamun pemuda DAP dan tidak perlu juga membela mereka. Kita orang Islam sepatutnya sebulat suara mengecam dan mengutuk sesiapa sahaja yang menghina Islam, sama ada daripada DAP, atau UMNO sendiri.

Mengenai Jeff Ooi pula, saya tak nampak ia menghina Islam. Cuma ia menghina JIM, oleh itu, dia wajar meminta maaf kepada JIM. Dia menganggap orang yang mahu melaksanakan syariat Islam sebagai pelampau agama. Oleh itu, Jeff Ooi wajar diprotes supaya lain kali, mereka lebih memahami sensitiviti orang Islam.

Selama ini pun, ramai pemimpin UMNO juga berpendirian sama dengan Jeff Ooi malah lebih dahsyat daripada itu. Mereka bukan sekadar dianggap ekstrimis malah, ada yang kata, negara akan huru-hara jika syariat Islam dilaksanakan. Ada yang mempersendakan hukum Allah, sehingga ada yang nak buat sup tangan. Semua ini tidakkah juga satu penghinaan kepada hukum dalam Al Quran ?

Mengenai syurga dan neraka, Nik Aziz tidak perlu bercakap seolah-olah dia penjaga pintu syurga. Syurga dan neraka adalah hak Allah. Kita cuma perlu sampaikan apa yang sepatut dan mesti dibuat oleh orang yang mengaku dirinya Islam dan bertaqwa kepada Allah, apa yang mesti dijauhi dan ditinggalkan sebagai bukti keislaman, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah.

Cuba tanya orang UMNO,
Apakah dengan mendedahkan aurat, boleh mencerahkan peluang kita ke syurga ?
Apakah dengan meninggalkan solat dan berpoya-poya dengan maksiat boleh mendekatkan kita dengan syurga ?
Apakah dengan memberi dan menerima rasuah boleh menghindarkan kulit dan daging kita daripada dimamah api neraka ?
Apakah dengan menolak Islam sebagai satu cara hidup boleh menjadikan Allah sayang kepada kita ?
Apakah cara UMNO hari ini telah berjaya melahirkan masyarakat Islam Malaysia yang bertaqwa, Islam semakin subur dan berkembag dalam jiwa umat Islam atau umat Islam semakin layu dan lalai, enggan mengamalkan Islam dalam kehidupan malah ramai yang tak mahu bercakap tentang agama masing-masing, malu, segan, itu hak masing-masing dan ramai juga Melayu free thinker hari ini.
Apakah UMNO berpuas hati dengan kualiti iman dan taqwa umat Islam di Malaysia hari ini ?
Apakah dengan mengejek, mempersenda, menghalang, menganiaya dan memfitnah pihak yang mahu melaksanakan, mendaulatkan dan menyuburkan Islam di Malaysia boleh membawa kita ke syurga ?

PAS lawan BN di Permatang Pasir

Nampaknya, pertarungan satu lawan satu di Permatang Pasir akan berlangsung pada Ramadhan kali ini. Calon Bebas tersesat jalan, tak sempat nak serah borang pencalonan kerana tak tertahan sangat nak ke tandas.

Kak Min, bekas aktivis Keadilan Pulau Pinang tak masuk bertanding kali ini walaupun beliau muncul calon bebas paling mendapat publisiti dalam pilihanraya kecil Penanti sehingga mahu dibeli dengan ribu-ribu ringgit. Saya selalu mengharapkan Ibrahim Ali, selaku Presiden persatuan calon Bebas Malaysia turut hadir memberi sokongan kepada semua calon bebas yang mahu bertanding dalam PRK tetapi dia tak pernah tunjuk muka pun. Mungkin dia malu sebab dia sendiri pun bukan bertanding sebagai calon bebas tetapi sebagai calon PAS.

Saya belum jumpa blog khas Permatang Pasir seperti wujudnya blog-blog khas untuk PRK sebelum ini. Saya menjangkakan PRK kali ini agak sejuk walaupun tidak sedingin PRK Penanti.

Selamat "beraya" di bulan Ramadhan.

Friday, August 14, 2009

Kejap lawan, kejap kawan

Saya pun keliru bila mereka bergaduh. Betul ke mereka bergaduh ? Atau sekadar helah politik semata-mata. Kemudian mereka berdamai. Betul ke mereka berdamai ? Atau sekadar helah politik semata-mata.
Tiba-tiba UMNO sokong usaha PAS mengawal penjualan arak. Betul ke mereka sokong ? Atau helah politik sahaja ?
Bila kerajaan Kedah tutup pusat sembelihan babi, UMNO sokong. DAP yang bantah. Betul ke mereka sokong/bantah ? Atau semuanya sandiwara sahaja.

Kita kena hati-hati dengan orang politik. Mana mungkin mereka ketepikan kepentingan politik mereka. Yang selama ini bersama-sama minum arak tiba-tiba jadi anti arak pula. Yang sebelum ini sama-sama rancang ladang babi, tiba-tiba jadi anti ternakan babi pula. Yang dulu bukan main keras lantang berceramah di kampung-kampung "Walau karihal kaafiruun" (walaupun dibenci oleh orang-orang kafir), sekarang dah jadi lembut pulak.

Itulah realiti sebenarnya. Bukan mudah mengawal nafsu rakyat melalui undang-undang. Kita sangka, dengan adanya kuasa, mudahlah kita mengawalnya. Nak kawal nafsu orang Islam pun payah, inikan pula nak kawal masyarakat berbilang kaum.

Tetapi kalau dinilai usaha PAS melalui PR di Selangor berbanding yang sudah dibuat oleh UMNO melalui BN dulu, Saya beri markah 50% sahaja kepada PAS. Untuk UMNO pula, tak sampai 40%. Ini kerana UMNO sudah memerintah lebih 50 tahun tetapi perkembangan Islam semakin menguncup pula. Harap bina masjid lawa-lawa je. Dari segi penghayatan semakin mengecewakan. Apatah lagi nak menerangkan Islam kepada rakan-rakan BN, langsung tak tercapai.

Kompnen BN seperti langsung tak faham bagaimana tuntutan syariah Islam. Mungkin sebab UMNO sendiri pun tak faham. Biro agama dalam UMNO seperti tak berperanan langsung kecuali untuk menjawab serangan PAS sahaja. Nak kembangkan Islam dalam UMNO dan BN, jangan harap.

Untuk PAS pula, kalau dulu DAP sangat pantang dengan Islam, hari ni nampak lain sikit. Walaupun masih ada saki baki karat macam dulu, tapi lebih bersedia untuk berbincang dan bertenang. Soal ikhlas atau tidak, itu hanya Allah yang tahu. Tugas kita ialah sebarkan, sampaikan, usahakan; secara berhikmah. Mungkin setahun, mungkin sedekad, mungkin berkurun, tapi progress mesti ada. Bukan makin mengecut.

Dari segi ekonomi dan pembangunan pula, susah nak dinilai kerana terlalu baru. Tambah pula ekonomi negara sendiri pun masih tercungap-cungap.

................................................................

Saya tertanya-tanya, kenapa kerajaan persekutuan susuah sangat nak beri royalti petrolium kepada Kelantan ? Adakah kerana kerajaan Kelantan Kerajaan Melayu Islam ? Barangkali kalau yang kena ialah Pulau Pinang, orang Cina dan India satu Malaysia bersatu membantah kerajaan persekutuan. Mesti Najib dan BN kecut perut. MCA, Gerakan dan PPP mesti tidak berdiam diri walau pun yang memerintah ialah DAP. Tapi sebab Kelantan itu negeri Melayu, negeri Islam, yang diperintah oleh PAS, maka UMNO lah yang menerajui usaha menyekat royalti kepada Kelantan seperti mana yang pernah berlaku kepada Terengganu.

Friday, July 17, 2009

Kritikan terhadap khatib

Minggu lepas, saya tunai solat Jumaat di masjid Jami'ul Huda Ampang. Khatib jemputan tak dapat datang. Jadi khatib gantian mengambil alih. Ustaz ...

Dari awal khutbah disampaikan, saya sudah gelisah. Bacaannya lintang pukang. Ini mana punya khatib ni ? Saya perhatikan, khatib tidak membaca teks khutbah tetapi berkhutbah.

Kalau nak berkhutbahpun, kena bersedialah dengan isi kandungan khutbah. Ayat-ayat Quran yang dibaca mestilah lengkap, bukan baca sekerat-sekerat. Ada yang tak diterjemahkan pun, macamlah semua jemaah boleh faham. Terjemahan pun tak dibuat dengan sempurna. Sekerat-sekerat. Petikan Quran dan Hadis pun tak dibaca dengan baik dari segi tajwidnya. Panjang pendek entah ke mana.

Sebagai pengkritik, saya beri markah F untuk khatib hari itu. F = Fail (Gagal). Kepada jawatankuasa baru masjid yang rata-ratanya orang PAS dan PKR, hati-hati memilih penceramah. Memanglah sekarang ni, rata-rata penceramah di masjid adalah pemimpin PAS. Bila penceramah tak profesional, PAS dan PKR akan dapat nama. Malu saya dengan penceramah PAS yang sebegini. Apa agaknya komen jemaah.

Walaupun khatib gantian, dia mestilah yang bagus. Khatib tak semestinya ustaz. Pensyarah Sains Komputer saya dulu selalu jadi khatib di masjid UTM. Kalau tak bersedia nak berkhutbah secara spontan, baca aja teks khutbah yang disediakan. Lagi cantik. Lagi berkesan.

Tuesday, July 14, 2009

Techie News

Semalam saya download PClinuxOS versi GNOME dan KDE.

Hari ini saya install versi GNOME ke usb flash drive 4GB saya. Menggunakan wired network, saya install Broadcom-wl dan reboot. Kini saya sedang menggunakan PClinuxOS 2009.2 Gnome pada laptop Compaq V3000 series (model V3791TU) menggunakan wireless network.

Semuanya sungguh mudah. Saya boleh update OS dan install Firefox add-ons daripada semasa ke semasa. Semalam saya sudah berjaya install Knoppix 6 ke flash drive yang sama. Jadi hari ini saya cuba pula PClinuxOS.

Saturday, July 11, 2009

PM hadiri ijtima Jemaah Tabligh

Syabas saya ucapkan kepada PM Malaysia kerana meluangkan masa menghadiri ijtima Jemaah Tabligh di Nilai, Negeri Sembilan. Semalam, dilaporkan, MB Negeri Sembilan juga meluangkan masa ke sana.

Soal ikhlas atau tidak, itu antara dia dengan Allah dan kita tak perlu menyibuk. Orang yang pada mulanya tak ikhlas, boleh bertukar menjadi insaf jika mendapat hidayah Allah melalui program-program keagamaan. Ada juga orang yang asalnya ikhlas menjadi tidak ikhlas selpas mendapat pujian atau selepas keikhlasannya tidak dihargai, lalu dia mengungkit.

Dulu, kerajaan negeri Melaka pernah mewartakan pengharaman jemaah Tabligh. Setahu saya, pengharaman itu tidak pernah ditarik balik. Pada masa yang lain, Almarhum Datuk Ishak Baharom, ketika masih menjadi mufti Selangor pernah hadir memberi sokongan kepada ijtima Tabligh yang ketika itu diadakan di Selangor.

Jemaah Tabligh mempunyai caranya sendiri dalam menyebarkan dakwah Islamiyah. Ada kelemahannya dan ada kelebihannya. Saya tidak pernah menyertai program mereka tetapi saya respek dengan mereka. Mereka ada kekuatan untuk pergi rumah ke rumah, mengajak masyarakat datang berjemaah di masjid. Kita, apa usaha kita untuk mengajak masyarakat ke masjid ?

Apa yang saya harapkan ialah jangan pula PAS memusuhi atau membenci jemaah Tabligh kerana kehadiran Najib ke program mereka. PAS tak perlu menambah musuh sebaliknya PAS perlu meluaskan pengaruh kepada semua jemaah, berbuat baik kepada semua pihak dan berhikmah dalam mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran. Begitu juga terhadap golongan Salafi atau yang dilabel sebagai Wahabi. Kalau dengan Syiahpun, ada pemimpin PAS boleh berbaik-baik, kenapa tidak sesama Sunni ? Usah terikut-ikut stail ulama Arab yang cenderung mengecam bahkan mengkafirkan sesama Islam bila berbeza pandangan.

Tuesday, June 23, 2009

Antara Henry Gurney, J.W.W Birch dan Duncan Stewart

Papan tanda telah diletakkan di tempat pristiwa pembunuhan Sir Henry Gurney. Ia tanda kekejaman komunis.

Komunis memang kejam. Tapi komunis kejam bukan sebab bunuh Henry Gurney. Komunis juga tidak layak digelar pejuang negara kerana membunuh penjajah Inggeris dan ejen-ejennya.

Kalau perbuatan membunuh Henry Gurney disifatkan sebagai kejam, bagaimana dengan Datuk Maharaja Lela, Si Puntung dan Pandak Indut yang membunuh J.W.W.Birch di Pasir Salak, Perak ? Bagaimana pula dengan pembunuhan Sir Duncan Stewart di Sarawak oleh Rosli Dhobi dan rakan-rakannya ?

Saya tak pasti adakah tempat dimana Birch dibunuh atau tempat Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Indut digantung telah dipasang papan tanda untuk rakyat melihat dan mengingatinya.

Thursday, June 18, 2009

Isu kerajaan perpaduan

Entah kenapa, akhir-akhir ini, TG Nik Aziz semakin kuat melatah. Kenapa TGNA perlu beri respon kepada media massa sebelum duduk berbincang dengan TG Hadi Awang dan Ustaz Nasha ? Saya tak pernah dengar pihak yang menyokong idea kerajaan perpaduan menghentam pihak yang menentang secara sinis atau peribadi. Ustaz Nasha, TGHA, Mustapha Ali, Harun Taib, Hassan Ali tak pernah menyindir secara tebuka, merendah-rendahkan atau menghentam melalui media.

Sepatutnya, masing-masing bersikap tebuka dan bijak mengemukakan pandangan masing-masing, bukan menghentam, mengecam dan mengancam apatah lagi melalui media. Saya lihat, TGNA seperti terperangkap dengan jerat UMNO melalui umpan mereka, media dan wartawan.

Saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah bagus tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan buat masa ini. UMNO sendiri akan menolak idea ini kerana merasakan mereka masih kuat dan sukar untuk berbagi kuasa dengan komponen PR terutama PKR dan DAP.

Idea kerajaan perpaduan tidak sama langsung dengan isu perpaduan melayu. Ia bukan kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO seperti yang difahami oleh mufti Perak. Ia antara semua parti politik di Malaysia yang menang dalam pilihanraya.

Seperti kata TGHA, ia adalah satu lontaran idea (untuk difikirkan, dibincang, dibahas, dikritik, disesuaikan mengikut kesesuaian dan keperluan masyarakat di Malaysia). Kenapa cepat sangat nak tutup mata dan telinga ? Kenapa cepat sangat nak tutup minda daripada berfikir ? Kenapa susah nak percaya kepada TGHA berbanding dengan prasangka dalam hati ? Berapa kali dah kena tipu dengan TGHA berbanding pemimpin politik lain termasuk Anwar Ibrahim ? Saya lihat, Anwar Ibrahim sendiripun lebih cermat dan tidak melulu, meracau atau meraban dengan idea kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan bukan hanya untuk orang melayu. Ia adalah satu konsep baru atau sistem baru dalam pembentukan sebuah kerajaan di Malaysia. Saya faham, mungkin ramai yang bimbang TGHA jadi macam Datuk Asri atau Nakhaie Ahmad. Tapi saya yakin, TGHA tidak berpemikiran seperti itu.

Saya rasa, idea ini belum boleh diterima buat masa ini kerana masing-masing sudah faham mengikut kefahaman masing-masing disamping memiliki rasa curiga, syak wasangka, prejudis dan buruk sangka. Di saat PR sudah semakin hampir memotong BN dalam perlumbaan, tiba-tiba muncul pula idea ini yang dirasakan akan mengganggu tumpuan dan kerjasama yang baru dijalin.

Tawaran Shahrizat kepada musimat PAS untuk bincang isu perpaduan tak sama langsung atau tak ada kena mengena langsung dengan idea dan konsep kerajaan perpaduan. Itu mengikut kefahaman saya.

Apapun,saya menyokong idea Tuan Guru Hadi Awang ini.

Tuesday, June 09, 2009

Kebebasan berfikir bermakna bebas mentafsir Islam tanpa mematuhi panduan syariat ?

Dulu, ketika kerajaan mengharamkan pertubuhan Al Arqam dan kemudiannya Rufaqa, tiada pula pihak yang bangkit menentang, membantah atau mempertahankannya atas alasan demokrasi.

Ketika kerajaan bertindak ke atas rasul melayu dan kerajaan langit, PKR dan DAP tidak bising-bising pun seperti hari ini.

Saya nak tanya sdr Mustaffa Kamil Ayub, kalau Sisters In Islam itu sudah menyimpang pemikiran Islamnya sehingga kepada tergelincir aqidahnya, apa yang patut kita buat ? Biarkan ? Kebebasan berfikir ? Kebebasan bersuara ? Bebas menyebarkan fahaman yang sesat ? Bebas untuk menyesatkan lebih ramai umat Islam di Malaysia ?

Apa patut IKIM buat ? Apa patut Majlis Agama Islam Negeri buat ? Apa patut YADIM buat ? Apa patut JAKIM buat ? Buat seminar je ? Majlis fikir-fikir ? Ceramah dan forum agama ? Itu sahaja amar makruf nahi mungkar ?

Gerakan anti hadis pun, biarkan. Syiah pun, biarkan. Begitukan pendirian PKR ? Anwar Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub, Mohd Nur Manuty, Badrul Amin Baharon, Zulkifli Noordin, sila jawab.

Wednesday, June 03, 2009

Stadium kebanggaan rakyat negeri

12 April 2008 - Bumbung dewan SMK Wakaf Tapai runtuh. Alhamdulillah tiada nyawa terkoban. Tiada mangsa tercedera.

10 Mei 2008 - Stadium Sultan Mizan dirasmikan, menjadi kebanggaan rakyat negeri Terengganu.

2 Jun 2009 - Bumbung stadium kebanggaan rakyat negeri Terengganu runtuh. Alhamdulillah tiada mangsa yang cedera atau terkorban. Tahun lepas rakyat bangga. Tahun ni rakyat aib. Malunya weh.

.......................................................

Stadium Utama di Gong Badak telah diilhamkan pada tahun 80an lagi iaitu semasa era pentadbiran Wan Mokhar Ahmad. Utusan Malaysia pada tahun 1986 pernah menyiarkan laporan rancangan kerajaan negeri untuk membina stadium yang boleh memuatkan 60 ribu orang penonton. Stadium Shah Alam belum wujud lagi masa tu. Bangganya kami anak-anak Terengganu.

1986, ekonomi negara mengalami kemelesetan, pengangguran bertambah. Banjir besar melanda negeri Terengganu sehingga kerajaan negeri mahu mengisytiharkan darurat tetapi ditolak oleh Mahathir. Cuti kakitangan awam dibekukan. Nok gi kerja guana , jalan ssekat belaka. Mahathir ccakap senang lah dia naik helikopter tengok dari udara je.

Banjir besar dan kemelesetan ekonomi memaksa kerajaan menangguhkan rancangan bina stadium, sebaliknya rancangan bina longkang besar dan membaiki sistem saliran di negeri Terengganu didahulukan. Dalam masa sama, jambatan Sultan Mahmud (jambatan pulau duyong) dibina walaupun mendapat bantahan daripada PAS. Bayangkan kalau kerajaan layan bantahan PAS, apa jadi dengan jembatan manir ? Mesti jem gila. (Dalam hal ini, saya tak sokong bantahan PAS).

Akhirnya, Stadium Shah Alam siap dulu. Stadium Bukit Jalil pun siap sepuluh tahun sebelum Stadium Terengganu siap. Tapi bumbung Stadium Terengganu runtuh dulu. (Mudah-mudahan tiada lagi bumbung stadium runtuh selepas ini).

Tahun lepas, saya ada terbaca laporan bumbung stadium itu pernah runtuh ketika dalam pembinaan lagi. Akibatnya, besi yang digunakan menjadi sedikit bengkok walaupun cuba dibetulkan semula. Ada gambar disertakan sekali. Tak dapat disahkan sama ada laporan itu betul atau tidak. Gambar pula boleh dimanipulasi.

Bumbung stadium yang runtuh pasti akan menguatkan lagi kedudukan Ahmad Said sebagai MB Terengganu daripada digugat geng Idris Jusoh, tetapi dalam masa yang sama juga akan menguatkan lagi PAS di Terengganu.

Wednesday, May 27, 2009

Curang

KUALA LUMPUR: Tiada persefahaman, suami curang atau isteri enggan dimadukan serta campur tangan mentua dan ipar duai adalah antara punca utama menyebabkan pasangan suami isteri di negara ini bercerai.

Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, 42.3 peratus kes perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan (12 peratus), tidak bertanggungjawab (11.5 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus).

............................................

Patutlah dalam radio pagi ini, baik IKIM.FM mahupun HOT.FM bercerita pasal topik curang.

Lalu saya menggoogle definisi curang. Mengikut kamus Dewan, curang bermaksud 'tidak jujur, tidak lurus (tulus) hati.'
Dalam konteks hubungan suami isteri, curang adalah 'tidak setia (khianat) pada suami (isteri, tunang dan sebagainya) dengan menjalin hubungan cinta dan sebagainya dengan orang lain.'

Dalam forum-forum internet pula, bermacam-macam definisi diberi.

"once kite ade perasaan terhadap org lain selain suami@wife kite / bf@gf kite ...tu dh kire curang la tu...".


Mak ai. Baru perasaan sorang-sorang macam tu dah kira curang ?

Curang bermaksud menjalinkan hubungan sulit (rasa cinta,kasih) tanpa pengetahuan pasangan masing2.


Hmmm... Maknanya yang kahwin secara senyap-senyap tu curang juga lah. Walaupun halal dari sudut syariah ?

Bagi aku curang bila kita kata sayang kat A, di masa yg sama kita pon kata benda yg sama utk B.


Kalau dah kahwin lebih dari satu, memanglah semua kena ucapkan sayang. Takkan itupun dikira curang ?

Bagi saya curang tu ialah...dah ada seseorang yg istimewa tapi menjalinkan hubungan yg istimewa ngan seseorg..means that ada dua atau lebih boyfren pada masa yg sama

bagi saya kalo setakat berkawan..itu bukan curang...tapi kalo bagi sms i love u tanpa niat lebih dari kawan (gurauan) myb takpa bagi sesetengah org

apa2pun semuanya terpulang kepada niat masing2


Curang bila kita buat kontek yang melengkaui lebih dari biasa dengan seseorang selain dari yang ada. Kontek tu samada fizikali, emosi, elektronikali, seksuali, dll.


Curang adalah menduakan pasangan...


... dan macam-macam lagi.

.............................................................

Bila sepasang manusia berkahwin, kita menambah hubungan (dengan jalan syr'ie) dengan seorang lagi manusia. Dalam masa yang sama, hubungan kita dengan Allah adalah tetap. Kita wajib menjaga kedua-dua hubungan itu.

Jika suami berkahwin lain, dengan jalan syar'ie, itu bukan curang. Rasulullah pun kahwin lain juga. Masalah bila tanggung jawab kepada salah seorang isteri diabaikan, itu curang dengan Allah dan curang dengan isteri. Jika suami menjalin hubungan dengan orang lain, sama ada kekasih atau berzina dengan pelacur (bukan sebab cinta), itu juga curang.

Bagi isteri pula, jika dia ada hubungan dengan lelaki lain (secara tidak syar'ie), walaupun tidak sampai tahap zina, itu sudah curang kerana dia tidak menjaga kehormatan diri. Apatah lagi dia melayani lelaki lain kerana melayani perasaan sukanya kepada lelaki lain. Kalau urusan kerja (tanpa perasaan sayang), tak mengapalah. Yang penting, hubungan/tanggungjawab dengan suami itu terpelihara. Kalau suaminya dayus dan membiarkan isteri berhubungan dengan lelaki lain, ia tetap curang kerana ia tidak syar'ie.

Jadi pokoknya ialah syariat, iaitu hubungan dengan Allah. Dan kedua ialah hak (kewajipan) dan tanggungjawab kepada pasangan. Bagi yang belum berkahwin, tetap ada tanggungjawab kepada tunang dan tanggung jawab kepada ibu bapa.

Tuesday, May 26, 2009

Semak arah kiblat

Setiap tahun, kita berpeluang untuk membuat semakan semula arah kiblat melalui panduan matahari. Semakan boleh dibuat pada 27 Mei jam 5:18 petang dan 15 Julai jam 5:27 petang. Pada masa tersebut, matahari berada di atas kaabah. Bayang tiang tegak akan menunjukkan arah kiblat (arah matahari jatuh jika di Malaysia).

Cuma beberapa tahun lepas, saya tak berpeluang kerana cuaca hujan. Difahamkan, semakan juga boleh dibuat sehari sebelum dan sehari selepas arikh di atas. Mungkin ada perbezaan beberapa darjah sahaja yang boleh dimaafkan. Apapun, yang tepat ialah pada tarikh dan jam seperti di atas.

Ayuh manfaatkan saat yang hanya tiba setahun dua kali, dan hanya bila cuaca mengizinkan sahaja (maksudnya dengan izin Allah kerana Allah yang mengatur cuaca).

Saturday, May 16, 2009

PR dan BN sama sama penakut

Walaupun BN menafikan ia takut berdepan dengan pilihanraya di Perak, itu lah hakikat sebenarnya. Semua orang nampak jelas. BN mahu undi tidak percaya di DUN. Dulu tak nak buat. Sebelum lantik MB Zambri. Tu lah. Gelojoh sangat nak berkuasa.

PR pula takut nak berdepan dengan undi tak percaya di DUN. PR mahu pilihan raya sebab PR yakin, keputusannya akan berpihak kepadanya. Awal-awal lagi, speaker dah tolak usul, gantung Zambri dan exco haramnya. Itu semua taktik untuk mengelak undi tak percaya di DUN.

Tapi, speaker tolak usul undi tak percaya juga berlaku di Parlimen dan DUN Melaka. Jadi, apa lagi opsyen yang ada.

Hanya ada 2 opsyen yang saya nampak.

1. Undi tak percaya di DUN
2. Bubar DUN.

Pilihan 1, menguntungkan BN, sebab tu BN mahu yang ini.
Pilihan 2, memberi kelebihan kepada PR, sebab itu PR mahu yang ini.

Pilihan 1, memerlukan jiwa yang besar sekali gus memberi tekanan kepada MB Nizar dan speaker Siva.
Pilihan 2, memberi tekanan kepada Sultan. Nampak seolah-olah PR memaksa Sultan membubarkan DUN. Sultan tak suka buat keputusan seperti terpaksa. Sultan pantang dipaksa. Hanya Mahathir saja yang ada keistimewaan untuk memujuk (baca memaksa) Sultan dan Raja-raja. (Dan jangan pula lupa kepada kuasa Allah)

Maaf lah, saya memilih pilihan 1. Memang saya sayangkan kerajaan PR. Benci dengan BN. Tetapi pilihan 1 juga mengikut undang-undang. Dan kita tak perlu mengharap keputusan Sultan tetapi keputusan kita sendiri. Saya yakin, rakyat tetap menyebelahi kita dan akan terharu atas "kezuhudan" kita. Rakyat akan terus memuji-muji MB Nizar walaupun kalah dalam undi tak percaya di DUN.

Dan rakyat akan terus meluat dengan BN, walau apa cara BN untuk mengambil hati rakyat. Bila hati sudah terluka, parutnya sukar dihilangkan.

Wallahu a'lam.

Tuesday, May 12, 2009

Rakyat didahulukan, tapi takut nak serah mandat kepada rakyat

Bersungguh-sungguh benar BN mahu mengelak daripada pilihanraya di Perak. Walaupun slogannya rakyat didahulukan, tetapi dalam kes Perak, suara rakyat tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya kepentingan UMNO dan BN lah yang perlu didahulukan.

Jadi, biarkan rakyat dalam kekeliruan. Biarkan rakyat pening. Penyelesaian melalui mahkamah itu pasti lebih memuaskan hati UMNO. UMNO bukan gila kuasa, cuma UMNO takut nak lepaskan kuasa. UMNO takut untuk serahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan.

Kerajaan Minoriti di Perak

Walaupun Nizar kembali ke jawatan MB selepas dirampas selama 96 hari, kerajaan Pakatan di Perak tidak sama dengan kerajaan Pakatan sebelum ini. Kerajaan hari ini sah adalah kerajaan minoriti. Kerajaan yang pada hakikatnya berkuasa tetapi lemah dan boleh tumbang sedikit masa lagi.

UMNO dan BN sememangnya mahu elakkan DUN dibubar. Sebenarnya, saya rasa UMNO dan BN sedang kekeringan wang. Sedangkan pilihanraya kecil pun BN berbelanja besar, inikan pula pilihanraya negeri. Hutang PRU lepas pun tak habis bayar lagi. Banyak UMNO negeri kehabisan wang. Semua terpaksa mangharap UMNO pusat.

Bolehkah BN menang tanpa berbelanja besar dalam pilihanraya ? Bolehkah petugas-petugas BN bekerja dengan sukarela, tanpa "claim", tanpa upah ? Peluang menang dilihat tidak berpihak kepada BN.

Walaupun Najib (BN), Anwar (PKR), Kit Siang (DAP) dan Husam (PAS) nampak sepakat mahu menyelesaikan krisis di Perak, tiada tindakan dilihat menjurus ke arah itu. Semua pakai air liur je. Dari segi tindakan, masing-masing masih keras keng.

DUN bubar memang satu jalan penyelesaian yang baik. Kes mahkamah akan berterusan dan berpanjangan, dan dalam masa yang sama, akan bertambah lagi berbagai kekeliruan dan kes-kes baru yang dicipta oleh orang-orang politik ini. Ini hanya akan menambah parahkan lagi keadaan. Namun mengharapkan ehsan restu daripada istana bukanlah mudah. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah jelmakan satu penyelesaian yang boleh diterima ramai, negeri Perak diberkati dan dipelihara keamanannya dan kerajaan negerinya dapat berkhidmat dengan tenang tanpa gangguan yang tidak sepatutnya.

Monday, May 11, 2009

Nizar sebagai MB yang sah

Mahkamah Tinggi baru sahaja mengumumkan bahawa Nizar Jamaluddin adalah MB Perak yang sah. Jadi secara tak langsung nya, Zambri adalah MB yang tidak sah. Betul lah sebagaimana yang disebut-sebut oleh blogger dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Kerajaan Perak boleh terus memerintah jika mahu. Zambri dan enam rakan-rakannya telah digantung oleh DUN. Persidangan minggu lepas hanyalah satu pertunjukan sarkis sahaja.

Walau bagaimanapun, saya rasa DUN Perak patut dibubarkan. Biar semua orang puas hati. Zambri boleh bersidang semula jika menang. Bayangkan, betapa banyak arahan-arahan yang sudah dikeluarkan oleh Zambri dan gengnya, semuanya tidak sah dan tidak laku lagi. Contohnya, keputusan untuk melelong kereta exco pun tidak sah. Pembatalan JKKK negeri, juga tidak sah.

Sekarang, dah menyusahkan diri sendiri. Itu pun, Zambri khabarnya memohon supaya perlaksanaan keputusan ditangguhkan. Nak peningkan kepala lagi buat apa ? Jangan berterusan untuk susahkan rakyat. Kerajaan Perak sudah terjejas teruk. Jangan buang masa lagi. Kecuali rancangan damai antara BN dan PR mengambil keputusan yang lain, saya berharap agar mandat diserahkan semula kepada rakyat.

Allahu Akbar ! 3x

Saturday, May 09, 2009

Dr. Ramzi diberi masa 3 hari

Beberapa minggu lepas, bila YB Rosol menyebut, sms diterima daripada nombor pegawai kanan MB, saya ingatkan MB Ahmad Said. Rupanya MB Idris Jusoh, Menteri Besar Pulau Wan Man.

Ada yang mempersoalkan, kenapa sampai 3 hari untuk serah diri kepada polis ? Tak lama sangat ke tu ? Barangkali, polis nak beri masa kepada Ramzi solat sunat istikharah 3 malam berturut-turut. Polis nak panggil untuk dapatkan keterangan je. Nak lengkapkan siasatan. Belum tentu salah lagi.

Siapa Dr. Ramzi ni. Kalau anda masih ingat, tahun lepas, Presiden PAS terfitnah kononnya tak nak bersalam dengan calon BN ketika penamaan calon PRU 12. Dr. Ramzi ni lah calon BN tu, yang beriya-iya nak wartawan siarkan gambar dia bersalam dengan Hj Hadi, tapi tak kesampaian. Sudahnya, Hj Hadi terfitnah satu Malaysia, keluar TV3, keluar Utusan.

Susah payah pula PAS nak kena beri penjelasan. Itupun penjelasan tu bukan keluar TV dan suratkhabar pun, sebaliknya penjelasan pula diputarbelitkan, kononnya sengaja cari alasan. Ustaz-ustaz pun turut beri komen, bersalam tu kan mulia, banyak kali bersalam pun tak apa.

Idris Jusoh mungkin tahu di mana Dr. Ramzi. Idris Jusoh memang licik orangnya. Tapi kali ni dia sedikit gopoh nak rampas semula kuasa drp Ahmad Said. Ustaz Fauzi Mustaffa baru je ada bercakap di radio KLFM, bila kita gopoh, sering kali tindakan kita memakan diri. Ustaz Fauzi ni pun orang kampung Tok Has juga. Sekampung dengan Idris Jusoh.

Sekarang, apa reaksi YB Rosol dan YB Idris Jusoh ?