Tuesday, March 29, 2011

'Datuk T' Sebenarnya Boleh Dilindungi Undang-Undang

Saya pernah kata, hanya UMNO yang layak untuk mentafsirkan undang-undang di Malaysia. Hari ini, menteri UMNO kata, Datuk T boleh dilindungi undang2. Akta perlindungan saksi ?

Penyokong PR masih ingat, Lim Guan Eng dipenjarakan, gugur jawatan ahli parlimen, kerana cuba membela seorang gadis melayu pada masa itu yang mendakwa dirinya dirogol oleh seorang ketua menteri. Tiada menteri umno yang kata, LGE boleh dilindungi undang2.

Ezam Mohd Nor dipenjarakan selepas mendedahkan laporan siasatan rasuah seorang menteri kanan umno. Juga tiada menteri yang sebut pasal akta perlindungan saksi.

Tiba2, akta perlindungan saksi dibangkitkan untuk melindungi video fitnah. Kita lihat apa episod seterusnya. Yang Anwar Ibrahim, belum terbukti salahnya. Yang Datuk T sudah jelas bukti salahnya. Tetapi polis perlukan lebih masa untuk menyiasat. Menyiasat atau memalingkan kesalahan ?

Thursday, March 24, 2011

T <> Eskay. Eskay = SK = Sudah Kantoi

Bodoh punya Trio Stooges. Kalau ye pun nak buat press conference, make up lah sikit Eskay. Kasi trim dia punya misai, kasi tukar spek, ambil spek yang poyo. Jangan lupa kasi botak kepala. Baru lah nampak lain. Ini masa PC, muka sebijik macam Anwar. Semua orang sudah perasan. Kan dah kantoi.

Kepada yang dah tengok video tu, di akhir-akhir rakaman, ada tak ditunjukkan Eskay sedang tercari2 jam Omega ? Patut tunjukkanlah sikit babak Eskay tercari2 jam dan tiba2, trenggg.. dia ternampak wayar berselirat hingga akhirnya terjumpa kamera dan alat perakam. Baru nampak rel sikit.

Lain kali kalau nak bikin filem, minta nasihat daripada KRU Berhad. Dia orang memang terer ooo..

KDN dan PDRM tak terlibat

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menimbang untuk menyaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan kementerian itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pendedahan video seks oleh individu misteri bergelar 'Datuk T' kelmarin.


Mungkin polis tak terlibat. Tetapi kegagalan polis dan kerajaan bertindak cepat menyebabkan orang ramai berfikir begitu. Kenapa polis gagal bertindak ? Kenapa polis macam tak kisah ? Siap ada pula menteri yang bela dengan berkata, tiada apa kesalahan pun. Macam mana rakyat tak curiga ?

Saya tak percaya Najib tak tahu menahu pasal pendedahan video lucah ini. Kalau isu yang boleh menjejaskan kerajaan BN, PM dan UMNO, mustahil mereka berani mengambil risiko atas kapasiti peribadi untuk membuat pendedahan tanpa lebih dahulu mendapat persetujuan PM. Ini perkara besar. Risiko yang besar. Bukan risiko hanya kepada Trio Three Stooges sahaja, tetapi kepada Najib dan Umno itu sendiri. Mustahil mereka tidak berbincang dahulu dengan pihak yang pakar dan boleh memberi nasihat dan jaminan tentang implikasi politik, implikasi undang2 dan sebagainya.

Wednesday, March 23, 2011

Datuk T = Terbongkar

T itu Tipu. T itu Temberang. T itu Takut. T itu Tolol.

Terdedah sudah siapa Datuk T. Mereka sendiri mengaku. Selepas didedahkan oleh Johari Abdul. Yang best nya, mereka tuduh Johari Abdul minta RM1 juta untuk pengaruhi MP PKR.

Saya bukanlah nak percaya atau tidak. Cuma masa saya baca kenyataan Johari Abdul, saya macam ragu2 dengan dia. Kenapa hari ini Johari dedahkan ini semua ? Adakah Johari sudah laporkan kepada Anwar terlebih dahulu sebelum Anwar buat penafian ?

Anwar terlalu cepat dedahkan bukti dan alibi untuk menyokongnya. Jika pendedahan Johari dibuat hanya selepas bukti penafian Anwar, Anwar wajar untuk meragui Johari.

Walaupun Johari berkata, dia memeluk rakannya dalam lif dan bersyukur kerana dia yakin lelaki itu bukan Anwar, benarkah begitu ? Siapa rakannya itu ? Saya cuma khuatir, Johari mungkin pada awalnya percaya dengan video itu. Tak mustahil dia terpengaruh dengan video fitnah itu. Kalau saya sendiri pun, mungkin juga terpengaruh sehingga mendengar sendiri penafian Anwar. Maklumlah, dalam keadaan keliru dan berdebar2 seperti itu.

Cumanya, benarkah Johari ada meminta wang untuk mempengaruhi MP PKR ? Adakah ia sekadar perangkap atau memang Johari serius ?

Walaubagaimanapun, terlalu banyak jika dalam kes di atas kalau nak difikirkan. Terlalu banyak prasangka. Maaf.

Tuesday, March 22, 2011

Datuk T dengan video lucahnya

Semalam, Datuk T berjaya menayangkan video lucah perdana di sebuah hotel 5 bintang lebih di KL. Tiada gangguan daripada mana2 pihak.

Saya tak tahu siapa "pelakonnya" sebab tak tengok sama. Mungkin Anwar Ibrahim. Mungkin bukan. Tetapi saya secara peribadi tidak terpengaruh sangat dengan tuduhan terhadap Anwar. Bukan saya percaya Anwar baik. Tetapi terlalu banyak tuduhan demi tuduhan sedang ia didapati mudah dipertikaikan. Mudah ditimbulkan keraguan. Cukuplah dibawa satu saja keraguan, saya tidak lagi berminat dengan dakwaan jahat terhadap seseorang.

Cuma, cuba anda bayangkan jika "pelakonnya" seiras Najib Razak. Agaknya di mana Datuk T berada hari ini ? Tak sempat tayang kot. Tak kan polis masih rileks macam semalam dan hari ini. Itulah namanya "Tegas, Adil dan Berhemah".

Monday, March 21, 2011

YB Bukit Payong beri penjelasan

Akhirnya, YB Bukit Payong memberi penjelasan isu khalwat yang dipalitkan kepadanya. Saya berpuas hati dengan penjelasannya. Walaupun pahit untuk ditelan, ia adalah kenyataan.

YB bukan mahu dedahkan keaiban sesiapa. Penjelasan itu adalah perlu supaya YB tidak terus difitnah atau disindir. Ia boleh berlaku kepada sesiapapun termasuk keluarga kita sendiri.

Cuba perhatikan sekeliling kita. Kadang2 ia mungkin juga berlaku kepada kita. Anda bertuah jika semua saudara-mara anda semuanya soleh dan solehah belaka. Tetapi kadang2 ada juga yang terdedah auratnya, yang terpalit dengan dadah, ajaran sesat, maksiat zina, mencuri dan sebagainya. Ia adalah ujian dan peringatan buat kita. Jangan suka sangat menuduh dan menyindir orang lain. Mengejek dengan ejekan yang melucukan sehingga hadirin semua tergelak besar, sedangkan ia bila2 masa boleh berlaku kepada kita.

Ada yang kata, ia tak akan berlaku kalau kita didik keluarga kita dengan islam dan iman. Tetapi kita tentu pernah dengar cerita sang abid yang tewas dengan godaan wanita lalu akhirnya membunuh wanita itu.

Sebab itu saya sangat takut hendak mengata orang lain kerana saudara-mara saya sendiri (walaupun bukan saudara dekat) ada yang tercalar rekodnya. Sudah dihantar ke sekolah agama, akhirnya jadi penagih dadah juga. Ada yang ibu bapanya orang baik2, kaki masjid atau surau, tetapi akhirnya melahirkan zuriat luar nikah. Malah ada seorang sahabat Kusza yang telah keluar Islam. Bertahun2 belajar agama, solat berjemaah bersama 5 waktu sehari semalam, akhirnya murtad. Tak sedih ke ?

Tiada siapa yang mahu jadi begitu tetapi syaitan dan iblis tidak akan berhenti menggoda dan menghasut kita. Semoga kita terus istiqamah dengan Islam. Dan jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan Allah. Istighfarlah setiap hari.

Wednesday, March 16, 2011

Kerdilnya manusia

Sekali lagi manusia diperlihatkan betapa kerdilnya manusia, betapa remehnya akal dan ilmu kita.

Tsunami di Aceh sudahpun menunjukkan betapa besarnya kuasa Allah. Namun Aceh dilihat sebagai mundur. Teknologi pembinaannya tidak hebat. Tidak bersedia dengan ancaman tsunami. Hanya dipenuhi pondok2 kecil dan bangunan2 lemah. Dipenuhi umat Islam.

Kini ia berlaku lagi. Jepun sebuah negara maju. Berteknologi nuklear. Bangunannya tahan gempa, apatah lagi kilang nuklear. Tentu berkali ganda tahannya.

Jepun sebuah negara yang cepat belajar daripada sejarah. Sejarah bencana nuklear di Amerika dan Soviet pasti banyak memantapkan lagi persediaan Jepun berdepan bencana nuklear.

Jepun sudah pernah dilanda tsunami. Sudah tentu negara maju yang berpengalaman ini lebih jauh bersedia jika nak dibandingkan dengan Indonesia dan Malaysia. Setakat amaran, itu sudah tentu. Sistem amaran Jepun pasti canggih. Tembok pertahanan dibina dipantai. Rakyat dilatih secara berkala untuk berdepan bencana tsunami.

Namun ia berlaku juga. Sekelip mata juga. Puluhan ribu nyawa juga. Menonton video tsunami di tv atau internet, sekali lagi kita diperlihatkan, kerdilnya kita. Mudah saja diranapkan oleh air yang berwarna hitam. Walaupun begitu, kebanyakan manusia tidak mahu mengaitkan dengan kuasa Allah yang mengatur alam ini.

Ia dilihat sebagai kuasa alam. Seolah-olah tiada siapa yang mengawal kuasa itu kecuali ia terjadi dengan sendiri. Ia juga kerana kecuaian manusia melayani kuasa dan ilmu. Ujian nuklear, penebangan hutan, pembuangan sisa toksik. Ya, itu menyumbang. Tapi kalau tiada kuasa nuklear, tiada penebangan hutan, tiada sisa toksik, apakah tiada gempa bumi? Tiada kemarau ? Tiada banjir besar ? Tiada taufan ? Tiada gunung berapi? Tiada tsunami ?

Apapun yang berlaku di sekeliling kita, banjir besar di Australia, gempa di New Zealand, kebakaran hutan, jerebu, nahas nuklear, kita tetap sibuk melayani hawa nafsu, sehingga sanggup menipu, membunuh, berperang mempertahankan kuasa dan berebut kuasa, walhal sudah ditunjukkan kuasa kita sangat kerdil. Kuasa, wang, harta, perempuan. Dan kita tidak akan puas. Makin dikejar, makin tak puas.

Kejadian di Aceh akhirnya mewujudkan keamanan di Aceh. Apa pula hikmah daripada Jepun ?

Tuesday, March 15, 2011

ADUN Bukit Payung nafi ada petugasnya yg ditangkap khalwat

Baru hari ini, Adun Bukit Payung keuarkan kenyataan menafikan adanya pegawai atau pembantunya yang ditangkap khalwat.

Semalam, Berita Harian melaporkan, orang yang ditangkap itu adalah bapa saudara Adun itu sendiri, tetapi mengikut kata Ustaz Mohd Nor Hamzah (Adun Bkt Payung), dia tak kenal siapa orang itu.

Sebelum ini, Buletin Online ada laporkan ada pembantu khas Adun dalam parlimen Marang yang ditangkap khalwat, tetapi tak disebutkan Adun mana. Berita itu sudah dipadamkan. Sepatutnya, Buletin Online segera perbetulkan laporan itu, bukan memadamkan tanpa berita susulan atau pembetulan. Ini menimbulkan kecurigaan pembaca. Apatah lagi, Sinar Harian dan Berita Harian melaporkan cerita yang sama dengan laporan lebih spesifik, Adun Bukit Bayung.

Pihak Adun pula agak lambat menafikannya. Semua media alternatif sebaliknya hanya menyepi, mengiyakan tidak, menafikan pun tidak.

Kalau benar, Adun itu tak kenal pesalah khalwat tersebut, Alhamdulillah. Cuma diharap lain kali pembantu Adun itu dan media2 pro PAS lebih cergas dan proaktif bertindak supaya fitnah tidak tersebar luas, baru nak dibendung. Zaman blackberry dan iphone, sepatutnya tiada alasan untuk lambat bertindak menolak fitnah seperti ini, apatah lagi fitnah tersebar menerusi internet.

Monday, March 14, 2011

Pegawai khas ADUN ditangkap khalwat

Semalam, terbaca berita di Buletin Online, ada seorang pembantu khas seorang ADUN di Terengganu (Marang) ditangkap khalwat. Saya tertunggu-tunggu berita seterusnya.

Hari ini,tak ada satupun media alternatif yang siarkan laporannya. Ini termasuklah Buletin Online sendiri selain harakahdaily dan Tranungkite Online.

Rupa-rupanya, pembantu khas itu adalah orang PAS. Patutlah senyap katup. Khabarnya, dia adalah bapa saudara ADUN itu sendiri. Alahai. Kantoi.

Kalau orang UMNO, dah tentu riuh ddamat, geger dan gegak gempita seluruh media alternatif. Ini satu contoh hipokrasi dalam politik. Kedua-dua pihak serupa sahaja.

Kita mungkin sangka kalau dah berpegagng kepada Islam, etika juga mesti Islam. Lawan buat pun media lapor, kawan buat pun media lapor. Tetapi itu tak berlaku.

Hipokrit tetap berlaku. Diam-diam sudah. Tak baik aibkan orang. Tapi in bracket, kalau kena kat orang kita sahaja. Kalau kena kat puak dia, kita balun cukup-cukup. Siarkan gambar. Naikkan banner atau bunting. Kasi aib sama dia.

Apa komen PAS Terengganu ?

Friday, March 04, 2011

Nafastari

"hey, saya nak belanja anda makan nasi dagang di batu burok! bila agaknya?"

Itulah "azam" Allahyarham pada tahun 2009 yang mengajak saya mengenalinya lebih dekat.

Saya suka baca blognya walaupun saya tidak pernah mengenalinya. Tak tahu namanya. Tak pernah bercakap mahupun mendengar suaranya. Tapi saya dapat rasakan, dia seorang yang baik.

Banyak ilmu yang saya timba daripada blognya. Maklumlah, saya tidak pernah berpeluang mengenali budaya orang lain di negeri orang. Kadang2, saya kongsikan pengalaman Allahyarham dengan isteri saya, kenalan mahupun saudara mara saya. Saya rasa ia sangat menarik dan berguna.

Sayang sekali, dia dijemput Tuhan ketika usianya terlalu muda. Alangkah baiknya jika tulisannya dapat dibukukan. Saya belum pernah membaca buku yang menceritakan pengalaman dan budaya orang daripada sudut pandang kita, orang Melayu, Malaysia, Muslim.

Berapa ramai pegawai petugas Malaysia di serata dunia, tetapi tiada yang seperti Allahyarham. Mahu kongsikan pandangan dengan orang lain. Gaya penyampaiannya menarik. Kadang2, sifat positif orang ditulis untuk diteladani, sifat negatif pula untuk sempadani.

Tidak hairanlah ramai yang mengenalinya memuji-muji sifatnya. Baik, suka berkongsi pandangan, mudah didekati dan tidak tinggi diri.

Beliau meninggalkan seorang balu dan 2 anak yang tiba2 menjadi yatim. Saya bersimpati dengan keluarganya. Hanya Allah yang tahu hikmah kejadian. Semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah.

Kepada Nafastari, saya anggap kamu adalah salah seorang guru saya. Dan saya sentiasa mendoakan semua guru-guru saya agar sentiasa diampunkan dosa mereka selama mana mereka seorang Muslim.

Monday, January 24, 2011

Isu kecil yang diperbesarkan di Tenang

Antara yang jadi isu ialah muslimat PAS tak salam dengan lelaki. Salam dengan perempuan pun masih guna sarung tangan.

Antara yang jadi isu ialah pengurusan jenazah SU Umno. Siapa solatkan jenazah itu. Hal2 macam tu pun dipolitikkan.

Cuba semak balik, siapa yang dipanggil untuk majlis tahlil kematian seorang bekas Adun yang meninggal sebelum Ramadhan di Selangor tempoh hari. Polis kelaskan sebagai bunuh diri. Siapa yang bunuh diri, wallahua'lam. Polis tak mau cakap. Orangnya berpengaruh ketika hidupnya. Tahlilnya hanya dihadiri saudara terdekat. Itupun tak ramai.

Hidup bukan untuk bersuka ria. Bukan untuk mencari nama. Hidup untuk beramal, abdikan diri pada Allah. Amal pula bukan untuk menerima pujian dan sanjungan. Bukan untuk diheboh2kan.

Tapi kalau tak heboh, bukan politik namanya.

Sunday, January 23, 2011

PRK Tenang

Peluang PAS untuk menang di Tenang setipis kulit bawang. Tetapi saya lebih yakin dengan peluang PAS kali ini berbanding dengan di Galas tempoh hari. Saya percaya PAS dan Pakatan Rakyat dapat lakukan lebih baik daripada di Galas. Mungkin kerana kedudukan PAS sebagai "underdog" di Tenang sedangkan di Galas, PAS mempertahankan kerusi.

Calon lelaki atau perempuan, itu bukan ukuran lagi. PAS kini sudah bersedia. Pemikiran penyokong PAS kini lebih terbuka.

Jumlah kehadiran penyokong kedua2 parti bukan ukuran. Namun bilangan yang ramai di pihak PAS adalah satu suntikan semangat kepada penyokong PAS. Bukan mudah PAS mendapat sokongan terbuka sebegitu ramai di Johor. Di Johor, ada orang sanggup berkata, "Kita halau je dia dari kampung ni" bila penyokong PAS mula menapak di satu2 tempat.

Pada pertengahan 90an, saya pernah berbual2 dengan seorang pegawai kerajaan. Begitu bersemangat dia menceritakan kehadiran Nik Aziz ke JB menyampaikan ceramah dengan dihadiri ribuan penonton. Terperanjat MB Johor katanya. Gaya cakapnya seolah2 dia sokong PAS tetapi tak semestinya begitu. Mungkin ada sesuatu isu yang dia tak puas hati dengan kerajaan Johor ketika itu. Kini pegawai itu sudah menjawat pangkat JUSA.

Tugas berat menanti PAS dan PR di Johor. Moga keputusan di Johor akan meningkatkan kembali moral penyokong PR di seluruh negara. Allahu Akbar.

Monday, January 10, 2011

Interlok

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)


Menilai sebuah karya daripada sudut pandang seorang sasterawan, tentulah berbeza dengan menilainya drp sudut pandang seorang politikus. Demikian juga penilaian seorang berbangsa India drp segi kesusasteraan melayu terhadap karya tersebut.

Menyelesaikan masalah isu "Interlok" tidak semudah suntingan seperti di atas. Suntingan seperti itu mungkin boleh mengelak isu ini membisul dan berkudis jika ia dibuat sebelum buku itu dicetak dan dijadikan teks sekolah. Bila ia sudah bernanah, suntingan sebegitu tidak lagi memadai.

Saya fikir, kerajaan akan mengalah, demi kemenangan di Tenang. Banyak mana nak kena mengalah, wallahu a'lam. Cuma kerajaan terlalu lambat bertindak. Apa tindakan setakat ini ? Sudahkah dipanggil berbincang semua yang terlibat ? Pengarangnya, Sasterawannya, NGO Indianya. Dan ahli politik sepatutnya ketepi. Mereka bukan meleraikan kekusutan. Mereka hanya menambah kekusutan. Kerana mereka hanya pentingkan karier politik mereka.

Tuesday, December 21, 2010

Belajar drp sejarah

Dalam perhimpunan Agung UMNO yg lepas, ada suara mahu subjek sejarah dihidupkan semula. Lalu kerajaan pun segera meluluskannya. Siapakah yang cerdik sangat memadamkan subjek sejarah dalam sukatan pelajaran hari ini kalau bukan pemimpin UMNO sendiri. Kononnya hanya Sains dan Matematik yang penting. Subjek sastera pun dah tak penting lagi. Maka penguasaan bahasa Melayu semakin lemah dikalangan anak muda walhal orang putih masih melihat subjek sastera sebagai penting.

Pada masa lepas, sejarah terlalu menekankan aspek tarikh dan peristiwa sahaja. Juga nama2 tokoh sejarah itu. Saya tidaklah menafikan pentingnya semua itu tetapi apa yang lebih penting ialah pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah itu. Juga sejarah tidak boleh dilihat dari kaca mata si penulis sahaja tetapi perlu juga ada kritikan supaya pelajar boleh berfikir sendiri selain mengkaji juga sumber lain selain drpd apa yang dihidangkan dalam buku teks.

Contohnya, dalam isu campur tangan Inggeris di Perak, bagaimana ianya berpunca, bahayanya bila pendatang asing terlalu ramai dibawa masuk (untuk melombong timah) hingga wujud suasana terancam oleh kongsi gelap, diburukkan lagi dengan anggota keselamatan daripada India, dan pembesar2 melayu pula ghairah berebut takhta.

Hari ini, pendatang asing pun ramai juga, pengawal keselamatan pun diimpot juga dan pembesar2 melayu pun bertelagah juga. Juga tentang bagamana mudahnya pembesar2 melayu tertipu dengan perjanjian dengan Inggeris kerana mahukan kuasa dan kekayaan hasil negeri. Bila dah tahu kena tipu, barulah nak menentang penjajah kononnya.

Bila baca sejarah hari ini tentang pemberontakan Dato Bahaman di Pahang, seolah2 Dato Bahaman lah punca kekacauan di Pahang, mengutip cukai secara haram. Sepuluh orang polis Melayu dan 25 orang polis Sikhs dikerah untuk memerangi kumpulan Dato Bahaman. Siapa yang jahat ? Kumpulan Dato Bahaman kah atau 10 orang polis melayu yang mencari rezeki secara makan gaji itu ? Bagaimana kalau orang Dato Bahaman itu adalah datuk moyang kita ? Atau 10 orang melayu itu yang datuk moyang kita ? Kepada siapa kita nak marah ? Shamsiah Fakeh kah atau askar melayu yang makan gaji ? Mereka semua adalah mangsa tipu helah Inggeris dan pembesar2 melayu yang sebenarnya hanya mementingkan kekayaan keluarga dan nafsu serakah sendiri. (Bukan semua pembesar melayu begitu)

Sejarah bukan hanya untuk dibaca tetapi difahami, dibuat perbandingan, dikritik dan diambil iktibar.

Thursday, December 02, 2010

Dari blog AdukaTaruna

Ianya membuatkan gua berfikir dan terus berfikir. Sektor bawahan seperti Pengawal Keselamatan, car wash, dobi, orang kampung, buruh lebih ramai. Jika kita belajar dari sunnah alam yang Allah create ni, nyamuk lebih ramai dari katak, katak lebih ramai dari ular. Kelompok bodoh lebih ramai dari kelompok sederhana, kelompok sederhana lebih ramai dari cerdik.

Jadi, apakah sebab itu, Allah tidak sunnahkan hak memilih pemimpin diberikan secara terbuka? Di mana kelompok manusia bodoh adalah teramai sekali dalam sistem Allah ini?


Menarik untuk direnung2kan.

Masalahnya, yang cerdik pandai bila diberi kelebihan untuk memilih pemimpin mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri. Manakala jika hak memilih pemimpin diberi kepada semua orang, yang cerdik pandai tetap mengambil peluang memperbodohkan, menipu, memperalatkan orang ramai untuk kepentingan sendiri.

Apa yang penting ialah ilmu, iman dan taqwa. Lebih malang jika yang berilmu, beriman dan bertaqwa berantakan kerana berebut kuasa.

Tuesday, November 30, 2010

Kuasa raja selepas Pindaan Perlembagaan 1983



Daripada laporan di atas, ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat.
1. Kuasa raja dalam perkara di atas telah dihapuskan oleh penggubal undang2 (parlimen) pada tahun 1983.
2. Kuasa raja itu hanya boleh dikembalikan dengan sokokongan 2/3 ahli parlimen.
3. Wujud kemungkinan pindaan semula tidak dapat diluluskan kerana sokongan ahli parlimen bukan melayu tidak dijamin akan diperolehi dengan mudah. Ini bermakna ahli2 parlimen bukan melayu kini lebih berkuasa daripada ahli parlimen melayu bahkan daripada raja-raja melayu itu sendiri.

Kesimpulan2 lain boleh difikirkan sendiri.

Persoalannya :
1. Siapakah barua yang menerajui pindaan perlembagaan 1983 itu ?
2. Siapakah barua yang selama ini mengatur dengan bodoh agihan kerusi2 parlimen dan persempadanan pilihanraya sehingga kuasa melayu dan kuasa raja2 melayu terhakis ?
3. Tidakkah pindaan perlembagaan dan persempadanan pilihanraya hanya boleh diluluskan oleh parlimen jika mendapat sokongan 2/3 majoriti di parlimen ?
4. Siapakah selama ini yang menguasai 2/3 majoriti parlimen ?

Jawapan saya ialah UMNO dan UMNO lah yang menjadi Pak Kaduk selama ini, bongkak dengan kuasa, mengatur segala percaturan kuasa hingga menggadai kuasa melayu, menggadai tanah melayu, menggadai khazanah negara termasuk air (seperti perjanjian bodoh dengan Singapura), menggadai khazanah hutan balak dan berbagai2 kebodohan lagi.

UMNO menang sorak tapi kampung tergadai. Lepas itu menyanyi lagu anak kecil bermain api, "Bumi dipijak milik orang". BODOH PUNYA UMNO.

Sekarang UMNO merayu supaya kuasa mereka dikekalkan, supaya mereka dapat meneruskan kerja bodoh mereka.

Friday, October 29, 2010

Misteri gadis misteri

Gadis misteri (Siti Balkis) dari Besut, kota tempat para jin berkumpul menggemparkan penggemar cerita2 misteri. Sekejap ada, sekejap tak ada. Akhirnya polis jumpa dia di Negeri Sembilan. Apakah ia petanda Negeri Sembilan akan menjadi juara Piala Malaysia sekali lagi tahun ini ?

Berminggu2 berita tersiar. Hairan sungguh. Macam mana dia boleh hilang ketika dikawal ketat oleh ahli keluarga. Ada batu2 permata dalam kain kuninglah dan macam2 kejadian aneh berlaku. Ayah Pin hilang tak pula dianggap misteri. Mungkin sebab Ayah Pin dah kabor awal2 dia naik ke langit. Nampak macam Siti Balkis lebih hebat drp Ayah Pin pula.

Bayak sangat percaya dengan benda2 khurafat kot. Satu keluarga kena jalani program pemulihan akidah ni. Minat sangat nak berkawan dengan jin dan makhluk ghaib. 1Malaysia kena tipu.

Aku bukan tak percaya dengan makhluk ghaib seperti jin ni. Dah dalam Quran pun ada sebut. Sihir pun memang wujud. Tapi semua benda ni lebih banyak menjadikan kita sesat dan syirik kepada Allah. Sebab tu Allah haramkan sihir dan tiada keampunan untuk orang yang syirik.

Kita tunggu Siti Balkis ghaib semula lepas ni dan kita tengok apa reaksi orang ramai selepas ini.

Sunday, October 24, 2010

PAS ganti UMNO

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Pendukung parti di negeri ini hendaklah merealisasikan agenda PAS menggantikan Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan atas pagar.


Jangan berfungsi sama macam UMNO sudahlah. UMNO berperanan mengutamakan dan mengenyangkan kroni, sombong dan angkuh, tidak mempedulikan akhlak Islam, tidak peka dengan syariat Islam, mengutamakan duniawi sahaja, mengkhianati amanah rakyat marhaen, menggadaikan tanah rezab Melayu dan banyak lagi.

Thursday, October 07, 2010

3 sifat

Calon Timbalan PKR, Mustaffa Kamil Ayub mendakwa beliau berkongsi tiga persamaan dengan Muhyididin Yassin (TPM), iaitu
1. saling menekuni aspek kepemudaan,
2. hampir dengan nilai keagamaan dan
3. memberi “dokongan baik” kepada Anwar.

Saya pernah hadir ke satu kursus. Moderator kursus meminta setiap hadirin supaya memilih tiga haiwan yang boleh menggambarkan sifat dan watak yang hampir dengan diri kita.

Saya dah lupa apa haiwan pilihan saya. Yang pentingnya ialah watak dan sifat di situ, bukan haiwan itu.

Di akhir kursus, moderator memberitahu kenapa dia suruh kita membuat 3 pilihan itu.

Katanya, pilihan pertama sebenarnya adalah sifat yang kita mahu orang melihat kita. Dalam contoh di atas misalnya, Mustaffa mahu dirinya dilihat sebagai seorang yang tekun kepada aspek kepemudaan.

Sifat kedua, sebenarnya adalah sifat yang dilihat orang pada diri kita. Bermakna, Kebanyakan orang melihat Mustaffa sebagai seorang yang hampir dengan nilai keagamaan. Saya sendiri pun melihat begitu. (saya pernah menyertai usrah anjuran PKPIM ketika Mustaffa menjadi pemimpinnya).

Sifat ketiga sebenarnya bermaksud itulah sifat kita yang sebenarnya.

Betul atau tidak, Wallahua'lam.

Tuesday, October 05, 2010

Bangunan Persatuan Anak2 Terengganu dirasmikan

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan bangunan baru Persatuan Anak-Anak Terengganu (Pesat) di The Strand, Kota Damansara, di sini, semalam.

Bangunan empat setengah tingkat itu adalah hasil keprihatinan kerajaan negeri yang meluluskan pembiayaan penuh pembeliannya sebanyak RM4 juta, sekali gus menjadi pusat aktiviti bagi anak Terengganu di Kuala Lumpur dan Selangor.

Lokasinya ialah dekat dengan Giant Hypermarket, Kota Damansara. Koordinatnya lebih kurang 3° 09' 17 N dan 101° 35' 34 E.

Aku rasa aku tak pernah sampai lagi kat sana. Area Kota Damansara ni, aku kurang mesra kawasan.

Di laman web PESAT, jumpa pulak SOKMO The Cafe yang lokasinya ialah di Setia wangsa, dekat Giant Supermarket di Setiawangsa. Koordinatnya lebih kurang 3° 10' 45 N dan 101° 44' 37 E. Nak kena try sekali tu.

Koordinat2 di atas adalah mengikut Google Earth.