Thursday, October 29, 2009

PAS perlu perkemas hubungan dengan blogger

PAS perlu perkemas hubungan dengan blogger

Menurut TGHA, seminar akan diadakan pada 7 November depan akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan membincangkan isu-isu semasa dalam PAS. Okey lah tu. Tapi saya rasa, PAS juga perlu selesaikan masalah dengan blogger.

Khabarnya, isu UG tidak akan dibangkitkan lagi oleh sesiapa selepas ini. Masalahnya isu UG ini boleh dibangkitkan oleh UMNO, sama ada pemimpinnya, atau medianya, juga oleh blogger pro PR. Cuit sikit je, berkocak habislah dalam PAS. Riuh rendah dan semua yang lepas-lepas terutama kes sebelum PR wujud (selepas PRU12) diungkit-ungkit walaupun kronologinya lintang pukang. Sumber berita daripada blogger yang sekejap timbul sekejap tenggelam dijadikan nas dan hujjah. (Mana pergi Anti Husam ?)

Baik Hadi Awang, mahu pun Nik Aziz, begitu juga Anwar Ibrahim, mereka semua orang politik. Kadang-kadang dalam tergopoh-gapah menepis serangan, kain terselak, air liur tersembur. Hari ini dia bagi nasihat jangan melatah, bawa bertenang, esok dia sendiri yang melatah.

Kalau nabi senanglah, Allah bagi teguran dan-dan bila dia tersilap. Pun begitu, teguran itu Allah tak sembunyikan bahkan nabi sendiripun tak sembunyikan. Kita walaupun tak sokong OSA, tapi tetap mahu hal-hal tertentu dirahsiakan, terutama kesilapan-kesilapan yang selepas difikir banyak kali baru nak diakui.

Langkah PAS Selangor mengadakan perjumpaan dengan blogger tu betul dah, tapi tak kena pada masa dan tak kena pada sasaran yang sepatutnya. Baru sehari TGHA bagi nasihat tak perlu selesaikan melalui media termasuk media baru (sebelum mesyuarat khas), tiba-tiba bawa blogger untuk diberi penjelasan, sehari sebelum mesyuarat pulak tu.

Sudah lah begitu, bawa pula blogger yang terang-terang pro UMNO. Dalam Quran sebut, kalau ada orang fasiq bawa perkhabaran, siasat dulu. Masalahnya, kita pergi bercerita pulak kepada dia. Dah tentu berbeza sudut pandangnya.

Dalam pada itu, saya lihat ada perbezaan dari segi cara penyampaian dan kritikan yang dibuat oleh blogger PR dengan blogger PAS. Saya cadangkan PAS perkemaskan hubungan dengan blogger PAS, tak kisahlah dia pro Husam ke, pro Nasha ke atau pro Mohammad Sabu. Mungkin PAS perlu kumpul maklumat blogger PAS supaya mesej mereka lebih bertanggung jawab, tidak menjadi fitnah kepada parti dan sekata. Dengan blogger ni, kena ada komunikasi 2 hala seperti dialog. Kita tak mahu blogger yang hanya ungkit rasa tak puas hati di blog, biar dia luahkan dalam dialog dan selesaikan terus disitu, kalau boleh.

Wednesday, October 28, 2009

Fitnah fakta sejarah

Ini saya petik daripada blog Tangents

Pada tahun awal 60'an(?), TG Nik Aziz memohon dinaikkan pangkat ke Penyelia Kemas atas dasar kualiti kerjanya sambil mengharapkan ihsan kerajaan melihat anaknya agak ramai. Malangnya bagi beliau, walaupun Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada masa itu menyokong kenaikkan pangkat beliau, arwah Tan Sri Mohamad Yaacob, Menteri Besar Kelantan, tidak bersetuju malah menyarankan jawatan tersebut diberikan kepada seorang yang lebih layak.

Apabila mendapat berita penolakkan permohonan naik pangkat tersebut, TG Nik Aziz marah. Malangnya, konsep kesabaran yang sebahagian dari iman lari dari pemikiran, lantaran itu, beliau meninggalkan KEMAS dan terus menyertai PAS! Susahlah nak kata TG Nik Aziz masuk PAS sebab memperjuangkan Islam, ternyata beliau menyertai kerana hangat dekat Menteri Besar tersebut (semasa itu pemimpin Perhubungan negeri) sebab tak dapat naik pangkat!


Jika anda buka semula buku sejarah, Tan Sri Mohamad Yaacob menjadi menteri besar dari tahun 1978 - 1986. TGNA sudah aktif dalam PAS sejak 1960an lagi. Untuk menuduh TGNA masuk PAS sebab marah tak dapat naik pangkat, ia satu tuduhan yang berat dan tanpa bukti yang kukuh, ia sudah jatuh dalam kategori fitnah. Amat tidak adil untuk membuat andaian hanya berpandukan andaian prasangka yang ditiup syaitan ke dada manusia. (Cuba fahami surah An Nas dan muhasabah diri kita).

Kemudian seorang tukang komen (Akhramsyah) menambah

.. setahu saya, PAS menyertai BN pada tahun 1973 selesai menerima bantuan dari Tun Abdul Razak untuk mengelakkannya dari muflis.


Ini satu lagi contoh fakta yang salah menjadi fitnah. Mungkin dia hanya baca buku sejarah daripada sumber UMNO sahaja.

Sebab itu saya selalu tertunggu-tunggu bila PAS nak terbitkan buku sejarahnya yang pernah dijanjikan dulu ?

Tuesday, October 27, 2009

Iklan : Tuala wanita Anion

Tuala wanita Anion

Dari blog Nik Abduh

Berikut saya petik daripada blog Nik Abduh.

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya,
1) Anda mesti ikhlas
2) Anda mesti memohon pembebasan denganNya daripada keburukan fitnah itu
3) Anda mesti adil menilai
4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk
5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama
6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik
7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik
8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan.
9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal
10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan
11) Anda jangan nak jadi hero.


Saya kesal bila terbaca ada blogger yang kononnya pro-PR menyebut "pergi jahanam dengan Nik Abduh". Walaupun dia juga manusia biasa macam kita, tapi siapalah kita nak dibandingkan dengan dia ? Dari segi ilmunya ? Dari segi amalannya ? Cermatnya dia bila berkata-kata ? (Saya pernah dengar tazkirah Nik Abduh dan saya memang suka baca blognya).

Mari kita sama-sama muhasabah diri kita dengan 11 senarai checklist di atas. Kata seorang blogger, kita kena jadi pendamai, bukan pemecah.

Dan bagi saya, orang yang no 1 untuk jadi pendamai mestilah orang yang menjadi ikon pertelagahan. Misalnya di Selangor, Hassan Ali + Iskandar Samad + Roslan SMS perlu buktikan mereka tiada masalah untuk bekerjasama dalam satu pasukan dengan Khalid Samad + Shaari Sungib + Dr. Dzul.

Monday, October 26, 2009

PMI lawan IRC dalam PAS

PMI lawan IRC dalam PAS

Keributan yang melanda dalam PAS hari ini bukanlah perkara baru. Pertembungan dua kumpulan Pro Islam ini sudah bermula sejak dulu lagi. Oleh kerana saya mula memasuki IPT pada tahun 80an, saya sudah melihat pertembungan ini sejak tahun 80an lagi.

Isunya bukan kerajaan perpaduan. Bukan Hassan Ali, bukan Nasha Mat Isa, bukan Mustaffa Ali, bukan Hadi Awang. Melabelkan kumpulan ini sebagai pro UMNO adalah salah sama sekali kerana kumpulan ini bukan pro UMNO langsung. Kalau sekali sekala terikut-ikut stail UMNO tu mungkin juga lah, tetapi mereka bukan pro UMNO.

Kumpulan ini sudah bertapak di IPT tempatan sejak sekian lama. Ia dikenali sebagai geng usrah, atau kumpulan PMI. Mereka menguasai persatuan mahasiswa Islam di IPT-IPT sejak bertahun-tahun. Mereka mendapat sokongan pensyarah-pensyarah pengajian Islam dan pelajar-pelajar luar negara terutamanya dari aliran pengajian Islam di timur tengah.

Satu lagi puak yang juga pro Islam digelar IRC (dululah, sekarang tak tahu). Mereka mendapat sokongan pensyarah-pensyarah yang moderate dan profesional. Mereka juga mendapat sokongan pelajar-pelajar di luar negara. Kumpulan-kumpulan lain yang lebih kecil seperti ABIM, JIM dan PKPIM, cenderung menyokong kumpulan ini. Dulu, kumpulan inilah yang dilabelkan sebagai pro UMNO, tetapi hari ini sudah terbalik pula. Kumpulan PMI pula yang dilabel pro UMNO.

Kumpulan yang berkecuali ialah seperti Arqam (belum haram lagi masa tu) dan tabligh.

Selepas peristiwa September 1998, kedua-dua kumpulan ini (IRC dan PMI) dilihat bersatu suara. Ada yang meyertai PAS dan ada yang menyokong PAS dari luar. Sokongan kumpulan ini semakin menjadikan PAS lebih menarik tetapi kini berdepan pula dengan masalah perbezaan pendekatan. Sebahagian bekas pemimpin PMI kini berada dalam barisan kepimpinan PAS negeri dan pusat, begitu juga bekas pemimpin IRC. Mereka saling mengenali stail masing-masing kerana pernah bertembung sejak usia remaja lagi.

Kini kedua-dua pihak sepatutnya saling bertukar pandangan, berkongsi cara dan pendekatan dan lebih bersikap terbuka, bukan dengan stail lama lebih 10 atau 20 tahun dulu. Sekarang sudah berada dalam satu jemaah, jadi bukan masa untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain.

Sekali lagi saya katakan, sebenarnya tiada kumpulan yang pro UMNO dalam PAS hari ini. Ia hanya label (fitnah) yang digunakan untuk mewujudkan rasa benci dengan stail kumpulan ini. Malangnya, provokasi yang bertalu-talu daripada blogger seperti Tulang Besi (malaysanwaves) dan disokong pula oleh Perak Express dan yang sealiran dengannya, menjadikan ramai yang percaya bahawa kumpulan pro UMNO memang wujud. Berbincang dengan kumpulan UMNO tidak menjadikan mereka pro UMNO sebab mereka ini sebenarnya lebih keras pandangannya berbanding kumpulan yang digelar Erdogan.

Percayalah, jika EGM PAS diadakan untuk menyingkirkan kumpulan ini, ia tidak akan berjaya kerana kumpulan ini kuat berakar umbi dalam PAS. Kumpulan ini adalah kumpulan asal PAS sejak era kepimpinan ulama dan kumpulan ini berkembang melalui sistem tarbiyah cara PAS.

Jika kedua-dua pihak mahu bersatu, bekerjasama dan saling "respect each other", PAS boleh menjadi lebih kuat seperti dalam PRU 2008 tetapi jika masing-masing hanya rasa "kami yang betul, korang jangan memandai-mandai nak ajar kami", ucapkanlah "Selamat jalan Romeo" kepada kerajaan PR.

Tuesday, October 20, 2009

UMNO masih ada hati mahu kerjasama dengan PAS

Walaupun UMNO melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat, UMNO nyata masih tergila-gilakan PAS. Sudah berkali-kali kepimpinan PAS memberi jaminan, akan memperteguhkan Pakatan Rakyat, namun UMNO tetap menyebarkan khabar-khabar angin (berita palsu) kononya satu pakatan baru kerajaan akan muncul selepas ini. Rujuk di sini

Maka kalut dan gempitalah blogger-blogger pro PR memaki hamun Hadi Awang, Nasha Mat Isa dan Hassan Ali. Apa boleh buat, dah ditarbiyah dengan maki hamun. Memang mudah percaya dengan cerita dari sumber UMNO. Dan tak mahu lagi percaya kepada kepimpinan PAS. Sejak bila pula perawi-perawi dalam UMNO boleh dipercayai ? Dah hilangkah label munafiq mereka ? Atau kepimpinan PAS sudah lekat dengan sifat fasiq ? (Wal'iyazubillah)

Saya melihat, cara PAS mewujudkan rasa benci kepada UMNO itu kadang-kadang kurang bijak, atau lebih kurang sama dengan UMNO sahaja. Selepas dikata dan dituduh macam-macam dengan orang UMNO, bila ada orang UMNO mahu sertai PAS, tiba-tiba dia jadi bersih, jujur, ikhlas. Kalau dulu, ketua cawangan UMNO itu dituduh songlap bantuan kerajaan, bolot projek, kronisme; bila sertai PAS, Alhamdulillah dialu-alukan pemimpin yang tekun dan ikhlas berkerja demi agama dan rakyat. UMNO pun serupa juga.

Sebab itu ada orang kata, UMNO dengan PAS serupa saja. Mungkin serupa tapi tak sama kot.

Wednesday, October 14, 2009

Selepas PRK Bagan Pinang

Sekarang adalah masa untuk kita "mencari salah". Kita cari siapa yang paling sesuai untuk dikambing hitamkan. Hadi Awang, Harun Taib, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali, Geng Terengganu, Geng Selangor. Itu antara nama-nama yang popular dan cukup sesuai.

Entah kenapa, dari awal lagi saya melihat, kempen PR di Bagan Pinang kurang bermaya. Memanglah di situ kubu BN. Tetapi jentera PR tidak seghairah di Kuala Terengganu. Di Manek Urai dan Permatang Pasir pun, jentera PR sudah mula nampak lemah. Nampak macam dah letih je. Cuma oleh kerana Permatang Pasir adalah kubu Anwar, letih macam mana pun, digagahi jua.

Menyalahkan sekolompok tertentu dalam PAS saya kira tidak begitu tepat. Banyak benda perlu dikaji. Ada juga yang seolah-olah enggan terima kenyataan. Kononnya PAS kalah sikit saja. Undi pos yang buat PAS kalah banyak. Ada yang kata undi bukan Melayu tak banyak terjejas di pihak PAS, cuma BN dapat pertambahan yang luar biasa. Ikut suka hati kau orang lah. Analisa sekadar nak sedapkan hati sendiri pun boleh juga.

Yang bertanding di Bagan Pinang itu calon PAS atau calon PR ? Kalau calon PAS, wajarlah kesalahan diletak kepada PAS sahaja. Kalau calon PR, kena selidik apa sebab penolakan terhadap PR semakin melebar ? Dulu (2008) ketika majoriti sekitar 2000 sahaja, kita kata rakyat tolak BN kerana yakin dengan gabungan pembangkang, bukan kerana faktor PAS. Sekarang bila majoriti dah bertambah sekali ganda, kita salahkan PAS sahaja pula.

PR perlu kaji dan dekati kaum bukan melayu semula.
1. Kenapa kaum India di Bagan Pinang tiba-tiba menolak PR ?
2. Apa pula tarikan yang ada pada BN ?
3. Adakah ejen-ejen PR masih dekat dengan kelompok-kelompok masyarakat di setiap daerah, pekan dan kampung ?
4. Apakah perubahan-perubahan yang sudah dilakukan oleh kerajaan PR dimaklumkan kepada pengundi-pengundi ?
5. Adakah aduan masalah penduduk diberi perhatian dan dimaklumkan perkembangannya kepada penduduk ?

Semalam, dalam akhbar Sinar Harian (Selangor), dipenuhi dengan berita kegigihan BN mendekati kaum India. Berita pemimpin PR sudah tenggelam berbanding ketika baru menang PRU 2008.

Saya dengar perbualan beberapa orang ketika beraya di Selangor, mereka kata PAS atau UMNO serupa saja. Ia memberi gambaran bahawa PAS tidak lakukan perubahan seperti yang diharapkan. Atau mungkin juga PAS tidaklah seteruk yang digambarkan oleh UMNO selama ini, kononnya kalau pembangkang memerintah, negara akan mundur seperti sebelum merdeka.

Bagi saya, ia bergantung kepada dari sudut mana kita menilai perubahan itu. Dari sudut duniawikah, dari sudut ketuanan Melayukah, dari sudut jangka pendekkah, atau dari sudut mana ?

Bagi saya, PR sudah banyak buat perubahan. Banyak masalah masyarakat yang tertangguh sekian lama di zaman BN sudah diselesaikan oleh kerajaan PR. Isu geran tanah, isu ladang ternakan, isu rumah ibadat, isu bangunan dan tanah awam, isu salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan kroni, isu projek terbengkalai, isu tanah wakaf, perkuburan dan banyak lagi.

Tetapi rakyat nampaknya lebih cenderung untuk melihat kebajikan yang mereka perolehi depan mata, dalam kadar yang segera. Keputusan di Bagan Pinang seolah-olah menunjukkan rakyat tak kisah kalau pemimpinnya rasuah asalkan kebajikan mereka terjaga. Seolah-olah rakyat tak kisah kalau pemimpinnya kaya raya bolot projek asalkan mereka dikunjungi dan didekati selalu, diberi bungkusan beras dan gula daripada semasa ke semasa. Kalau beginilah minda rakyat, kelamlah masa depan negara. Menjadi tugas PR untuk mencelikkan minda rakyat.

Tuesday, October 13, 2009

Bila akses ke laman web disekat

Ada agensi tertentu mengambil langkah menyekat capaian ke laman web dan portal tertentu. Contohnya, organisasi ABC mungkin menyekat kakitangannya daripada melayari laman facebook, myspace, youtube dan sebagainya.

Ada juga portal itu sendiri yang cuba menyekat pengguna dari lokasi tertentu daripada mengakses portalnya. Misalnya, www.veoh.com menyekat pengguna daripada Malaysia daripada melayari portalnya. Anda boleh cuba layari veoh.com.

Jika anda menghadapi masalah seperti di atas, anda boleh mencuba salah satu daripada cara berikut.

1. Cuba google perkataan web proxy. Ada akan mendapat senarai web proxy yang boleh digunakan untuk melayari laman yang disekat. Contoh web proxy yang saya temui ialah http://www.megaproxy.com/freesurf/ . Contoh lain ialah http://www.kproxy.com/.
Cubalah sendiri. Banyak lagi web proxy lain yang boleh digunakan, mungkin berpuluh, beratus dan ia sentiasa patah tumbuh hilang berganti sepanjang tahun.

Jangan bimbang. Webserver akan merekodkan anda sedang melayari laman webproxy dan bukan facebook, youtube dan sebagainya. Cuba layari veoh.com menggunakan webproxy di atas. Pasti tiada masalah.

2. Cara kedua, jika anda boleh install free software berikut, anda boleh ke http://anchorfree.com.

Download dan install. Selepas berjaya install, anda kini mempunyai pilihan untuk melayari internet secara "Privacy ON" atau "Privacy OFF". "Privacy ON" bermakna anda boleh melayari laman yang disekat. "Privacy OFF" bermakna anda melayari internet seperti biasa tanpa guna proxy.

Selamat mencuba.

Monday, October 12, 2009

Isa Samad menang besar ketika MCA lemah dan MIC kurang bermaya

Tahniah kepada Isa Samad. Ketika MCA sedang menghadapi krisis besarpun, dia boleh mendapat kemenangan besar di Bagan Pinang. Kalau MCA sedang stabil dan bersatu ? PAS mungkin hilang wang pertaruhan. Kemenangan ini adalah kemenangan Isa Samad, bukan kemenangan BN. Pengundi Bagan Pinang mahu Isa Samad, bukan BN. Walaupun yang bekerja adalah jentera BN, dengan duit BN.

Salahuddin Ayub mungkin kena belajar sepak terajang politik di selatan semenanjung pula. Walaupun dia orang Johor, tetapi dia banyak menimba ilmu di Kelantan, universiti politik terbuka. Budaya politik di pantai timur, berbeza dengan di pantai barat, di utara juga berbeza dengan di selatan. Itu belum lagi di Sabah dan Sarawak.

Apa jua alasan yang diberikan oleh PAS, hakikatnya PAS kalah teruk.

Yang menarik bagi saya ialah politik MCA. Presiden MCA menanggung malu besar kerana kalah dalam undi tak percaya. Tetapi mengikut perlembagaan MCA, dia tetap kekal sebagai presiden MCA. Saya fikir, dia akan berundur tidak lama lagi. Dia ibarat menang jadi arang. Hitam legam, bukan muka diconteng arang tapi dia sendiri dah rentung.

(Bekas) Timbalannya pula, gagal kembali ke jawatan timbalan. Tetapi saya percaya, dia puas hati. Puas hati sebab dapat malukan presidennya. Dia tahu peluangnya untuk kembali ke jawatan timbalan adalah terlalu tipis. Saya fikir, dia tidak terlalu bermimpi akan kembali ke jawatan itu melalui EGM. Yang penting dia mahu kacau presidennya sahaja. Dan dia berjaya. Dia tahu, Tee Keat tidak akan lama di situ akibat keputusan EGM itu.

UMNO juga pasti puas hati. Menteri pengangkutan baru akan dilantik selepas Tee Keat berundur nanti. Skandal PKFZ belum habis dibongkar. Tee Keat tiada daya untuk membongkarnya secara sendirian. Dia perlukan sokongan orang yang kuat-kuat, atau sekumpulan pihak yang berani menanggung risiko. Tetapi dia tidak mempunyai masa lagi. Presiden MCA selepas ini lebih mudah dijinakkan oleh UMNO.

MIC masih kurang bermaya. Penubuhan parti Makkal Sakhti dengan sokongan terbuka Najib menjadikan MIC hilang mood. Kalau betul dakwaan Makkal Sakhti dapat RM 8 juta daripada BN untuk promosi dan memperkuatkan parti, alangkah malangnya MIC. Kalau diberi 8 juta itu kepada MIC, bukankah lebih baik bagi MIC ? Ia sepatutnya menjadi hak MIC, bukan Makkal Sakhti.

Kalau dalam pilihanraya sebelum ini, perkataan Makkal Sakhti sangat dekat dengan PR, kini ia sudah semakin menjauh. Perkataan itu tidak lagi dilaung-laungkan oleh penyokong dalam PR. Sesiapa yang malungkannya, ia bermakna pro-BN, walaupun ia bukan ahli BN. Najib berpandangan jauh. MIUP pimpinan Nalla Karupan pun saya kira mendapat banyak habuan daripada BN. Pejabat partinya sudah merata walaupun penyokongnya tak seberapa. Dengan ahli yang tak seberapa ramainya, di mana dia memperolehi dana untuk membuka pejabat parti ?

Najib dan Muhyiddin boleh tersenyum lebar. Saya rasa kekalahan teruk PAS di dalam PRK kali ini pasti banyak hikmahnya. PR sudah mula ego dan over confident. Penyokongnya sudah mula berlagak. Ingat apa jadi dengan PAS Terengganu selepas PRU 1999. Penyokongnya bukan main eksyen lagi. Seolah-olah BN tak mungkin akan mampu bangkit semula.

Ingatlah, gelombang keputusan di Bagan Pinang boleh merebak ke utara, sama ada ianya gelombang biru atau gelombang pasca tsunami.

Tuesday, September 29, 2009

Hassan Ali tenggelamkan isu penyelewengan BN

Hassan Ali dibelasah di sana sini oleh blogger pro PR. Hassan Ali memang patut dibelasah. Dia lah yang memandai-mandai mencipta pelbagai janji manis di Selangor. Alhamdulillah, Khalid Ibrahim berjaya selesaikan satu persatu janji lidah tak bertulang, walaupun tidak seindah yang dibayangkan, tetapi berjaya diselesaikan juga.

Ketika BN dimalukan dengan skandal PKFZ, kerakusan BN Selangor berbelanja ketika PRU12, cuba melesapkan wang BALKIS, Hassan Ali berulang kali cuba mengalihkan perhatian kepada kegigihannya memperjuangkan nasib Melayu Selangor. Hassan Ali memang jaguh. Dia seorang yang prihatin.

Cuma namanya kurang menonjol. Dia tak dapat jadi MB. Dia tiada ruang untuk menonjolkan diri dalam isu BALKIS, PKFZ, belanja pilihanraya, kuil hindu, isu SYABAS, isu kebajikan rakyat dan pelbagai isu lain yang mendapat perhatian rakyat. Jadi dia terpaksa menonjolkan diri dengan caranya sendiri. Dan dia sentiasa berjaya menonjolkan dirinya walaupun melalui cara yang kontroversi sekaligus menenggelamkan masalah kecurangan BN.

PAS perlu menilai semula Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

Monday, September 28, 2009

PAS Selangor bikin gempak lagi

Bukan mudah bekerja sebagai pegawai kanan kerajaan. Apatah lagi bila terpaksa melayani kerenah pemimpin politik serta konco-konco yang bergayutan di sekeliling sang pemimpin. Pemimpin disini mungkin bertaraf menteri, exco, ahli parlimen atau adun, malah ketua bahagian parti juga.

Saya letakkan mereka (pegawai kerajaan) dalam 4 golongan.

1. Golongan yang memang kerjanya membodek dan mengampu pemimpin. Mereka tak sabar-sabar dan amat bersegera menyokong atau melaksanakan idea dan kemahuan pemimpin.

2. Golongan yang sokong parti yang membentuk kerajaan tetapi kadang-kadang benci dengan salah guna kuasa sang pemimpin. Mereka tersepit dan terpaksa melayani kerenah pemimpin dan kroni-kroninya. Sesekali mereka melawan cakap pemimpin.

3. Golongan yang tidak sokong parti yang membentuk kerajaan dan mereka juga benci dengan salah guna kuasa sang pemimpin tetapi seperti juga golongan 2, terpaksa melayani kerenah pemimpin. Mereka kadang-kadang buntu bagai mana mahu menanganinya.

4. Golongan yang berani menanggung risiko, sanggup bertindak sendiri sekalipun bertentangan dengan kehendak pemimpin. Golongan ini tidak ramai. Mereka sering tersisih sejak awal-awal lagi. Mereka akan diperlakukan seperti bola, ditendang ke sana sini.

Saya faham masalah yang dihadapi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang disoal siasat oleh SELCAT. Mereka mungkin salah satu daripada 4 golongan di atas. Sebab itu, saya sendiri rasa kurang selesa dengan cara siasatan SELCAT terhadap mereka. SELCAT perlu menilai semula cara yang digunakan sekarang.

Tetapi ini bukan bermakna saya menyokong penuh tindakan Hassan Ali. Hassan kini berada dalam kerajaan, kenapa perlu bercakap seperti pembangkang ? Ini bukan kali pertama PAS Selangor buat gempak. Kalau sebelum ini saya tidak mahu bersetuju dengan dakwaan Hassan Ali cuba meraih populariti, kali ini saya nampak, memang betullah Hassan Ali ni.

Kalau Hassan Ali dan PAS yang menerajui kerajaan Selangor, adakah PAS gembira dan akan bersikap terbuka dengan kritikan rakan dalam kerajaan secara terbuka, melalui media massa ? Saya tak fikir begitu. Sebab PAS kadang kala hanya pandai menegur orang tetapi bila terkena batang hidung sendiri, cuba berdolak-dalik juga.

Tuesday, September 15, 2009

Selipar untuk Mahathir

Memang sungguh kurang ajar bila seorang wakil MIC memberi cadangan untuk mengalungkan selipar ke potret negarawan Malaysia, Tun Mahathir. Saya sangka selama ini, ahli parti komponen PR lah yang berlebih-lebih membenci dan berdendam dengan Mahathir. Rupanya, komponen BN sendiri, baru ditegur dan dikritik atau dicuit sedikit, sudah ter'over' reaksinya.

Satu ketika dulu, pemimpin PAS yang dikenali dengan nama Mat Sabu, selalu buat lawak seloroh di pentas ceramah, nak baling selipar kepada Tun Mahathir. Orang ramai ketawa, walaupun saya menyampah dengan lawak bodoh sebegitu. Tapi saya percaya, jika PAS dan PR memerintah sekalipun, Mat Sabu takkan buat begitu. Malah kalau dia buat juga, dia akan diseliparkan oleh bukan sahaja penyokong UMNO malah penyokong BN dan mungkin juga PR.

Tapi kita tidak lupa, penyokong PR pernah memijak-mijak gambar Najib dan gambar Tun Mahathir (ketika reformasi). Memang, dalam keadaan marah yang amat sangat, kita akan bertindak keterlaluan. Sebab tu nabi berpesan, orang yang kuat ialah orang yang berjaya mengawal dirinya ketika marah.

Nabi Muhammad pernah dihina kaum musyrikin Mekah dengan diletakkan perut unta (dengan najisnya) dibelakangnya ketika sedang bersujud. Jauh lebih dahsyat daripada kalung selipar pada gambar. Orang yang bertanggung jawab itu kemudiannya dibunuh dalam perang Badar.

Satu ketika, umat Islam pernah dihina dengan lakaran kartun kononnya nabi Muhammad dan disiarkan oleh akhbar NST. Dalam keadaan begini, memang sangat wajar kita zahirkan kemarahan kita secara berlebih-lebihan.

Hari ini, MIC dituntut memohon maaf (oleh beberapa pemimpin UMNO). Kalau MIC tak minta maaf, apa tindakan Najib? Saya rasa, "Anggap selesai setelah MIC ambil tindakan kepada wakil tersebut". Kalau tak selesai, macam mana nak hadapi pilihanraya di Bagan Pinang ? Khairy Jamaludin yang bercakap atas kapasiti Pemuda BN bagaimanapun berpuas hati bahawa apa yang diperkatakan perwakilan berkenaan bukan pendirian MIC yang sebenar.

Tuesday, September 08, 2009

Lagak si songkok tinggi

Tadi, dalam tazkirah sebelum terawikh, Ustaz ceritakan kisah dia pernah beri kuliyah maghrib dan masa kuliyahnya lajak ke jam 9 malam. Katanya, masa itu, dia baru pertama kali berpeluang beri kuliyah di masjid tersebut setelah sekian lama tak dapat ditembusi. Seorang lelaki kemudian muncul di saf belakang dan beri isyarat suruh tamatkan kuliyah untuk solat Isyak.

Tazkirah selalunya mengambil masa kira-kira 15 - 20 minit sahaja. Maksimum ditetapkan 30 minit dan selalunya berakhir selewatnya jam 9:30 malam. Malam ini ustaz tadi sudah lajak ke jam 9:35 malam. Seorang lelaki bersongkok tinggi muncul berjalan perlahan-lahan ke tengah masjid. Saya tak pasti adakah dia orang luar yang datang singgah solat di masjid atau memang ahli kariah sebab tak pernah nampak mukanya setiap kali kuliyah maghrib atau ketika solat fardhu yang lain. Oleh kerana hanya dia yang berdiri, ramai jemaah memandang kepadanya. Dia lalu memberi isyarat tunjuk jam dan tangan diangkat seperti mahu kuliyah ditamatkan dan solat terawikh dimulakan, sebiji macam yang ustaz baru sebut kira-kira sepuluh minit sebelumnya.

Ustaz lalu mengakhiri tazkirahnya dengan doa diikuti dengan senyuman kepada jemaah yang turut tersenyum.

...........................

Kata ustaz saya dulu, orang mukmin, bila berada dalam masjid umpama ikan dalam air. Orang fasiq pula bila berada dalam masjid umpama burung dalam sangkar.

Kata-kata itu sekadar untuk kita muhasabah diri kita sahaja dan bukan untuk kita menuduh orang lain fasiq. Mungkin dia ada urusan lain selepas itu.

Wallahua'lam.

UMNO sedia bekerjasama dengan PAS demi Islam - Najib

Begitulah bunyi tajuk berita radio RTM pagi tadi. Kata Najib, "Jika nak buat baik, buat cara baik. Jangan persoalkan akidah (keislaman) kita (Umno). Jangan kata kita (Umno) ini (Islam) luaran saja, dalaman bukan (Islam), ini boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat."

Orang memang suka mengata berdasarkan kepada imej luaran kita. Sebabnya, manusia tidak mungkin dapat melihat isi hati orang lain. Sebab itu, adalah salah untuk mengatakan "imej luaran itu tak penting, yang penting ialah hati yang ikhlas".

Apa yang orang kata kepada kita, itu tak lah penting sangat. Islam luaran, Islam separuh-separuh atau Islam sepenuhnya. Yang lebih penting ialah apakah kita benar-benar sudah menghayati Islam ?

Kalau kehidupan kita tak menampakkan ciri-ciri Islam, macam mana orang nak kata kita Islam sebenar ? Kalau tindak-tanduk kita menunjukkan lagi kejahilan kita kepada Islam (macam penunjuk perasaan di Seksyen 23), macam mana nak kata "Lihatlah indahnya Islam seperti yang kami amalkan."

.............................................................

Malam tadi, exco agama Selangor, Dato Hassan Ali datang menunaikan solat terawikh di masjid Jami'ul Huda, Kg Melayu Ampang. Saya rasa, kedatangan beliau tak dimaklumkan terlebih awal. Sebelum ini, bila pegawai daerah nak datang, ada dibuat pengumuman di masjid. Hassan diberi penghormatan mengimamkan solat Isyak hingga witir selain menyampaikan tazkirah.

Kira-kira hampir seminggu lepas, YB Azmin Ali (PKR - Dun Bkt. Antarabangsa) juga hadir menunaikan solat terawikh di masjid yang sama. Kedatangan beliau juga secara senyap-senyap. Mungkin hanya dimaklumkan kepada AJK masjid beberapa jam sebelum datang. Jadi tiadalah persiapan apa-apa untuk menyambut di pintu masjid. YB Zuraidah (PKR - Parlimen Ampang) memang selalu solat jemaah di sini kerana rumahnya kira-kira 500 meter sahaja daripada masjid. Kadang-kadang, solat asar pun dia datang.

Ia mungkin isu kecil sahaja, tetapi semoga Allah beri rahmat dan keberkatan kepada kerajaan Selangor dan seluruh rakyat dan negeri Selangor.

Kalau dulu, memang tak pernah nampak muka YB datang ke masjid ini. Mungkin masjid lain kot. Jangan kata YB, Pengerusi JKKK pun hanya kelihatan di masjid sekali dua di bulan ramadhan. Hari-hari biasa, AJK masjid pun tak nampak muka. Kalau YB datang senyap-senyap lagu tu, memang tak jumpa muka lah dia orang. Dulu, kalau exco atau YB nak datang masjid, pasti diwar-war lebih awal, parking direserve, jamuan lebih istimewa, AJK masjid berbaris, segak bersampin, mungkin ada banner "Selamat datang", ucapan alu-aluan pengerusi atau nazir masjid dan entah apa-apa lagi.

..............................................................

Berbalik kepada penghayatan Islam, adakah dengan memakai jubah dan serban, kita dikira menghayati Islam ? Adakah dengan bertudung labuh, kita dikira menghayati Islam ? Adakah dengan mendedahkan aurat, kita yakin kita ikhlas mahukan Islam ? Baca fatihah pun tak betul tajwidnya, kuliyah tajwid tak mahu hadir, kita percaya Islam kita diterima Allah. Bila tazkirah, kita gelisah atau pergi bersembang di belakang masjid, sambil hisap rokok, lalu kita mengaku, kami pun mahu Islam juga, Islam kami Islam luar dan dalam.

Sunday, September 06, 2009

Bagan Pinang la pulak

Mengikut tilikan atas kertas, BN boleh kekalkan kemenangan di Bagan Pinang. Dengan undi Pos 5000 undi, ia menjadi kelebihan kepada BN untuk menang.

Tetapi, congakan yang agak selesa juga boleh membawa padah kepada BN. Tradisi UMNO, bila yakin menang, ramailah bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat. Bukan perkara pelik, yang tidak tercalon akan sabotaj. Dalam iklim politik semasa, sabotaj pasti menjejaskan peluang UMNO/BN untuk menang, walaupun di kubu BN.

Masalah dalam MCA juga menyumbang masalah kepada BN. Penyokong Soi Lek berpeluang untuk mengajar Tee Keat dengan memalukan MCA di peti undi cina untuk BN. Apa nak takut, kerajaan negeri masih BN. Cina Permatang Pasir tak teragak-agak pun untuk beri undi kepada PAS. Jui Meng pun berkempen untuk calon PR.

Pertandingan dalam MIC juga akan memeningkan kepala BN. Teluk Kemang adalah kawasan Sothinathan, calon Timbalan Presiden MIC yang tidak mendapat restu Presiden MIC. Presiden MIC sudah berkempen ke hulu ke hilir, tak mahu Sothinathan. Bagaimana Presiden MIC dan Timbalannya mahu turun ke Bagan Pinang untuk berkempen habis-habisan kepada kaum India di situ untuk membantu BN ?

Sudahlah isu kepala lembu Selangor belum selesai lagi, pengundi India di Bagan Pinang yang merupakan 22% jumlah undi pasti akan dapat menonton bagaimana brutalnya dialog kerajaan Selangor dengan penduduk Sekyen 23 Shah Alam. Tak nampak nak berdialog, tapi nampak nak tunjuk samseng dan nak buat kecoh.

Ketika Adun Bagan Pinang dikebumikan, bulan sedang menambang penuh. Ia kebetulan berlaku pada 15 Ramadhan. Ia sedikit sebanyak pasti menaikkan semangat PAS, DAP dan PKR untuk bekerja keras, walaupun undi pos pasti mendukacitakan. Adakah bulan akan menganbang penuh di Bagan Pinang selepas raya ?

Insya Allah.

Wednesday, September 02, 2009

Undang-undang ditafsir semula bila speaker bukan lagi pro UMNO

Dulu, seorang umarak Malaysia mahu Al Quran ditafsir semula. Sang umarak barangkali tak berpuas hati bila tafsiran yang disampaikan kepadanya dirasakan tidak berpihak kepada parti yang disayanginya. Seruan itu tidak bersambut. Hanya pembaca forum Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja yang menyokong. Tidak lupa juga ustaz Astora Jabat yang kemudiannya diangkat menerajui majalah Al Islam. Kini, Astora Jabat hanya boleh ditemui di internet sahaja selepas PM mendapati Islam yang dibawanya tidak Hadhari.

Hari ini, kita lihat undang-undang negeri dan negara sedang melalui proses reformasi, diterjemah dan ditafsir semula supaya sentiasa berpihak kepada yang memerintah negara. Satu demi satu, kita dapat saksikan, rupa-rupanya, undang-undang yang difahami selama ini bukanlah seperti yang kita semua faham.

Kita sangkakan, speaker mempunyai kuasa penuh yang tak boleh dipertikai di mahkamah, rupanya kita salah. Kita sangkakan, Adun yang ponteng tanpa izin dua kali mesyuarat terpecat, rupa-rupanya tidak. Kita sangka, royalti adalah hak automatik kerajaan negeri selepas tandatangan perjanjian dengan kerajaan persekutuan dan Petronas, rupanya tidak. Banyak lagi sebenarnya.

Kalau anda sangka raja-raja melayu terpelihara di bawah perlembagaan, anda mungkin silap kerana tafsiran baru boleh muncul bila perlu. Dan yang boleh membuat tafsiran baru yang tepat hanyalah UMNO.

SPR : YB boleh ponteng

SPR memutuskan, YB-YB seluruh negara sebenarnya boleh ponteng mesyuarat DUN/Parlimen. Selepas ini, bolehlah YB-YB di Terengganu, yang dok(tak) berahi ke MB dan Speaker DUN untuk ponteng banyak kali. Tak payah hantar SMS kepada speaker pun. Hantar je kepada Idris Jusoh (jika UMNO) atau Harun Taib (jika PAS).

Selamat memonteng.

Tuesday, August 25, 2009

Pegawai masjid di Selangor diberi kuasa banteras jenayah Syariah

Laporan Berita Harian menyebut,
"Pegawai masjid iaitu nazir, imam, bilal dan siak boleh menangkap orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995."

Laporan Utusan Malaysia menyebut,
"Dr. Hasan berkata, pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada Pegawai Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut."

Satu kata boleh tangkap, satu lagi kata tak boleh tangkap. Yang mana satu yang betul ? Khabarnya, ia juga mempunyai kuasa untuk membuat serbuan kes maksiat seperti khalwat dan zina. Mereka yang diberi kad kuasa akan diberi kursus terlebih dahulu. Mereka bukanlah skuad skodeng. Mereka akan bertindak selepas menerima aduan. Kalau dah terima aduan, maknanya maksiat tu dah berleluasa, secara terang-terangan tanpa selindung atau rasa bersalah lagi. Kaedah pencegahan ini akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pencegahan melalui tangkapan dan hukuman memang bukan merupakan jalan terbaik. Yang terbaik ialah melalui pendidikan dan pentarbiyahan. Tetapi, bila tiada pencegahan melalui penguatkuasaan, ia mula menjadi "alah bisa tegal biasa". Akhirnya ia menjadi berleluasa.

Masyarakat setempat perlu bertanggung jawab dengan maksiat di persekitaran mereka. Mereka perlu peka, "menjaga tepi kain orang" atau lebih tepat lagi menjadi mata dan telinga kepada pihak yang diberi kuasa dalam hal mencegah maksiat dan jenayah.

Harapannya selepas ini, kes-kes maksiat semakin berkurangan di Selangor. Teringat dulu, bila skuad Badar ditubuhkan di Selangor, hingga berlaku pergaduhan antara penguatkuasa dengan pelaku maksiat. Anehnya, pihak keluarga pelaku maksiat tampil membela keluarga mereka yang kononnya dikasari dan dipukul. Dah sah dah dia melawan, sebab tu jadi macam tu. Kalau dia akur dengan pegawai pencegah maksiat ketika ditahan, tak kan pegawai tu saja-saja nak belasah dia. Berhari-hari masuk suratkhabar dan tv. Tak pasal-pasal pegawai tu pula disiasat untuk diambil tindakan.

Monday, August 24, 2009

Nak masuk syurga

Semua orang nak masuk syurga. Tiada siapapun yang mahu masuk neraka. Cakap main-main, nak masuk neraka pun tak berani. Sebab kita semua percaya dengan syurga dan neraka. Kita percaya dengan hari akhirat. Kita percaya dengan kitab-kitab yang di dalamnya disebutkan syurga dan neraka. Orang kristian dan yahudi juga percaya kepada syurga dan neraka.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
(Muslim)

Dan bagaimana pula rahmat Allah itu akan sampai kepada kita ? Apakah dengan berdoa sahaja ? Adakah memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja ?

Kita bukan sekadar mahu diri kita sahaja masuk syurga. Kita juga mahu ibu dan bapa kita masuk syurga. Lalu kita doakan dosa mereka diampunkan. Kita juga mahu isteri dan anak-anak kita juga masuk syurga. Lalu kita kena didik mereka dengan iman dan taqwa. Dengan ilmu dan amal. Malah kita mahu semua umat Islam lelaki dan perempuan masuk syurga, seperti dalam doa yang sering dibaca terutama pada bulan Ramadhan ini, "Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun, suka kepada pengampunan, ampunilah akan daku, Ya Allah kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka."

Doa itu dipanjangkan lagi dengan memohon keampunan untuk semua, kepada kedua ibu bapa, kepada semua muslimin muslimat, mukminin mukminat, yang hidup atau yang sudah mati.

Adakah kita yakin amalan kita, i'tikad kita, tutur kata kita, kerja kita, pakaian kita, ibadah kita, makan minum kita, dan segala urusan kehidupan kita hari ini sentiasa mengarah ke syurga dan bukan ke neraka ?

Ingat senang ke nak masuk syurga Allah. Buat lebih kurang je dah boleh masuk syurga. Asal mengucap dua kalimah syahadah je boleh masuk syurga. Asal solat je boleh masuk syurga.

Pernah seekor kucing datang kepada saya ketika saya dan isteri sedang makan sedap-sedap di sebuah kedai makan. Seperti biasa kucing mengiau manja, dengan pandanagn mata mengharap diberi sedikit makanan. (alim kucing lah katakan).

Saya terfikir, "kalau aku tak beri makanan kepada kucing ni, macam mana kalau di akhirat kelak, kucing ni mengadu kepada Allah, Inilah manusia yang aku meminta sedikit makanan daripadanya dan dia mengusirku tanpa menghulurkan sedikitpun makanan kepada ku."

Saya juga sering teringat kepada seorang lelaki yang datang meminta duit kepada saya. Ketika itu saya baru lepas makan. Dia mengadu baru hilang pekerjaan, tiada duit untuk makan dan anak isterinya. Saya tak layan permintaan dia. Biasalah zaman sekarang ramai yang mengadu dan buat muka sedih minta sedekah tetapi sebenarnya kaya. Tetapi sampai sekarang saya masih teringat-ingat, bagaimana kalau dia benar-benar jujur dan susah ? Saya rasa sangat menyesal dan berdosa. Tak mungkin saya dapat berjumpa lelaki itu semula kerana saya tidak kenal dia.

Isteri saya selalu pesan kepada anak saya, kalau kita buat jahat, malaikat sebelah kiri akan tulis kejahatan kita. Kalau kita buat baik, malaikat sebelah kanan akan tuliskan pahala untuk kita. Kalau banyak dosa, masuk neraka. Kalau banyak pahala, masuk syurga. Penjelasan mudah untuk kanak-kanak.

Saya sedih melihat ibu bapa yang bersungguh-sungguh menyuruh anak kecilnya berpuasa tetapi anaknya yang dah besar tak diajak bersolat. Suruh pun tidak. Malah ibu bapa sendiri cuai bersolat. Suruh berpuasa tanpa beritahu kenapa kita kena berpuasa ? Atau sekadar beritahu, kena puasa sebab nak raya ? Siapa tak puasa tak boleh raya. Siapa puasa dapat duit raya.

Siapa suruh kita berpuasa ? Apa faedahnya kita berpuasa ? Apa ayat Quran yang suruh kita berpuasa ? Begitu juga dengan solat. Kalau berpuasa supaya dapat rahmat Allah, supaya dapat masuk syurga, solat juga mesti ditunaikan. Aurat juga mesti dijaga. Semua akan ditulis oleh malaikat di kiri dan kanan kita.

Macam mana nak masuk syurga kalau yang tu pun tak buat.

Thursday, August 20, 2009

Bahaya campur agama dengan politik

Kata Muhyiddin Yassin, adalah merbahaya jika agama dan politik dicampur adukkan. Gitulah lebih kurangnya.

Apa kata, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Muhyiddin Yassin ini. Takkan nak senyap je. Ini kenyatan seorang TPM yang juga TP Umno. Ia akan menjadi pegangan ramai rakyat termasuk yang mengaku Islam.

Minta majlis fatwa cepat-cepat bincangkan isu ini.