Monday, May 12, 2008

Sejarah PAS

Dalam akhbar Siasah semalam (11 Mei 2008), ada satu berita kecil mengenai usaha untuk menerbitkan buku sejarah PAS secara rasmi. Antara orang penting yang akan terlibat termasuklah Sdr. Mustaffa Ali dan Sdr. Subky Latiff. Jika usaha ini menjadi kenyataan, saya kira, ini adalah buku rasmi sejarah PAS yang diterbitkan oleh Parti itu sendiri. Sebelum ini, ada juga buku-buku yang sudah dihasilkan yang menyentuh sejarah PAS tetapi saya sendiri tak pernah membaca apatah lagi memiliki buku sebegini.

Saya pernah membuat carian di internet sahaja untuk mengetahui sejarah PAS, tidak pernah pula membuat carian di mana-mana perpustakaan. Barangkali kalau nak buat tesis atau kertas kerja, barulah nak pergi ke perpustakaan. Begitulah budaya orang Melayu kita. :)

Di internet, banyak versi yang ada. Ada yang positif, ada yang negatif. Tiada siapa yang menyunting, tiada pembaca peruf, tiada yang boleh sahkan. Saya suka baca tulisan Ibnu Hasyim di http://ibnuhasyim.blogspot.com/. Beliau banyak menulis tentang sejarah PAS.

Saya sangat menyokong usaha penerbitan sebegini. Saya pernah memberi cadangan kepada Ibnu Hasyim supaya menulis buku sejarah PAS secara serius dan tersusun. Hari ini, ramai pejuang dalam PAS lebih tahu sejarah Parti UMNO daripada Parti PAS sendiri.

Saya pernah terbaca di internet, PAS ditubuhkan oleh Tuan Hj. Ahmad Fuad setelah gagal merebut jawatan tertinggi parti dalam UMNO melawan Tunku Abdul Rahman. Alangkah buruknya, sejarah penubuhan sebuah Parti Islam. Ia berpunca daripada perebutan jawatan, kecewa, tidak dapat menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

"Haji Ahmad Fuad tidak dapat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya beliau keluar dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951, PAS ditubuhkan sebagai persatuan yang berasingan daripada UMNO. Serpihan yang bukan utusan dari hati suci dan murni, tetapi kerana kecewa. Kekecewaan telah menjadi faktor utama wujudnya parti-parti serpihan di dalam arena politik di negara ini. Serpihan-serpihan itu menyebabkan UMNO sedikit sumbing."


Tiada siapa yang dapat menjawab tuduhan dan fitnah keji tersebut. Semua anak muda PAS tak tahu nak jawab sebab semuanya jahil sejarah termasuk saya. Orang tak tahu bagaimana UMNO cari duit ketika itu. Nak kutip derma daripada ceramah ? Orang Melayu masa tu haprak (Itu kata Tun Dr. M dalam puisinya), mana ada duit. Lalu diusahakan dengan cara yang tidak syar'ie dan ini mendapat tentangan daripada Hj Ahmad Fuad daripada sayap ulama dalam UMNO.

Contoh lain, Dewan Ulama PAS dikatakan pernah mengeluarkan fatwa haram bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam seperti MCA, MIC dan lain-lain. Tetapi hari ini, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP tetapi teragak-agak bahkan bersyarat pula bila dengan UMNO. Apa nak jawab ? Fatwa PAS itu dikatakan dikeluarkan pada tahun 60an.

Masa PAS bekerjasama dalam BN pada awal 70an, tak kecoh pulak pasal fatwa ni. Hanya bila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR, barulah dibongkar fatwa ini. Tahukah kita sebelum menyertai BN, Dewan ulama PAS sudah membincangkan perkara ini?

Contoh ke 3, di dalam buku terbaru tulisan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ada ditulis, ketika dalam BN, pemimpin-pemimpin PAS tak tahu buat kerja. Mereka hanya pandai bercakap. Bahkan digunakan kesempatan dalam lawatan kerja untuk menambah keahlian parti, mengembangkan pengaruh parti. Akhirnya PAS terpaksa dsingkirkan daripada BN. Wah ! begitu sahaja. Memang tak guna punya PAS.

Berapa ramai yang tahu sejarah pahit maung PAS dalam BN ? PAS menyertai BN ketika Tun Razak menjadi PM dan disingkirkan daripada BN ketika Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan Malaysia) menjadi PM. Berapa ramai yang tahu, dulu RTM menyiarkan iklan arak di TV dan radio ? Saya suka menonton rancangan cabutan Toto di TV ketika zaman kanak-kanak. Saya begitu yakin, Loteri Kebajikan Masyarakat itu tidak haram sebab perkataan Kebajikan di situ. Majalah Utusan Filem dan Fesyen menyiarkan gambar-gambar separuh bogel artis dan model tempatan. Lebih dahsyat daripada majalah di pasaran hari ini. Cerpen dan siri novel didalamnya pula menceritakan adegan lucah.

Saya harap buku sejarah PAS dapat membongkar kembali semua sejarah pahit manis perjuangan pemimpin terdahulu PAS, bukan sekadar sejarah penubuhan PAS sahaja. Walaupun ada tokoh yang tidak lagi bersama PAS, meninggal dunia di luar PAS, namun sumbangan yang pernah dicurahkan bersama PAS perlu diketahui oleh generasi baru. Sumber rujukan tidak semestinya datang daripada mulut orang PAS sendiri tetapi juga daripada tokoh sejarah di luar PAS seperti Prof. Khoo Kay Kim dan tokoh sejarawan di universiti-universiti tempatan.

Satu lagi, saya suka juga cadangkan supaya buku-buku lama terutama mengenai PAS diarkibkan di perpustakaan PAS sebelum habis dimakan anai-anai dan bubuk. Ia boleh menjadi rujukan kepada generasi akan datang.

No comments: