Tuesday, June 19, 2007

Krisis Hamas-Fatah

Krisis Hamas-Fatah kembali tegang. Dua kumpulan pejuang Palestine ini nampaknya sukar untuk bekerjasama walaupun selepas sama-sama bersepakat dalam rundingan Makkah pada Februari 2007.



Sedar atau tidak, perancangan Zionis dan Amerika lah sebenarnya yang telah berjaya. Mereka gunakan pendekatan yang sama seperti di Iraq dimana kumpulan sesama Muslim berbunuhan, sekaligus menjadikan mereka sibuk dan kurang memberi tentangan kepada Amerika. Mereka memasukkan jarum untuk melaga-lagakan Hamas dan Fatah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa orang Palestine tidak boleh bersatu dan sekaligus tidak boleh memerintah sebuah negara. Sifat orang Palestine sememangnya suka kepada peperangan. Mereka tiada kewibawaan dan kredibiliti.



Perancangan ini juga menjadikan orang Palestine sibuk sementara rejim Zionis boleh mengumpulkan kekuatan dan perancangan untuk berhadapan dengan Palestine. Mewujudkan jawatan Presiden dan Perdana Menteri Palestine juga adalah rancangan Amerika untuk melaga-lagakan kumpulan pejuang Palestine. Dahulu, ketika Yasser Arafat menjadi presiden, Amerika menyokong Perdana Menteri Palestine dan menyisihkan Presiden. Kini mereka menyisihkan pula Perdana Menteri dan memberi sokongan kepada Presiden Palestine.





Keadaan di Iraq juga serupa dimana mereka melaga-lagakan puak Sunni dan Syiah sekaligus mengurangkan tentangan terhadap mereka. Pertempuran Sunni-Syiah di Iraq sebenarnya ditokok-tambah oleh tentera penjajah. Bayangkan kalau puak Islam ini bersatu, bagaimanakah tentangan yang akan dihadapi oleh tentera penjajah di Iraq ? Ketika ini pun, mereka sudah menghadapi kesulitan; apatah lagi jika kumpulan Islam bersatu ?



Seperkara lagi, Amerika memang tidak suka perdamaian Hamas-Fatah dipelopori oleh Arab Saudi atau mana-mana negara Islam. Ia akan mengangkat kewibawaan Arab Saudi dan menunjukkan campurtangan Amerika tidak diperlukan untuk mewujudkan perdamaian. Sedangkan Amerika mahu dunia mengiktiraf Amerika sebagai polis dan hakim dunia.



Nampaknya hanya sebuah kerajaan Palestine yang mendapat pengiktirafan Israel dan Amerika sahaja yang akan mendapat pengiktirafan dunia dan sekaligus pasti akan disokong juga oleh dunia Islam kelak. Ikut telunjuk Israel jugalah kita sudahnya.











Powered by ScribeFire.

Tuesday, June 12, 2007

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia

Mungkin agak terlewat sedikit untuk aku menyampuk isu ini. Tapi rasanya aku tak mahu ketinggalan meluahkan pendapat. Kalau tak menulis, otak tak berfikir panjang untuk perkara serius begini.



Semua sudah tahu, bahasa rasmi di Malaysia kini disebut Bahasa Malaysia dan bukan lagi Bahasa Melayu. Nampaknya ada unsur-unsur lebai malang dalam usaha kita memartabatkan bahasa kebangsaan, usaha memperkasakannya diperingkat kebangsaan dan global, usaha menjadikannya bahasa ilmu, usaha menjadikannya terus bersaing dengan bahasa-bahasa lain.



Rasanya, untuk peringkat nasional, terma Bahasa Malaysia agak sesuai tetapi untuk peringkat dunia, Bahasa Melayulah yang lebih sesuai. Bahasa Malaysia tentu merujuk kepada bahasa yang digunakan di Malaysia sahaja sedangkan Bahasa Melayu lebih luas penggunaannya, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thai.



Kita terikut-ikut dengan Indonesia dengan Bahasa Indonesianya sedangkan Indonesia berjaya memperkasakan bahasanya sekurang-kurangnya untuk dalam negaranya sendiri tetapi kita jauh ketinggalan. Kalau dilihat di internetpun, banyak aplikasi dan laman web yang menyediakan opsyen bahasa termasuklah Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu. Kalau ditambah pula dengan bahasa Malaysia, apa bezanya dengan Bahasa Melayu? Bukankah Bahasa Malaysia itu adalah Bahasa Melayu tetapi Bahasa Melayu bukan bererti Bahasa Malaysia kerana ia milik semua orang melayu diseluruh dunia. Bahasa Indonesia memang nampaknya semakin banyak berbeza dengan Bahasa Melayu.



Bahasa adalah budaya bangsa. Kita nampaknya masih tercari-cari dengan budaya kita sendiri. Isu bahasa adalah isu asas dalam sesebuah negara tetapi asas kita nampaknya masih terumbang-ambing. Itulah akibatnya kalau terlalu banyak berpolitik. Semua benda nak dipolitikkan. Untuk kepentingan politik. Bukan lagi untuk kepentingan negara dan bangsa.







Powered by ScribeFire.