Monday, July 26, 2010

Harussani dan politik perpaduan

Selepas membaca penjelasan Hasan Ali berkenaan isu yang ditimbulkan oleh mufti Perak, saya berpendapat apa yang berlaku hanyalah salah faham. Ibarat Hassan Ali angkat tangan nak garu kepala, Harussani sangka Hasan Ali angkat tangan kepada nya. Dia lambai balik kepada Hasan Ali. Lepas tu, dia cerita kepada orang lain, Hasan Ali lambai tangan kepada nya.

Saya tak setuju perkara ini dipanjangkan lagi hingga ke tahap saman menyaman. Walaupun kesan nya agak meresahkan PAS, tapi saya fikir ia sudah reda. Kalau diteruskan untuk diperbesarkan, keputusan di tangan kita sendiri.

Bagi saya, PAS tidak sesuai bekerja sama (dari segi politik) dengan UMNO. Biarlah PAS di sebelah pihak dan UMNO di sebelah pihak yang lain. Itu lebih baik. Ia satu alternatif kepada orang Melayu. UMNO bukan bagus mana pun. Sejarah telah menulis berbagai kecuaian dan kerugian yang ditanggung oleh orang Melayu kerana politik UMNO. PAS pula bukan maksum. Bukan semua pemimpin PAS itu cekap bekerja dan berpandangan jauh. Sebagai sebuah negara demokrasi, biarlah orang Melayu mempunyai pilihan. Saya percaya orang Melayu akan semakin matang berpolitik jika ada pihak yang melihat sesuatu isu dari sudut yang berbeza.

Pada tahun 70an, ketika PAS berada dalam BN, kita dapat lihat bagaimana kedua2 parti sentiasa curiga mencurigai. Misalnya, UMNO tak suka PAS tubuh cawangan di kawasan yang sudah ada cawangan UMNO. Sedangkan PAS menganggap mereka bukan sekadar berpolitik tetapi berdakwah. Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang sudah ada cawangan UMNO, masih dibuat cawangan baru sebab orang UMNO berebut jawatan. Mana mungkin PAS tak boleh kembangkan sayap di kawasan baru hanya kerana ada UMNO ?

Contoh lain, ketika dalam BN, PAS dikatakan mengambil kesempatan meluaskan pengaruh melalui jentera kerajaan. UMNO tak pernah ambil kesempatan kah ? Bukankah hari ini, jentera kerajaan itu sudah jadi jentera UMNO ?

UMNO juga terlalu dominan dalam BN. Ketika dalam BN, pemilihan MB PAS Kelantan pun kena ikut telunjuk UMNO. Sebelum menyertai BN, PAS ada MB sendiri. Bebas buat pilihan sendiri. Tapi bila masuk BN, kena jadi pak turut UMNO pula. Kerja sama apa macam tu. Kalau anda baca semula ucapan Tun Hussein Onn dan ucapan Dato' Asri selepas PAS dipecat drp BN, anda pasti akan dapat gambaran pandangan dari kedua-dua pihak.

Kesimpulannya, perkahwinan yang tak sampai 10 tahun (lebih kurang 5 tahun sahaja) itu tidak bahagia. Masing2 memendam rasa curiga. PAS kata UMNO ambil kesempatan memecah belahkan PAS. UMNO kata PAS degil, tak mahu dengar cakap dan suka buat keputusan sendiri. PAS kata UMNO cuba mengongkong PAS, UMNO cuba jadi juara membela nasib orang Melayu melalui tipu helah (isu balak misalnya). UMNO kata PAS tidak menghormati prinsip kerja sama dalam BN. Dan macam-macam lagi.

Kedua2 pihak masih boleh kerja sama kalau masing2 menhormati undang2 sedia ada. Konsep federalisme, hak rakyat untuk membuat pilihan, laporan media yang bebas dan adil, pihak berkuasa yang tidak dikawal oleh kuasa politik kepartian perlu dihormati. Kalau orang Cina boleh bekerja sama untuk pelajaran kaum mereka, untuk kebudayaan kaum dan untuk ekonomi bangsa mereka, walaupun berbeza parti politik, kenapa Melayu tak reti nak bekerja sama ? Sampaikan hak kerajaan negeri pun tidak lagi dihormati walhal negeri itu dikuasai oleh orang Melayu.

Dulu ketika Gerakan menguasai P.Pinang, kerajaan yang dipimpin oleh orang Cina mendapat layanan lebih istimewa daripada kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Melayu Islam. Sang mufti tak bising pula masa itu.

Saturday, July 17, 2010

Rakyat sambut baik kenaikan harga minyak dan gula.

Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik langkah kerajaan BN menaikkan harga petrol dan gula. Kenaikan itu walaupun sedikit memberi impak yang besar untuk memulihkan ekonomi kerajaan (rakyat).

Kenaikan harga itu dijangka akan menyelesaikan beberapa masalah yang selalu menghantui rakyat. Antaranya :
1. Kekurangan gula dalam pasaran dijangka pulih.
2. Taraf kesihatan rakyat akan bertambah baik.
3. Kesesakan jalan raya dijangka berkurangan.
4. Rakyat akan lebih berjimat cermat dan mengawal sikap boros rakyat selama ini.
5. Kos sara hidup yang meningkat akan mendidik rakyat menjadi lebih bijak berbelanja seperti bijaknya kerajaan menguruskan negara.
6. Subsidi yang selama ini tersasar daripada golongan sasaran dijangka akan kembali kepada pihak yang sepatutnya menerima.
7. Orang miskin akan bertambah kaya dan orang kaya tidak teruk terjejas.
8. Melemahkan aktiviti penyeludupan gula, petrol dan diesel.

Serentak dengan itu, orang Melayu diseru supaya bersatu di bawah payung UMNO atau PERKASA supaya subsidi untuk orang Melayu dapat disampaikan secara cekap dan telus selaras dengan perkara 153 perlembagaan negara.

Sekian. Terima kasih.

Pecah kaca pecah gelas. Lepas baca jangan frust.