Sunday, January 26, 2014

Allahyarham Harun Taib, damailah roh mu di sana

Harun Taib (Allahyarham) pernah menjadi wakil rakyat bagi kampung saya ketika beliau memenangi Pru 1982 (Dun Manir). Bagaimanapun, selepas persempadanan semula kawasan (yang tentunya dicatur oleh UMNO) selepas PRU itu, kampung saya diletak dalam Dun Wakaf Mempelam, masih berwakil rakyatkan wakil Pas (Mustaffa Ali).

Dalam Pru 1982, seingat saya Pas hanya memenangi 5 Dun di Trg iaitu Manir, Jeram (Parlimen Kuala Nerus); Batu Burok, Wakaf Mempelam (Parlimen K. Trg) dan Rhu Rendang (Parlimen Marang). Pru 1974, Pas dalam BN dan Pru 1978 (selepas tersingkir drp BN), Pas kalah teruk di Trg dan Kelantan.

Melihat pengaruh Pas makin pulih dan potensi Pas untuk menang di Parlimen Kuala Nerus dan K. Trg, UMNO memecahkan kawasan kuat Pas (pecah & perintah memang amalan mereka). Manir di alihkan ke Hulu Trg, Jeram menjadi Teluk Pasu di Kuala Nerus, beberapa kampung diagih2kan supaya pengaruh Pas menjadi lemah dan diimbangi oleh kampung yang menjadi kubu BN.

Hasilnya, dalam Pru 1986, Pas hanya tinggal 2 kerusi iaitu Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang. Harun Taib kalah di Manir. Bagi orang yang mudah berputus asa dan tidak istiqamah dalam perjuangan, kekalahan teruk akan mengecewakan dan mungkin berpaling sokongan.

Tetapi, selepas mencaturkan pecah dan perintah, takdirnya mereka pula yang berpecah. 1987, UMNO berkrisis dan akibatnya, Pas kembali berkuasa di Kelantan dan menambah kerusi di Trg dalam Pru 1990.

-----

Kita mudah bersangka buruk dengan seseorang walhal kita sendiri nampak orang yang kita bersangka buruk itu, mempunyai sifat jauh lebih mulia daripada kita. Yang kita nampak ialah perkara2 sumbang yang dilakukannya sahaja.

Lebih buruk lagi, kita sebarkan sangka buruk kita supaya orang lain turut bersangka buruk macam kita.

Dalam hal ini, Allahyarham Harun Taib pernah berkali2 dilabel sebagai pro UG (kerajaan perpaduan). Kali terakhir, ketika beliau menyebut bahawa Pas perlu mengkaji tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Ditambah dengan putar belit media musuh, makin menjadi-jadilah fitnah terhadap Allahyarham dan yang mencaci cerca beliau termasuklah penyokong2 Pas sendiri.

Dalam hati saya yakin, bahawa kerajaan perpaduan seperti yang ditafsir secara negatif oleh blogger2 muda itu bukan sebenarnya seperti yang ada dalam kepala Pas Terengganu sebab saya percaya, saya faham dengan pemimpin Pas Terengganu.

Semoga Allah mengampuni dosa2 Allahyarham, memaafkan kesalahan2 beliau dan semoga rohnya damai di sana. Ameen.

Wednesday, January 08, 2014

Mempertahankan kalimah Allah

Dalam menyentuh isu2 sensitif, tuntutan hak tidak sepatutnya menjadi agenda utama.

Isu penggunaan nama Allah dalam bible sepatutnya boleh diselesaikan di meja rundingan, dengan beberapa tolak ansur. Penggunaan mahkamah sebagai medium menyelesaikan masalah hanya akan memberi hasil yang mengecewakan bahkan mungkin makin serabut.

Sebagai contoh, kalau sebuah keluarga gagal capai kata sepakat. Ibu, ayah, suami, isteri, anak, menantu semua menuntut hak masing2. Kes boleh diselesaikan secara berunding dan ada tolak ansur tetapi masing2 berkeras dan mahu menggunakan mahkamah sebagai jalan penyelesaian. Apakah keluarga itu akan harmoni ? Bolehkah mereka kembali bersatu membina keluarga bahagia selepas itu ?

Daripada segi syarak, saya lihat ia sebagai masalah khilaf. Yang mahu menegah (kristian menggunakan perkataan Allah), lebih bertujuan melindungi masyarakat Melayu yang jahil dan cuai daripada terpengaruh dan keliru dengan perangkap musuh. Mereka tidak salah.

Yang lebih toleran pula melihat daripada sudut tiada nas yang putus yang melarangnya. Mereka juga tidak salah.

Yang kristian dengan alasan mereka sudah berpuluh atau beratus tahun menggunakannya di Sabah, Sarawak dan Indonesia. Mungkin ada benarnya.

Saya tak faham, kenapa paderi kristian dengan selamba mengumumkan gereja di Selangor akan kekal menggunakan perkataan Allah di gereja2 di Selangor. Ia sekali gus dilihat tidak menghormati titah Sultan Selangor yang meminta penganut agama lain menghormati larangan penggunaan kalimah itu kecuali oleh penganut Islam.

Mematuhi perintah larangan, satu hal. Menghormati Sultan, satu hal lain. Puak2 melayu tengah menunjukkan kemarahan dalam isu kalimah Allah. Sekarang mereka marah pula kerana menunjukkan sikap biadap kepada raja mereka.

Agama lain seperti sikh pun guna kalimah Allah juga tetapi tak jadi isu pun sebab mereka lebih cermat dan tak perlu kecoh2 pun.

Sebelum ini, bible di Sabah dan Sarawak guna kalimah itu bertahun2 lamanya dan tak kecoh pun. Kini, jadi lebih kecoh bila ada pihak cuba jadikan isu itu sebagai kredit untuk menarik sokongan politik, baik yang menyokong mahu pun yang menentang.

Jangan bicara soal hak semata-mata. Utamakan keharmonian dan kerukunan hidup. Saya tidak nampak agama kristian mengalamai masalah atau kerugian jika menggunakan perkataan Tuhan atau God selain kalimah Allah di Semenanjung demi menjaga sensitiviti orang Melayu di Semenanjung. Untuk Sabah dan Sarawak, biarkan seperti yang sedia ada sejak dulu.

Orang Islam di Malaysia khususnya orang Melayu perlu lebih berani berdepan dengan realiti semasa. Laman web pro kristian bersepah, boleh dicapai dengan mudah tanpa sekatan. Banyak juga (khususnya daripada Indonesia) yang menggunakan bahasa Melayu dan menggunakan perkataan Allah. Apa kita nak buat untuk menjaga akidah anak cucu kita bila berdepan cabaran sebegini ?

Kita sibuk pertahankan kesucian kalimah Allah sedangkan anak cucu kita tidak pula kita bertegas dengan syariat Allah. Longgarnya ilmu tentang Islam, kurangnya kecintaan terhadap Islam, lemahnya penghayatan dalam Islam, tiada kesungguhan kita dalam memperjuangkan syariat dan kedaulatan Islam menjadikan pegangan Islam kita longgar dan mudah tercabut. Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain kita jadikan alasan kononnya umat Islam cuba dikelirukan. Yang keliru sebenarnya ialah yang jahil. Mudah dikelirukan menandakan masyarakat kita jahil. Jadi apa perancangan kita untuk memantapkan akidah umat Islam di Malaysia ? Buat Hard Rock Cafe yang islamik ?

Air musta'mal pun tak tahu. Najis mughallazah pun tak tahu. Bagaimana mereka bersuci? Suci adalah syarat utama sebelum solat. Itu belum lagi disemak bacaan Al Fatihahnya. Belum masuk bab tauhid lagi.

Al Quran yang menjadi rujukan utama pun tak tahu dibaca, macam mana nak dijadikan rujukan ? Itu termasuk dalam rukun iman ke 3.

Kalimah Allah memang perlu kita pertahankan, tetapi bukan di atas kertas, bukan dimasjid2, bukan juga hanya di bibir manusia yang mengaku dirinya suci (Islam) tetapi pertahankan di hati, dalam dada kita dan semua orang Islam yang di bawah jagaan kita.