Thursday, December 24, 2009

Enjin jet hilang; tutup mulut menteri

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan semua kenyataan berhubung kehilangan dua enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F-5E hanya boleh dikeluarkan Pejabat Peguam Negara berkuat kuasa serta-merta.
Mulut Zahid Hamidi perlu ditutup segera. Lepas satu, satu pendedahan dibuat. Kenapa pendedahan tak dibuat sekaligus ? Kenapa mesti secara bersiri ? Akhirnya kabinet membuat keputusan, "Zahid, kau diam !". Menteri pun dah tak boleh cakap.

Sebelum ini, mulut Zahid juga diarahkan supaya diam dalam isu Pengerusi BN P.Pinang. Dulu Zahid pernah celupar dengan Mahathir. Kenapa Zahid Hamidi tiba-tiba jadi berani begini ? Adakah ia memang sifat semula jadi Zahid atau sekali lagi dia diperalatkan oleh orang lain ?

Dalam kes di Selangor, Hassan Ali (exco agama) diminta diam. Dia tak boleh bercakap bagi pihak JAIS apatah lagi MAIS. Nak bercakap, kena minta izin Pengarah JAIS atau MAIS. Apa punya hinanya exco agama, kena minta izin pengarah dulu.

Kesiaaan. Rakyat lagi lah kesiaaan. Juta-juta RM lesap. Rakyat diminta berjimat cermat. Mesyuarat kena minum air 'o' je. Kuih sekeping saja atau tak ada kuih langsung. Tengah hari, tutup lampu pejabat.

Dakwat kekal SPRM bernilai RM2.4 juta dibeli dan kemudian dimusnahkan tanpa digunakan atau dijual semula. Enjin jet bernilai RM50 juta lesap. Bumbung stadium benilai jutaan RM runtuh. Sana-sini rugi berjuta-juta.

Bayangkan berapa juta kerajaan berjaya selamatkan duit rakyat jika semua pegawai kerajaan minum teh o semasa mesyuarat.


Thursday, December 17, 2009

YB cop duit

Sebagai Exco dan ADUN saya wajib menyumbang kepada PAS Negeri dan Kawasan.
Kepada PAS Negeri saya menyumbangkan RM2,045 sebulan.
Kepada PAS Kawasan saya menyumbang RM1,000 sebulan.
Selain dari itu saya membayar dari elaun saya RM1,300 sebulan untuk sewa Pusat Khidmat ADUN.
Di pejabat SUK, saya melantik dua orang kakitangan tambahan kerana kakitangan yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri tidak mencukupi. Exco-Exco PKR dan DAP juga mengambil kakitangan tambahan. Kami ada ”dateline” dan KPI.

Saya terpaksa membayar dari elaun saya RM2,700 sebulan untuk gaji-gaji kakitangan tambahan itu.

Maka jumlah sumbangan tetap saya adalah RM7,045 sebulan.

Dulu bila kita menganjurkan majlis hari raya, PAS Kawasan akan berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 dan sekitar 1,000 orang yang hadir.

Sekarang ADUN akan menganjurkan majlis hari raya. Perbelanjaannya mungkin RM20,000 dan kehadiran hampir 10,000 orang.

Kenapa saya memberitahu semua ini? Bukankah lebih baik merahsiakan segala infaq?

Saya perlu mendedahkannya kerana bimbang akan ada yang bertanya apa kita dapat dengan adanya seorang Exco, ADUN atau Pejabat ADUN. Atau apa yang ADUN buat dengan elaunnya.

Demikian antara tulisan seorang exco PAS di Selangor.

Teringat saya kepada tulisan seorang mantan MB UMNO. Ketika itu dia bergelar seorang ahli parlimen. Seorang pemandu lori datang kepadanya mahu meminjam wang RM2000 dan berjanji akan bayar balik dalam tempoh 4 bulan. Ahli parlimen Kemaman itu tak cukup wang lalu pergi meminjam daripada ayahnya di Kuala Terengganu. Hutang itu tak pernah dibayar semula walaupun mereka kerap bertemu muka selepas itu.

Sebelum itu, seorang pemilik kerbau didenda oleh mahkamah sebanyak RM500 kerana ternakannya merosakkan kebun jiran dan perlu dijelaskan dalam tempoh 3 hari. Pemilik kerbau itu pergi meminjam wang dengan ahli parlimen itu dengan alasan tak sempat nak jual kerbau.

Selepas itu, pemilik kerbau itu melarikan diri daripada ahli parlimen itu malah menyokong parti pembangkang pula. Pada waktu yang lain, dia masuk UMNO semula tetapi tak pernah minta maaf dengan ahli parlimen tersebut atas kesalahan lepas.

Dalam cerita lain, ketika YB tersebut hendak membeli durian, si penjual durian dengan selamba berkata, harga durian tu RM20 tetapi sebab dengan YB, saya jual RM30.

Satu lagi, seorang lelaki datang mahu meminjam duit RM5000 daripda YB yang sama untuk belanja kahwin anaknya. YB beri nasihat, kalau tak mampu, tak payahlah buat besar-besaran. YB beri RM1000 sebagai hadiah. Lelaki tersebut marah sambil berkata, "Kalau tak boleh beri pinjam sudahlah, saya tak perlukan duit RM1000".

Semua kejadian di atas membuatkan si YB berfikir, betapa orang ramai menganggap YB banyak duit, macam pengilang wang. Mereka menganggap kalau pinjam duit YB, tak payah bayar balik.

Saya percaya bukan semua YB Umno itu jenis suka kumpul duit, kutip komisyen. Sekurang-kurangnya YB dulu-dulu. Macam lagu Andi Lala, "Assalamu 'alaikum YB", belanja seorang YB memang tinggi walaupun mereka boleh buat tuntutan beribu-ribu ringgit.

Bagi YB yang jujur, memanglah perit terasa. Tapi bagi yang jenis kumpul komisyen projek, mereka juga berbelanja tinggi untuk membeli undi dalam pemilihan atau pilihanraya. Pun begitu masih boleh bina rumah sebesar istana, hartanah di sana-sini, belanja anak bini memanglah tak nak kalah. Ini semua hanya menyusahkan YB-YB yang jujur sebab; itulah gambaran kekayaan seorang YB di mata penyokong atau pengundi.

Tengok TGNA. Logiknya 19 tahun jadi MB. Kaya raya dah dia. Kalau orang UMNO, tak tahulah macam mana bini dia berbelanja. Mesti bergaya sakan. TGNA tu orang lama. Kalau YB baru PAS, belum tentu lagi. Orang muda, nafsu belanja pun mesti hebat. Tunggu dan lihat je lah. Harap-harap taklah sedahsyat YB Umno.



Sukan SEA tahun ni tak meriah

Berita Harian Online : 13 November 2009

MOM sokong RTM enggan bayar hak siar Sukan Sea
Oleh Lukman Salleh

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyokong pendirian Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tidak membayar yuran bagi mendapat hak penyiaran Sukan Sea XXV kepada Laos sekalipun ia bermakna peminat sukan buat pertama kalinya akan terlepas aksi secara langsung kontinjen negara di Vientiane.

Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa hak penyiaran temasya itu adalah milik Persekutuan Sukan Sea (SGF) dan langkah Laos mengenakan yuran hak penyiaran melanggar peraturan badan induk itu yang menyatakan kejohanan serantau adalah percuma semua negara anggota.

Justeru, MOM akan membangkitkan isu ini bersama tuan rumah secepat mungkin bagi meleraikan permasalahan ini serta mengelak langkah yang diambil Laos ini akan menjadi ikutan kepada negara yang menganjurkannya selepas ini.

“MOM bersetuju dengan menyokong pendirian RTM untuk tidak membayar yuran bagi mendapatkan hak penyiaran Sukan Sea XXV sekalipun bermakna peminat tidak akan dapat menyaksikan temasya ini secara langsung dari Vientiane,” kata Tunku Imran, kelmarin.

“Apa yang dilakukan Laos melanggar prinsip dan peraturan yang sudah ditetapkan SGF iaitu hak temasya ini adalah miliknya dan ia seharusnya ditawarkan kepada semua negara anggota untuk menyiarkan secara langsung tanpa dikenakan apa-apa caj untuk hak penyiaran.” katanya.

Patut lah tak meriah langsung sukan SEA tahun ni, sekurang-kurangnya di Malaysia. Pembukaan pun tak ada siaran langsung. Sorotan harian pun tak ada.

Teringat sukan SEA di Manila 1981. Saya sering mengadap TV, seronok menonton athlet negara seperti Zaiton Othman, Adnan Saidin, anak-anak Sidek beraksi. Kalau 28 tahun lepas dah boleh tengok di TV, Kenapa di tahun 2009 tak ada langsung. Lantak kau lah Laos. Ini baru pertama kali Laos jadi tuan rumah.

Blogger sedang kumpul alasan Ahli Parlimen PR

Ketika ini, ramai blogger sedang mengumpul alasan daripada ahli parlimen PR yang gagal hadir ketika sessi pengundian untuk meluluskan belanjawan 2010.

Apa pun juga alasan yang diberikan mereka, kita kena terima. Waime dia kata dia tertidur sebab sebelum tu, dia dah tak tidur lebih dari 24 jam.

Ahli parlimen mempunyai seribu satu alasan. Mereka sentiasa sibuk ke sana ke mari. Pantang ada masa terluang, ada saja orang nak jemput atau nak jumpa. Tak susah nak cari alasan.

Jangan salahkan individu itu sahaja. Kepala mereka pun salah juga. Ia tak dirancang daripada awal. Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang tak rancang daripada awal. Saya percaya, kalau ia dirancang lebih awal, lebih ramai ahli Parlimen PR yang bersedia di Parlimen. Sebab itu, sekarang kita lihat semua kepala-kepala ini duduk diam-diam. Ahli parlimen itu sendiri yang kena jawab dan kepala tak mahu bercakap.

Tak hadir persidangan waktu malam bukan perkara pelik. Anwar dan Hadi bukan tak biasa, sibuk pada sebelah malam. Tapi bila dah dirancang awal, boleh lah diatur semula.

Tak ada gunanya ahli parlimen salahkan ketua dan ketua salahkan ahli parlimen. Nanti rakyat lagi marah. Jadi diam sajalah. Itu lebih baik.

Dan mereka semua layak untuk dimarahi. He..he..he..

Tuesday, December 15, 2009

Sakit mata saya tengok amaran ini

Sakit mata saya bila melihat amaran ini setiap kali mengunjungi laman web Parti PAS. Harap petugas di Jabatan IT PAS dapat buat sesuatu supaya mesej ini dapat dibersihkan.
Lawati http://safeweb.norton.com/report/show?url=pas.org.my



Bukan nak tahu hukum, tapi saja nak kenakan dia

Dalam sebuah wacana anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, seorang peserta menanyakan apa hukum isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak menutup aurat dijawab bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.

Saya cukup tak selesa dengan soalan seumpama ini. Bukan sebab yang kena itu isteri PM. Tapi kenapa soalannya hanya terhad kepada "isteri PM" ? Kenapa skopnya terlalu khusus  dan sempit ? Soalan-soalan seumpama ini selalu muncul bila orang politik bersembang. Tujuan sebenarnya bukan nak tahu hukum, tapi nak kenakan seseorang. Kenapa tak tanya apa hukum anak isteri raja kita tak tutup aurat. Sebab kita bukan nak kenakan dia kan ? Kita bukan nak cari gaduh dengan istana. Jadi diam sajalah.

Hukumnya sudah jelas. Siapapun dia, isteri PM ke, permaisuri Sultan ke, Menteri ke, isteri ulama ke, mufti sendiri pun, isteri MB Kelantan atau anak cucu dia ke, kalau dah dedah aurat dengan sengaja, dan kekal menjadi amalan seharian, berdosa lah dia. Dan orang yang bertanggungjawab secara langsung kepada si pelaku, suami atau wali atau ketua keluarga adalah orang yang no 1 dipertanggungjawabkan oleh Allah.

Budaya nak mengenakan orang ni selalu ditujukan kepada pihak yang dimusuhi atau dibenci. Macam suami isteri yang bergaduh depan pegawai agama yang cuba beri kaunseling. Suami tanya ustaz, apa hukum isteri tak layan suami di tempat tidur, malas masak dan tak pernah berhias di rumah. Isteri pula tanya, apa pula hukum suami tak bayar nafkah, tak solat dan tak pernah ajar agama kepada anak bini ?

Kedua-duanya bukan nak selesaikan masalah, tetapi hanya nak mencari salah orang. Hukum hakam yang asas macam tu, semua dah tahu namun daripada segi amalan, itu soal lain. Janji dapat dedah tembelangnya depan orang. Biar dia rasakan sikit. Siapa makan cili, dia rasa pedas.

Begitulah cara kita berdakwah. Kalau nak ajak artis bersama dalam jemaah kita, kita hentam-hentam dosa-dosa dia, kejelikan dia secara terbuka. Nanti cepatlah dia insaf. Alasannya, dia buat dosa secara terang-terangan, jadi kita pun hentam terang-terangan juga lah.

Fikir-fikirkan dan selamat berjaya dalam berdakwah.

Thursday, December 03, 2009

PAS Selangor bermewah-mewah

Isyy. Apalah pemimpin PAS Selangor ni. Baru dapat kuasa sikit, tak dan sepenggal dah boleh tukar kereta. Tak tawaduk langsung.

Memang payah nak cari yang serupa TGNA atau TGHA. Jadi MB pun rumah kayu buruk macam tu jugak. Cat pun tak ditukar.

Tapi kalau saya ditakdirkan dapat rezeki lebih sikit, saya pun teringin juga nak pakai kereta besar macam Mercedes atau BMW. Rumah saya, bukan setakat nak bagi cantik, tapi mungkin saya beli rumah spare. Apartment ke. Tapi tak lah sampai nak buat rumah sehebat rumah Khir Toyo. Rumah kalau dah besar macam istana, jiran tetangga segan nak datang. Saudara mara pun jarang nak mari jenguk. Kita terlupa nak senyum atau pandang kat jiran pun, kita dikata sombong.

Rumah besar, kalau asyik sunyi je rasa seram pulak. Biarlah rumah sederhana je, tetapi meriah dengan saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga pun ringan tulang menghulur bantuan bila perlu.

Pakai kereta besar apa salahnya. Orang bisnes, orang politik, mereka fikir lain. Imej perlu dijaga. Orang yang biasa susah, kalau pakai kereta besar, mereka rasa hebat dan gah. Rasa nak tunjuk kepada orang lain, aku pun mampu juga ada kereta besar. Bukan kereta besar bersusun-susun depan laman rumah. Kalau dah bersusun-susun dan tiap-tiap tahun tukar kereta, barulah tak patut.

Dulu ketika PAS baru menang di Terengganu, ada orang tegur imej TGHA. Dah jadi MB, kenalah jaga imej. Kena lebih segak, kemas dan nampak profesional. Jangan nampak kampung sangat. Syeikh Al Azhar pun lagi kan segak. Ayatullah di Iran pun boleh nampak segak dan hebat.

Lalu TGHA pun mulalah nampak bergaya sikit. Tiba-tiba ada pula yang komplen. Baru jadi MB, terus nampak smart semacam je. Nampak sangat perubahan imej TGHA ni. Dah tak serupa dulu. Macam bagus je. Macam nak bermegah-megah je. Tak nampak tawaduk macam TGNA.

Kalau dah ada rezeki lebih, biarlah dia orang nak berbelanja lebih sikit. Cuma jangan berlebihan sangat. Dan jangan lupa sumbangan kepada golongan yang susah dan sumbangan kepada parti.

Saya tumpang gembira dan bangga melihat kejayaan rakan-rakan bila mereka nampak semakin berjaya dalam bidang yang diceburi. Tak usahlah kita jadikan ia isu yang besar untuk diungkit-ungkit. Ia hanya menunjukkan betapa kita sebenarnya busuk hati dengan orang yang lebih kaya dan berjaya. Adakah mereka sudah semakin melupakan kita ? Dah tak nampak muka mereka kat masjid atau markas lagi ke ? Mereka dah tak datang gotong royong lagi ke ? Mereka dah tak beri sumbangan kepada tabung parti lagi ke ? Mereka dah tak mahu minum kopi bersama kita di warung bawah pokok ke ?

Dua-dua pihak kena muhasabah diri. Jangan sibuk cari kelemahan dan kesalahan orang je.

Monday, November 30, 2009

Piala Monsun capai matlamat

Khabarnya piala monsun yang popular di Terengganu dan di seantero dunia sebenarnya berjaya mencapai matlamat. Antaranya, pelancongan semakin pesat, hotel semakin laris, promosi negeri secara percuma di seluruh dunia yang nilainya tak terhitung. Cuma jualan keropok lekor tahun ini mungkin terjejas banyak sebab kes taun.

Saya suka mencadangkan supaya kerajaan Terengganu melobi pula untuk menganjurkan sukan powerboat. Powerboat pernah dilangsungkan di tasik Mines, di Johor dan di Putrajaya. Tahun depan, Malaysia dah dapat tawaran jadi penganjur dan akan dibuat di Putrajaya lagi.

Antara sebab sukan kapal layar tak begitu popular dikalangan rakyat ialah rakyat tak faham dengan sukan itu. Khabarnya rakyat hanya menonton tanpa memahami bagaimana kiraan markah dibuat. Siapa menang pun tak tahu. Perlumbaan dah bermula ke dah habis, pun tak tahu.

Kalau powerboat tu , rasanya senang sikit nak faham. Lagipun orang Terengganu suka dengan sukan perlumbaan ni.

Satu lagi, ada baiknya kerajaan Terengganu menyediakan gelanggang lumba motor. Tak payahlah sehebat litar sepang. Sekala, perlumbaan dilangsungkan di trek tepi pantai batu buruk. Biasanya, perlumbaan motor digemari di Terengganu. Jadi ada baiknya kerajaan membina trek khas supaya sukan perlumbaan dapat dijadikan acara tahunan di Terengganu. Boleh jadi trek gokart sekali. Anak-anak muda boleh buat perlumbaan secara mingguan atau bulanan mengikut daerah-daerah dan sebagainya.

Trek lumba motor lasak pun elok juga, scrambler misalnya. Boleh lumba basikal lasak sekali. Seingat saya, perlumbaan motor lasak memang popular di Terengganu sejak tahun-tahun akhir 70an lagi. Trek lumba kuda di lembah Bidong, bukan rakyat pergi tengok pun. Itu untuk golongan elit je.

Cuma kawasan berbumbung tu kena kukuh sikit la. Jangan runtuh cepat sangat. Lagi satu skrin TV besar kena ada la. Baru puas mata memandang.

Pembangkang jangan dok bantah pulak. Ni projek untuk anak-anak muda selain sebagai penarik pelancong, ia juga memberi imej tersendiri kepada negeri Terengganu sebagai negeri yang mahsyur dengan sukan perlumbaan. YES !!!

Giliran Tun M timbulkan cerita

Ketika media pro Umno sibuk dengan masalah dalaman PAS, menimbulkan persepsi dalam PAS, cuba merosakkan imej TGNA, cuba meningkatkan keghairahan PAS supaya menggantikan MB Kelantan; tiba-tiba TGNA membangkitkan cerita mengenai Kolonel Mat.

Maka media pro Umno pun terarah pula kepada persepsi baru, siapa Kolonel Mat. Berbagai lapisan masyarakat cuba menjadi ahli tafsir dan ahli nujum, cuba merungkai misteri Kolonel Mat.

Tiba-tiba, Tun M pula bangkitkan cerita ada bekas pemimpin kanan Umno berminat sertai PAS. Satu lagi spekulasi dan persepsi baru pasti tak dapat dielakkan, tetapi persepsi terhadap Umno dan sudah tentu juga terhadap PAS.



Anda boleh baca cerita penuh di blog Chedet

Tun M mungkin cuba alihkan perhatian media dan penyokong UMNO supaya tidak terlalu riang bersorak melihat masalah dalam PAS sedang kain sendiri koyak dan terselak tak dipedulikan.

Apa sebenarnya rahsia disebalik cerita Kolonel Mat dan bekas pemimpin kanan Umno yang sedang mengukur jarak parit yang hendak dilompat. Orang politik banyak helahnya. Ini semua mungkin strategi yang sengaja dibuka untuk ditelah dan dinukilkan secara bersama.

Ha..ha..ha..

Friday, November 27, 2009

Kelantan pasca TGNA

Media UMNO nampaknya tak sabar-sabar nak tengok TGNA meletak jawatan. Heboh diwar-warkan, TMB Kelantan kini sudah mendapat sokongan majoriti untuk menggantikan TGNA. Dengan kata lain, ia sebagai menunjukkan jalan keluar kepada TGNA.

Bila ia datang daripada musuh, sangat penting untuk kita berhati-hati. Ahmad Yaakob digambarkan sebagai seorang yang tenang, berhemah, ustaz dan tiada kontroversi. Kita tak nafikan itu semua. Cuma yang kita sudah pasti, BN tak mampu merampas Kelantan selagi TGNA menjadi MB.

Setahu saya, hak memilih MB dalam PAS adalah dipihak PAS Pusat. PAS Kelantan boleh mencadangkan nama kepada PAS pusat. Manakala kuasa perkenan dalam negeri tentulah kepada DYMM Sultan. Ia bukan kuasa TGNA sendiri.

Saya harap TGNA terus memimpin Kelantan sekurang-kurangnya hingga akhir penggal ini dan bukan meletak jawatan sebelum PRU akan datang. Cuma tugas-tugas beliau boleh diringankan sedikit demi sedikit kepada timbalan dan para exco dan usah dibebani lagi dengan serangan persepsi, khabar angin dan tohmah fitnah. Lebih menyedihkan serangan datang dari dalam kelambu sendiri, blogger, penasihat, ajk dan petugas-petugas yang tidak amanah membocorkan rahsia parti dan kerajaan negeri secara separuh benar.

Cuma saya khuatir pemimpin PAS Kelantan mula rancak mengatur strategi untuk berdepan dengan era PAS Kelantan pasca TGNA.

Wednesday, November 25, 2009

Tauliah mengajar agama dan baca khutbah

"Tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam." Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Shah Alam.


Ketika saya belajar di sebuah IPT suatu masa dulu, khatib (di masjid dalam kampus) yang menyampaikan khutbah tidak semstinya seorang ustaz. Kadang-kadang pensyarah sains komputer, kadang-kadang pensyarah pengajian tamadun Islam yang jadi khatib.

Ketika saya belajar di Kusza, kadang-kadang pelajar Kusza jadi khatib di masjid di kampung-kampung setelah mendapat kebenaran JHEAT. Bukan ada kelulusan formal lagi. Tengah belajar lagi. Yang belum dapat keputusan SPM pun boleh jadi khatib. (Ketika itu, masjid Kusza belum siap).

Yang penting, khatib boleh baca Quran dan hadith dengan lancar. Kalimah-kalimah arab disebut dengan betul. Imam-imam kampung lagi teruk bacaannya. Khutbah dalam tulisan jawi gamaknya. Selidik dibaca seledek, seberat zarrah di sebut seberat zaharah. Tapi itu di kampung, bukan bandar besar macam Shah Alam yang penduduknya berpendidikan tinggi.

Apapun, saya amat tidak setuju Ahli Parlimen tak dibenarkan menyampaikan kuliyah agama di masjid-masjid dan surau-surau. Sampaikan khutbah pun tak boleh baca. Sepatutnya wakil rakyat dibenarkan asalkan sebutannya baik dan isi penyampaiannya tidak menyesatkan. Tak kira lah dia dari parti mana. Yang penting dia Islam dan beriman. Bomba, polis dan askar pun boleh baca. Apatah lagi pensyarah. Pegawai-pegawai kerajaan pun boleh diberi tauliah sementara untuk waktu tertentu mengikut suasana dan keadaan semasa. Carilah kelainan sedikit. Zaman dah berubah. Bukan ustaz-ustaz saja yang boleh baca khutbah. Menteri dan Sultan pun boleh jika elok sebutannya.

Kalau sultan nak sampaikan khutbah atau tazkirah, macam mana ? Apa alasan nak diberi untuk diberi kebenaran atau tidak ? Tiada pendidikan formal ? Sebutan tak betul ? Ada berani ke ? Mana tahu kalau-kalau Sultan saja nak test pegawai JAIS nak tengk setakat mana ketegasan dan keberanian pegawai JAIS.

"Sebaik-baik orang adalah yang paling baik bacaan al-Qur'annya di antara mereka, orang yang paing memahami agama Allah di antara mereka, orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara mereka, orang yang paling sadar menyuruh orang kepada kebaikan, orang yang paling sadar mencegah orang lain dari kemungkaran, dan orang yang paling baik hubungan silaturrahimnya di antara mereka." (HR Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

"Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya." (Riwayat Muslim)

Doa memohon perlindungan Allah daripada wabak taun

Selain menjaga kebersihan, elok juga dihafal doa ini dan diamalkan setiap hari.
Doa ini bukan hanya untuk wabak taun tetapi untuk apa juga wabak penyakit.

Doa Elak Wabak Penyakit(2)

Tuesday, November 24, 2009

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM
PUTRAJAYA: Keputusan yang tidak konsisten Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dalam beberapa isu termasuk pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah bukti kelemahan kepimpinan Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Betul lah tu barang kali. Dalam pada lemahnya Nik Aziz, dia mampu menguruskan Kelantan selama 19 tahun. Berbagai tekanan daripada kerajaan persekutuan dan media massa dikenakan kepada Kelantan, pun begitu masih mampu bertahan malah Kelantan terus maju.

Hari ini juga, Muhyiddin minta pemimpin MCA tutup mulut. PM dan TPM terpaksa campur tangan dalam krisis MCA. Apakah ini tanda pemimpin MCA kuat, berwibawa dan dihormati ahli ? Muhyiddin patut kata campurtangan PM dalam MCA bukti kelemahan kepimpinan MCA. MCA memerlukan mursyidul am daripada UMNO, yang lebih dihormati dan disegani daripada sekelian pemimpin MCA sendiri.

RON95 rosakkan enjin ?

Minyak RON95 rosakkan enjin?
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.


Setakat ni, saya tak perasan berlaku kerosakan enjin atau tidak. Tetapi saya dapat rasakan, sejak guna RON95, kereta saya dah tak lancar macam dulu. Guna gear 5 macam gear 4 je.

Lepas tu, saya cuba tukar daripada Petronas kepada Shell (masih RON95). Sejak tukar kepada Shell, saya rasa okay sikit walaupun tak sama macam dulu. Mungkin sebab kereta saya dah 10 tahun. Jadi kesannya agak terasa. Kalau kereta baru, mungkin tak rasa sangat.

Jadi, kini saya dah jadi pengguna Shell pula. Bukan tak nak sokong produk tempatan, tapi apa boleh buat.

Thursday, November 19, 2009

Lamalagi kah keputusan siapa MB Perak ?

Mahkamah Persekutuan sudah selesai membicarakan isu siapa MB Perak yang sah. Kalau ikut logik saya, apa nak tangguh lama-lama sangat keputusan. Kita kena ingat, keputusan ini akan menjadi rujukan kepada semua kes-kes akan datang. Kalau hari ini memihak kepada PR, akan datang di tempat lain mungkin akan memihak kepada BN pula. Begitu juga sebaliknya.

Hari tu, bila mahkamah tinggi membuat keputusan memihak kepada Nizar, cepat-cepat mahkamah rayuan tangguhkan perlaksanaan keputusan dan buat keputusan yang kemudiannya memihak kepada Zambri semula.

Kalau keputusan memihak kepada Zambri, umum lah cepat-cepat. Pelabur pun tak risau nak melabur di Perak. Lain lah kalau keputusan memihak kepada Nizar. Mungkin juga nak tangguh dulu. Tunggu masalah MCA selesai dulu. Baru-baru ini, ingatkan dah selesai, rupa-rupanya makin kusut pula. Masalah MIC dan kaum India nampak macam dah okay sikit. Itu pun hanya mengikut justifikasi di Bagan Pinang semata-mata. Entah-entah hanya fatamorgana.

Kalau masalah MCA selesai, baru BN selesa nak hadapi pilihanraya. Walaupun ada kajian mengatakan prestasi dan persepsi terhadap PAS merudum, tapi ingat senang ke BN nak percaya dengan kajian-kajian sebegini. Mungkin ia cuma perangkap untuk mendesak supaya BN berani berdepan dengan pilihanraya di Perak atau di seluruh Malaysia. Sebelum PRU 2008, bukan tak ada kajian yang mengatakan BN pasti akan menang dengan majoriti 2/3 seperti biasa. Tapi keputusan sebenarnya ?

Najib dah masak dengan laporan "okay boss" ketika PRU 1999. Di Pekan, Najib nyaris bungkus ketika itu. Najib nyata lebih tangkas daripada Pak Lah, walaupun tidak selicik Mahathir.

Akhir-akhir ini, nampak ada usaha aktif untuk menaikkan semula Mahathir. Jelasnya, idea dan bantuan Mahathir diperlukan untuk mengekang Pakatan Rakyat. Ramai yang belum yakin dengan keupayaan Najib seorang. Daripada segi ekonomi pun, Najib masih gagal memulihkannya dengan cepat. Nampak terlalu perlahan.

Mahathir pula nampaknya lebih cenderung menyerang MB Kelantan dan bukan MB Kedah. Mungkin kerana TGNA dilihat ikon kuat dalam memperteguhkan PR. Ini memberi kelebihan kepada MB Kedah untuk buat kerja dan kurang berpolitik.

Buatnya selepas prk kota siputeh, PAS yang menang. Alamat lagi takutlah BN nak buat pilianraya baik di Perak mahupun PRU. Mungkin ada baiknya jika BN buat pilihanraya di Perak serentak dengan Kota Siputeh.

Friday, November 13, 2009

TG Nik Aziz tangguh hajat tunai haji

Mengkritik secara Islam

Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika ulama melantik mat rempit sebagai penasihat. Pemimpin melantik budak-budak penghantar surat sebagai tempat minta pandangan.

Semua orang boleh memberi nasihat. Semua orang wajib memberi nasihat. Semua orang berhak untuk memberi nasihat.

Saya bukan nak merendah-rendahkan golongan mat rempit atau budak-budak despatch. Mereka juga ada idea dan pandangan sendiri dari kaca mata mereka sendiri. Ia hanya sekadar contoh sahaja untuk difikir-fikirkan.

Dalam Al Quran yang menjadi sumber rujukan (petunjuk) kepada orang-orang yang bertaqwa, ada disebut supaya kita saling nasihat menasihati. Tetapi ayat itu dimulai dengan beriman dan beramal soleh. Jadi kita dianjurkan supaya beriman dan beramal soleh dahulu supaya nasihat kita menjadi lebih berkesan, bernilai dan diterima baik.

Begitu juga bila hendak lantik penasihat, mestilah yang beriman dan beramal soleh, baru mantap. Mungkinkah ada yang berkata, yang mengaku beriman pun kelentong juga, usang berbulu ayam pun ada. Yang penting, itu perintah Allah dan termaktub dalam Al Quran.

Kemudian, nasihat itu perlulah dengan cara kebenaran (kebenaran itu datang dari Allah). Juga dengan cara kesabaran. Juga dengan kasih sayang. (rujuk surah Al-Asr dan surah Al Balad) Itu kaedahnya menyampaikan nasihat kepada sesama jemaah Islam.

Yang boleh kita gunakan cara yang sedikit keras ialah kepada golongan munafik, fasik, yang terang-terang menentang Islam atau menolak Islam, lebih-lebih lagi dia mengaku Islam kerana mereka sudah dikira merosakkan imej Islam itu sendiri.

Pun begitu, kalau nak menarik orang kafir menerima Islam, tentulah cara sabar dan kasih sayang itulah yang lebih baik.

Jadi kepada yang suka beri nasihat dan kritikan, kalau guna cara maki hamun, caci cerca, ikut sedap hati je, hentikanlah. Lebih-lebih lagi yang ditegur itu adalah pemimpin kita sendiri. Menegur ibu bapa tidak boleh sama dengan menegur anak-anak, walaupun kita amalkan konsep satu Malaysia. Bukan kritikan anda tidak betul, tetapi cara anda mengkritik itu yang terang-terangan salah. Lama-kelamaan, yang dikritik pula yang mendapat simpati dan pembelaan.

Thursday, November 12, 2009

Muhyiddin terlebih pandai

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," kata Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di Alor Star.


Kuasa SPR dia tahu. Kuasa speaker dia tak tahu. Kan terbalik tu. Speaker berkuasa di DUN. TPM pun tak ada kuasa tu. Apa pula kuasa SPR ? Peruntukan mana pula menyebut SPR berkuasa memutuskan kerusi DUN kosong atau tidak ?

Dari hal menantu

Kalau di era Pak Lah, kita didedahkan dengan kebolehan luar biasa menantu geniusnya, kita juga turut didedahkan dengan penyelewengan menantu beliau. Yang menyokong memalu gendang ProKhairi dan yang menyampah + dengki memalu gendang antiKhairi.

Sehari dua ini, giliran TGNA pula diserang. Lebih malang, beliau baru keluar IJN kerana kurang sihat dan akan berangkat menunaikan haji tidak lama lagi. Dan antara serangan dibuat termasuk melalui menantunya Arif Fahmi.

Kebanyakan blog banyak menyiarkan serangan ke atas si Arif Fahmi ini sehingga tak nampak ada pihak yang tampil membelanya. Dia sendiri pun tak banyak bercakap untuk pertahankan diri. Nampak macam sungguh dia memang bersalah. Alangkah tidak adilnya jika kita terus terburu-buru menghukum begitu.

Maklumlah, dalam kes ini, yang berkonfrontasi secara berdepan ialah blogger popular Kickdefella. Blogger ini sudah punyai ramai peminat dan sahabat blogger. Sudah lama orang percaya dengan dia. Jadi bila dia kena pecat (ditamatkan perkhidmatan), ramai yang bersimpati dengannya. Ramai yang percaya dia tak bersalah. Di aniaya. Jadi mangsa.

Khabar lain yang dilaporkan, si blogger ini kerja makan gaji buta di PMBK lebih RM4 ribu sebulan.

Sebulan lepas, saya hantar proposal kepada sebuah agensi kerajaan pusat. Kosnya cuma RM5 ribu sahaja. Proposal saya ditolak sebab agensi itu tak ada duit. Saya tahu, agensi itu memang tengah tak ada duit sekarang ni. Bayangkan, projek sekecil RM5 ribu pun tak mampu nak beri, apa rasional PMBK nak bayar gaji buta RM4000 sebulan kepada blogger tersebut ? Kelantan dah banyak duit sangat ke ?

Anda boleh baca banyak maklumat lain tentang isu di PMBK di Manjungmari (sini, sini dan sini). Soal betul atau tidak maklumat itu, kenalah kita berhati-hati dan timbangkan. Cuma hati kecil saya berkata, ada yang tak kena dengan blogger Kickdefella ini.

Monday, November 09, 2009

Bohong

Pernahkah anda berbohong ? Kalau anda tak pernah berbohong, saya respek habis. Sukar untuk kita mengaku bahawa kita tak pernah berbohong.

Lihat anak-anak kecil. Si Abang pukul si adik. Bila si adik menangis, Abangnya tak mengaku dia yang buat. Paling tidak dia kata adiknya yang mula dulu walaupun itu tidak benar.

Dua beradik main kejar-kejar. Bila seorang jatuh dan menangis, dia akan kata yang sorang lagi buat.

Kita tidak pernah diajar berbohong. Kita tak suka dibohongi. Kita juga mungkin tak suka berbohong. Tetapi dalam keadaan terdesak, kita berbohong juga. Ia berlaku secara spontan. Untuk selamatkan diri.

Kadang-kadang dalam keadaan kita berperang mulut, secara tak sengaja kita berbohong, untuk menyokong cerita atau hujjah kita. Pada masa yang lain, kita sesali semula kerana kita sudah berbohong. Menokok tambah atau merahsiakan cerita sebenar.

Saya pernah buat satu kesalahan ketika zaman sekolah. Cikgu tanya, siapa yang buat. Semua tak mengaku termasuk saya. Saya sedar, saya lah yang buat. Adakah saya dikira berbohong ?

Imam Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab "Raudhah", dengan katanya, "Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu."

Bohong adalah salah satu sifat orang munafik. Tetapi bila kita berbohong bukan bermakna kita munafik terus. Cuma kita memiliki sifat orang munafik. Sebab itu, kita disuruh berdoa, minta dipelihara diri daripada sifat orang munafik. Dan doa itu perlu diteruskan sampai kita tua, sampai mati.

Bukan mudah nak mengelak diri daripada berbohong. Kadang-kadang, dengan anak-anak pun kita tipu. Suami tipu isteri. Isteri tipu suami. Kebanyakannya bukan dengan niat. Bukan mahu aniaya atau khianati sesiapa pun. Semata-mata untuk kepentingan sendiri saja dan hanya untuk saat itu sahaja.

Selain bohong ialah janji. Sukar untuk kita tepati janji, terutama dari segi masa. Jalan sesak, lupa, hujan, sakit, ubah fikiran. Bila kita fikir, aku tak sepatutnya teruskan perkara ini kerana keburukan lebih besar daripada kebaikan, kita jadi terpaksa ingkar janji. Apa pun alasan yang diberi, walaupun betul, hakikatnya kita sudah mungkir janji. Janji kita dah jadi tipu.

Kadang-kadang, dengan ibu bapa kita sendiri pun kita bohong. Bila dikenang semula pembohongan-pembohongan yang pernah kita buat, kita pasti rasa menyesal. Kita mungkin sudah berkali-kali memohon ampun dan maaf dengan ibu bapa kita, tetapi kita mungkin masih teringat dosa kita menipu mereka suatu ketika dulu.

Saya percaya ustaz-ustaz dan ulama-ulama juga tidak terkecuali daripada kesilapan seperti ini. Bukan mereka berniat mahu menipu sesiapa tetapi kadang-kadang, benda yang mereka kurang pasti atau ingat-ingat lupa, mereka sebut dengan penuh yakin.

Apatah lagi orang yang kerjanya banyak bercakap. Jurujual atau ahli politik, misalnya.

Abu Bakar Chik ajak debat

KUALA TERENGGANU - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mencabar pemimpin Umno bersemuka dan berdebat atas tajuk ‘siapa lebih beragama?’


Lagi-lagi debat. Saya cukup tak suka dengan debat. Orang PAS cukup suka berdebat. Dan orang UMNO pula tampak tak berapa berani dengan debat.

Bagi saya, debat bukan cara berkesan untuk menarik sokongan rakyat. Debat sudah terbukti memberi kesan yang sangat minima dalam menarik sokongan dan kepercayaan rakyat. Debat sekadar untuk menonjolkan pendebatnya dan mengaibkan lawan. Lepas debat, yang nampak lancar akan dipuji-puji. Yang mungkin nampak agak gelabah sikit, akan disindir. Tetapi yang sokong A akan tetap sokong dan puji A dan perasan B gelabah. Dan yang sokong B akan tetap sokong B dan puji B dan perasan A gelabah. Bukan nampak siapa benar siapa salah pun.

Apatah lagi tajuk debatnya nampak kelakar. "SIAPA LEBIH BERAGAMA?". Ini pun nak didebatkan ? Masing-masing nak tonjolkan diri sendiri ? Nak puji diri sendiri ? Beragama pun nak diwar-warkan ? Dihebahkan ? Apa ni ? Aku banyak solat berjemaah, aku solat tahajjud, aku banyak baca Quran, aku banyak zikir, aku banyak bina masjid, aku amalkan isi kandungan Al Quran, buktinya bla bla bla ....

Tak ada kerja lain ke ? Kita nak ungkit-ungkit kerja ibadah kita ? Nak ungkit kerja dakwah kita ? Nanti ter"reset" semua pahala amal kita. Mana perginya keikhlasan kita ?

Sudah-sudahlah Abu Bakar Chik. Carilah cara lain untuk tonjolkan diri. Dekati rakyat dengan turun padang, itukan lebih baik dan berkesan.

Saturday, November 07, 2009

Dasar tempoh jangka hayat kenderaan - Kluk klek betul

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah bersetuju supaya pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan ditarik balik setelah mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan.
- Petikan Sinar Harian 7 Nov 2009.

Ini bukan kluk klek okay. Ini menunjukkan kerajaan prihatin. Rakyat didahulukan.

Kalau yang Pak Lah buat,itu baru kluk klek. Kalau Najib buat, itu bukan kluk klek. Sebelum ini pun, Najib beriya-iya nak banteras, perangi rasuah. Lepas tu ambil bekas pemimpin yang kena tindakan disiplin sebab rasuah sebagai calon BN. Itu pun bukan kluk klek juga.

Ingat Hishamuddin kata, ROS tak akan campur hal MCA. Lepas tu ROS yang buat keputusan siapa Timbalan Presiden MCA. Dan Hishamuddin bela ROS. EGM MCA hanya wayang saja. Opera Cina saja. Ia hanya untuk hiburan saja. Dan Hishamuddin bukan kluk klek.

Kluk klek terbaru ialah TGHH, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali. Kluk klek kini berada dalam PAS. Tanya Aziz Bari. Dia pakar undang-undang. Jadi dia tahu lah.

Persatuan Peguam Syariah pun kluk klek juga. Kejap minta maaf, kejap tak minta maaf. Mana satu yang betul ni.

Friday, November 06, 2009

Wahabi tak sesat tetapi ...

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.


Memang lah kita tak kata dia sesat. Masalahnya bila pihak dia yang kata kita sesat. (Saya tak merujuk kepada Dr. Maza). Inilah punca kepada kegelisahan masyarakat. Bila kita tak terima hujjah pihak dia, dia kata kita sesat. Sebab itu ramai mufti-mufti kurang senang dengan puak-puak yang dilabel dengan Wahabi ni. Antaranya termasuk mufti Perak, mufti Pahang, mufti Johor, bekas mufti Negeri Sembilan dan mungkin juga mufti Selangor.

Ada buku karangan Ustaz Rasul Dahari (ustaz wahabi) diharamkan di Johor (juga di Malaysia ?). Bila mereka mengajar, mereka dengan mudah mempengaruhi pendengar mereka dengan mengatakan orang yang buat itu ini sebagai sesat. Memang mereka ada hujjahnya, tetapi bila melabelkan orang lain sesat, itu sudah dikira memaksa orang supaya ikut fahaman dia. Sedangkan ulama lain pun ada hujjahnya juga.

Seorang imam tersohor di Saudi pernah enggan menyembahyangkan jenazah seorang ulama lain kerana ulama tersebut membolehkan sambutan maulidur rasul. Orang arab biasalah, kalau berbeza pendapat, mereka cenderung mengutuk malah menghukumkan sesat. Malangnya masyarakat di tempat kita sudah ramai yang terikut-ikut dengan cara itu termasuk yang bukan ulama. Kan parah tu ?

Thursday, November 05, 2009

Perpaduan kaum, Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam

Mengikut pengamatan saya, perpaduan kaum di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding sebelum PRU12 tahun lepas. Perpaduan kaum yang terbina secara tidak terancang melalui keputusan PRU12 yang memaksa PAS dan DAP berkerjasama. PAS berpakat dengan PKR dan DAP juga berpakat dengan PKR melalui pakatan yang tidak sama pada mulanya. Namun keputusan yang diluar jangkaan itu telah membulatkan tekad kedua-dua parti untuk bekerjasama.

Saya masih ingat, sebelum PRU12, penyokong-penyokong PAS di portal tranungkite.net mengata bermacam-macam kepada DAP, dan ada yang merancang jangan keluar mengundi kalau DAP yang bertanding. Sebenarnya, dalam PRU10, PAS ada pakatan secara longgar dengan DAP dan ramai penyokong PAS yang telah mengundi DAP. Cuma dalam PRU11, DAP enggan berpakat dengan PAS kerana merasa mereka rugi banyak dalam PRU10. Tambahan pula keceluparan TGHH dengan isu ubat tamat tempoh menyebabkan DAP sukar menerima PAS. Tindakan DAP nyata bijak kerana mereka kembali mendapat momentum dalam PRU11.

Selepas PRU12, DAP pusat teragak-agak untuk bersama PAS membentuk kerajaan, begitu juga dengan PAS sendiri. Atas sebab itulah barangkali, PAS bersedia berunding dengan UMNO kerana tiada tanda-tanda yang jelas, bagaimana kerajaan di beberapa negeri boleh dibentuk. Mungkin PAS Terengganu menaruh harapan untuk turut sama dapat menumpang dalam kerajaan Terengganu, jika UMNO mahu berpakat di Selangor dan Perak.

Namun keadaan menjadi berbeza kerana DAP Perak beriya-iya mahu berpakat dengan PAS dan PKR walaupun pada mulanya dibantah oleh DAP pusat. DAP Perak bersedia dihukum oleh DAP Pusat, kerana DAP Perak sudah lama berkerjasama dengan PAS Perak secara tidak rasmi. Tawaran oleh PKR Selangor pula mengajak DAP Selangor dan PAS Selangor untuk berada dalam satu kerajaan Pakatan.

DAP pusat dan PAS pusat akhirnya akur dengan desakan pimpinan negeri masing-masing, paling kuat saya kira adalah daripada Perak. Bila sudah bermulanya pakatan, masing-masing terpaksa mencari titik persamaan dan cuba melupakan perbezaan, masing-masing cuba memahami sensitiviti rakan pakatan dan mula mahu belajar mengenali budaya masing-masing. Daripada situlah, perpaduan kaum menjadi semakin muhibbah walaupun saya percaya, prasangka lama mungkin masih ada dan tidaklah hilang dengan begitu mudah dan cepat.

Hanya media UMNO sahaja yang cuba mengungkit isu perkauman supaya pakatan rakyat dapat dipecah-belahkan seberapa segera yang mungkin. Lalu timbul isu tanah rizab melayu, kampung baru, geran, peruntukan perbelanjaan, perjanjian pangkor 2, isu rumah ibadat, tanah perkuburan dan macam-macam lagi isu sensitif. Namun semuanya itu telah mempercepatkan lagi proses mematangkan pakatan rakyat, memahami masalah semasa dalam pentadbiran negeri dan isu menghormati sensitiviti kaum, agama dan budaya.

Kini kerajaan BN menggunakan slogan 1Malaysia untuk menarik semula sokongan kaum bukan Melayu kepadanya selepas menyedari isu perkauman yang cuba dibangkitkan sebelum ini lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Ketika isu perkauman cuba dibangkitkan, PKR, PAS dan DAP pula bermati-matian mempertahankan tindakan kerajaan PR dalam isu-isu sensitif dan sekaligus memperlihatkan mereka menjadi juara dalam isu tersebut, sedang BN hanya memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap mereka.

Menyentuh isu perpaduan Melayu dan perpaduan Islam, elok kita tanya diri kita, adakah orang Melayu berpecah kerana politik kerpartian semata-mata ? Sesama orang UMNO pun, berpecah-belah juga. Sesama orang PAS pun berpecah belah juga. Kalau PAS dan UMNO berkerjasama, adaka masalah perpaduan melayu dan Islam ini boleh selesai ? Dalam kes Dr. Maza pun kita dapat lihat, dalam UMNO ada yang sokong Dr. Maza dan ada yang menentangnya. Begitu juga dalam PAS. Mufti-mufti sendiri pun ramai yang mahu pengaruh mazhab Dr. Maza disekat.

Jadi masalah perpaduan melayu mungkin dilihat secara luarannya selesai jika PAS dan UMNO duduk bersama tetapi hakikatnya, bukan sahaja perpaduan melayu dan Islam tidak benar, malah perpaduan kaum mungkin jadi lebih buruk kerana satu pihak dikuasai Melayu dan Islam dan di satu pihak lagi mungkin menjadi tumpuan sokongan kaum dan agama lain.

Oleh itu, biarlah sistem dua parti ini tumbuh dahulu dan suburkan ia dengan perlembagaan sedia ada sebelum kita melihat buah yang akan dituai kemudian untuk generasi akan datang yang kemudiannya akan mencorakkannya pula. Semoga Islam turut subur bersamanya dan berkembang melalui tauhid, iman, akhlak dan taqwa yang tersemai bersama kerajaan PR atau kerajaan BN. Saya lebih suka melihat Islam berkembang melalui kekuatan ummahnya, bukan melalui kuatkuasa undang-undang dahulu, apatah lagi melalui mata pedang. Jihad kita di Malaysia hari ini ialah jihad untuk melahirkan ummah yang kuat akidahnya, luhur akhlaknya, teguh imannya dan pintar akalnya dengan ilmu yang menjadi penyuluhnya.

Sekurang2nya dua mufti sokong JAIS

Laporan dipetik drp Sinar Harian 5 Nov 2009

Asri wajar ditahan, tidak ikut undang-undang - Mufti Perak

IPOH - Kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak sepatutnya dijadikan isu dan dipertikaikan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu adalah wajar kerana bekas mufti itu secara terang-terangan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan dalam pentadbiran agama negara ini.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berperlembagaan yang memberi kuasa kepada pentadbir-pentadbir agama seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah menjalankan tugas, penangkapan terhadap mana-mana individu yang mengajar agama tanpa pentauliahan adalah wajar.

"Saya pelik kenapa orang ramai riuh rendah, termasuk orang-orang atasan yang mendukung negara. Perkara ini tak perlu jadi isu.

"Saya juga pelik kenapa Dr Mohd Asri tidak ambil berat dengan amaran yang dibuat Jais sebelum ini, tak ada tauliah memang tak boleh tapi dia tak endahkan," katanya kepada Sinar Harian semalam, mengulas isu penangkapan bekas mufti itu Selasa lalu.

Mengenai pentauliahan, Harussani berkata, semua pihak perlu akur dengan perlembagaan dan enakmen berkaitannya yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap negeri serta telah disahkan oleh raja-raja.

Menurutnya, enakmen berkenaan sudah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya terdapat kawalan dari segi penyebaran agama di setiap negeri.

"Tak ada (tauliah) memang salah, tak ada siapa pun yang berkecuali termasuk saya sendiri. Jika saya hendak berceramah di negeri lain, saya juga mohon tauliah, ibarat kita mohon lesen sama seperti bidang profesional lain yang perlu ada lesen," katanya.



Mufti Pahang sokong tindakan Jais


KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

Terengganu tiada hak menuntut royalti petrol - Najib

Kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
- Utusan Malaysia 5 Nov 2009.

Dari pada ucapan ini, jelas Najib masih menganggap Terengganu (dan Kelantan) tidak layak menerima royalti.

Harap kerajaan negeri Terengganu faham dan jangan memandai-mandai untuk menggugurkan kes saman kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan di mahkamah. Teruskan saman dan minta dipercepatkan perbicaraan.

Wednesday, November 04, 2009

1Malaysia : Terengganu dan Kelantan terima layanan berbeza

Kelantan hanya akan diberi wang ehsan, bukan royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri. Bukan ke munafik tu ?

Ketika kerajaan pusat memutuskan untuk mengembalikan royalti kepada kerajaan Terengganu (dah kembali ke belum ?), Najib dilaporkan berkata, "Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti."

Kalau dengan kerajaan Terengganu, pusat menghormati perjanjian, kenapa dengan kerajaan Kelantan, pusat enggan menghormati perjanjian ? Di mana slogan 1Malaysia ? Kenapa layanan berbeza-beza antara negeri-negeri ? Terengganu lain, Kelantan lain ? Bukankah Kelantan juga majoritinya orang Melayu ? Mana pembelaan untuk orang Melayu ?

Isu kawasan bertindih tidak boleh dijadikan alasan. Ini perjanjian antara Kelantan dengan Petronas. Yang dituntut oleh Kelantan ialah yang daripada kawasannya. Bagaimana jelasnya perjanjian antara Malaysia, petronas dan negara yang bertindih itu, begitulah juga sepatutnya bahagian yang patut diterima oleh Kelantan.

Apakah kerajaan pusat hanya mahu kembalikan hak Kelantan jika kerajaan pusat bertukar tangan daripada BN kepada PR ? Ketika itu (Insya Allah), jika kerajaan PR boleh melakukannya, apakah yang nak dijawab oleh BN ?

Ini samalah dengan banyaknya kes-kes masalah pengambilan tanah, peruntukan kanah kubur, geran yang tertangguh bertahun-tahun dengan berbagai alasan oleh parti pemerintah, bila PR mengambil alih, PR berjaya pula selesaikan dalam tempoh ada yang tak sampai setahun.

Kesimpulannya, BN memang tak reti buat kerja, atau lembab atau tak nak selesaikan. Slogan 1Malaysia dilaksanakan secara berpilih-pilih. Gimik semata-mata.

Monday, November 02, 2009

Bekas mufti ditangkap dalam majlis ilmu

Akhbar hari ini melaporkan penangkapan mantan mufti Perlis, Dr. Asri oleh JAIS. Alasan tangkapan belum begitu jelas, ada yang kata kerana tiada tauliah. Setahu saya, tauliah diperlukan kalau mengajar di masjid atau surau yang diiktiraf kerajaan negeri. Dan dalam kes di atas, Dr. Asri mengajar di rumah lamanya.

JAIS pernah tidak memberi tauliah kepada mantan mufti Selangor sendiri, Allahyarham Ishak Baharom. Bagaimanapun, beliau tetap mengajar di markaz-markaz PAS selain di rumah-rumah yang menjemput beliau. Ramai lagi ustaz-ustaz yang hebat-hebat pernah tak dapat tauliah mengajar agama. Ini termasuk Dr. Harun Din dan Ismail Kamus.

Kadang-kadang, kitapun keliru, kenapa mereka tak diberi tauliah. Apa kriterianya ? Ikut suka dia je buat kriteria sendiri, dan ubah-ubah kriteria mengikut waktu. Kalau ustaz tu memang jenis jelas sesatnya seperti mengaku rasul, tak apalah. Ini setakat masalah khilafiyah, masalah furu'.

Saya khuatir, isu di atas akan membuka ruang sekali lagi untuk syaitan meniup api prasangka, was-was dan tuduh menuduh terhadap exco agama Selangor, atau ia memang dirancang oleh pihak tertentu untuk tujuan sebegitu. Lebih menarik, Adun PAS yang dilabel tidak sebulu dengan exco agama Selangor turut bersama dalam majlis ilmu tersebut.

Ketika kita baru sahaja mendapat tahu, PM 1Malaysia mempelawa Dr. Asri untuk mengetuai YADIM dan Ketua Dewan Ulama PAS pula mempelawa Dr. Asri menyertai PAS, JAIS dilihat cuba mencetuskan satu lagi kontroversi. Apa sebenarnya muslihat JAIS ? Siapa sebenarnya di belakang isu ini ?

Sunday, November 01, 2009

Masa untuk PAS tukar pemimpin ?

Mengulas krisis PR di negeri Selangor, beliau (pensyarah politik dari Universiti Malaya, Amer Saifude Ghazali)berpendapat tindakan exco kerajaan negeri Datuk Dr Hassan Ali bersuara mengkritik tindakan jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor terhadap penjawat awam yang didakwa dimalukan ada kewajarannya, walaupun cara pesuruhjaya PAS Selangor itu mengutarakan kritikan itu dipersoalkan.


Saya setuju tu.

Saya tak ralat kalau TGHH sebagai presiden PAS digantikan tidak lama lagi. Walaupun tulisan atau ucapan beliau akhir-akhir ini jauh lebih baik dan bernas berbanding dahulu, tetapi sekali-sekala masih ada kegopohannya.

Kegagalan PAS mempertahankan Terengganu pada 2004 tidak begitu mengejutkan jika dibandingkan dengan prestasi keseluruhan PAS termasuk di Kedah dan Kelantan pada waktu itu tetapi kegagalan PAS merampas semula Terengganu pada 2008 ketika pengaruh BN merosot teruk di seluruh negara, itu amat mengecewakan.

Memang kerajaan PAS Terengganu syok sendiri, perasan sangat konon rakyat suka dengan cara mereka. Sudahlah begitu, peruntukan perbelanjaan pula terjejas teruk kerana royalti dinafikan sehingga negeri nampak daif. Kesian pun ada. Bila pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di kritik kerana negeri nampak kotor, rumput panjang tak terjaga, saya teringat dengan Terengganu ketika selepas setahun PAS memerintah.

Setakat ini, DS Azizan Razak dari Kedah memang menampakkan kelebihan yang tersendiri. Dia nampak disegani. Ada auranya. Jawapan dan reaksinya terhadap kritikan nampak sukar dimanipulasi atau dieksploitasi kawan dan lawan. Nizar belum tiba masanya lagi. Amsih terlalu awal. Insya Allah suatu hari nanti.

Hassan Ali atau Mustaffa Ali itu tak penting sangat, tapi saya secara peribadi tidak tergamak melihat TGHH dijatuhkan secara mengejut dan agak mengaibkan. Memanglah, bila sudah ada pemimpin lain yang lebih baik, tunggu apa lagi. Politik ni, kalau tunggu lama-lama sangat, orang pintas dulu.

Cuma saya khuatir, Azizan juga tak dapat memuaskan hati blogger tertentu. Cuma diharap dia tidak terlalu gopoh dan cepat melatah. Secara peribadi juga, saya rasa TGNA juga perlu digantikan dalam waktu terdekat ini. TGNA selalu sangat melatah dan mengeluarkan kenyataan yang saya rasa kurang sesuai. Namun kepimpinan PAS takut nak menegur TGNA kerana bimbang dituduh pro-UG. Bukanlah saya tidak setuju dengan beliau, tetapi beliau nampak mudah dimanipulasi lawan.

Kepada TGHH, eloklah mula merancang tarikh pengunduran dan alasan yang sesuai. Utamakanlah kepentingan parti, demi perjuangan Islam di Malaysia.

Saturday, October 31, 2009

Hormati harta intelek orang lain

Harta intelek (bahasa Inggeris: intellectual property atau IP) dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan. Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Harta_intelek

Masyarakat barat secara umumnya amat menghormati harta intelek orang lain. Sebab itu, peminta sedekah di negara barat yang menunjukkan kreativiti dikhalayak akan dihargai dan boleh menerima pendapatan yang lumayan. Peminta sedekah di negara kita hanya perlu meriba anak di tengah panas terik. Anak yang diriba tak besar-besar dari dulu hingga sekarang.

Pada tahun 90an, seorang kawan saya pernah membuat satu kertas kerja berkaitan projek animasi dan menyerahkannya kepada seorang pegawai yang berpengalaman dan agak berpengaruh dalam bidang animasi hiburan. Pegawai tersebut mengkritik dan seolah-olah tidak percaya atau tidak yakin dengan hasil ketas kerja kawan saya itu.

Beberapa bulan kemudian, kawan saya terbaca dalam akhbar, pegawai tersebut bercakap kepada media tentang industri animasi. Kebanyakan daripada isi perkataannya sebenarnya diambil daripada kertas kerja kawan saya itu. Alangkah marahnya kawan saya. Dia langsung tak percaya lagi kepada pegawai tersebut. Kalau tak silap saya, pegawai itu kini sudah berpangkat Datuk.

Kita akan lebih terasa peritnya jika harta intelek kita diambil tanpa izin, tanpa pengetahuan, tanpa penghargaan (sekurang-kurangnya terima kasih), sedangkan kita bersusah payah menghasilkannya. Lebih-lebih lagi jika harta itu mahu kita gunakan untuk peluang cari makan.

Baca keluhan Bro Mat Saman Kati di http://perakexpress.com/www/2009/10/30/blogger-ciplak-2/

Walaupun saya pada mulanya agak kurang senang dengan teguran pertama MSK (biasalah MSK bila menegur agak keras sikit walaupun dengan kawan-kawan), namun selepas membaca rasional teguran itu dalam siri ke 2, saya memahami dan menghormati pandangannya.

Apa yang penting, yang baik kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang tak baik tak payah ungkit-ungkit kecuali sebagai sempadan.

Friday, October 30, 2009

YB Badrul kurang dapat sambutan

Pengisytiharan YB Badrul keluar PKR dan menjadi Adun Bebas nampaknya kurang mendapat sambutan. Tiada menteri-menteri kanan mahupun adun-adun BN berkerumun bersama dia.

Sekurang-kurangnya, pengisytiharan Adun Lunas di Kedah dapat juga publisiti besar sebab nak ada PRK. Tetapi Adun Pelabuhan Klang ni nampak sangat tak laku. Alua-aluan yang diterima macam nak tak nak je. Barang kali sebab sudah berbulan-bulan orang ramai tahu kesnya, masalahnya dan teka-teki yang cuba dimainkannya. Hanya selepas mendapat surat suruh berhenti, barulah dia melompat.

Nilainya tak seberapa. Tak berbaloi langsung. Kalau Adun Lunas dulu, ada juga yang buat khabar angin dapat itu ini, tapi yang ini, tak ada siapa nak tiup khabar angin. Kesiaaan diaaa...

Di pihak PKR pula, tidak nampak kekecewaan yang nyata. Dah alah bisa tegal biasa. Lagipun dia melompat bukan pada musim yang sesuai. Patut kalau nak lompat, lompatlah masa nak ada pilihanraya.

Saya yakin, PKR akan kembali menjadi sebuah parti yang kuat dan diyakini pengundi selepas melihat beberapa perubahan akhir-akhir ini. PKR sudah semakin mengenali fe'el perangai sesetengah pemimpinnya. Di Sabah dan Sarawak juga, PKR akan semakin mantap selepas ini, cuma mungkin perlu sedikit tambahan masa kerana proses penyulingan di sana lebih rumit selain perbezaan sikap dan budaya.

Tahniah PKR. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk bertindak.

Thursday, October 29, 2009

PAS perlu perkemas hubungan dengan blogger

PAS perlu perkemas hubungan dengan blogger

Menurut TGHA, seminar akan diadakan pada 7 November depan akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan membincangkan isu-isu semasa dalam PAS. Okey lah tu. Tapi saya rasa, PAS juga perlu selesaikan masalah dengan blogger.

Khabarnya, isu UG tidak akan dibangkitkan lagi oleh sesiapa selepas ini. Masalahnya isu UG ini boleh dibangkitkan oleh UMNO, sama ada pemimpinnya, atau medianya, juga oleh blogger pro PR. Cuit sikit je, berkocak habislah dalam PAS. Riuh rendah dan semua yang lepas-lepas terutama kes sebelum PR wujud (selepas PRU12) diungkit-ungkit walaupun kronologinya lintang pukang. Sumber berita daripada blogger yang sekejap timbul sekejap tenggelam dijadikan nas dan hujjah. (Mana pergi Anti Husam ?)

Baik Hadi Awang, mahu pun Nik Aziz, begitu juga Anwar Ibrahim, mereka semua orang politik. Kadang-kadang dalam tergopoh-gapah menepis serangan, kain terselak, air liur tersembur. Hari ini dia bagi nasihat jangan melatah, bawa bertenang, esok dia sendiri yang melatah.

Kalau nabi senanglah, Allah bagi teguran dan-dan bila dia tersilap. Pun begitu, teguran itu Allah tak sembunyikan bahkan nabi sendiripun tak sembunyikan. Kita walaupun tak sokong OSA, tapi tetap mahu hal-hal tertentu dirahsiakan, terutama kesilapan-kesilapan yang selepas difikir banyak kali baru nak diakui.

Langkah PAS Selangor mengadakan perjumpaan dengan blogger tu betul dah, tapi tak kena pada masa dan tak kena pada sasaran yang sepatutnya. Baru sehari TGHA bagi nasihat tak perlu selesaikan melalui media termasuk media baru (sebelum mesyuarat khas), tiba-tiba bawa blogger untuk diberi penjelasan, sehari sebelum mesyuarat pulak tu.

Sudah lah begitu, bawa pula blogger yang terang-terang pro UMNO. Dalam Quran sebut, kalau ada orang fasiq bawa perkhabaran, siasat dulu. Masalahnya, kita pergi bercerita pulak kepada dia. Dah tentu berbeza sudut pandangnya.

Dalam pada itu, saya lihat ada perbezaan dari segi cara penyampaian dan kritikan yang dibuat oleh blogger PR dengan blogger PAS. Saya cadangkan PAS perkemaskan hubungan dengan blogger PAS, tak kisahlah dia pro Husam ke, pro Nasha ke atau pro Mohammad Sabu. Mungkin PAS perlu kumpul maklumat blogger PAS supaya mesej mereka lebih bertanggung jawab, tidak menjadi fitnah kepada parti dan sekata. Dengan blogger ni, kena ada komunikasi 2 hala seperti dialog. Kita tak mahu blogger yang hanya ungkit rasa tak puas hati di blog, biar dia luahkan dalam dialog dan selesaikan terus disitu, kalau boleh.

Wednesday, October 28, 2009

Fitnah fakta sejarah

Ini saya petik daripada blog Tangents

Pada tahun awal 60'an(?), TG Nik Aziz memohon dinaikkan pangkat ke Penyelia Kemas atas dasar kualiti kerjanya sambil mengharapkan ihsan kerajaan melihat anaknya agak ramai. Malangnya bagi beliau, walaupun Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada masa itu menyokong kenaikkan pangkat beliau, arwah Tan Sri Mohamad Yaacob, Menteri Besar Kelantan, tidak bersetuju malah menyarankan jawatan tersebut diberikan kepada seorang yang lebih layak.

Apabila mendapat berita penolakkan permohonan naik pangkat tersebut, TG Nik Aziz marah. Malangnya, konsep kesabaran yang sebahagian dari iman lari dari pemikiran, lantaran itu, beliau meninggalkan KEMAS dan terus menyertai PAS! Susahlah nak kata TG Nik Aziz masuk PAS sebab memperjuangkan Islam, ternyata beliau menyertai kerana hangat dekat Menteri Besar tersebut (semasa itu pemimpin Perhubungan negeri) sebab tak dapat naik pangkat!


Jika anda buka semula buku sejarah, Tan Sri Mohamad Yaacob menjadi menteri besar dari tahun 1978 - 1986. TGNA sudah aktif dalam PAS sejak 1960an lagi. Untuk menuduh TGNA masuk PAS sebab marah tak dapat naik pangkat, ia satu tuduhan yang berat dan tanpa bukti yang kukuh, ia sudah jatuh dalam kategori fitnah. Amat tidak adil untuk membuat andaian hanya berpandukan andaian prasangka yang ditiup syaitan ke dada manusia. (Cuba fahami surah An Nas dan muhasabah diri kita).

Kemudian seorang tukang komen (Akhramsyah) menambah

.. setahu saya, PAS menyertai BN pada tahun 1973 selesai menerima bantuan dari Tun Abdul Razak untuk mengelakkannya dari muflis.


Ini satu lagi contoh fakta yang salah menjadi fitnah. Mungkin dia hanya baca buku sejarah daripada sumber UMNO sahaja.

Sebab itu saya selalu tertunggu-tunggu bila PAS nak terbitkan buku sejarahnya yang pernah dijanjikan dulu ?

Tuesday, October 27, 2009

Iklan : Tuala wanita Anion

Tuala wanita Anion

Dari blog Nik Abduh

Berikut saya petik daripada blog Nik Abduh.

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya,
1) Anda mesti ikhlas
2) Anda mesti memohon pembebasan denganNya daripada keburukan fitnah itu
3) Anda mesti adil menilai
4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk
5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama
6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik
7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik
8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan.
9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal
10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan
11) Anda jangan nak jadi hero.


Saya kesal bila terbaca ada blogger yang kononnya pro-PR menyebut "pergi jahanam dengan Nik Abduh". Walaupun dia juga manusia biasa macam kita, tapi siapalah kita nak dibandingkan dengan dia ? Dari segi ilmunya ? Dari segi amalannya ? Cermatnya dia bila berkata-kata ? (Saya pernah dengar tazkirah Nik Abduh dan saya memang suka baca blognya).

Mari kita sama-sama muhasabah diri kita dengan 11 senarai checklist di atas. Kata seorang blogger, kita kena jadi pendamai, bukan pemecah.

Dan bagi saya, orang yang no 1 untuk jadi pendamai mestilah orang yang menjadi ikon pertelagahan. Misalnya di Selangor, Hassan Ali + Iskandar Samad + Roslan SMS perlu buktikan mereka tiada masalah untuk bekerjasama dalam satu pasukan dengan Khalid Samad + Shaari Sungib + Dr. Dzul.

Monday, October 26, 2009

PMI lawan IRC dalam PAS

PMI lawan IRC dalam PAS

Keributan yang melanda dalam PAS hari ini bukanlah perkara baru. Pertembungan dua kumpulan Pro Islam ini sudah bermula sejak dulu lagi. Oleh kerana saya mula memasuki IPT pada tahun 80an, saya sudah melihat pertembungan ini sejak tahun 80an lagi.

Isunya bukan kerajaan perpaduan. Bukan Hassan Ali, bukan Nasha Mat Isa, bukan Mustaffa Ali, bukan Hadi Awang. Melabelkan kumpulan ini sebagai pro UMNO adalah salah sama sekali kerana kumpulan ini bukan pro UMNO langsung. Kalau sekali sekala terikut-ikut stail UMNO tu mungkin juga lah, tetapi mereka bukan pro UMNO.

Kumpulan ini sudah bertapak di IPT tempatan sejak sekian lama. Ia dikenali sebagai geng usrah, atau kumpulan PMI. Mereka menguasai persatuan mahasiswa Islam di IPT-IPT sejak bertahun-tahun. Mereka mendapat sokongan pensyarah-pensyarah pengajian Islam dan pelajar-pelajar luar negara terutamanya dari aliran pengajian Islam di timur tengah.

Satu lagi puak yang juga pro Islam digelar IRC (dululah, sekarang tak tahu). Mereka mendapat sokongan pensyarah-pensyarah yang moderate dan profesional. Mereka juga mendapat sokongan pelajar-pelajar di luar negara. Kumpulan-kumpulan lain yang lebih kecil seperti ABIM, JIM dan PKPIM, cenderung menyokong kumpulan ini. Dulu, kumpulan inilah yang dilabelkan sebagai pro UMNO, tetapi hari ini sudah terbalik pula. Kumpulan PMI pula yang dilabel pro UMNO.

Kumpulan yang berkecuali ialah seperti Arqam (belum haram lagi masa tu) dan tabligh.

Selepas peristiwa September 1998, kedua-dua kumpulan ini (IRC dan PMI) dilihat bersatu suara. Ada yang meyertai PAS dan ada yang menyokong PAS dari luar. Sokongan kumpulan ini semakin menjadikan PAS lebih menarik tetapi kini berdepan pula dengan masalah perbezaan pendekatan. Sebahagian bekas pemimpin PMI kini berada dalam barisan kepimpinan PAS negeri dan pusat, begitu juga bekas pemimpin IRC. Mereka saling mengenali stail masing-masing kerana pernah bertembung sejak usia remaja lagi.

Kini kedua-dua pihak sepatutnya saling bertukar pandangan, berkongsi cara dan pendekatan dan lebih bersikap terbuka, bukan dengan stail lama lebih 10 atau 20 tahun dulu. Sekarang sudah berada dalam satu jemaah, jadi bukan masa untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain.

Sekali lagi saya katakan, sebenarnya tiada kumpulan yang pro UMNO dalam PAS hari ini. Ia hanya label (fitnah) yang digunakan untuk mewujudkan rasa benci dengan stail kumpulan ini. Malangnya, provokasi yang bertalu-talu daripada blogger seperti Tulang Besi (malaysanwaves) dan disokong pula oleh Perak Express dan yang sealiran dengannya, menjadikan ramai yang percaya bahawa kumpulan pro UMNO memang wujud. Berbincang dengan kumpulan UMNO tidak menjadikan mereka pro UMNO sebab mereka ini sebenarnya lebih keras pandangannya berbanding kumpulan yang digelar Erdogan.

Percayalah, jika EGM PAS diadakan untuk menyingkirkan kumpulan ini, ia tidak akan berjaya kerana kumpulan ini kuat berakar umbi dalam PAS. Kumpulan ini adalah kumpulan asal PAS sejak era kepimpinan ulama dan kumpulan ini berkembang melalui sistem tarbiyah cara PAS.

Jika kedua-dua pihak mahu bersatu, bekerjasama dan saling "respect each other", PAS boleh menjadi lebih kuat seperti dalam PRU 2008 tetapi jika masing-masing hanya rasa "kami yang betul, korang jangan memandai-mandai nak ajar kami", ucapkanlah "Selamat jalan Romeo" kepada kerajaan PR.

Tuesday, October 20, 2009

UMNO masih ada hati mahu kerjasama dengan PAS

Walaupun UMNO melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat, UMNO nyata masih tergila-gilakan PAS. Sudah berkali-kali kepimpinan PAS memberi jaminan, akan memperteguhkan Pakatan Rakyat, namun UMNO tetap menyebarkan khabar-khabar angin (berita palsu) kononya satu pakatan baru kerajaan akan muncul selepas ini. Rujuk di sini

Maka kalut dan gempitalah blogger-blogger pro PR memaki hamun Hadi Awang, Nasha Mat Isa dan Hassan Ali. Apa boleh buat, dah ditarbiyah dengan maki hamun. Memang mudah percaya dengan cerita dari sumber UMNO. Dan tak mahu lagi percaya kepada kepimpinan PAS. Sejak bila pula perawi-perawi dalam UMNO boleh dipercayai ? Dah hilangkah label munafiq mereka ? Atau kepimpinan PAS sudah lekat dengan sifat fasiq ? (Wal'iyazubillah)

Saya melihat, cara PAS mewujudkan rasa benci kepada UMNO itu kadang-kadang kurang bijak, atau lebih kurang sama dengan UMNO sahaja. Selepas dikata dan dituduh macam-macam dengan orang UMNO, bila ada orang UMNO mahu sertai PAS, tiba-tiba dia jadi bersih, jujur, ikhlas. Kalau dulu, ketua cawangan UMNO itu dituduh songlap bantuan kerajaan, bolot projek, kronisme; bila sertai PAS, Alhamdulillah dialu-alukan pemimpin yang tekun dan ikhlas berkerja demi agama dan rakyat. UMNO pun serupa juga.

Sebab itu ada orang kata, UMNO dengan PAS serupa saja. Mungkin serupa tapi tak sama kot.

Wednesday, October 14, 2009

Selepas PRK Bagan Pinang

Sekarang adalah masa untuk kita "mencari salah". Kita cari siapa yang paling sesuai untuk dikambing hitamkan. Hadi Awang, Harun Taib, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali, Geng Terengganu, Geng Selangor. Itu antara nama-nama yang popular dan cukup sesuai.

Entah kenapa, dari awal lagi saya melihat, kempen PR di Bagan Pinang kurang bermaya. Memanglah di situ kubu BN. Tetapi jentera PR tidak seghairah di Kuala Terengganu. Di Manek Urai dan Permatang Pasir pun, jentera PR sudah mula nampak lemah. Nampak macam dah letih je. Cuma oleh kerana Permatang Pasir adalah kubu Anwar, letih macam mana pun, digagahi jua.

Menyalahkan sekolompok tertentu dalam PAS saya kira tidak begitu tepat. Banyak benda perlu dikaji. Ada juga yang seolah-olah enggan terima kenyataan. Kononnya PAS kalah sikit saja. Undi pos yang buat PAS kalah banyak. Ada yang kata undi bukan Melayu tak banyak terjejas di pihak PAS, cuma BN dapat pertambahan yang luar biasa. Ikut suka hati kau orang lah. Analisa sekadar nak sedapkan hati sendiri pun boleh juga.

Yang bertanding di Bagan Pinang itu calon PAS atau calon PR ? Kalau calon PAS, wajarlah kesalahan diletak kepada PAS sahaja. Kalau calon PR, kena selidik apa sebab penolakan terhadap PR semakin melebar ? Dulu (2008) ketika majoriti sekitar 2000 sahaja, kita kata rakyat tolak BN kerana yakin dengan gabungan pembangkang, bukan kerana faktor PAS. Sekarang bila majoriti dah bertambah sekali ganda, kita salahkan PAS sahaja pula.

PR perlu kaji dan dekati kaum bukan melayu semula.
1. Kenapa kaum India di Bagan Pinang tiba-tiba menolak PR ?
2. Apa pula tarikan yang ada pada BN ?
3. Adakah ejen-ejen PR masih dekat dengan kelompok-kelompok masyarakat di setiap daerah, pekan dan kampung ?
4. Apakah perubahan-perubahan yang sudah dilakukan oleh kerajaan PR dimaklumkan kepada pengundi-pengundi ?
5. Adakah aduan masalah penduduk diberi perhatian dan dimaklumkan perkembangannya kepada penduduk ?

Semalam, dalam akhbar Sinar Harian (Selangor), dipenuhi dengan berita kegigihan BN mendekati kaum India. Berita pemimpin PR sudah tenggelam berbanding ketika baru menang PRU 2008.

Saya dengar perbualan beberapa orang ketika beraya di Selangor, mereka kata PAS atau UMNO serupa saja. Ia memberi gambaran bahawa PAS tidak lakukan perubahan seperti yang diharapkan. Atau mungkin juga PAS tidaklah seteruk yang digambarkan oleh UMNO selama ini, kononnya kalau pembangkang memerintah, negara akan mundur seperti sebelum merdeka.

Bagi saya, ia bergantung kepada dari sudut mana kita menilai perubahan itu. Dari sudut duniawikah, dari sudut ketuanan Melayukah, dari sudut jangka pendekkah, atau dari sudut mana ?

Bagi saya, PR sudah banyak buat perubahan. Banyak masalah masyarakat yang tertangguh sekian lama di zaman BN sudah diselesaikan oleh kerajaan PR. Isu geran tanah, isu ladang ternakan, isu rumah ibadat, isu bangunan dan tanah awam, isu salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan kroni, isu projek terbengkalai, isu tanah wakaf, perkuburan dan banyak lagi.

Tetapi rakyat nampaknya lebih cenderung untuk melihat kebajikan yang mereka perolehi depan mata, dalam kadar yang segera. Keputusan di Bagan Pinang seolah-olah menunjukkan rakyat tak kisah kalau pemimpinnya rasuah asalkan kebajikan mereka terjaga. Seolah-olah rakyat tak kisah kalau pemimpinnya kaya raya bolot projek asalkan mereka dikunjungi dan didekati selalu, diberi bungkusan beras dan gula daripada semasa ke semasa. Kalau beginilah minda rakyat, kelamlah masa depan negara. Menjadi tugas PR untuk mencelikkan minda rakyat.

Tuesday, October 13, 2009

Bila akses ke laman web disekat

Ada agensi tertentu mengambil langkah menyekat capaian ke laman web dan portal tertentu. Contohnya, organisasi ABC mungkin menyekat kakitangannya daripada melayari laman facebook, myspace, youtube dan sebagainya.

Ada juga portal itu sendiri yang cuba menyekat pengguna dari lokasi tertentu daripada mengakses portalnya. Misalnya, www.veoh.com menyekat pengguna daripada Malaysia daripada melayari portalnya. Anda boleh cuba layari veoh.com.

Jika anda menghadapi masalah seperti di atas, anda boleh mencuba salah satu daripada cara berikut.

1. Cuba google perkataan web proxy. Ada akan mendapat senarai web proxy yang boleh digunakan untuk melayari laman yang disekat. Contoh web proxy yang saya temui ialah http://www.megaproxy.com/freesurf/ . Contoh lain ialah http://www.kproxy.com/.
Cubalah sendiri. Banyak lagi web proxy lain yang boleh digunakan, mungkin berpuluh, beratus dan ia sentiasa patah tumbuh hilang berganti sepanjang tahun.

Jangan bimbang. Webserver akan merekodkan anda sedang melayari laman webproxy dan bukan facebook, youtube dan sebagainya. Cuba layari veoh.com menggunakan webproxy di atas. Pasti tiada masalah.

2. Cara kedua, jika anda boleh install free software berikut, anda boleh ke http://anchorfree.com.

Download dan install. Selepas berjaya install, anda kini mempunyai pilihan untuk melayari internet secara "Privacy ON" atau "Privacy OFF". "Privacy ON" bermakna anda boleh melayari laman yang disekat. "Privacy OFF" bermakna anda melayari internet seperti biasa tanpa guna proxy.

Selamat mencuba.

Monday, October 12, 2009

Isa Samad menang besar ketika MCA lemah dan MIC kurang bermaya

Tahniah kepada Isa Samad. Ketika MCA sedang menghadapi krisis besarpun, dia boleh mendapat kemenangan besar di Bagan Pinang. Kalau MCA sedang stabil dan bersatu ? PAS mungkin hilang wang pertaruhan. Kemenangan ini adalah kemenangan Isa Samad, bukan kemenangan BN. Pengundi Bagan Pinang mahu Isa Samad, bukan BN. Walaupun yang bekerja adalah jentera BN, dengan duit BN.

Salahuddin Ayub mungkin kena belajar sepak terajang politik di selatan semenanjung pula. Walaupun dia orang Johor, tetapi dia banyak menimba ilmu di Kelantan, universiti politik terbuka. Budaya politik di pantai timur, berbeza dengan di pantai barat, di utara juga berbeza dengan di selatan. Itu belum lagi di Sabah dan Sarawak.

Apa jua alasan yang diberikan oleh PAS, hakikatnya PAS kalah teruk.

Yang menarik bagi saya ialah politik MCA. Presiden MCA menanggung malu besar kerana kalah dalam undi tak percaya. Tetapi mengikut perlembagaan MCA, dia tetap kekal sebagai presiden MCA. Saya fikir, dia akan berundur tidak lama lagi. Dia ibarat menang jadi arang. Hitam legam, bukan muka diconteng arang tapi dia sendiri dah rentung.

(Bekas) Timbalannya pula, gagal kembali ke jawatan timbalan. Tetapi saya percaya, dia puas hati. Puas hati sebab dapat malukan presidennya. Dia tahu peluangnya untuk kembali ke jawatan timbalan adalah terlalu tipis. Saya fikir, dia tidak terlalu bermimpi akan kembali ke jawatan itu melalui EGM. Yang penting dia mahu kacau presidennya sahaja. Dan dia berjaya. Dia tahu, Tee Keat tidak akan lama di situ akibat keputusan EGM itu.

UMNO juga pasti puas hati. Menteri pengangkutan baru akan dilantik selepas Tee Keat berundur nanti. Skandal PKFZ belum habis dibongkar. Tee Keat tiada daya untuk membongkarnya secara sendirian. Dia perlukan sokongan orang yang kuat-kuat, atau sekumpulan pihak yang berani menanggung risiko. Tetapi dia tidak mempunyai masa lagi. Presiden MCA selepas ini lebih mudah dijinakkan oleh UMNO.

MIC masih kurang bermaya. Penubuhan parti Makkal Sakhti dengan sokongan terbuka Najib menjadikan MIC hilang mood. Kalau betul dakwaan Makkal Sakhti dapat RM 8 juta daripada BN untuk promosi dan memperkuatkan parti, alangkah malangnya MIC. Kalau diberi 8 juta itu kepada MIC, bukankah lebih baik bagi MIC ? Ia sepatutnya menjadi hak MIC, bukan Makkal Sakhti.

Kalau dalam pilihanraya sebelum ini, perkataan Makkal Sakhti sangat dekat dengan PR, kini ia sudah semakin menjauh. Perkataan itu tidak lagi dilaung-laungkan oleh penyokong dalam PR. Sesiapa yang malungkannya, ia bermakna pro-BN, walaupun ia bukan ahli BN. Najib berpandangan jauh. MIUP pimpinan Nalla Karupan pun saya kira mendapat banyak habuan daripada BN. Pejabat partinya sudah merata walaupun penyokongnya tak seberapa. Dengan ahli yang tak seberapa ramainya, di mana dia memperolehi dana untuk membuka pejabat parti ?

Najib dan Muhyiddin boleh tersenyum lebar. Saya rasa kekalahan teruk PAS di dalam PRK kali ini pasti banyak hikmahnya. PR sudah mula ego dan over confident. Penyokongnya sudah mula berlagak. Ingat apa jadi dengan PAS Terengganu selepas PRU 1999. Penyokongnya bukan main eksyen lagi. Seolah-olah BN tak mungkin akan mampu bangkit semula.

Ingatlah, gelombang keputusan di Bagan Pinang boleh merebak ke utara, sama ada ianya gelombang biru atau gelombang pasca tsunami.

Tuesday, September 29, 2009

Hassan Ali tenggelamkan isu penyelewengan BN

Hassan Ali dibelasah di sana sini oleh blogger pro PR. Hassan Ali memang patut dibelasah. Dia lah yang memandai-mandai mencipta pelbagai janji manis di Selangor. Alhamdulillah, Khalid Ibrahim berjaya selesaikan satu persatu janji lidah tak bertulang, walaupun tidak seindah yang dibayangkan, tetapi berjaya diselesaikan juga.

Ketika BN dimalukan dengan skandal PKFZ, kerakusan BN Selangor berbelanja ketika PRU12, cuba melesapkan wang BALKIS, Hassan Ali berulang kali cuba mengalihkan perhatian kepada kegigihannya memperjuangkan nasib Melayu Selangor. Hassan Ali memang jaguh. Dia seorang yang prihatin.

Cuma namanya kurang menonjol. Dia tak dapat jadi MB. Dia tiada ruang untuk menonjolkan diri dalam isu BALKIS, PKFZ, belanja pilihanraya, kuil hindu, isu SYABAS, isu kebajikan rakyat dan pelbagai isu lain yang mendapat perhatian rakyat. Jadi dia terpaksa menonjolkan diri dengan caranya sendiri. Dan dia sentiasa berjaya menonjolkan dirinya walaupun melalui cara yang kontroversi sekaligus menenggelamkan masalah kecurangan BN.

PAS perlu menilai semula Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

Monday, September 28, 2009

PAS Selangor bikin gempak lagi

Bukan mudah bekerja sebagai pegawai kanan kerajaan. Apatah lagi bila terpaksa melayani kerenah pemimpin politik serta konco-konco yang bergayutan di sekeliling sang pemimpin. Pemimpin disini mungkin bertaraf menteri, exco, ahli parlimen atau adun, malah ketua bahagian parti juga.

Saya letakkan mereka (pegawai kerajaan) dalam 4 golongan.

1. Golongan yang memang kerjanya membodek dan mengampu pemimpin. Mereka tak sabar-sabar dan amat bersegera menyokong atau melaksanakan idea dan kemahuan pemimpin.

2. Golongan yang sokong parti yang membentuk kerajaan tetapi kadang-kadang benci dengan salah guna kuasa sang pemimpin. Mereka tersepit dan terpaksa melayani kerenah pemimpin dan kroni-kroninya. Sesekali mereka melawan cakap pemimpin.

3. Golongan yang tidak sokong parti yang membentuk kerajaan dan mereka juga benci dengan salah guna kuasa sang pemimpin tetapi seperti juga golongan 2, terpaksa melayani kerenah pemimpin. Mereka kadang-kadang buntu bagai mana mahu menanganinya.

4. Golongan yang berani menanggung risiko, sanggup bertindak sendiri sekalipun bertentangan dengan kehendak pemimpin. Golongan ini tidak ramai. Mereka sering tersisih sejak awal-awal lagi. Mereka akan diperlakukan seperti bola, ditendang ke sana sini.

Saya faham masalah yang dihadapi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang disoal siasat oleh SELCAT. Mereka mungkin salah satu daripada 4 golongan di atas. Sebab itu, saya sendiri rasa kurang selesa dengan cara siasatan SELCAT terhadap mereka. SELCAT perlu menilai semula cara yang digunakan sekarang.

Tetapi ini bukan bermakna saya menyokong penuh tindakan Hassan Ali. Hassan kini berada dalam kerajaan, kenapa perlu bercakap seperti pembangkang ? Ini bukan kali pertama PAS Selangor buat gempak. Kalau sebelum ini saya tidak mahu bersetuju dengan dakwaan Hassan Ali cuba meraih populariti, kali ini saya nampak, memang betullah Hassan Ali ni.

Kalau Hassan Ali dan PAS yang menerajui kerajaan Selangor, adakah PAS gembira dan akan bersikap terbuka dengan kritikan rakan dalam kerajaan secara terbuka, melalui media massa ? Saya tak fikir begitu. Sebab PAS kadang kala hanya pandai menegur orang tetapi bila terkena batang hidung sendiri, cuba berdolak-dalik juga.

Tuesday, September 15, 2009

Selipar untuk Mahathir

Memang sungguh kurang ajar bila seorang wakil MIC memberi cadangan untuk mengalungkan selipar ke potret negarawan Malaysia, Tun Mahathir. Saya sangka selama ini, ahli parti komponen PR lah yang berlebih-lebih membenci dan berdendam dengan Mahathir. Rupanya, komponen BN sendiri, baru ditegur dan dikritik atau dicuit sedikit, sudah ter'over' reaksinya.

Satu ketika dulu, pemimpin PAS yang dikenali dengan nama Mat Sabu, selalu buat lawak seloroh di pentas ceramah, nak baling selipar kepada Tun Mahathir. Orang ramai ketawa, walaupun saya menyampah dengan lawak bodoh sebegitu. Tapi saya percaya, jika PAS dan PR memerintah sekalipun, Mat Sabu takkan buat begitu. Malah kalau dia buat juga, dia akan diseliparkan oleh bukan sahaja penyokong UMNO malah penyokong BN dan mungkin juga PR.

Tapi kita tidak lupa, penyokong PR pernah memijak-mijak gambar Najib dan gambar Tun Mahathir (ketika reformasi). Memang, dalam keadaan marah yang amat sangat, kita akan bertindak keterlaluan. Sebab tu nabi berpesan, orang yang kuat ialah orang yang berjaya mengawal dirinya ketika marah.

Nabi Muhammad pernah dihina kaum musyrikin Mekah dengan diletakkan perut unta (dengan najisnya) dibelakangnya ketika sedang bersujud. Jauh lebih dahsyat daripada kalung selipar pada gambar. Orang yang bertanggung jawab itu kemudiannya dibunuh dalam perang Badar.

Satu ketika, umat Islam pernah dihina dengan lakaran kartun kononnya nabi Muhammad dan disiarkan oleh akhbar NST. Dalam keadaan begini, memang sangat wajar kita zahirkan kemarahan kita secara berlebih-lebihan.

Hari ini, MIC dituntut memohon maaf (oleh beberapa pemimpin UMNO). Kalau MIC tak minta maaf, apa tindakan Najib? Saya rasa, "Anggap selesai setelah MIC ambil tindakan kepada wakil tersebut". Kalau tak selesai, macam mana nak hadapi pilihanraya di Bagan Pinang ? Khairy Jamaludin yang bercakap atas kapasiti Pemuda BN bagaimanapun berpuas hati bahawa apa yang diperkatakan perwakilan berkenaan bukan pendirian MIC yang sebenar.

Tuesday, September 08, 2009

Lagak si songkok tinggi

Tadi, dalam tazkirah sebelum terawikh, Ustaz ceritakan kisah dia pernah beri kuliyah maghrib dan masa kuliyahnya lajak ke jam 9 malam. Katanya, masa itu, dia baru pertama kali berpeluang beri kuliyah di masjid tersebut setelah sekian lama tak dapat ditembusi. Seorang lelaki kemudian muncul di saf belakang dan beri isyarat suruh tamatkan kuliyah untuk solat Isyak.

Tazkirah selalunya mengambil masa kira-kira 15 - 20 minit sahaja. Maksimum ditetapkan 30 minit dan selalunya berakhir selewatnya jam 9:30 malam. Malam ini ustaz tadi sudah lajak ke jam 9:35 malam. Seorang lelaki bersongkok tinggi muncul berjalan perlahan-lahan ke tengah masjid. Saya tak pasti adakah dia orang luar yang datang singgah solat di masjid atau memang ahli kariah sebab tak pernah nampak mukanya setiap kali kuliyah maghrib atau ketika solat fardhu yang lain. Oleh kerana hanya dia yang berdiri, ramai jemaah memandang kepadanya. Dia lalu memberi isyarat tunjuk jam dan tangan diangkat seperti mahu kuliyah ditamatkan dan solat terawikh dimulakan, sebiji macam yang ustaz baru sebut kira-kira sepuluh minit sebelumnya.

Ustaz lalu mengakhiri tazkirahnya dengan doa diikuti dengan senyuman kepada jemaah yang turut tersenyum.

...........................

Kata ustaz saya dulu, orang mukmin, bila berada dalam masjid umpama ikan dalam air. Orang fasiq pula bila berada dalam masjid umpama burung dalam sangkar.

Kata-kata itu sekadar untuk kita muhasabah diri kita sahaja dan bukan untuk kita menuduh orang lain fasiq. Mungkin dia ada urusan lain selepas itu.

Wallahua'lam.

UMNO sedia bekerjasama dengan PAS demi Islam - Najib

Begitulah bunyi tajuk berita radio RTM pagi tadi. Kata Najib, "Jika nak buat baik, buat cara baik. Jangan persoalkan akidah (keislaman) kita (Umno). Jangan kata kita (Umno) ini (Islam) luaran saja, dalaman bukan (Islam), ini boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat."

Orang memang suka mengata berdasarkan kepada imej luaran kita. Sebabnya, manusia tidak mungkin dapat melihat isi hati orang lain. Sebab itu, adalah salah untuk mengatakan "imej luaran itu tak penting, yang penting ialah hati yang ikhlas".

Apa yang orang kata kepada kita, itu tak lah penting sangat. Islam luaran, Islam separuh-separuh atau Islam sepenuhnya. Yang lebih penting ialah apakah kita benar-benar sudah menghayati Islam ?

Kalau kehidupan kita tak menampakkan ciri-ciri Islam, macam mana orang nak kata kita Islam sebenar ? Kalau tindak-tanduk kita menunjukkan lagi kejahilan kita kepada Islam (macam penunjuk perasaan di Seksyen 23), macam mana nak kata "Lihatlah indahnya Islam seperti yang kami amalkan."

.............................................................

Malam tadi, exco agama Selangor, Dato Hassan Ali datang menunaikan solat terawikh di masjid Jami'ul Huda, Kg Melayu Ampang. Saya rasa, kedatangan beliau tak dimaklumkan terlebih awal. Sebelum ini, bila pegawai daerah nak datang, ada dibuat pengumuman di masjid. Hassan diberi penghormatan mengimamkan solat Isyak hingga witir selain menyampaikan tazkirah.

Kira-kira hampir seminggu lepas, YB Azmin Ali (PKR - Dun Bkt. Antarabangsa) juga hadir menunaikan solat terawikh di masjid yang sama. Kedatangan beliau juga secara senyap-senyap. Mungkin hanya dimaklumkan kepada AJK masjid beberapa jam sebelum datang. Jadi tiadalah persiapan apa-apa untuk menyambut di pintu masjid. YB Zuraidah (PKR - Parlimen Ampang) memang selalu solat jemaah di sini kerana rumahnya kira-kira 500 meter sahaja daripada masjid. Kadang-kadang, solat asar pun dia datang.

Ia mungkin isu kecil sahaja, tetapi semoga Allah beri rahmat dan keberkatan kepada kerajaan Selangor dan seluruh rakyat dan negeri Selangor.

Kalau dulu, memang tak pernah nampak muka YB datang ke masjid ini. Mungkin masjid lain kot. Jangan kata YB, Pengerusi JKKK pun hanya kelihatan di masjid sekali dua di bulan ramadhan. Hari-hari biasa, AJK masjid pun tak nampak muka. Kalau YB datang senyap-senyap lagu tu, memang tak jumpa muka lah dia orang. Dulu, kalau exco atau YB nak datang masjid, pasti diwar-war lebih awal, parking direserve, jamuan lebih istimewa, AJK masjid berbaris, segak bersampin, mungkin ada banner "Selamat datang", ucapan alu-aluan pengerusi atau nazir masjid dan entah apa-apa lagi.

..............................................................

Berbalik kepada penghayatan Islam, adakah dengan memakai jubah dan serban, kita dikira menghayati Islam ? Adakah dengan bertudung labuh, kita dikira menghayati Islam ? Adakah dengan mendedahkan aurat, kita yakin kita ikhlas mahukan Islam ? Baca fatihah pun tak betul tajwidnya, kuliyah tajwid tak mahu hadir, kita percaya Islam kita diterima Allah. Bila tazkirah, kita gelisah atau pergi bersembang di belakang masjid, sambil hisap rokok, lalu kita mengaku, kami pun mahu Islam juga, Islam kami Islam luar dan dalam.

Sunday, September 06, 2009

Bagan Pinang la pulak

Mengikut tilikan atas kertas, BN boleh kekalkan kemenangan di Bagan Pinang. Dengan undi Pos 5000 undi, ia menjadi kelebihan kepada BN untuk menang.

Tetapi, congakan yang agak selesa juga boleh membawa padah kepada BN. Tradisi UMNO, bila yakin menang, ramailah bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat. Bukan perkara pelik, yang tidak tercalon akan sabotaj. Dalam iklim politik semasa, sabotaj pasti menjejaskan peluang UMNO/BN untuk menang, walaupun di kubu BN.

Masalah dalam MCA juga menyumbang masalah kepada BN. Penyokong Soi Lek berpeluang untuk mengajar Tee Keat dengan memalukan MCA di peti undi cina untuk BN. Apa nak takut, kerajaan negeri masih BN. Cina Permatang Pasir tak teragak-agak pun untuk beri undi kepada PAS. Jui Meng pun berkempen untuk calon PR.

Pertandingan dalam MIC juga akan memeningkan kepala BN. Teluk Kemang adalah kawasan Sothinathan, calon Timbalan Presiden MIC yang tidak mendapat restu Presiden MIC. Presiden MIC sudah berkempen ke hulu ke hilir, tak mahu Sothinathan. Bagaimana Presiden MIC dan Timbalannya mahu turun ke Bagan Pinang untuk berkempen habis-habisan kepada kaum India di situ untuk membantu BN ?

Sudahlah isu kepala lembu Selangor belum selesai lagi, pengundi India di Bagan Pinang yang merupakan 22% jumlah undi pasti akan dapat menonton bagaimana brutalnya dialog kerajaan Selangor dengan penduduk Sekyen 23 Shah Alam. Tak nampak nak berdialog, tapi nampak nak tunjuk samseng dan nak buat kecoh.

Ketika Adun Bagan Pinang dikebumikan, bulan sedang menambang penuh. Ia kebetulan berlaku pada 15 Ramadhan. Ia sedikit sebanyak pasti menaikkan semangat PAS, DAP dan PKR untuk bekerja keras, walaupun undi pos pasti mendukacitakan. Adakah bulan akan menganbang penuh di Bagan Pinang selepas raya ?

Insya Allah.

Wednesday, September 02, 2009

Undang-undang ditafsir semula bila speaker bukan lagi pro UMNO

Dulu, seorang umarak Malaysia mahu Al Quran ditafsir semula. Sang umarak barangkali tak berpuas hati bila tafsiran yang disampaikan kepadanya dirasakan tidak berpihak kepada parti yang disayanginya. Seruan itu tidak bersambut. Hanya pembaca forum Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja yang menyokong. Tidak lupa juga ustaz Astora Jabat yang kemudiannya diangkat menerajui majalah Al Islam. Kini, Astora Jabat hanya boleh ditemui di internet sahaja selepas PM mendapati Islam yang dibawanya tidak Hadhari.

Hari ini, kita lihat undang-undang negeri dan negara sedang melalui proses reformasi, diterjemah dan ditafsir semula supaya sentiasa berpihak kepada yang memerintah negara. Satu demi satu, kita dapat saksikan, rupa-rupanya, undang-undang yang difahami selama ini bukanlah seperti yang kita semua faham.

Kita sangkakan, speaker mempunyai kuasa penuh yang tak boleh dipertikai di mahkamah, rupanya kita salah. Kita sangkakan, Adun yang ponteng tanpa izin dua kali mesyuarat terpecat, rupa-rupanya tidak. Kita sangka, royalti adalah hak automatik kerajaan negeri selepas tandatangan perjanjian dengan kerajaan persekutuan dan Petronas, rupanya tidak. Banyak lagi sebenarnya.

Kalau anda sangka raja-raja melayu terpelihara di bawah perlembagaan, anda mungkin silap kerana tafsiran baru boleh muncul bila perlu. Dan yang boleh membuat tafsiran baru yang tepat hanyalah UMNO.

SPR : YB boleh ponteng

SPR memutuskan, YB-YB seluruh negara sebenarnya boleh ponteng mesyuarat DUN/Parlimen. Selepas ini, bolehlah YB-YB di Terengganu, yang dok(tak) berahi ke MB dan Speaker DUN untuk ponteng banyak kali. Tak payah hantar SMS kepada speaker pun. Hantar je kepada Idris Jusoh (jika UMNO) atau Harun Taib (jika PAS).

Selamat memonteng.

Tuesday, August 25, 2009

Pegawai masjid di Selangor diberi kuasa banteras jenayah Syariah

Laporan Berita Harian menyebut,
"Pegawai masjid iaitu nazir, imam, bilal dan siak boleh menangkap orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995."

Laporan Utusan Malaysia menyebut,
"Dr. Hasan berkata, pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada Pegawai Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut."

Satu kata boleh tangkap, satu lagi kata tak boleh tangkap. Yang mana satu yang betul ? Khabarnya, ia juga mempunyai kuasa untuk membuat serbuan kes maksiat seperti khalwat dan zina. Mereka yang diberi kad kuasa akan diberi kursus terlebih dahulu. Mereka bukanlah skuad skodeng. Mereka akan bertindak selepas menerima aduan. Kalau dah terima aduan, maknanya maksiat tu dah berleluasa, secara terang-terangan tanpa selindung atau rasa bersalah lagi. Kaedah pencegahan ini akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pencegahan melalui tangkapan dan hukuman memang bukan merupakan jalan terbaik. Yang terbaik ialah melalui pendidikan dan pentarbiyahan. Tetapi, bila tiada pencegahan melalui penguatkuasaan, ia mula menjadi "alah bisa tegal biasa". Akhirnya ia menjadi berleluasa.

Masyarakat setempat perlu bertanggung jawab dengan maksiat di persekitaran mereka. Mereka perlu peka, "menjaga tepi kain orang" atau lebih tepat lagi menjadi mata dan telinga kepada pihak yang diberi kuasa dalam hal mencegah maksiat dan jenayah.

Harapannya selepas ini, kes-kes maksiat semakin berkurangan di Selangor. Teringat dulu, bila skuad Badar ditubuhkan di Selangor, hingga berlaku pergaduhan antara penguatkuasa dengan pelaku maksiat. Anehnya, pihak keluarga pelaku maksiat tampil membela keluarga mereka yang kononnya dikasari dan dipukul. Dah sah dah dia melawan, sebab tu jadi macam tu. Kalau dia akur dengan pegawai pencegah maksiat ketika ditahan, tak kan pegawai tu saja-saja nak belasah dia. Berhari-hari masuk suratkhabar dan tv. Tak pasal-pasal pegawai tu pula disiasat untuk diambil tindakan.

Monday, August 24, 2009

Nak masuk syurga

Semua orang nak masuk syurga. Tiada siapapun yang mahu masuk neraka. Cakap main-main, nak masuk neraka pun tak berani. Sebab kita semua percaya dengan syurga dan neraka. Kita percaya dengan hari akhirat. Kita percaya dengan kitab-kitab yang di dalamnya disebutkan syurga dan neraka. Orang kristian dan yahudi juga percaya kepada syurga dan neraka.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
(Muslim)

Dan bagaimana pula rahmat Allah itu akan sampai kepada kita ? Apakah dengan berdoa sahaja ? Adakah memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja ?

Kita bukan sekadar mahu diri kita sahaja masuk syurga. Kita juga mahu ibu dan bapa kita masuk syurga. Lalu kita doakan dosa mereka diampunkan. Kita juga mahu isteri dan anak-anak kita juga masuk syurga. Lalu kita kena didik mereka dengan iman dan taqwa. Dengan ilmu dan amal. Malah kita mahu semua umat Islam lelaki dan perempuan masuk syurga, seperti dalam doa yang sering dibaca terutama pada bulan Ramadhan ini, "Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun, suka kepada pengampunan, ampunilah akan daku, Ya Allah kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka."

Doa itu dipanjangkan lagi dengan memohon keampunan untuk semua, kepada kedua ibu bapa, kepada semua muslimin muslimat, mukminin mukminat, yang hidup atau yang sudah mati.

Adakah kita yakin amalan kita, i'tikad kita, tutur kata kita, kerja kita, pakaian kita, ibadah kita, makan minum kita, dan segala urusan kehidupan kita hari ini sentiasa mengarah ke syurga dan bukan ke neraka ?

Ingat senang ke nak masuk syurga Allah. Buat lebih kurang je dah boleh masuk syurga. Asal mengucap dua kalimah syahadah je boleh masuk syurga. Asal solat je boleh masuk syurga.

Pernah seekor kucing datang kepada saya ketika saya dan isteri sedang makan sedap-sedap di sebuah kedai makan. Seperti biasa kucing mengiau manja, dengan pandanagn mata mengharap diberi sedikit makanan. (alim kucing lah katakan).

Saya terfikir, "kalau aku tak beri makanan kepada kucing ni, macam mana kalau di akhirat kelak, kucing ni mengadu kepada Allah, Inilah manusia yang aku meminta sedikit makanan daripadanya dan dia mengusirku tanpa menghulurkan sedikitpun makanan kepada ku."

Saya juga sering teringat kepada seorang lelaki yang datang meminta duit kepada saya. Ketika itu saya baru lepas makan. Dia mengadu baru hilang pekerjaan, tiada duit untuk makan dan anak isterinya. Saya tak layan permintaan dia. Biasalah zaman sekarang ramai yang mengadu dan buat muka sedih minta sedekah tetapi sebenarnya kaya. Tetapi sampai sekarang saya masih teringat-ingat, bagaimana kalau dia benar-benar jujur dan susah ? Saya rasa sangat menyesal dan berdosa. Tak mungkin saya dapat berjumpa lelaki itu semula kerana saya tidak kenal dia.

Isteri saya selalu pesan kepada anak saya, kalau kita buat jahat, malaikat sebelah kiri akan tulis kejahatan kita. Kalau kita buat baik, malaikat sebelah kanan akan tuliskan pahala untuk kita. Kalau banyak dosa, masuk neraka. Kalau banyak pahala, masuk syurga. Penjelasan mudah untuk kanak-kanak.

Saya sedih melihat ibu bapa yang bersungguh-sungguh menyuruh anak kecilnya berpuasa tetapi anaknya yang dah besar tak diajak bersolat. Suruh pun tidak. Malah ibu bapa sendiri cuai bersolat. Suruh berpuasa tanpa beritahu kenapa kita kena berpuasa ? Atau sekadar beritahu, kena puasa sebab nak raya ? Siapa tak puasa tak boleh raya. Siapa puasa dapat duit raya.

Siapa suruh kita berpuasa ? Apa faedahnya kita berpuasa ? Apa ayat Quran yang suruh kita berpuasa ? Begitu juga dengan solat. Kalau berpuasa supaya dapat rahmat Allah, supaya dapat masuk syurga, solat juga mesti ditunaikan. Aurat juga mesti dijaga. Semua akan ditulis oleh malaikat di kiri dan kanan kita.

Macam mana nak masuk syurga kalau yang tu pun tak buat.