Sunday, December 26, 2004

Tsunami

Bencana paling dahsyat tahun ini telah melanda kawasan Asia Selatan melibatkan Aceh, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, Somalia dan beberapa negeri disekitar Lautan Hindi. Dianggarkan lebih 150 ribu orang telah maut dan berjuta orang kehilangan harta benda.

Wednesday, December 08, 2004

Gempak Orang Politik

Gegak gempita seluruh negara melalui media massa utama pada 06/12/2004, Pemuda UMNO memberi kata dua kepada MB Kelantan untuk menarik balik kata-kata beliau dalam temuramah yang tersiar dalam NST.

Dalam temu ramah dengan New Sunday Times hari ini, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa Pas mengalami kekalahan dalam pilihan raya disebabkan politik wang.

Kata Nik Abdul Aziz lagi, kekalahan Pas bukanlah semata-mata kerana masalah dalaman parti itu, sebaliknya kata beliau, UMNO sedia maklum bahawa ia akan kalah tanpa sokongan kewangan.

Laporan Utusan Malaysia 6 Dis 2004
REMBAU 5 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO memberi kata dua kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menarik balik kenyataannya yang menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya umum lalu, atau menghadapi tindakan undang-undang.

Naib Ketua Pergerakan UMNO, Khairy Jamaludin menegaskan, jika Mursyidul Am Pas itu tidak menarik balik kata-katanya selewat-lewatnya Rabu ini, Pemuda UMNO akan membuat laporan polis.

"Ini adalah satu kenyataan yang berbentuk fitnah, tidak berasas serta tidak adil dan ia adalah satu tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti UMNO."

"Pemuda UMNO memberi sedikit masa kepada Nik Abdul Aziz untuk menarik balik kenyataan itu, jika tidak kita akan buat laporan polis," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau di Balai Raya Kampung Gadong di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan beberapa orang Exco Pemuda termasuk Datuk Mukhriz Mahathir. Lebih 5,000 orang menghadiri majlis tersebut.


Dua hari kemudian... Jeng..jeng..jeng..

Utusan Malaysia 8 Dis 2004
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO akan membalas tuduhan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya umum lalu melalui gerakan politik walaupun mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana tuduhan Menteri Besar Kelantan itu adalah kenyataan yang berunsur politik disebabkan parti itu sudah ketandusan isu yang boleh dieksploitasi.

"Walaupun mempunyai pilihan untuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan sivil berkaitan fitnah, kita anggap kenyataan itu adalah berunsur politik. "

"Exco Pemuda hari ini sebulat suara mengambil pendirian kenyataan politik sedemikian memerlukan tindakan politik terutama bagi Pemuda Kelantan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan itu di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.


Aaaa...ka..ka..ka.. Apa dah jadi ? Tak jadi nak buat laporan polis ke ? Tak nak dakwa kat mahkamah ke ? Politik.. Politik..

Gempak sebegini memang lumrah dalam dunia politik. Dulupun, Rafidah Aziz ugut nak dakwa orang yang masih cuba kaitkan dirinya dengan isu rasuah. Berebut-rebut Pemuda KeAdilan dan Pemuda PAs tawarkan diri untuk didakwa di mahkamah, tapi hampa kecewa.

Ibrahim Ali pun pernah dilantik oleh Mahathir untuk kaji dan siasat dakwaan palsu pemimpin pembangkang dan saman mana-mana yang memberi ucapan yang berbentuk fitnah terhadap kerajaan dan UMNO. Satu saman pun tak dibuat.

Malah Hadi Awang pun pernah dakwa ada dokumen berlori-lori mengenai penyelewengan Kerajaan Terengganu sebelumnya selepas mengambil alih pemerintahan di Terengganu pada 1999. Semuanya senyap begitu sahaja. Tiada yang diheret ke mahkamah.

Semua gempak je lebih.

Monday, December 06, 2004

Di manakah kebenaran ?

Sama ada kita sedar atau tidak, akhir-akhir ini kredibiliti berita yang dilaporkan oleh akhbar nasional tempatan amat mengecewakan. Apakah sebenarnya agenda yang wujud disebalik laporan yang palsu ini ?

Kes 1
Akhbar NST dan Berita Harian pada 20 November misalnya telah menyiarkan laporan kononnya Konsortium milik Nasimuddin telah dipilih untuk menguasai DRB-Hicom. Laporan ini ternyata tidak tepat selepas PM umumkan Syed Mokhtar yang dipilih (Utusan 4/12/2004).

Kes 2
Akhbar Utusan pada 24/11/2004 menyiarkan laporan kononnya MB Kelantan telah menghantar surat perletakan jawatan. Laporan tersebut nyata palsu selepas dinafikan sendiri oleh beliau sebaik pulang dari umrah.

Kes 3
Akhbar Utusan pada 01/12/2004 melaporkan Nik Aziz sebagai berkata, beliau akan memegang jawatan MB hingga akhir hayat. Laporan ini telah dinafikan dalam HarakahDaily.Net sebaliknya, pertanyaan wartawan mengenai mahu jadi MB hingga akhir hayat hanya dijawab oleh Nik Aziz dengan berkata, "Banyak sangat soalan." Rakaman video klip juga ada. Anehnya laporan Utusan itulah yang dipercayai ramai pihak dan terus disebut berulang-ulang oleh ramai orang politik.

Kes 4
Akhbar Utusan pada 01/12/2004 menyiarkan laporan sebuah syarikat penerbangan tambang murah baru, Asmara Airlines akan memulakan operasi di Subang awal tahun depan. Laporan tersebut kemudian dinafikan oleh Menteri Pengangkutan yang sebaliknya mendakwa tidak tahu menahu dengan Syarikat tersebut.

Ingatlah firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujurat:6]

dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan [Al-Baqarah:191]

Dan (ingatlah),angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). [Al-Baqarah:217]

Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. [At Taubah:47]

Thursday, November 25, 2004

Linux Mandrake dan Redhat

Aku mula guna Linux Mandrake dari version 6. Masa tu, saling tak tumpah macam Redhat 5. Aku berjaya install tanpa banyak masalah di komputer rumah.
Kemudian aku install Mandrake 7, 7.1, 7.1, 8.1, 8.1, 9.0, 9.1, 9.2 dan yang terbaru, version 10. Aku belum cuba version 10.1. Mungkin tak akan cuba pun, sebab minat ku pada Mandrake dah menurun.

Pada pendapat aku, Mandrake lebih sesuai untuk komputer rumah atau komputer peribadi. Ia mudah di install, dan lengkap dengan multimedia software. Macam-macam ada. Nak connect ke USB drive atau kamera digital pun cukup mudah (terutama version 9.2). Nak baca Windows (FAT32 partition atau NTFS partition) pun mudah.

Tapi minat pada Mandrake menurun kerana perlu bayar untuk dapatkan Mandrake. Memang masih boleh dapat percuma tapi ada perkataan Download Edition. Dah tu pula, dia dah mula hadkan fungsi tertentu. Skrinnya dah tak lawa, berbanding produk lain.

Redhat yang pertama aku gunakan ialah version 8. Kemudian version 9 dan Fedora Core 2. Redhat nampaknya lebih simple dan bersih, cantik. Tapi tidak seperti Mandrake, pakej multimedianya tak ada. Nak connect ke USB drive dan kamera digital ku agak susah sikit (sebenarnya tak susah kalau dah terror). Nak capai Windows partition perlu configure manually. Tak sesuai untuk linux newbie. Tapi kalau dah suka kan cabaran, sila kan.

Lepas ni cerita pasal Slackware pula.

Wednesday, November 10, 2004

Ramadhan dan Syawal

Hmmm... agak lama juga tak menulis. Almaklumlah, agak sibuk dengan kerja yang perlu disiapkan sebelum cuti raya.

Ramadhan 1425H akan berakhir 3-4 hari lagi. Berbagai peristiwa berlaku dalam Ramadahn kali ini. Yang paling menyayat hati - peritiwa pembunuhan di Selatan Thai, yang menyedihkan - kematian En. Ishak, yang agak mengecewakan - kemenangan Bush sebagai Presiden Amerika ke atas Kerry, yang menggembirakan - kepulangan bekas Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ramadhan aku kali ini adalah paling gawat dari segi ekonomi. Tapi kegawatan berakhir menjelang berakhirnya Ramadhan. Alhamdulillah, Syukur pada Ilahi atas nikmatnya.

Semoga Syawal yang akan menjelang akan membawa sinar yang gemilang dalam hidupku. Ada beberapa perkara nak ditulis berkenaan Linux. Memang hobi aku menilai dan membuat perbandingan Linux.

Lain kali, Insya Allah akan ku tulis.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.

Monday, November 01, 2004

Daripada Nya kita datang; kepada Nya kita kembali

Firman Allah,
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal),
sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [An Nisa':78]

Firman Nya lagi,
"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang
(atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan." [ Al Mu'minun:11]

Rakanku, Ishak Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Audit MARA, telah kembali ke rahmatullah pada 30 Oktober 2004 bersamaan 16 Ramadhan 1425H di HKL. Berita ku terima melalui SMS selepas berbuka pada Sabtu malam.

Kali terakhir aku melihat wajahnya ialah pada 24 Oktober iaitu Hari Ahad terakhir baginya. Dia sebut nama ku selepas dikejutkan dari tidur sambil tersenyum. Aku agak sebak seketika, tapi ku tahan dan meminta izin untuk pulang. Dia mengangguk tanda faham.

Aku tak melepaskan peluang untuk menziarahi jenazahnya pada pagi Ahad itu bersama isteri ku, aku turut sembahyangkan jenazahnya di masjid berhampiran dan sedekahkan Al Fatihah untuknya. Kali terakhir aku bersolat Jumaat dengannya pada tahun 2003 di Masjid Segambut.

Semoga rohnya bersemadi bersama roh orang-orang yang soleh.

"Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan
Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam
keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". [Yusuf:101]

Tuesday, October 26, 2004

Linux Live CD

Hari ni, aku nak bercerita pasal dunia IT pula.

Aku memang suka mencuba Linux. Dah banyak produk aku cuba, antaranya Mandrake (sejak versi 6.0 hingga yang terakhir versi 10.0), Redhat (versi 8.0 hingga Fedora 2), Slackware 10 dan Linux Live CD. Semuanya aku dapat dengan download melalui internet. Kedua-dua komputer aku (di rumah dan di pejabat) kini diinstall dengan Slackware 10. Masalahnya, aku tak ada broadband line di rumah. Dial-up pun guna internal modem menyebabkan aku tak dapat guna Linux sepenuhnya di rumah.

Linux Live-CD yang aku dah cuba temasuklah Slax 4.1.2 hingga yang terbaru 4.2.0, Suse 9.1, Knoppix 3.4 dan 3.6, PCLinuxOS P7, Linspire 4.5, Morphix, Mepis, Aurox, Gnoppix dan ntah apa-apa lagi. Yang paling menarik bagi aku ialah Slax, Knoppix, Suse, PCLinuxOS dan Linspire.

Selain daripada Linux Live-CD, aku juga memiliki Ultimate Boot CD (UBCD) dan Recovery Is Possible (RIP CD). Yang terbaru ialah Windows XP UBCD atau WinUBCD yang aku buat sendiri.

Aku suka simpan Live CD sebab aku boleh gunakan mana-mana komputer tanpa perlu log in. Tak perlu tahu password orang walau pun aku boleh crack password dia orang. he..he..he..

Okey, berbalik kepada Linux Live-CD, Slax paling aku suka. Sebab ia kecil. Aku simpan dalam mini CDRW. Simpan dalam poket dan bawa kemana-mana. Sebab Slax lah, aku kini guna Slackware. Versi 4.1.2 tiada masalah. Versi 4.1.3 dan 4.1.4 tak dapat digunakan dengan lancar di komputer pejabat. Macam-macam masalah. Kini, dengan versi 4.2.0, semua nya okey. Slax cukup simple dan "looks very nice". Walaupun tiada OpenOffice, ia mempunyai KOffice. Internet browser hanya dengan Konqueror dan aku boleh baca Quran PDF dengan KPdf. (Quran PDF tak boleh dibaca dalam versi Slax terdahulu).

Knoppix cukup cemerlang. Tiada masalah baik di rumah mahupun di pejabat dan beberapa tempat lain yang aku cuba. Wallpaper nya kurang cantik. Tetapi proses booting lebih laju berbanding Slax. Ia turut mengandungi Open Office yang tiada pada Slax. Ia lebih "complete" berbanding Slax. Cuma ia guna CD bersaiz biasa yang agak besar, tak boleh simpan dalam poket.

PCLinuxOS, agak lembab masa booting. Lebih cantik dan mesra pengguna ("user friendly"). Ada Mozilla Firebird. Tetapi tak boleh simpan konfigurasi ("save configuration"). Oleh kerana rangkaian komputer di pejabat tidak menggunakan DHCP, aku terpaksa "set configuration" setiap kali hendak menggunakannya. Letih la macam ni. Macam Slax dan Knoppix kan senang.

Suse pun cantik. Tapi aku tak boleh akses USB drive, tak boleh simpan konfigurasi dan tak dapat detect USB mouse secara automatik. Kena "configure manually" lah pulak. Versi 9.2 dah keluar, tapi belum sempat download.

Linspire boleh start di komputer rumah tetapi gagal di pejabat. Entah dimana silapnya, aku pun tak tahu. Linspire pun cantik, ada Real Player lagi. Kalau komputer rumah boleh akses internet, tentu aku guna Linspire Live-CD di rumah.

Yang lain, aku dah cuba tetapi gagal. Semua tak dapat start-up.
Aku malas nak check kenapa gagal sebab aku dah puas hati dengan 5 yang paling menarik bagi aku.

Kalau sesiapa nak kongsi CD ke, nak salin ke ("copy" lah tu), dipersilakan. Pandangan anda mungkin berbeza daripada aku. Jadi, kenapa tak mencuba sendiri. Komputer anda takkan rosak-apa-apa.

Friday, October 22, 2004

Sekolah Agama Rakyat (SAR)

Laporan Malaysiakini menyebut bahawa Gerakan Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (GEGAR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil langkah-langkah segera untuk menyalurkan semula bantuan kewangan kerajaan kepada semua sekolah agama rakyat (SAR).


Berikut adalah beberapa petikan daripada laporan tersebut.




Gegar turut menggesa Abdullah supaya menarik balik keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberhentikan bantuan kewangan kepada SAR.
 
Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata Perdana Menteri hendaklah tidak teragak-agak untuk berbuat demikian kerana bantuan kewangan tersebut diperlukan oleh lebih 400,000 pelajar SAR sekarang.

Sekolah agama rakyat swasta ini menjadi kontroversi apabila kerajaan sewaktu pimpinan Mahathir, telah memberhentikan bantuan kewangan tahunan antara RM60 hingga RM150 bagi setiap pelajarnya pada Oktober 2002.

Tindakan keras itu diambil selepas Mahathir mendakwa para pelajar SAR, sebahagian besarnya dikaitkan dengan PAS, diajar di sekolah tersebut supaya membenci kerajaan.
Baru-baru ini di Parlimen, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa pihaknya tidak merancang untuk menyambung semula bantuan kewangan kepada SAR.


Pertambahan pelajar


Ahmad Tarmizi juga berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan
sekarang memandangkan jumlah pelajar yang mendafar di SAR telah meningkat semula, dan ianya dijangka semakin bertambah tahun depan.

“Kami menjangka pertambahan pelajar sebanyak 20-30 peratus tahun depan kerana ramai ibu bapa masih percaya bahawa pembelajaran agama di SAR lebih baik daripada sekolah kebangsaan,” katanya. Menurutnya lagi, permintaan terhadap SAR semakin meningkat sejak tahun lalu selepas tiada lagi kempen memburuk-burukkan sekolah berkenaan.


Laporan awam


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi turut menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan secepat mungkin hasil laporan jawatankuasa khas mengenai SAR. “Kami mahu tahu jika cadangan yang kami buat kepada jawatankuasa tersebut diterima tau tidak. Tidak elok membiarkan isu tersebut terumbang-ambing begitu sahaja,” katanya.
Manakala pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Murad Mohd Nor, ketika dihubungi malaysia, berkata laporan akhirnya telahpun dikemukakan kepada Abdullah kira-kira sebulan lalu.



SAR adalah warisan tradisi ilmu masyarakat Islam Malaysia suatu masa dahulu. Warisan ini perlu dipulihara dan dipertingkatkan kualitinya bagi memenuhi tuntutan semasa.


Agak sukar untuk kita mengulas panjang kerana laporan jawatankuasa khas belum diumumkan. Namun saya percaya, laporan itu sepatutnya mempunyai cadangan bukan untuk mematikan terus SAR tetapi memberi nafas baru supaya simbol sekolah tradisi Islam itu bukan sahaja terpelihara tetapi kembali dihormati oleh masyarakat. Soal ia akan menjadi saingan kepada sekolah kebangsaan tidak seharusnya berbangkit kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri dan tidak bertentangan dengan  undang-undang dan matlamat negara malah sepatutnya mampu meningkatkan kualiti masyarakat (Islam khususnya) di Malaysia, sekaligus mampu menjana cita-cita Islam Hadhari.


Jika sekolah jenis kebangsaan Cina boleh dikekalkan dan dimartabatkan di Malaysia sehingga ia ada yang menjadi pilihan golongan bangsawan Cina, kenapa tidak dengan SAR ? Bantuan tidak seharusnya diberikan dalam bentuk wang ringgit sahaja tetapi idea dan komitmen yang lebih amatlah penting.


Mungkin ramai yang menyangka lulusan SAR hanya layak jadi pensyarah, ustaz, imam dan bilal sahaja. Jika lulusan Sekolah Agama kelolaan Kementerian Pendidikan (SAP) atau lulusan Sekolah Agama Negeri (SAN) mampu menjadi jurutera, pakar komputer, pengarah syarikat, peguam, pegawai kerajaan dan sebagainya, mengapa tidak dengan lulusan SAR ?


Sebab itulah, adalah amat penting sukatan pelajaran di SAR dan halatuju masa depan pelajarnya perlu dikaji dan diberi perhatian. Penglibatan pengusaha SAR sendiri tidak boleh diketepikan disamping lulusan SAR yang telah berjaya kini dan semua ini tentulah memerlukan peruntukan kewangan yang banyak.


Semoga kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan yang tidak tepat sebagaimana yang telah dibuat oleh pimpinan terdahulu.


Wednesday, October 20, 2004

Ingat 5 perkara sebelum tiba 5 perkara

Alhamdulillah, hari ini kita masih bernafas, sempat berpuasa lagi, masih sihat lagi, masih kuat lagi, masih beriman lagi.

Aku termenung sejenak bila teringat seorang sahabat yang kini di wad Urologi & Nefrologi HKL, terlantar sakit akibat kegagalan buah pinggang untuk berfungsi. Sahabat yang dulu sama-sama ke masjid, sama-sama makan nasi kandar, sama-sama bergelak ketawa, sama-sama bergaduh pasal kerja. Hanya doa dapat ku sedekahkan untuk beliau yang kini berjawatan Timbalan Pengarah di sebuah agensi kerajaan.

Teringat semasa belajar di UTM KL, seorang pensyarah yang bercuti panjang kerana sakit. Sebaik kembali mengajar, beliau mengingatkan para pelajarnya tentang hadith Rasulullah s.a.w., "Ingatlah kamu akan 5 perkara sebelum tiba 5 perkara, masa sihat mu sebelum tiba sakit, masa muda mu sebelum tiba masa tua mu, masa senang mu sebelum tiba masa susah mu, masa lapang mu sebelum tiba masa sempitmu, masa hidup mu sebelum tiba mati mu."

Semoga dunia dan isinya tidak melalaikan aku.