Tuesday, February 24, 2015

Kerajaan perpaduan demi hudud ? Oh... tidak....

Ustaz Roslan Ismail, bekas Adun Bukit Besi Terengganu membayangkan andai dia menjadi Presiden Pas, dia akan berusaha menjalinkan kerja sama dengan Umno agar hudud dapat dilaksanakan di Kelantan.

Saya anggap idea itu sekadar mimpi atau khayalan Ustaz Roslan sahaja. Logiknya terlalu mudah, tanpa mengambil kira realiti politik Malaysia. Seolah2 BN itu milik Umno. Seolah2 Umno itu begitu berani. Hakikatnya, tentangan sekutu Umno dalam BN adalah lebih dahsyat daripada tentangan Dap dalam PR. Mujur naib presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man cepat mengeluarkan pandangan yang lebih dilihat sebagai pandangan rasmi parti dan bukan pandangan peribadi.

Bukan seorang; presiden Umno yang sudah memberi jaminan hudud tidak akan diaksanakan di Malaysia. Sejak presiden yang pertama hingga presiden hari ini, jaminan itu masih berulang2. Bahkan ada yang mengeluarkan surat (ada hitam putihnya) yang mengugut kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakannya. Surat inilah menjadi bukti jelas bagi almarhum Nik Aziz bahawa mereka menentang (perlaksanaan syariat) Islam.

Mufti Perlis pula mengalu2kan kerja sama politik Pas-Umno. Sekurang2nya, ada juga persamaan idea antara mufti Perlis ini dengan mufti Perak. Kedua2nya menyokong idea kerja sama itu.

Tetapi mereka bukan orang politik. Idea mereka cantik dari sudut agamanya tetapi bila hendak dipraktiskan dalam realiti politik, ia bukan sahaja tidak akan menjadi. Sekutu politik yang didominasi orang kafir akan secara terbuka bersatu suara menentangnya. Malah banyak muslihat politik akan terdedah.

Lihat sahaja di Selangor, beriya nak bawa ususl hukum hudud di Dun tetapi ditarik balik walaupun diluluskan untuk dibahas oleh Speaker. Auta dan sandiwara itu terserlah dan mereka selamba sahaja.

Umno sangat takut hubungannya dengan sekutu dalam BN hancur. Pas pula tidak takut hubungan dengan sekutu dalam PR hancur demi menjaga hubungan dengan Allah. Itu lah bezanya Pas dengan Umno.

Hanya sebahagian kecil sahaja yang menolak hudud sebab mereka tidak faham dengan keindahan syari'ah Islam atau kurang keyakinan terhadap Islam. Kebanyakan mereka menolaknya kerana memang mereka kufur. Seratus kali taklimat pun, mereka tetap menolaknya kerana mereka kufur. Seratus tahun lagi pun, mereka akan beri berbagai2 alasan.

Tak perlu terlalu bersangka baik dengan mereka, kononnya mereka tidak Islam kerana mereka tidak faham Islam. Islam adalah agama nasihat. Islam adalah agama damai. Islam bukan disyi'arkan melalui kaedah perang, tidak juga debat. Kaedah rasulullah s.a.w. ialah menyampaikan. Hidayah adalah daripada Allah.

Perang hanya diizinkan dalam keadaan kita tiada pilihan lagi, ditindas dan dizalimi hingga kehidupan kita dan keluarga terancam. Debat juga dilarang oleh rasulullah s.a.w. tetapi masih juga diizinkan demi menjaga agama agar tidak diperlecehkan musuh. Tugas kita ialah menyampaikan, dan teruskan menyampaikan.

Saya percaya, sebagai orang politik yang berpengalaman, Hadi Awang tidak akan mengadakan kerja sama politik dengan Umno. Kerja sama antara kerajaan dengan kerajaan, itu lain. Jika Umno benar2 ikhlas, buktikan melalui Kelantan dan Terengganu. Kedua2nya sudah ada undang2 hudud dan qisas. Hanya peringkat perlaksanaan sahaja kerana batas bidang kuasa. Beranikah Umno memberi laluan kepada kedua2 kerajaan negeri ini melaksanakannya ?

Saya tertarik dengan idea konsensus nasional oleh Anwar Ibrahim. Pun begitu, ia juga banyak tentangan terutama daripada dalam BN itu sendiri. Ituah relaiti politik Malaysia. Masing2 mahu menjaga kepentingan duniawi masing2. Bila dilihat merugikan atau boleh mengancam peluang masing2, rakyat tidak didahulukan pun. Yang ada hanya slogan sahaja.

Tuesday, February 10, 2015

Anwar dipenjarakan

Entah lah. Saya bukan cerdik undang-undang. Saya juga bukan pengkagum Anwar. Dulu pernah saya kagumi dia tetapi tidaklah membuta tuli. Kini, kadang-kadang ada rasa meluat juga. Bukan Anwar saja malah beberapa tokoh politik lain juga. (Kadang-kadang je tau. hik..hik..hik..)

Keputusan mahkamah persekutuan hari ini, mengecewakan saya tetapi tidak terlalu mengejutkan. Meneliti hujjah peguam bela dan peguam pendakwa, saya rasa Anwar sepatutnya bebas.

Masa depan Anwar saya kira sudah kelam. Zamannya sudah berlalu. Empat puluh bulan penjara adalah satu tempoh yang panjang. Selepas itu pun,  dia tidak boleh pegang jawatan penting dalam politik.

Sekarang adalah masa untuk tokoh baru dalam politik negara. Bukan Anwar, bukan Hadi Awang, bukan Kit Siang.

Siapa tokoh yang paling sesuai untuk memimpin Pakatan Rakyat. Memimpin PR jauh lebih rumit berbanding memimpin BN.

Setidak2nya BN sudah ada model yang sudah jelas daripada kepimpinan sebelum ini. Dasarnya sudah jelas walaupun teknik dan taktik politik hari ini sudah jauh berubah. Ia terbentuk secara terancang sebelum berdepan pilihan raya. Tinggal lagi tak nak sokong je. huk..huk..huk...

Mampukah PR membentuk kerajaan yang padu ? Sejarah sebelum ini menunjukkan pembangkang (maksud saya bukan BN) hanya boleh bekerja sama dalam keadaan terpaksa sahaja. Kerajaan Selangor dan Perak 2008 terbentuk secara terpaksa dan ia bukan dirancang oleh kepimpinan ke tiga2 parti sebelum keputusan pilihan raya keluar.

Bagaimanakah kerja sama dalam PR selepas Anwar dipenjarakan ?


Monday, February 09, 2015

Satu pandangan kritis untuk Pas

Saya sayangkan presiden Pas tetapi saya sokong supaya Presiden memberi laluan kepada tokoh lain pula.

Bagi saya, Presiden Pas hari ini agak lemah dalam menangani krisis dalam parti menyebabkan keadan menjadi semakin teruk dan seolah-olah tidak ditangani. Krisis seolah-olah dibiarkan berlarutan. Berbagai spekulasi dibiarkan malah membuka ruang kepada musuh memanipulasi. Terlihat seolah2 presiden terikut2 cakap penasihat disekeliling. Penasihat2 yang berpuak2 ini menjadikan keadaan semakin teruk.

Berundur secara terhormat akan menguatkan parti berbanding meneruskan ketidak tentuan dalam parti hingga pilihan raya akan datang.

Harapan saya, pengganti presiden bukan Mohammad Sabu. Dia bukan tokoh yang mendapat sokongan yang padu dari kalangan akar umbi. Cuma dia dipilih dengan harapan dapat mengimbangi pengaruh pihak lagi satu.

Tuan Ibrahim mungkin sesuai. Saya suka caranya yang lebih berhati2, cermat dan wasatiyyah. (Bukan wasatiyyah mengikut kamus UMNO). Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana ketegasan  dan keberanian beliau bila berdepan tokoh politik kawan dan lawan. Insyaa Allah beliau cukup berwibawa.

Selain beliau, tokoh yang saya kira boleh diketengahkan ialah Salahuddin Ayub. Beliau juga seorang yang agak sederhana dan cermat, tidak terlalu celupar dan terkawal tindakannya.

Mungkin gandingan TITM dan SA akan menjadikan Pas parti yang lebih dihormati dan disegani.

Bagaimanapun, saya menentang sebarang usaha yang menghina, mengejek dan merendah2kan presiden seperti yang dilakukan oleh sebilangan yang nampak seperti sudah hilang sabar.

Satu penyakit yang ketara dalam Pas hari ini ialah penyakit sombong, ujub, suka menganjing dan cenderung untuk memaksa. Islam tidak mengajar kita berdakwah dan berjuang dengan cara begini. Pas kadang2 tidak berlapang dada meraikan pelbagai pendapat yang berbeza dan membiarkan jemaah terus mencerca pihak yang tidak sependapat, hingga akhirnya mencerca sesama sendiri.

Wednesday, February 04, 2015

Datuk Asri - nama yang dipinggirkan dalam Pas


Terlebih dahulu, perlu saya jelaskan, saya bukan pengkagum Datuk Asri. Ketika Datuk Asri dijatuhkan, saya baru berumur 14 tahun. Beliau berada di kemuncak politik Pas pada akhir tahun 60an dan awal tahun 70an. Selepas tahun 78, nama beliau sudah mula suram dan sejuk.

Tetapi saya selalu baca akhbar pada tahun2 tersebut. Selain Utusan Melayu, saya juga baca akhbar Watan, Bumi dan sebagainya. Juga saya ada baca beberapa buah buku politik dan nama Asri ada disebut dalam buku2 tersebut.

Saya percaya, beliau ada jasanya sendiri dalam Pas. Walaupun saya tidak setuju dengan langkah Pas menyertai BN (selepas membaca buku2 tersebut) yang ideanya dikatakan didokong oleh Asri, hakikatnya Pas memperolehi pengalaman dan ilmu berkerajaan melalui kerjasama dalam kerajaan campuran itu.

Sebelum itu, Pas memang berkerajaan di Kelantan tetapi berkerajaan di peringkat pusat memberi pengalaman yang berbeza, dari sudut yang berbeza apatah lagi dalam kerajaan berbilang kaum dan agama. Kerajaan Kelantan lebih kepada monopoli melayu Islam.

Bukan sahaja pengalaman berkerajaan, bahkan pengalaman politik berkerja sama dengan Umno memberi bukti bagaimana liciknya Umno mengambil kesempatan ketika mereka susah (merayu memujuk) dan ketika mereka senang (menendang dan menjadi batu api). Ia adalah pegalaman yang sangat berguna kepada Pas dan generasi muda yang mahu memimpin Pas untuk dijadikan pengajaran dan iktibar, berkerja sama dengan musuh yang pernah membuli, memfitnah dan menzalimi kita.

Baru-baru ini, diadakan satu majlis ilmu yang menyingkap semula nama Datuk Asri, peranannya, jasanya, pengorbanannya kepada Pas yang dihadiri oleh Mustaffa Ali. Dan hari ini saya terbaca pula tulisan Dr Riduan Mohamad Nor, dengan tajuk Datuk Asri : Meluruskan sejarah sosok besar Pas. Saya lihat seakan ada usaha untuk memperbetulkan rentak sumbang sekian lama dalam Pas walaupun niatnya tidak dapat dipastikan.

Pada saya, layanan Pas kepada Datuk Asri sebelum ini sangat mengecewakan. Nama Datuk Asri seolah2 mahu dilupakan dan dihapuskan dalam sejarah perjuangan Pas. Anak2 muda dalam Pas hampir tidak mengenali dan tidak tahu jasa Datuk Asri dalam Pas. Mereka tidak diajar siapa Datuk Asri.

Ini berbeza dengan Umno yang tidak melupakan nama Datuk Onn walaupun Datuk Onn keluar Umno dan menentang Umno melalui parti Negara. Umno juga tidak melupakan Tunku yang juga takdirnya mati bukan sebagai ahli Umno malah masih menentang Umno ketika hayatnya berakhir.

Pada saya, Pas menggunakan pendekatan yang salah. Hingga ada yang terlalu membenci Asri. Terlalu beremosi. Pas sepatutnya mendekati bekas pemimpinnya ketika mereka berada dipenghujung usia supaya mereka merasa masih dihargai dan disayangi. Bukan membiarkan mereka sunyi, dipinggirkan. Hati orang tua sepatutnya dijaga dan usah terlalu ambil hati dengan luahan rasa mereka.

Buku2 mengenai jasa dan sumbangan mereka sepatutnya diterbitkan walaupun nipis. Ramai lagi nama yang seakan dilupakan seperti Amaluddin Darus, Hassan Shukri, Hassan Adli, Datuk Nasir, Abu Bakar Hamzah, Ishak Lutfi dan ramai lagi pemimpin di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak. Sekurang2nya terbitkanlah koleksi biografi beberapa nama besar dalam sejarah Pas dalam satu buku. Biarpun mereka keluar Pas, menentang Pas sebelum hayat berakhir, hakikatnya mereka jadi begitu kerana kelemahan diperingkat Pas sendiri. Jika kena caranya, jika betul pendekatannya, saya percaya mereka akan kembali kepada Pas dipenghujung usia (ketika mereka tiada lagi peranan dalam politik negara) sekaligus dapat membaiki nama Pas.

Manusia tidak boleh terlalu dipuji melambung2. Sebab itu kita diperingatkan selalu bahawa segala puji hanya bagi Allah. Begitulah dengan pemimpin Pas dan ulama. Usah dipuji keterlaluan ketika mereka di puncak, jangan juga dibenci berlebih2an ketika mereka mula berfikir melalui cabang lain.

Kalau perlu disebutkan kesilapan2 mereka yang lalu, lontarkanlah dalam bentuk pro dan kontra, baik dan buruk, biar pembaca atau pendengar menilai dan memutuskan sendiri. Apatah lagi yang empunya badan sudah meninggal dan tiada upaya lagi untuk memperbetulkan segala salah faham, prasangka, tuduhan dan rasional disebalik keputusan dan tindakan mereka dahulu.

Sekadar pendangan daripada saya yang naif politik.