Friday, November 13, 2009

TG Nik Aziz tangguh hajat tunai haji

Mengkritik secara Islam

Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika ulama melantik mat rempit sebagai penasihat. Pemimpin melantik budak-budak penghantar surat sebagai tempat minta pandangan.

Semua orang boleh memberi nasihat. Semua orang wajib memberi nasihat. Semua orang berhak untuk memberi nasihat.

Saya bukan nak merendah-rendahkan golongan mat rempit atau budak-budak despatch. Mereka juga ada idea dan pandangan sendiri dari kaca mata mereka sendiri. Ia hanya sekadar contoh sahaja untuk difikir-fikirkan.

Dalam Al Quran yang menjadi sumber rujukan (petunjuk) kepada orang-orang yang bertaqwa, ada disebut supaya kita saling nasihat menasihati. Tetapi ayat itu dimulai dengan beriman dan beramal soleh. Jadi kita dianjurkan supaya beriman dan beramal soleh dahulu supaya nasihat kita menjadi lebih berkesan, bernilai dan diterima baik.

Begitu juga bila hendak lantik penasihat, mestilah yang beriman dan beramal soleh, baru mantap. Mungkinkah ada yang berkata, yang mengaku beriman pun kelentong juga, usang berbulu ayam pun ada. Yang penting, itu perintah Allah dan termaktub dalam Al Quran.

Kemudian, nasihat itu perlulah dengan cara kebenaran (kebenaran itu datang dari Allah). Juga dengan cara kesabaran. Juga dengan kasih sayang. (rujuk surah Al-Asr dan surah Al Balad) Itu kaedahnya menyampaikan nasihat kepada sesama jemaah Islam.

Yang boleh kita gunakan cara yang sedikit keras ialah kepada golongan munafik, fasik, yang terang-terang menentang Islam atau menolak Islam, lebih-lebih lagi dia mengaku Islam kerana mereka sudah dikira merosakkan imej Islam itu sendiri.

Pun begitu, kalau nak menarik orang kafir menerima Islam, tentulah cara sabar dan kasih sayang itulah yang lebih baik.

Jadi kepada yang suka beri nasihat dan kritikan, kalau guna cara maki hamun, caci cerca, ikut sedap hati je, hentikanlah. Lebih-lebih lagi yang ditegur itu adalah pemimpin kita sendiri. Menegur ibu bapa tidak boleh sama dengan menegur anak-anak, walaupun kita amalkan konsep satu Malaysia. Bukan kritikan anda tidak betul, tetapi cara anda mengkritik itu yang terang-terangan salah. Lama-kelamaan, yang dikritik pula yang mendapat simpati dan pembelaan.

Thursday, November 12, 2009

Muhyiddin terlebih pandai

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," kata Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di Alor Star.


Kuasa SPR dia tahu. Kuasa speaker dia tak tahu. Kan terbalik tu. Speaker berkuasa di DUN. TPM pun tak ada kuasa tu. Apa pula kuasa SPR ? Peruntukan mana pula menyebut SPR berkuasa memutuskan kerusi DUN kosong atau tidak ?

Dari hal menantu

Kalau di era Pak Lah, kita didedahkan dengan kebolehan luar biasa menantu geniusnya, kita juga turut didedahkan dengan penyelewengan menantu beliau. Yang menyokong memalu gendang ProKhairi dan yang menyampah + dengki memalu gendang antiKhairi.

Sehari dua ini, giliran TGNA pula diserang. Lebih malang, beliau baru keluar IJN kerana kurang sihat dan akan berangkat menunaikan haji tidak lama lagi. Dan antara serangan dibuat termasuk melalui menantunya Arif Fahmi.

Kebanyakan blog banyak menyiarkan serangan ke atas si Arif Fahmi ini sehingga tak nampak ada pihak yang tampil membelanya. Dia sendiri pun tak banyak bercakap untuk pertahankan diri. Nampak macam sungguh dia memang bersalah. Alangkah tidak adilnya jika kita terus terburu-buru menghukum begitu.

Maklumlah, dalam kes ini, yang berkonfrontasi secara berdepan ialah blogger popular Kickdefella. Blogger ini sudah punyai ramai peminat dan sahabat blogger. Sudah lama orang percaya dengan dia. Jadi bila dia kena pecat (ditamatkan perkhidmatan), ramai yang bersimpati dengannya. Ramai yang percaya dia tak bersalah. Di aniaya. Jadi mangsa.

Khabar lain yang dilaporkan, si blogger ini kerja makan gaji buta di PMBK lebih RM4 ribu sebulan.

Sebulan lepas, saya hantar proposal kepada sebuah agensi kerajaan pusat. Kosnya cuma RM5 ribu sahaja. Proposal saya ditolak sebab agensi itu tak ada duit. Saya tahu, agensi itu memang tengah tak ada duit sekarang ni. Bayangkan, projek sekecil RM5 ribu pun tak mampu nak beri, apa rasional PMBK nak bayar gaji buta RM4000 sebulan kepada blogger tersebut ? Kelantan dah banyak duit sangat ke ?

Anda boleh baca banyak maklumat lain tentang isu di PMBK di Manjungmari (sini, sini dan sini). Soal betul atau tidak maklumat itu, kenalah kita berhati-hati dan timbangkan. Cuma hati kecil saya berkata, ada yang tak kena dengan blogger Kickdefella ini.

Monday, November 09, 2009

Bohong

Pernahkah anda berbohong ? Kalau anda tak pernah berbohong, saya respek habis. Sukar untuk kita mengaku bahawa kita tak pernah berbohong.

Lihat anak-anak kecil. Si Abang pukul si adik. Bila si adik menangis, Abangnya tak mengaku dia yang buat. Paling tidak dia kata adiknya yang mula dulu walaupun itu tidak benar.

Dua beradik main kejar-kejar. Bila seorang jatuh dan menangis, dia akan kata yang sorang lagi buat.

Kita tidak pernah diajar berbohong. Kita tak suka dibohongi. Kita juga mungkin tak suka berbohong. Tetapi dalam keadaan terdesak, kita berbohong juga. Ia berlaku secara spontan. Untuk selamatkan diri.

Kadang-kadang dalam keadaan kita berperang mulut, secara tak sengaja kita berbohong, untuk menyokong cerita atau hujjah kita. Pada masa yang lain, kita sesali semula kerana kita sudah berbohong. Menokok tambah atau merahsiakan cerita sebenar.

Saya pernah buat satu kesalahan ketika zaman sekolah. Cikgu tanya, siapa yang buat. Semua tak mengaku termasuk saya. Saya sedar, saya lah yang buat. Adakah saya dikira berbohong ?

Imam Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab "Raudhah", dengan katanya, "Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu."

Bohong adalah salah satu sifat orang munafik. Tetapi bila kita berbohong bukan bermakna kita munafik terus. Cuma kita memiliki sifat orang munafik. Sebab itu, kita disuruh berdoa, minta dipelihara diri daripada sifat orang munafik. Dan doa itu perlu diteruskan sampai kita tua, sampai mati.

Bukan mudah nak mengelak diri daripada berbohong. Kadang-kadang, dengan anak-anak pun kita tipu. Suami tipu isteri. Isteri tipu suami. Kebanyakannya bukan dengan niat. Bukan mahu aniaya atau khianati sesiapa pun. Semata-mata untuk kepentingan sendiri saja dan hanya untuk saat itu sahaja.

Selain bohong ialah janji. Sukar untuk kita tepati janji, terutama dari segi masa. Jalan sesak, lupa, hujan, sakit, ubah fikiran. Bila kita fikir, aku tak sepatutnya teruskan perkara ini kerana keburukan lebih besar daripada kebaikan, kita jadi terpaksa ingkar janji. Apa pun alasan yang diberi, walaupun betul, hakikatnya kita sudah mungkir janji. Janji kita dah jadi tipu.

Kadang-kadang, dengan ibu bapa kita sendiri pun kita bohong. Bila dikenang semula pembohongan-pembohongan yang pernah kita buat, kita pasti rasa menyesal. Kita mungkin sudah berkali-kali memohon ampun dan maaf dengan ibu bapa kita, tetapi kita mungkin masih teringat dosa kita menipu mereka suatu ketika dulu.

Saya percaya ustaz-ustaz dan ulama-ulama juga tidak terkecuali daripada kesilapan seperti ini. Bukan mereka berniat mahu menipu sesiapa tetapi kadang-kadang, benda yang mereka kurang pasti atau ingat-ingat lupa, mereka sebut dengan penuh yakin.

Apatah lagi orang yang kerjanya banyak bercakap. Jurujual atau ahli politik, misalnya.

Abu Bakar Chik ajak debat

KUALA TERENGGANU - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mencabar pemimpin Umno bersemuka dan berdebat atas tajuk ‘siapa lebih beragama?’


Lagi-lagi debat. Saya cukup tak suka dengan debat. Orang PAS cukup suka berdebat. Dan orang UMNO pula tampak tak berapa berani dengan debat.

Bagi saya, debat bukan cara berkesan untuk menarik sokongan rakyat. Debat sudah terbukti memberi kesan yang sangat minima dalam menarik sokongan dan kepercayaan rakyat. Debat sekadar untuk menonjolkan pendebatnya dan mengaibkan lawan. Lepas debat, yang nampak lancar akan dipuji-puji. Yang mungkin nampak agak gelabah sikit, akan disindir. Tetapi yang sokong A akan tetap sokong dan puji A dan perasan B gelabah. Dan yang sokong B akan tetap sokong B dan puji B dan perasan A gelabah. Bukan nampak siapa benar siapa salah pun.

Apatah lagi tajuk debatnya nampak kelakar. "SIAPA LEBIH BERAGAMA?". Ini pun nak didebatkan ? Masing-masing nak tonjolkan diri sendiri ? Nak puji diri sendiri ? Beragama pun nak diwar-warkan ? Dihebahkan ? Apa ni ? Aku banyak solat berjemaah, aku solat tahajjud, aku banyak baca Quran, aku banyak zikir, aku banyak bina masjid, aku amalkan isi kandungan Al Quran, buktinya bla bla bla ....

Tak ada kerja lain ke ? Kita nak ungkit-ungkit kerja ibadah kita ? Nak ungkit kerja dakwah kita ? Nanti ter"reset" semua pahala amal kita. Mana perginya keikhlasan kita ?

Sudah-sudahlah Abu Bakar Chik. Carilah cara lain untuk tonjolkan diri. Dekati rakyat dengan turun padang, itukan lebih baik dan berkesan.

Saturday, November 07, 2009

Dasar tempoh jangka hayat kenderaan - Kluk klek betul

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah bersetuju supaya pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan ditarik balik setelah mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan.
- Petikan Sinar Harian 7 Nov 2009.

Ini bukan kluk klek okay. Ini menunjukkan kerajaan prihatin. Rakyat didahulukan.

Kalau yang Pak Lah buat,itu baru kluk klek. Kalau Najib buat, itu bukan kluk klek. Sebelum ini pun, Najib beriya-iya nak banteras, perangi rasuah. Lepas tu ambil bekas pemimpin yang kena tindakan disiplin sebab rasuah sebagai calon BN. Itu pun bukan kluk klek juga.

Ingat Hishamuddin kata, ROS tak akan campur hal MCA. Lepas tu ROS yang buat keputusan siapa Timbalan Presiden MCA. Dan Hishamuddin bela ROS. EGM MCA hanya wayang saja. Opera Cina saja. Ia hanya untuk hiburan saja. Dan Hishamuddin bukan kluk klek.

Kluk klek terbaru ialah TGHH, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali. Kluk klek kini berada dalam PAS. Tanya Aziz Bari. Dia pakar undang-undang. Jadi dia tahu lah.

Persatuan Peguam Syariah pun kluk klek juga. Kejap minta maaf, kejap tak minta maaf. Mana satu yang betul ni.

Friday, November 06, 2009

Wahabi tak sesat tetapi ...

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.


Memang lah kita tak kata dia sesat. Masalahnya bila pihak dia yang kata kita sesat. (Saya tak merujuk kepada Dr. Maza). Inilah punca kepada kegelisahan masyarakat. Bila kita tak terima hujjah pihak dia, dia kata kita sesat. Sebab itu ramai mufti-mufti kurang senang dengan puak-puak yang dilabel dengan Wahabi ni. Antaranya termasuk mufti Perak, mufti Pahang, mufti Johor, bekas mufti Negeri Sembilan dan mungkin juga mufti Selangor.

Ada buku karangan Ustaz Rasul Dahari (ustaz wahabi) diharamkan di Johor (juga di Malaysia ?). Bila mereka mengajar, mereka dengan mudah mempengaruhi pendengar mereka dengan mengatakan orang yang buat itu ini sebagai sesat. Memang mereka ada hujjahnya, tetapi bila melabelkan orang lain sesat, itu sudah dikira memaksa orang supaya ikut fahaman dia. Sedangkan ulama lain pun ada hujjahnya juga.

Seorang imam tersohor di Saudi pernah enggan menyembahyangkan jenazah seorang ulama lain kerana ulama tersebut membolehkan sambutan maulidur rasul. Orang arab biasalah, kalau berbeza pendapat, mereka cenderung mengutuk malah menghukumkan sesat. Malangnya masyarakat di tempat kita sudah ramai yang terikut-ikut dengan cara itu termasuk yang bukan ulama. Kan parah tu ?

Thursday, November 05, 2009

Perpaduan kaum, Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam

Mengikut pengamatan saya, perpaduan kaum di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding sebelum PRU12 tahun lepas. Perpaduan kaum yang terbina secara tidak terancang melalui keputusan PRU12 yang memaksa PAS dan DAP berkerjasama. PAS berpakat dengan PKR dan DAP juga berpakat dengan PKR melalui pakatan yang tidak sama pada mulanya. Namun keputusan yang diluar jangkaan itu telah membulatkan tekad kedua-dua parti untuk bekerjasama.

Saya masih ingat, sebelum PRU12, penyokong-penyokong PAS di portal tranungkite.net mengata bermacam-macam kepada DAP, dan ada yang merancang jangan keluar mengundi kalau DAP yang bertanding. Sebenarnya, dalam PRU10, PAS ada pakatan secara longgar dengan DAP dan ramai penyokong PAS yang telah mengundi DAP. Cuma dalam PRU11, DAP enggan berpakat dengan PAS kerana merasa mereka rugi banyak dalam PRU10. Tambahan pula keceluparan TGHH dengan isu ubat tamat tempoh menyebabkan DAP sukar menerima PAS. Tindakan DAP nyata bijak kerana mereka kembali mendapat momentum dalam PRU11.

Selepas PRU12, DAP pusat teragak-agak untuk bersama PAS membentuk kerajaan, begitu juga dengan PAS sendiri. Atas sebab itulah barangkali, PAS bersedia berunding dengan UMNO kerana tiada tanda-tanda yang jelas, bagaimana kerajaan di beberapa negeri boleh dibentuk. Mungkin PAS Terengganu menaruh harapan untuk turut sama dapat menumpang dalam kerajaan Terengganu, jika UMNO mahu berpakat di Selangor dan Perak.

Namun keadaan menjadi berbeza kerana DAP Perak beriya-iya mahu berpakat dengan PAS dan PKR walaupun pada mulanya dibantah oleh DAP pusat. DAP Perak bersedia dihukum oleh DAP Pusat, kerana DAP Perak sudah lama berkerjasama dengan PAS Perak secara tidak rasmi. Tawaran oleh PKR Selangor pula mengajak DAP Selangor dan PAS Selangor untuk berada dalam satu kerajaan Pakatan.

DAP pusat dan PAS pusat akhirnya akur dengan desakan pimpinan negeri masing-masing, paling kuat saya kira adalah daripada Perak. Bila sudah bermulanya pakatan, masing-masing terpaksa mencari titik persamaan dan cuba melupakan perbezaan, masing-masing cuba memahami sensitiviti rakan pakatan dan mula mahu belajar mengenali budaya masing-masing. Daripada situlah, perpaduan kaum menjadi semakin muhibbah walaupun saya percaya, prasangka lama mungkin masih ada dan tidaklah hilang dengan begitu mudah dan cepat.

Hanya media UMNO sahaja yang cuba mengungkit isu perkauman supaya pakatan rakyat dapat dipecah-belahkan seberapa segera yang mungkin. Lalu timbul isu tanah rizab melayu, kampung baru, geran, peruntukan perbelanjaan, perjanjian pangkor 2, isu rumah ibadat, tanah perkuburan dan macam-macam lagi isu sensitif. Namun semuanya itu telah mempercepatkan lagi proses mematangkan pakatan rakyat, memahami masalah semasa dalam pentadbiran negeri dan isu menghormati sensitiviti kaum, agama dan budaya.

Kini kerajaan BN menggunakan slogan 1Malaysia untuk menarik semula sokongan kaum bukan Melayu kepadanya selepas menyedari isu perkauman yang cuba dibangkitkan sebelum ini lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Ketika isu perkauman cuba dibangkitkan, PKR, PAS dan DAP pula bermati-matian mempertahankan tindakan kerajaan PR dalam isu-isu sensitif dan sekaligus memperlihatkan mereka menjadi juara dalam isu tersebut, sedang BN hanya memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap mereka.

Menyentuh isu perpaduan Melayu dan perpaduan Islam, elok kita tanya diri kita, adakah orang Melayu berpecah kerana politik kerpartian semata-mata ? Sesama orang UMNO pun, berpecah-belah juga. Sesama orang PAS pun berpecah belah juga. Kalau PAS dan UMNO berkerjasama, adaka masalah perpaduan melayu dan Islam ini boleh selesai ? Dalam kes Dr. Maza pun kita dapat lihat, dalam UMNO ada yang sokong Dr. Maza dan ada yang menentangnya. Begitu juga dalam PAS. Mufti-mufti sendiri pun ramai yang mahu pengaruh mazhab Dr. Maza disekat.

Jadi masalah perpaduan melayu mungkin dilihat secara luarannya selesai jika PAS dan UMNO duduk bersama tetapi hakikatnya, bukan sahaja perpaduan melayu dan Islam tidak benar, malah perpaduan kaum mungkin jadi lebih buruk kerana satu pihak dikuasai Melayu dan Islam dan di satu pihak lagi mungkin menjadi tumpuan sokongan kaum dan agama lain.

Oleh itu, biarlah sistem dua parti ini tumbuh dahulu dan suburkan ia dengan perlembagaan sedia ada sebelum kita melihat buah yang akan dituai kemudian untuk generasi akan datang yang kemudiannya akan mencorakkannya pula. Semoga Islam turut subur bersamanya dan berkembang melalui tauhid, iman, akhlak dan taqwa yang tersemai bersama kerajaan PR atau kerajaan BN. Saya lebih suka melihat Islam berkembang melalui kekuatan ummahnya, bukan melalui kuatkuasa undang-undang dahulu, apatah lagi melalui mata pedang. Jihad kita di Malaysia hari ini ialah jihad untuk melahirkan ummah yang kuat akidahnya, luhur akhlaknya, teguh imannya dan pintar akalnya dengan ilmu yang menjadi penyuluhnya.

Sekurang2nya dua mufti sokong JAIS

Laporan dipetik drp Sinar Harian 5 Nov 2009

Asri wajar ditahan, tidak ikut undang-undang - Mufti Perak

IPOH - Kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak sepatutnya dijadikan isu dan dipertikaikan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu adalah wajar kerana bekas mufti itu secara terang-terangan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan dalam pentadbiran agama negara ini.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berperlembagaan yang memberi kuasa kepada pentadbir-pentadbir agama seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah menjalankan tugas, penangkapan terhadap mana-mana individu yang mengajar agama tanpa pentauliahan adalah wajar.

"Saya pelik kenapa orang ramai riuh rendah, termasuk orang-orang atasan yang mendukung negara. Perkara ini tak perlu jadi isu.

"Saya juga pelik kenapa Dr Mohd Asri tidak ambil berat dengan amaran yang dibuat Jais sebelum ini, tak ada tauliah memang tak boleh tapi dia tak endahkan," katanya kepada Sinar Harian semalam, mengulas isu penangkapan bekas mufti itu Selasa lalu.

Mengenai pentauliahan, Harussani berkata, semua pihak perlu akur dengan perlembagaan dan enakmen berkaitannya yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap negeri serta telah disahkan oleh raja-raja.

Menurutnya, enakmen berkenaan sudah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya terdapat kawalan dari segi penyebaran agama di setiap negeri.

"Tak ada (tauliah) memang salah, tak ada siapa pun yang berkecuali termasuk saya sendiri. Jika saya hendak berceramah di negeri lain, saya juga mohon tauliah, ibarat kita mohon lesen sama seperti bidang profesional lain yang perlu ada lesen," katanya.



Mufti Pahang sokong tindakan Jais


KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

Terengganu tiada hak menuntut royalti petrol - Najib

Kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
- Utusan Malaysia 5 Nov 2009.

Dari pada ucapan ini, jelas Najib masih menganggap Terengganu (dan Kelantan) tidak layak menerima royalti.

Harap kerajaan negeri Terengganu faham dan jangan memandai-mandai untuk menggugurkan kes saman kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan di mahkamah. Teruskan saman dan minta dipercepatkan perbicaraan.

Wednesday, November 04, 2009

1Malaysia : Terengganu dan Kelantan terima layanan berbeza

Kelantan hanya akan diberi wang ehsan, bukan royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri. Bukan ke munafik tu ?

Ketika kerajaan pusat memutuskan untuk mengembalikan royalti kepada kerajaan Terengganu (dah kembali ke belum ?), Najib dilaporkan berkata, "Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti."

Kalau dengan kerajaan Terengganu, pusat menghormati perjanjian, kenapa dengan kerajaan Kelantan, pusat enggan menghormati perjanjian ? Di mana slogan 1Malaysia ? Kenapa layanan berbeza-beza antara negeri-negeri ? Terengganu lain, Kelantan lain ? Bukankah Kelantan juga majoritinya orang Melayu ? Mana pembelaan untuk orang Melayu ?

Isu kawasan bertindih tidak boleh dijadikan alasan. Ini perjanjian antara Kelantan dengan Petronas. Yang dituntut oleh Kelantan ialah yang daripada kawasannya. Bagaimana jelasnya perjanjian antara Malaysia, petronas dan negara yang bertindih itu, begitulah juga sepatutnya bahagian yang patut diterima oleh Kelantan.

Apakah kerajaan pusat hanya mahu kembalikan hak Kelantan jika kerajaan pusat bertukar tangan daripada BN kepada PR ? Ketika itu (Insya Allah), jika kerajaan PR boleh melakukannya, apakah yang nak dijawab oleh BN ?

Ini samalah dengan banyaknya kes-kes masalah pengambilan tanah, peruntukan kanah kubur, geran yang tertangguh bertahun-tahun dengan berbagai alasan oleh parti pemerintah, bila PR mengambil alih, PR berjaya pula selesaikan dalam tempoh ada yang tak sampai setahun.

Kesimpulannya, BN memang tak reti buat kerja, atau lembab atau tak nak selesaikan. Slogan 1Malaysia dilaksanakan secara berpilih-pilih. Gimik semata-mata.