Monday, May 26, 2008

Dia pergi jua

Kes 1
--------
Peduli apa dia pergi. Lagi bagus. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya.


Kes 2
--------
Dia ibarat melukut di tepi gantang. Adanya, tak menambah sukatan. Perginya pun tak mengurangkan sukatan.


Kes 3
--------
Aku rindu ...
Alangkah baiknya kalau ... tapi apakan daya ku ...
Doa ku, semoga cita-citanya tercapai ...

Parti Keadilan Rakyat

Antara kekuatan utama PKR adalah terletak pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kecerdikannya, karismanya, keberaniannya, strateginya.

Antara kelemahan utama PKR ialah pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hipokritnya, janjinya yang tak boleh dipegang, berdolak-dalik, tidak boleh dipercayai.

PAS pun berdolak-dalik juga tetapi tidak sampai menganiyai kawan. Cuma kadang-kadang terlepas pandang sehingga kawan berkecil hati.

Dalam perjuangan, jangan mudah ambil hati. Ingat matlamat adalah untuk Agama dan Negara tetapi bila kita merasa diri teraniaya, terpinggir, sukar untuk menghadapinya.

Artis di masjid

Biasanya, bila cakap pasal artis, kita cenderung untuk berkongsi hal-hal negatif. Kisah skandal artis, cerai berai, mabuk, dedah aurat, rantai artis lelaki dan macam-macam lagi umpatan dan kejian, tanda benci kita kepada kemungkaran. Alhamdulillah, benci kemungkaran itu tanda iman.

Tapi korang pernah tak jumpa artis kat masjid. Bukan artis nasyid atau artis akademi al-Quran. Tapi artis yang menyanyi, menari atau berlakun yang biasa dipandang daripada sudut negatif korang. Bukan sebab artis tu nak kahwin atau hadir kursus kahwin. Bukan sebab nak shooting. Tapi sebab nak solat. Tak pernah ? Tak pernah sebab artis tak pergi masjid ke atau sebab korang yang tak pernah pergi masjid ?

Dulu, pernah juga aku terlihat, arwah Mahmud Jun (semasa hayatnya lah) di Masjid Kg Baru. Selain tu ialah M.Rajoli juga di masjid yang sama. Apa khabar agaknya dia ? Sejak berita dia sakit, sekarang dah tak ada khabar berita lagi. Pernah juga dengar cerita negatif pasal M.Rajoli. Wallahua'lam.

Pagi tadi, terdengar lagu Ferhad, mengingatkan aku dengannya. Aku pernah terlihat si Ferhad ni beberapa kali hadir solat di Masjid Wilayah Persekutuan. Sekali tu di bulan Ramadhan, selepas solat Jumaat, dia beratur panjang bersama makmum lain untuk bayar zakat. Bukanlah nak puji sangat kata dia ni baik. Tapi sesekali bercerita kebaikan artis yang kita nampak, sebarkan, mudah-mudahan jadi ikutan selain menghilangkan rasa buruk sangka kita kepada mereka.

Semoga solat dapat menghindarkan kita (orang Islam) daripada perbuatan keji dan mungkar.

Wednesday, May 14, 2008

Mudahnya berjanji

Dalam pilihanraya 1982, PAS Terengganu pernah berjanji melalui manifestonya untuk menuntut royalti petrolium dinaikkan daripada 5 peratus menjadi 10 peratus. PAS gagal dalam pilihanraya itu.

Dalam pilihanraya 1999, tiada janji seperti itu tetapi PAS menang dan berjaya memerintah negeri. Malangnya, royalti petrolium bukan sahaja gagal dipertahankan pada kadar 5 peratus, sebaliknya menjadi 0 peratus. Tiada lagi royalti. Jauh sekali nak dinaikkan menjadi 10 peratus. Semua orang tahu siapa yang bertanggung jawab menjadikannya begitu. Kepentingan politik lebih utma daripada kepentingan rakyat.

Yang nak disentuh ialah mudahnya berjanji. Tapi bila nak laksanakan, barulah sedar realitinya. Halangan-halangan yang perlu ditempuhi. Ada yang perlu pindaan undang-undang. Ada yang perlu dikaji perjanjian. Ada yang perlu peruntukan besar. Ada yang perlu lihat semula bidang kuasa kerajaan negeri. Macam-macam lagi. Terpaksalah berdolak-dalik dengan rakyat. Pembangkang pula ambil kesempatan memperbesarkan isu. Tuntut ditunaikan segera janji-janji. Sebenarnya yang undi PR tak gelojoh pun minta janji ditunaikan. Sebaliknya yang undi BN pula yang beriya-iya mahu janji disegerakan.

Bila janji nak ditunaikan seperti pemberian 20 meter padu air percuma, dikatakan membazir pula. Rasuah lah. Tapi janji tetap janji. Mungkin lain kali tak boleh kata janji, tapi azam. Dalam Al-Quran ada disebut,
"Apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Allah menyukai orang yang bertawakkal." - Aali 'Imraan : 159

Dalam pada itu, ada juga yang mula mengkritik, Menteri Besar Kedah lambat membuat perubahan. Yang terbaru, Menteri Besar Selangor juga dikatakan lembab. Slow !!! Tapi kesemua MB dan KM (kecuali Kelantan) bukankah masih baru menjadi wakil rakyat. Jangan kata nak menguruskan negeri, nak uruskan kalangan wakil rakyat pun masih dalam proses belajar lagi. Janganlah gopoh dan terlalu mendesak sangat. Boleh lah push sikit. Tapi janganlah keterlaluan sampai menjatuhkan kewibawaan.

Sebuah hadis rasulullah s.a.w. bermaksud,
"Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah".

Monday, May 12, 2008

Sejarah PAS

Dalam akhbar Siasah semalam (11 Mei 2008), ada satu berita kecil mengenai usaha untuk menerbitkan buku sejarah PAS secara rasmi. Antara orang penting yang akan terlibat termasuklah Sdr. Mustaffa Ali dan Sdr. Subky Latiff. Jika usaha ini menjadi kenyataan, saya kira, ini adalah buku rasmi sejarah PAS yang diterbitkan oleh Parti itu sendiri. Sebelum ini, ada juga buku-buku yang sudah dihasilkan yang menyentuh sejarah PAS tetapi saya sendiri tak pernah membaca apatah lagi memiliki buku sebegini.

Saya pernah membuat carian di internet sahaja untuk mengetahui sejarah PAS, tidak pernah pula membuat carian di mana-mana perpustakaan. Barangkali kalau nak buat tesis atau kertas kerja, barulah nak pergi ke perpustakaan. Begitulah budaya orang Melayu kita. :)

Di internet, banyak versi yang ada. Ada yang positif, ada yang negatif. Tiada siapa yang menyunting, tiada pembaca peruf, tiada yang boleh sahkan. Saya suka baca tulisan Ibnu Hasyim di http://ibnuhasyim.blogspot.com/. Beliau banyak menulis tentang sejarah PAS.

Saya sangat menyokong usaha penerbitan sebegini. Saya pernah memberi cadangan kepada Ibnu Hasyim supaya menulis buku sejarah PAS secara serius dan tersusun. Hari ini, ramai pejuang dalam PAS lebih tahu sejarah Parti UMNO daripada Parti PAS sendiri.

Saya pernah terbaca di internet, PAS ditubuhkan oleh Tuan Hj. Ahmad Fuad setelah gagal merebut jawatan tertinggi parti dalam UMNO melawan Tunku Abdul Rahman. Alangkah buruknya, sejarah penubuhan sebuah Parti Islam. Ia berpunca daripada perebutan jawatan, kecewa, tidak dapat menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

"Haji Ahmad Fuad tidak dapat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya beliau keluar dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951, PAS ditubuhkan sebagai persatuan yang berasingan daripada UMNO. Serpihan yang bukan utusan dari hati suci dan murni, tetapi kerana kecewa. Kekecewaan telah menjadi faktor utama wujudnya parti-parti serpihan di dalam arena politik di negara ini. Serpihan-serpihan itu menyebabkan UMNO sedikit sumbing."


Tiada siapa yang dapat menjawab tuduhan dan fitnah keji tersebut. Semua anak muda PAS tak tahu nak jawab sebab semuanya jahil sejarah termasuk saya. Orang tak tahu bagaimana UMNO cari duit ketika itu. Nak kutip derma daripada ceramah ? Orang Melayu masa tu haprak (Itu kata Tun Dr. M dalam puisinya), mana ada duit. Lalu diusahakan dengan cara yang tidak syar'ie dan ini mendapat tentangan daripada Hj Ahmad Fuad daripada sayap ulama dalam UMNO.

Contoh lain, Dewan Ulama PAS dikatakan pernah mengeluarkan fatwa haram bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam seperti MCA, MIC dan lain-lain. Tetapi hari ini, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP tetapi teragak-agak bahkan bersyarat pula bila dengan UMNO. Apa nak jawab ? Fatwa PAS itu dikatakan dikeluarkan pada tahun 60an.

Masa PAS bekerjasama dalam BN pada awal 70an, tak kecoh pulak pasal fatwa ni. Hanya bila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR, barulah dibongkar fatwa ini. Tahukah kita sebelum menyertai BN, Dewan ulama PAS sudah membincangkan perkara ini?

Contoh ke 3, di dalam buku terbaru tulisan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ada ditulis, ketika dalam BN, pemimpin-pemimpin PAS tak tahu buat kerja. Mereka hanya pandai bercakap. Bahkan digunakan kesempatan dalam lawatan kerja untuk menambah keahlian parti, mengembangkan pengaruh parti. Akhirnya PAS terpaksa dsingkirkan daripada BN. Wah ! begitu sahaja. Memang tak guna punya PAS.

Berapa ramai yang tahu sejarah pahit maung PAS dalam BN ? PAS menyertai BN ketika Tun Razak menjadi PM dan disingkirkan daripada BN ketika Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan Malaysia) menjadi PM. Berapa ramai yang tahu, dulu RTM menyiarkan iklan arak di TV dan radio ? Saya suka menonton rancangan cabutan Toto di TV ketika zaman kanak-kanak. Saya begitu yakin, Loteri Kebajikan Masyarakat itu tidak haram sebab perkataan Kebajikan di situ. Majalah Utusan Filem dan Fesyen menyiarkan gambar-gambar separuh bogel artis dan model tempatan. Lebih dahsyat daripada majalah di pasaran hari ini. Cerpen dan siri novel didalamnya pula menceritakan adegan lucah.

Saya harap buku sejarah PAS dapat membongkar kembali semua sejarah pahit manis perjuangan pemimpin terdahulu PAS, bukan sekadar sejarah penubuhan PAS sahaja. Walaupun ada tokoh yang tidak lagi bersama PAS, meninggal dunia di luar PAS, namun sumbangan yang pernah dicurahkan bersama PAS perlu diketahui oleh generasi baru. Sumber rujukan tidak semestinya datang daripada mulut orang PAS sendiri tetapi juga daripada tokoh sejarah di luar PAS seperti Prof. Khoo Kay Kim dan tokoh sejarawan di universiti-universiti tempatan.

Satu lagi, saya suka juga cadangkan supaya buku-buku lama terutama mengenai PAS diarkibkan di perpustakaan PAS sebelum habis dimakan anai-anai dan bubuk. Ia boleh menjadi rujukan kepada generasi akan datang.