Monday, November 30, 2009

Piala Monsun capai matlamat

Khabarnya piala monsun yang popular di Terengganu dan di seantero dunia sebenarnya berjaya mencapai matlamat. Antaranya, pelancongan semakin pesat, hotel semakin laris, promosi negeri secara percuma di seluruh dunia yang nilainya tak terhitung. Cuma jualan keropok lekor tahun ini mungkin terjejas banyak sebab kes taun.

Saya suka mencadangkan supaya kerajaan Terengganu melobi pula untuk menganjurkan sukan powerboat. Powerboat pernah dilangsungkan di tasik Mines, di Johor dan di Putrajaya. Tahun depan, Malaysia dah dapat tawaran jadi penganjur dan akan dibuat di Putrajaya lagi.

Antara sebab sukan kapal layar tak begitu popular dikalangan rakyat ialah rakyat tak faham dengan sukan itu. Khabarnya rakyat hanya menonton tanpa memahami bagaimana kiraan markah dibuat. Siapa menang pun tak tahu. Perlumbaan dah bermula ke dah habis, pun tak tahu.

Kalau powerboat tu , rasanya senang sikit nak faham. Lagipun orang Terengganu suka dengan sukan perlumbaan ni.

Satu lagi, ada baiknya kerajaan Terengganu menyediakan gelanggang lumba motor. Tak payahlah sehebat litar sepang. Sekala, perlumbaan dilangsungkan di trek tepi pantai batu buruk. Biasanya, perlumbaan motor digemari di Terengganu. Jadi ada baiknya kerajaan membina trek khas supaya sukan perlumbaan dapat dijadikan acara tahunan di Terengganu. Boleh jadi trek gokart sekali. Anak-anak muda boleh buat perlumbaan secara mingguan atau bulanan mengikut daerah-daerah dan sebagainya.

Trek lumba motor lasak pun elok juga, scrambler misalnya. Boleh lumba basikal lasak sekali. Seingat saya, perlumbaan motor lasak memang popular di Terengganu sejak tahun-tahun akhir 70an lagi. Trek lumba kuda di lembah Bidong, bukan rakyat pergi tengok pun. Itu untuk golongan elit je.

Cuma kawasan berbumbung tu kena kukuh sikit la. Jangan runtuh cepat sangat. Lagi satu skrin TV besar kena ada la. Baru puas mata memandang.

Pembangkang jangan dok bantah pulak. Ni projek untuk anak-anak muda selain sebagai penarik pelancong, ia juga memberi imej tersendiri kepada negeri Terengganu sebagai negeri yang mahsyur dengan sukan perlumbaan. YES !!!

Giliran Tun M timbulkan cerita

Ketika media pro Umno sibuk dengan masalah dalaman PAS, menimbulkan persepsi dalam PAS, cuba merosakkan imej TGNA, cuba meningkatkan keghairahan PAS supaya menggantikan MB Kelantan; tiba-tiba TGNA membangkitkan cerita mengenai Kolonel Mat.

Maka media pro Umno pun terarah pula kepada persepsi baru, siapa Kolonel Mat. Berbagai lapisan masyarakat cuba menjadi ahli tafsir dan ahli nujum, cuba merungkai misteri Kolonel Mat.

Tiba-tiba, Tun M pula bangkitkan cerita ada bekas pemimpin kanan Umno berminat sertai PAS. Satu lagi spekulasi dan persepsi baru pasti tak dapat dielakkan, tetapi persepsi terhadap Umno dan sudah tentu juga terhadap PAS.



Anda boleh baca cerita penuh di blog Chedet

Tun M mungkin cuba alihkan perhatian media dan penyokong UMNO supaya tidak terlalu riang bersorak melihat masalah dalam PAS sedang kain sendiri koyak dan terselak tak dipedulikan.

Apa sebenarnya rahsia disebalik cerita Kolonel Mat dan bekas pemimpin kanan Umno yang sedang mengukur jarak parit yang hendak dilompat. Orang politik banyak helahnya. Ini semua mungkin strategi yang sengaja dibuka untuk ditelah dan dinukilkan secara bersama.

Ha..ha..ha..

Friday, November 27, 2009

Kelantan pasca TGNA

Media UMNO nampaknya tak sabar-sabar nak tengok TGNA meletak jawatan. Heboh diwar-warkan, TMB Kelantan kini sudah mendapat sokongan majoriti untuk menggantikan TGNA. Dengan kata lain, ia sebagai menunjukkan jalan keluar kepada TGNA.

Bila ia datang daripada musuh, sangat penting untuk kita berhati-hati. Ahmad Yaakob digambarkan sebagai seorang yang tenang, berhemah, ustaz dan tiada kontroversi. Kita tak nafikan itu semua. Cuma yang kita sudah pasti, BN tak mampu merampas Kelantan selagi TGNA menjadi MB.

Setahu saya, hak memilih MB dalam PAS adalah dipihak PAS Pusat. PAS Kelantan boleh mencadangkan nama kepada PAS pusat. Manakala kuasa perkenan dalam negeri tentulah kepada DYMM Sultan. Ia bukan kuasa TGNA sendiri.

Saya harap TGNA terus memimpin Kelantan sekurang-kurangnya hingga akhir penggal ini dan bukan meletak jawatan sebelum PRU akan datang. Cuma tugas-tugas beliau boleh diringankan sedikit demi sedikit kepada timbalan dan para exco dan usah dibebani lagi dengan serangan persepsi, khabar angin dan tohmah fitnah. Lebih menyedihkan serangan datang dari dalam kelambu sendiri, blogger, penasihat, ajk dan petugas-petugas yang tidak amanah membocorkan rahsia parti dan kerajaan negeri secara separuh benar.

Cuma saya khuatir pemimpin PAS Kelantan mula rancak mengatur strategi untuk berdepan dengan era PAS Kelantan pasca TGNA.

Wednesday, November 25, 2009

Tauliah mengajar agama dan baca khutbah

"Tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam." Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Shah Alam.


Ketika saya belajar di sebuah IPT suatu masa dulu, khatib (di masjid dalam kampus) yang menyampaikan khutbah tidak semstinya seorang ustaz. Kadang-kadang pensyarah sains komputer, kadang-kadang pensyarah pengajian tamadun Islam yang jadi khatib.

Ketika saya belajar di Kusza, kadang-kadang pelajar Kusza jadi khatib di masjid di kampung-kampung setelah mendapat kebenaran JHEAT. Bukan ada kelulusan formal lagi. Tengah belajar lagi. Yang belum dapat keputusan SPM pun boleh jadi khatib. (Ketika itu, masjid Kusza belum siap).

Yang penting, khatib boleh baca Quran dan hadith dengan lancar. Kalimah-kalimah arab disebut dengan betul. Imam-imam kampung lagi teruk bacaannya. Khutbah dalam tulisan jawi gamaknya. Selidik dibaca seledek, seberat zarrah di sebut seberat zaharah. Tapi itu di kampung, bukan bandar besar macam Shah Alam yang penduduknya berpendidikan tinggi.

Apapun, saya amat tidak setuju Ahli Parlimen tak dibenarkan menyampaikan kuliyah agama di masjid-masjid dan surau-surau. Sampaikan khutbah pun tak boleh baca. Sepatutnya wakil rakyat dibenarkan asalkan sebutannya baik dan isi penyampaiannya tidak menyesatkan. Tak kira lah dia dari parti mana. Yang penting dia Islam dan beriman. Bomba, polis dan askar pun boleh baca. Apatah lagi pensyarah. Pegawai-pegawai kerajaan pun boleh diberi tauliah sementara untuk waktu tertentu mengikut suasana dan keadaan semasa. Carilah kelainan sedikit. Zaman dah berubah. Bukan ustaz-ustaz saja yang boleh baca khutbah. Menteri dan Sultan pun boleh jika elok sebutannya.

Kalau sultan nak sampaikan khutbah atau tazkirah, macam mana ? Apa alasan nak diberi untuk diberi kebenaran atau tidak ? Tiada pendidikan formal ? Sebutan tak betul ? Ada berani ke ? Mana tahu kalau-kalau Sultan saja nak test pegawai JAIS nak tengk setakat mana ketegasan dan keberanian pegawai JAIS.

"Sebaik-baik orang adalah yang paling baik bacaan al-Qur'annya di antara mereka, orang yang paing memahami agama Allah di antara mereka, orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara mereka, orang yang paling sadar menyuruh orang kepada kebaikan, orang yang paling sadar mencegah orang lain dari kemungkaran, dan orang yang paling baik hubungan silaturrahimnya di antara mereka." (HR Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

"Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya." (Riwayat Muslim)

Doa memohon perlindungan Allah daripada wabak taun

Selain menjaga kebersihan, elok juga dihafal doa ini dan diamalkan setiap hari.
Doa ini bukan hanya untuk wabak taun tetapi untuk apa juga wabak penyakit.

Doa Elak Wabak Penyakit(2)

Tuesday, November 24, 2009

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM

Keputusan tak konsisten Nik Aziz tunjuk kelemahan Pas: TPM
PUTRAJAYA: Keputusan yang tidak konsisten Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dalam beberapa isu termasuk pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah bukti kelemahan kepimpinan Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Betul lah tu barang kali. Dalam pada lemahnya Nik Aziz, dia mampu menguruskan Kelantan selama 19 tahun. Berbagai tekanan daripada kerajaan persekutuan dan media massa dikenakan kepada Kelantan, pun begitu masih mampu bertahan malah Kelantan terus maju.

Hari ini juga, Muhyiddin minta pemimpin MCA tutup mulut. PM dan TPM terpaksa campur tangan dalam krisis MCA. Apakah ini tanda pemimpin MCA kuat, berwibawa dan dihormati ahli ? Muhyiddin patut kata campurtangan PM dalam MCA bukti kelemahan kepimpinan MCA. MCA memerlukan mursyidul am daripada UMNO, yang lebih dihormati dan disegani daripada sekelian pemimpin MCA sendiri.

RON95 rosakkan enjin ?

Minyak RON95 rosakkan enjin?
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.


Setakat ni, saya tak perasan berlaku kerosakan enjin atau tidak. Tetapi saya dapat rasakan, sejak guna RON95, kereta saya dah tak lancar macam dulu. Guna gear 5 macam gear 4 je.

Lepas tu, saya cuba tukar daripada Petronas kepada Shell (masih RON95). Sejak tukar kepada Shell, saya rasa okay sikit walaupun tak sama macam dulu. Mungkin sebab kereta saya dah 10 tahun. Jadi kesannya agak terasa. Kalau kereta baru, mungkin tak rasa sangat.

Jadi, kini saya dah jadi pengguna Shell pula. Bukan tak nak sokong produk tempatan, tapi apa boleh buat.

Thursday, November 19, 2009

Lamalagi kah keputusan siapa MB Perak ?

Mahkamah Persekutuan sudah selesai membicarakan isu siapa MB Perak yang sah. Kalau ikut logik saya, apa nak tangguh lama-lama sangat keputusan. Kita kena ingat, keputusan ini akan menjadi rujukan kepada semua kes-kes akan datang. Kalau hari ini memihak kepada PR, akan datang di tempat lain mungkin akan memihak kepada BN pula. Begitu juga sebaliknya.

Hari tu, bila mahkamah tinggi membuat keputusan memihak kepada Nizar, cepat-cepat mahkamah rayuan tangguhkan perlaksanaan keputusan dan buat keputusan yang kemudiannya memihak kepada Zambri semula.

Kalau keputusan memihak kepada Zambri, umum lah cepat-cepat. Pelabur pun tak risau nak melabur di Perak. Lain lah kalau keputusan memihak kepada Nizar. Mungkin juga nak tangguh dulu. Tunggu masalah MCA selesai dulu. Baru-baru ini, ingatkan dah selesai, rupa-rupanya makin kusut pula. Masalah MIC dan kaum India nampak macam dah okay sikit. Itu pun hanya mengikut justifikasi di Bagan Pinang semata-mata. Entah-entah hanya fatamorgana.

Kalau masalah MCA selesai, baru BN selesa nak hadapi pilihanraya. Walaupun ada kajian mengatakan prestasi dan persepsi terhadap PAS merudum, tapi ingat senang ke BN nak percaya dengan kajian-kajian sebegini. Mungkin ia cuma perangkap untuk mendesak supaya BN berani berdepan dengan pilihanraya di Perak atau di seluruh Malaysia. Sebelum PRU 2008, bukan tak ada kajian yang mengatakan BN pasti akan menang dengan majoriti 2/3 seperti biasa. Tapi keputusan sebenarnya ?

Najib dah masak dengan laporan "okay boss" ketika PRU 1999. Di Pekan, Najib nyaris bungkus ketika itu. Najib nyata lebih tangkas daripada Pak Lah, walaupun tidak selicik Mahathir.

Akhir-akhir ini, nampak ada usaha aktif untuk menaikkan semula Mahathir. Jelasnya, idea dan bantuan Mahathir diperlukan untuk mengekang Pakatan Rakyat. Ramai yang belum yakin dengan keupayaan Najib seorang. Daripada segi ekonomi pun, Najib masih gagal memulihkannya dengan cepat. Nampak terlalu perlahan.

Mahathir pula nampaknya lebih cenderung menyerang MB Kelantan dan bukan MB Kedah. Mungkin kerana TGNA dilihat ikon kuat dalam memperteguhkan PR. Ini memberi kelebihan kepada MB Kedah untuk buat kerja dan kurang berpolitik.

Buatnya selepas prk kota siputeh, PAS yang menang. Alamat lagi takutlah BN nak buat pilianraya baik di Perak mahupun PRU. Mungkin ada baiknya jika BN buat pilihanraya di Perak serentak dengan Kota Siputeh.

Friday, November 13, 2009

TG Nik Aziz tangguh hajat tunai haji

Mengkritik secara Islam

Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika ulama melantik mat rempit sebagai penasihat. Pemimpin melantik budak-budak penghantar surat sebagai tempat minta pandangan.

Semua orang boleh memberi nasihat. Semua orang wajib memberi nasihat. Semua orang berhak untuk memberi nasihat.

Saya bukan nak merendah-rendahkan golongan mat rempit atau budak-budak despatch. Mereka juga ada idea dan pandangan sendiri dari kaca mata mereka sendiri. Ia hanya sekadar contoh sahaja untuk difikir-fikirkan.

Dalam Al Quran yang menjadi sumber rujukan (petunjuk) kepada orang-orang yang bertaqwa, ada disebut supaya kita saling nasihat menasihati. Tetapi ayat itu dimulai dengan beriman dan beramal soleh. Jadi kita dianjurkan supaya beriman dan beramal soleh dahulu supaya nasihat kita menjadi lebih berkesan, bernilai dan diterima baik.

Begitu juga bila hendak lantik penasihat, mestilah yang beriman dan beramal soleh, baru mantap. Mungkinkah ada yang berkata, yang mengaku beriman pun kelentong juga, usang berbulu ayam pun ada. Yang penting, itu perintah Allah dan termaktub dalam Al Quran.

Kemudian, nasihat itu perlulah dengan cara kebenaran (kebenaran itu datang dari Allah). Juga dengan cara kesabaran. Juga dengan kasih sayang. (rujuk surah Al-Asr dan surah Al Balad) Itu kaedahnya menyampaikan nasihat kepada sesama jemaah Islam.

Yang boleh kita gunakan cara yang sedikit keras ialah kepada golongan munafik, fasik, yang terang-terang menentang Islam atau menolak Islam, lebih-lebih lagi dia mengaku Islam kerana mereka sudah dikira merosakkan imej Islam itu sendiri.

Pun begitu, kalau nak menarik orang kafir menerima Islam, tentulah cara sabar dan kasih sayang itulah yang lebih baik.

Jadi kepada yang suka beri nasihat dan kritikan, kalau guna cara maki hamun, caci cerca, ikut sedap hati je, hentikanlah. Lebih-lebih lagi yang ditegur itu adalah pemimpin kita sendiri. Menegur ibu bapa tidak boleh sama dengan menegur anak-anak, walaupun kita amalkan konsep satu Malaysia. Bukan kritikan anda tidak betul, tetapi cara anda mengkritik itu yang terang-terangan salah. Lama-kelamaan, yang dikritik pula yang mendapat simpati dan pembelaan.

Thursday, November 12, 2009

Muhyiddin terlebih pandai

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," kata Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di Alor Star.


Kuasa SPR dia tahu. Kuasa speaker dia tak tahu. Kan terbalik tu. Speaker berkuasa di DUN. TPM pun tak ada kuasa tu. Apa pula kuasa SPR ? Peruntukan mana pula menyebut SPR berkuasa memutuskan kerusi DUN kosong atau tidak ?

Dari hal menantu

Kalau di era Pak Lah, kita didedahkan dengan kebolehan luar biasa menantu geniusnya, kita juga turut didedahkan dengan penyelewengan menantu beliau. Yang menyokong memalu gendang ProKhairi dan yang menyampah + dengki memalu gendang antiKhairi.

Sehari dua ini, giliran TGNA pula diserang. Lebih malang, beliau baru keluar IJN kerana kurang sihat dan akan berangkat menunaikan haji tidak lama lagi. Dan antara serangan dibuat termasuk melalui menantunya Arif Fahmi.

Kebanyakan blog banyak menyiarkan serangan ke atas si Arif Fahmi ini sehingga tak nampak ada pihak yang tampil membelanya. Dia sendiri pun tak banyak bercakap untuk pertahankan diri. Nampak macam sungguh dia memang bersalah. Alangkah tidak adilnya jika kita terus terburu-buru menghukum begitu.

Maklumlah, dalam kes ini, yang berkonfrontasi secara berdepan ialah blogger popular Kickdefella. Blogger ini sudah punyai ramai peminat dan sahabat blogger. Sudah lama orang percaya dengan dia. Jadi bila dia kena pecat (ditamatkan perkhidmatan), ramai yang bersimpati dengannya. Ramai yang percaya dia tak bersalah. Di aniaya. Jadi mangsa.

Khabar lain yang dilaporkan, si blogger ini kerja makan gaji buta di PMBK lebih RM4 ribu sebulan.

Sebulan lepas, saya hantar proposal kepada sebuah agensi kerajaan pusat. Kosnya cuma RM5 ribu sahaja. Proposal saya ditolak sebab agensi itu tak ada duit. Saya tahu, agensi itu memang tengah tak ada duit sekarang ni. Bayangkan, projek sekecil RM5 ribu pun tak mampu nak beri, apa rasional PMBK nak bayar gaji buta RM4000 sebulan kepada blogger tersebut ? Kelantan dah banyak duit sangat ke ?

Anda boleh baca banyak maklumat lain tentang isu di PMBK di Manjungmari (sini, sini dan sini). Soal betul atau tidak maklumat itu, kenalah kita berhati-hati dan timbangkan. Cuma hati kecil saya berkata, ada yang tak kena dengan blogger Kickdefella ini.

Monday, November 09, 2009

Bohong

Pernahkah anda berbohong ? Kalau anda tak pernah berbohong, saya respek habis. Sukar untuk kita mengaku bahawa kita tak pernah berbohong.

Lihat anak-anak kecil. Si Abang pukul si adik. Bila si adik menangis, Abangnya tak mengaku dia yang buat. Paling tidak dia kata adiknya yang mula dulu walaupun itu tidak benar.

Dua beradik main kejar-kejar. Bila seorang jatuh dan menangis, dia akan kata yang sorang lagi buat.

Kita tidak pernah diajar berbohong. Kita tak suka dibohongi. Kita juga mungkin tak suka berbohong. Tetapi dalam keadaan terdesak, kita berbohong juga. Ia berlaku secara spontan. Untuk selamatkan diri.

Kadang-kadang dalam keadaan kita berperang mulut, secara tak sengaja kita berbohong, untuk menyokong cerita atau hujjah kita. Pada masa yang lain, kita sesali semula kerana kita sudah berbohong. Menokok tambah atau merahsiakan cerita sebenar.

Saya pernah buat satu kesalahan ketika zaman sekolah. Cikgu tanya, siapa yang buat. Semua tak mengaku termasuk saya. Saya sedar, saya lah yang buat. Adakah saya dikira berbohong ?

Imam Nawawi, ulama’ terkenal dalam mazhab Imam Shafie, telah menulis dalam kitab "Raudhah", dengan katanya, "Sesiapa yang telah terlibat dengan perkara buruk dan dosa, maka disunatkan kepadanya untuk menutup kesalahannya itu."

Bohong adalah salah satu sifat orang munafik. Tetapi bila kita berbohong bukan bermakna kita munafik terus. Cuma kita memiliki sifat orang munafik. Sebab itu, kita disuruh berdoa, minta dipelihara diri daripada sifat orang munafik. Dan doa itu perlu diteruskan sampai kita tua, sampai mati.

Bukan mudah nak mengelak diri daripada berbohong. Kadang-kadang, dengan anak-anak pun kita tipu. Suami tipu isteri. Isteri tipu suami. Kebanyakannya bukan dengan niat. Bukan mahu aniaya atau khianati sesiapa pun. Semata-mata untuk kepentingan sendiri saja dan hanya untuk saat itu sahaja.

Selain bohong ialah janji. Sukar untuk kita tepati janji, terutama dari segi masa. Jalan sesak, lupa, hujan, sakit, ubah fikiran. Bila kita fikir, aku tak sepatutnya teruskan perkara ini kerana keburukan lebih besar daripada kebaikan, kita jadi terpaksa ingkar janji. Apa pun alasan yang diberi, walaupun betul, hakikatnya kita sudah mungkir janji. Janji kita dah jadi tipu.

Kadang-kadang, dengan ibu bapa kita sendiri pun kita bohong. Bila dikenang semula pembohongan-pembohongan yang pernah kita buat, kita pasti rasa menyesal. Kita mungkin sudah berkali-kali memohon ampun dan maaf dengan ibu bapa kita, tetapi kita mungkin masih teringat dosa kita menipu mereka suatu ketika dulu.

Saya percaya ustaz-ustaz dan ulama-ulama juga tidak terkecuali daripada kesilapan seperti ini. Bukan mereka berniat mahu menipu sesiapa tetapi kadang-kadang, benda yang mereka kurang pasti atau ingat-ingat lupa, mereka sebut dengan penuh yakin.

Apatah lagi orang yang kerjanya banyak bercakap. Jurujual atau ahli politik, misalnya.

Abu Bakar Chik ajak debat

KUALA TERENGGANU - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mencabar pemimpin Umno bersemuka dan berdebat atas tajuk ‘siapa lebih beragama?’


Lagi-lagi debat. Saya cukup tak suka dengan debat. Orang PAS cukup suka berdebat. Dan orang UMNO pula tampak tak berapa berani dengan debat.

Bagi saya, debat bukan cara berkesan untuk menarik sokongan rakyat. Debat sudah terbukti memberi kesan yang sangat minima dalam menarik sokongan dan kepercayaan rakyat. Debat sekadar untuk menonjolkan pendebatnya dan mengaibkan lawan. Lepas debat, yang nampak lancar akan dipuji-puji. Yang mungkin nampak agak gelabah sikit, akan disindir. Tetapi yang sokong A akan tetap sokong dan puji A dan perasan B gelabah. Dan yang sokong B akan tetap sokong B dan puji B dan perasan A gelabah. Bukan nampak siapa benar siapa salah pun.

Apatah lagi tajuk debatnya nampak kelakar. "SIAPA LEBIH BERAGAMA?". Ini pun nak didebatkan ? Masing-masing nak tonjolkan diri sendiri ? Nak puji diri sendiri ? Beragama pun nak diwar-warkan ? Dihebahkan ? Apa ni ? Aku banyak solat berjemaah, aku solat tahajjud, aku banyak baca Quran, aku banyak zikir, aku banyak bina masjid, aku amalkan isi kandungan Al Quran, buktinya bla bla bla ....

Tak ada kerja lain ke ? Kita nak ungkit-ungkit kerja ibadah kita ? Nak ungkit kerja dakwah kita ? Nanti ter"reset" semua pahala amal kita. Mana perginya keikhlasan kita ?

Sudah-sudahlah Abu Bakar Chik. Carilah cara lain untuk tonjolkan diri. Dekati rakyat dengan turun padang, itukan lebih baik dan berkesan.

Saturday, November 07, 2009

Dasar tempoh jangka hayat kenderaan - Kluk klek betul

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah bersetuju supaya pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan ditarik balik setelah mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan.
- Petikan Sinar Harian 7 Nov 2009.

Ini bukan kluk klek okay. Ini menunjukkan kerajaan prihatin. Rakyat didahulukan.

Kalau yang Pak Lah buat,itu baru kluk klek. Kalau Najib buat, itu bukan kluk klek. Sebelum ini pun, Najib beriya-iya nak banteras, perangi rasuah. Lepas tu ambil bekas pemimpin yang kena tindakan disiplin sebab rasuah sebagai calon BN. Itu pun bukan kluk klek juga.

Ingat Hishamuddin kata, ROS tak akan campur hal MCA. Lepas tu ROS yang buat keputusan siapa Timbalan Presiden MCA. Dan Hishamuddin bela ROS. EGM MCA hanya wayang saja. Opera Cina saja. Ia hanya untuk hiburan saja. Dan Hishamuddin bukan kluk klek.

Kluk klek terbaru ialah TGHH, Nasharuddin Mat Isa, Hassan Ali. Kluk klek kini berada dalam PAS. Tanya Aziz Bari. Dia pakar undang-undang. Jadi dia tahu lah.

Persatuan Peguam Syariah pun kluk klek juga. Kejap minta maaf, kejap tak minta maaf. Mana satu yang betul ni.

Friday, November 06, 2009

Wahabi tak sesat tetapi ...

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.


Memang lah kita tak kata dia sesat. Masalahnya bila pihak dia yang kata kita sesat. (Saya tak merujuk kepada Dr. Maza). Inilah punca kepada kegelisahan masyarakat. Bila kita tak terima hujjah pihak dia, dia kata kita sesat. Sebab itu ramai mufti-mufti kurang senang dengan puak-puak yang dilabel dengan Wahabi ni. Antaranya termasuk mufti Perak, mufti Pahang, mufti Johor, bekas mufti Negeri Sembilan dan mungkin juga mufti Selangor.

Ada buku karangan Ustaz Rasul Dahari (ustaz wahabi) diharamkan di Johor (juga di Malaysia ?). Bila mereka mengajar, mereka dengan mudah mempengaruhi pendengar mereka dengan mengatakan orang yang buat itu ini sebagai sesat. Memang mereka ada hujjahnya, tetapi bila melabelkan orang lain sesat, itu sudah dikira memaksa orang supaya ikut fahaman dia. Sedangkan ulama lain pun ada hujjahnya juga.

Seorang imam tersohor di Saudi pernah enggan menyembahyangkan jenazah seorang ulama lain kerana ulama tersebut membolehkan sambutan maulidur rasul. Orang arab biasalah, kalau berbeza pendapat, mereka cenderung mengutuk malah menghukumkan sesat. Malangnya masyarakat di tempat kita sudah ramai yang terikut-ikut dengan cara itu termasuk yang bukan ulama. Kan parah tu ?

Thursday, November 05, 2009

Perpaduan kaum, Perpaduan Melayu dan Perpaduan Islam

Mengikut pengamatan saya, perpaduan kaum di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding sebelum PRU12 tahun lepas. Perpaduan kaum yang terbina secara tidak terancang melalui keputusan PRU12 yang memaksa PAS dan DAP berkerjasama. PAS berpakat dengan PKR dan DAP juga berpakat dengan PKR melalui pakatan yang tidak sama pada mulanya. Namun keputusan yang diluar jangkaan itu telah membulatkan tekad kedua-dua parti untuk bekerjasama.

Saya masih ingat, sebelum PRU12, penyokong-penyokong PAS di portal tranungkite.net mengata bermacam-macam kepada DAP, dan ada yang merancang jangan keluar mengundi kalau DAP yang bertanding. Sebenarnya, dalam PRU10, PAS ada pakatan secara longgar dengan DAP dan ramai penyokong PAS yang telah mengundi DAP. Cuma dalam PRU11, DAP enggan berpakat dengan PAS kerana merasa mereka rugi banyak dalam PRU10. Tambahan pula keceluparan TGHH dengan isu ubat tamat tempoh menyebabkan DAP sukar menerima PAS. Tindakan DAP nyata bijak kerana mereka kembali mendapat momentum dalam PRU11.

Selepas PRU12, DAP pusat teragak-agak untuk bersama PAS membentuk kerajaan, begitu juga dengan PAS sendiri. Atas sebab itulah barangkali, PAS bersedia berunding dengan UMNO kerana tiada tanda-tanda yang jelas, bagaimana kerajaan di beberapa negeri boleh dibentuk. Mungkin PAS Terengganu menaruh harapan untuk turut sama dapat menumpang dalam kerajaan Terengganu, jika UMNO mahu berpakat di Selangor dan Perak.

Namun keadaan menjadi berbeza kerana DAP Perak beriya-iya mahu berpakat dengan PAS dan PKR walaupun pada mulanya dibantah oleh DAP pusat. DAP Perak bersedia dihukum oleh DAP Pusat, kerana DAP Perak sudah lama berkerjasama dengan PAS Perak secara tidak rasmi. Tawaran oleh PKR Selangor pula mengajak DAP Selangor dan PAS Selangor untuk berada dalam satu kerajaan Pakatan.

DAP pusat dan PAS pusat akhirnya akur dengan desakan pimpinan negeri masing-masing, paling kuat saya kira adalah daripada Perak. Bila sudah bermulanya pakatan, masing-masing terpaksa mencari titik persamaan dan cuba melupakan perbezaan, masing-masing cuba memahami sensitiviti rakan pakatan dan mula mahu belajar mengenali budaya masing-masing. Daripada situlah, perpaduan kaum menjadi semakin muhibbah walaupun saya percaya, prasangka lama mungkin masih ada dan tidaklah hilang dengan begitu mudah dan cepat.

Hanya media UMNO sahaja yang cuba mengungkit isu perkauman supaya pakatan rakyat dapat dipecah-belahkan seberapa segera yang mungkin. Lalu timbul isu tanah rizab melayu, kampung baru, geran, peruntukan perbelanjaan, perjanjian pangkor 2, isu rumah ibadat, tanah perkuburan dan macam-macam lagi isu sensitif. Namun semuanya itu telah mempercepatkan lagi proses mematangkan pakatan rakyat, memahami masalah semasa dalam pentadbiran negeri dan isu menghormati sensitiviti kaum, agama dan budaya.

Kini kerajaan BN menggunakan slogan 1Malaysia untuk menarik semula sokongan kaum bukan Melayu kepadanya selepas menyedari isu perkauman yang cuba dibangkitkan sebelum ini lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Ketika isu perkauman cuba dibangkitkan, PKR, PAS dan DAP pula bermati-matian mempertahankan tindakan kerajaan PR dalam isu-isu sensitif dan sekaligus memperlihatkan mereka menjadi juara dalam isu tersebut, sedang BN hanya memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap mereka.

Menyentuh isu perpaduan Melayu dan perpaduan Islam, elok kita tanya diri kita, adakah orang Melayu berpecah kerana politik kerpartian semata-mata ? Sesama orang UMNO pun, berpecah-belah juga. Sesama orang PAS pun berpecah belah juga. Kalau PAS dan UMNO berkerjasama, adaka masalah perpaduan melayu dan Islam ini boleh selesai ? Dalam kes Dr. Maza pun kita dapat lihat, dalam UMNO ada yang sokong Dr. Maza dan ada yang menentangnya. Begitu juga dalam PAS. Mufti-mufti sendiri pun ramai yang mahu pengaruh mazhab Dr. Maza disekat.

Jadi masalah perpaduan melayu mungkin dilihat secara luarannya selesai jika PAS dan UMNO duduk bersama tetapi hakikatnya, bukan sahaja perpaduan melayu dan Islam tidak benar, malah perpaduan kaum mungkin jadi lebih buruk kerana satu pihak dikuasai Melayu dan Islam dan di satu pihak lagi mungkin menjadi tumpuan sokongan kaum dan agama lain.

Oleh itu, biarlah sistem dua parti ini tumbuh dahulu dan suburkan ia dengan perlembagaan sedia ada sebelum kita melihat buah yang akan dituai kemudian untuk generasi akan datang yang kemudiannya akan mencorakkannya pula. Semoga Islam turut subur bersamanya dan berkembang melalui tauhid, iman, akhlak dan taqwa yang tersemai bersama kerajaan PR atau kerajaan BN. Saya lebih suka melihat Islam berkembang melalui kekuatan ummahnya, bukan melalui kuatkuasa undang-undang dahulu, apatah lagi melalui mata pedang. Jihad kita di Malaysia hari ini ialah jihad untuk melahirkan ummah yang kuat akidahnya, luhur akhlaknya, teguh imannya dan pintar akalnya dengan ilmu yang menjadi penyuluhnya.

Sekurang2nya dua mufti sokong JAIS

Laporan dipetik drp Sinar Harian 5 Nov 2009

Asri wajar ditahan, tidak ikut undang-undang - Mufti Perak

IPOH - Kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak sepatutnya dijadikan isu dan dipertikaikan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu adalah wajar kerana bekas mufti itu secara terang-terangan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan dalam pentadbiran agama negara ini.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berperlembagaan yang memberi kuasa kepada pentadbir-pentadbir agama seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah menjalankan tugas, penangkapan terhadap mana-mana individu yang mengajar agama tanpa pentauliahan adalah wajar.

"Saya pelik kenapa orang ramai riuh rendah, termasuk orang-orang atasan yang mendukung negara. Perkara ini tak perlu jadi isu.

"Saya juga pelik kenapa Dr Mohd Asri tidak ambil berat dengan amaran yang dibuat Jais sebelum ini, tak ada tauliah memang tak boleh tapi dia tak endahkan," katanya kepada Sinar Harian semalam, mengulas isu penangkapan bekas mufti itu Selasa lalu.

Mengenai pentauliahan, Harussani berkata, semua pihak perlu akur dengan perlembagaan dan enakmen berkaitannya yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap negeri serta telah disahkan oleh raja-raja.

Menurutnya, enakmen berkenaan sudah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya terdapat kawalan dari segi penyebaran agama di setiap negeri.

"Tak ada (tauliah) memang salah, tak ada siapa pun yang berkecuali termasuk saya sendiri. Jika saya hendak berceramah di negeri lain, saya juga mohon tauliah, ibarat kita mohon lesen sama seperti bidang profesional lain yang perlu ada lesen," katanya.



Mufti Pahang sokong tindakan Jais


KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

Terengganu tiada hak menuntut royalti petrol - Najib

Kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
- Utusan Malaysia 5 Nov 2009.

Dari pada ucapan ini, jelas Najib masih menganggap Terengganu (dan Kelantan) tidak layak menerima royalti.

Harap kerajaan negeri Terengganu faham dan jangan memandai-mandai untuk menggugurkan kes saman kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan di mahkamah. Teruskan saman dan minta dipercepatkan perbicaraan.

Wednesday, November 04, 2009

1Malaysia : Terengganu dan Kelantan terima layanan berbeza

Kelantan hanya akan diberi wang ehsan, bukan royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri. Bukan ke munafik tu ?

Ketika kerajaan pusat memutuskan untuk mengembalikan royalti kepada kerajaan Terengganu (dah kembali ke belum ?), Najib dilaporkan berkata, "Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti."

Kalau dengan kerajaan Terengganu, pusat menghormati perjanjian, kenapa dengan kerajaan Kelantan, pusat enggan menghormati perjanjian ? Di mana slogan 1Malaysia ? Kenapa layanan berbeza-beza antara negeri-negeri ? Terengganu lain, Kelantan lain ? Bukankah Kelantan juga majoritinya orang Melayu ? Mana pembelaan untuk orang Melayu ?

Isu kawasan bertindih tidak boleh dijadikan alasan. Ini perjanjian antara Kelantan dengan Petronas. Yang dituntut oleh Kelantan ialah yang daripada kawasannya. Bagaimana jelasnya perjanjian antara Malaysia, petronas dan negara yang bertindih itu, begitulah juga sepatutnya bahagian yang patut diterima oleh Kelantan.

Apakah kerajaan pusat hanya mahu kembalikan hak Kelantan jika kerajaan pusat bertukar tangan daripada BN kepada PR ? Ketika itu (Insya Allah), jika kerajaan PR boleh melakukannya, apakah yang nak dijawab oleh BN ?

Ini samalah dengan banyaknya kes-kes masalah pengambilan tanah, peruntukan kanah kubur, geran yang tertangguh bertahun-tahun dengan berbagai alasan oleh parti pemerintah, bila PR mengambil alih, PR berjaya pula selesaikan dalam tempoh ada yang tak sampai setahun.

Kesimpulannya, BN memang tak reti buat kerja, atau lembab atau tak nak selesaikan. Slogan 1Malaysia dilaksanakan secara berpilih-pilih. Gimik semata-mata.

Monday, November 02, 2009

Bekas mufti ditangkap dalam majlis ilmu

Akhbar hari ini melaporkan penangkapan mantan mufti Perlis, Dr. Asri oleh JAIS. Alasan tangkapan belum begitu jelas, ada yang kata kerana tiada tauliah. Setahu saya, tauliah diperlukan kalau mengajar di masjid atau surau yang diiktiraf kerajaan negeri. Dan dalam kes di atas, Dr. Asri mengajar di rumah lamanya.

JAIS pernah tidak memberi tauliah kepada mantan mufti Selangor sendiri, Allahyarham Ishak Baharom. Bagaimanapun, beliau tetap mengajar di markaz-markaz PAS selain di rumah-rumah yang menjemput beliau. Ramai lagi ustaz-ustaz yang hebat-hebat pernah tak dapat tauliah mengajar agama. Ini termasuk Dr. Harun Din dan Ismail Kamus.

Kadang-kadang, kitapun keliru, kenapa mereka tak diberi tauliah. Apa kriterianya ? Ikut suka dia je buat kriteria sendiri, dan ubah-ubah kriteria mengikut waktu. Kalau ustaz tu memang jenis jelas sesatnya seperti mengaku rasul, tak apalah. Ini setakat masalah khilafiyah, masalah furu'.

Saya khuatir, isu di atas akan membuka ruang sekali lagi untuk syaitan meniup api prasangka, was-was dan tuduh menuduh terhadap exco agama Selangor, atau ia memang dirancang oleh pihak tertentu untuk tujuan sebegitu. Lebih menarik, Adun PAS yang dilabel tidak sebulu dengan exco agama Selangor turut bersama dalam majlis ilmu tersebut.

Ketika kita baru sahaja mendapat tahu, PM 1Malaysia mempelawa Dr. Asri untuk mengetuai YADIM dan Ketua Dewan Ulama PAS pula mempelawa Dr. Asri menyertai PAS, JAIS dilihat cuba mencetuskan satu lagi kontroversi. Apa sebenarnya muslihat JAIS ? Siapa sebenarnya di belakang isu ini ?

Sunday, November 01, 2009

Masa untuk PAS tukar pemimpin ?

Mengulas krisis PR di negeri Selangor, beliau (pensyarah politik dari Universiti Malaya, Amer Saifude Ghazali)berpendapat tindakan exco kerajaan negeri Datuk Dr Hassan Ali bersuara mengkritik tindakan jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor terhadap penjawat awam yang didakwa dimalukan ada kewajarannya, walaupun cara pesuruhjaya PAS Selangor itu mengutarakan kritikan itu dipersoalkan.


Saya setuju tu.

Saya tak ralat kalau TGHH sebagai presiden PAS digantikan tidak lama lagi. Walaupun tulisan atau ucapan beliau akhir-akhir ini jauh lebih baik dan bernas berbanding dahulu, tetapi sekali-sekala masih ada kegopohannya.

Kegagalan PAS mempertahankan Terengganu pada 2004 tidak begitu mengejutkan jika dibandingkan dengan prestasi keseluruhan PAS termasuk di Kedah dan Kelantan pada waktu itu tetapi kegagalan PAS merampas semula Terengganu pada 2008 ketika pengaruh BN merosot teruk di seluruh negara, itu amat mengecewakan.

Memang kerajaan PAS Terengganu syok sendiri, perasan sangat konon rakyat suka dengan cara mereka. Sudahlah begitu, peruntukan perbelanjaan pula terjejas teruk kerana royalti dinafikan sehingga negeri nampak daif. Kesian pun ada. Bila pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di kritik kerana negeri nampak kotor, rumput panjang tak terjaga, saya teringat dengan Terengganu ketika selepas setahun PAS memerintah.

Setakat ini, DS Azizan Razak dari Kedah memang menampakkan kelebihan yang tersendiri. Dia nampak disegani. Ada auranya. Jawapan dan reaksinya terhadap kritikan nampak sukar dimanipulasi atau dieksploitasi kawan dan lawan. Nizar belum tiba masanya lagi. Amsih terlalu awal. Insya Allah suatu hari nanti.

Hassan Ali atau Mustaffa Ali itu tak penting sangat, tapi saya secara peribadi tidak tergamak melihat TGHH dijatuhkan secara mengejut dan agak mengaibkan. Memanglah, bila sudah ada pemimpin lain yang lebih baik, tunggu apa lagi. Politik ni, kalau tunggu lama-lama sangat, orang pintas dulu.

Cuma saya khuatir, Azizan juga tak dapat memuaskan hati blogger tertentu. Cuma diharap dia tidak terlalu gopoh dan cepat melatah. Secara peribadi juga, saya rasa TGNA juga perlu digantikan dalam waktu terdekat ini. TGNA selalu sangat melatah dan mengeluarkan kenyataan yang saya rasa kurang sesuai. Namun kepimpinan PAS takut nak menegur TGNA kerana bimbang dituduh pro-UG. Bukanlah saya tidak setuju dengan beliau, tetapi beliau nampak mudah dimanipulasi lawan.

Kepada TGHH, eloklah mula merancang tarikh pengunduran dan alasan yang sesuai. Utamakanlah kepentingan parti, demi perjuangan Islam di Malaysia.