Wednesday, January 06, 2016

Kerjasama antara PAS dan UMNO


PAS dan UMNO masing-masing menunjukkan minat untuk bekerjasama. Namun mengikut pemerhatian saya, kedua-dua parti yang mendominasi sokongan orang Melayu Islam itu jelas mempunyai agenda yang berbeza.

PAS mahu kerjasama supaya urusan pentadbirannya boleh berjalan dengan lancar, terutama di negeri-negeri yang dikuasai atau di Dun/Parlimen yang dikuasai mereka mendapat keistimewaan yang hampir setara kalau pun tidak sama dengan pihak yang menguasai pentadbiran negeri/negara.

UMNO pula tampak mahu kerjasama untuk mengelakkan pertembungan pertandingan dalam pilihan raya, selain mahu supaya pakatan pembangkang menjadi retak, saling tidak percaya sekaligus memperkuatkan penguasaan mereka. Sebab itu media dikuasai UMNO memperbesarkan dan sengaja melencongkan realiti kerjasama itu supaya parti-parti yang bertahaluf dengan PAS teragak-agak mahu buat keputusan. Perlu diingat, menimbulkan rasa waswas itu kerja syaitan dan tenteranya.

Ini ditambah pula dengan kelemahan pihak PAS dalam menangani persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh lawan dan lawan yang mahu dibuat kawan.

Pun begitu, ada juga dalam PAS yang nampak begitu bersungguh-sungguh bersangka baik dengan UMNO. Pihak ini dilihat sebagai masih baru dalam PAS atau masih mentah walaupun berkelulusan tinggi tetapi nampak disukai oleh kelompok tertentu dek imej yang mempesonakan.

Selain itu, wujud juga pihak ketiga yang mahu kerjasama itu berlangsung. Pihak ini pula mempunyai cita-cita lain iaitu mahu orang Melayu Islam bersatu, menghentikan segala tuduh menuduh, kata mengata, saling memberi pandangan dan tiada lagi sengketa politik antara kedua musuh politik itu.

Bagi saya, pihak ini kurang memahami muslihat politik atau buat-buat tak faham atau enggan memahami perangai orang politik. Mereka terlalu jujur sehingga memberi pandangan seolah-olah begitu mudah dan cantiknya pandangan dan idea mereka sedangkan dalam dunia politik, sesama pemimpin parti pun saling menjatuhkan. Bila sudah dijatuhkan, dendam tak mudah terpadam dalam tempoh terdekat kecuali wujud elemen kepura-puraan.

UMNO mahu bekerjasama dengan PAS ketika UMNO sendiri retak manakala PAS pula baru putus kasih.

AMANAH setakat ini belum menunjukkan kesungguhan dalam perjuangan Islam. Tiada isu besar Islam yang dijaja setakat ini kecuali isu2 yang juga disebut oleh PKR dan DAP.

Belum ada program yang boleh memberi imej Islam yang kuat dan mahu diperkuatkan oleh AMANAH. Bagi saya, AMANAH belum ada identiti sendiri atau belum ada imej sendiri. Imej mereka masih kabur.

Ketika PAS dan PKR masih tinggal sebumbung, AMANAH seolah2 mahu mencuri perhatian PKR. Umpama seorang wanita yang baru merampas suami orang, mahu si suami itu memberi hak kepadanya dan jangan peduli sangat dengan isteri pertama. Malah kadang-kadang terlihat isteri baru mahu si suami lebih tegas dan buat keputusan berani,  berpisah terus dengan isteri pertama. Tentu kita boleh memahami betapa dendam dan sakitnya hati isteri pertama itu apatah lagi isteri baru itu sebenarnya kawan baik isteri pertama, satu ketika lalu. Hmmmm.... boleh ke saya buat perbandingan macam tu. Ha..ha..ha...