Selepas membaca beberapa artikel dan pandangan mengenai penjelasan terhadap terma "Islam Hadhari", saya berpendapat bahawa istilah "Islam Hadhari" itu sangat mengelirukan sehingga menyebabkan timbul salah faham, kekeliruan dalam masyarakat baik masyarakat Islam, apatah lagi masyarakat bukan Islam.
Usah disalahkan golongan yang menentangnya kerana sememangnya jika dilihat daripada segi bahasa, istilah itu janggal, nampak mengelirukan dan jika ditanya para Imam-imam yang menyokong pun, pasti ada yang gagal menjawab dengan baik apatah lagi dengan tepat. Nampaknya, slogan "Membangun Bersama Islam" lebih mudah difahami semua lapisan masyarakat, tidak menimbulkan polemik dan mudah diterima masyarakat.
Baca saja buku tulisan Tuan Guru Dato' Hj Abdul Hadi Awang dan anda pasti memahami kenapa parti pembangkang itu beriya-iya menentang "Islam Hadhari".
Daripada segi perlaksanaan pula, Islam Hadhari jelas begitu lemah. Tampak seolah-olah Islam Hadhari hanya satu gimik kerajaan untuk menarik sokongan golongan yang cintakan Islam untuk menyokong parti yang menunjangi kerajaan. Lihat sahaja majlis-majlis hiburan yang dipenuhi maksiat bukan cuba untuk dielakkan, malah diberi pula sokongan. Setidak-tidaknya, jika kerajaan tidak dapat menghalang majlis yang menyuburkan budaya hedonisme itu berlangsung, janganlah pula turut melabur secara langsung dalam majlis sebegitu. Tidakkah ianya bertentangan dengan prinsip pertama (Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi), ketiga (Rakyat berjiwa merdeka) dan kelapan (Keutuhan budaya dan moral) daripada 10 prinsip asas pendekatan Islam Hadhari ?
Jika kerajaan pula yang menjadi penganjurnya, tentu lebih mudah untuk mencorakkan majlis tersebut supaya selaras dengan prinsip Islam Hadhari. Malangnya, majlis anjuran kerajaan sendiri dihiasi tarian wanita mendedahkan aurat (bukan sekadar terdedah malah seksi pula), terkinja-kinja, terlompat-lompat dikhalayak umum. Dalam majlis sebegini berlangsung, tiada siapa cuba sebut Islam Hadhari kerana ia pasti pedas untuk didengar.
Fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment