Wednesday, March 09, 2016

Undi tidak percaya MB Terengganu


Undi tidak percaya kepada MB Terengganu yang dibuat secara tiba2 dan tidak dirancang dengan sesiapa kecuali Adun Kijal sendiri sukar diterima oleh rakyat Terengganu.

Reaksi rakyat Terengganu, Razif perlu diberi peluang hingga habis penggalnya. Saya sendiri tidak tahu apa isu besar yang boleh dijadikan alasan kukuh untuk menyingkirkan Razif.

Ia berbeza dengan Najib Razak yang sememang nya diselubungi banyak isu. Bukanlah bermakna MB Terengganu hari ini tiada cacat cela. Tetapi menukar seorang pemimpin perlu ada alasan yang kuat. Ia berbeza dengan ketika Ahmad Said hendak ditukar dulu. MB Ahmad Said tidak begitu digemari kawan dan lawan. Ikut kepala sendiri saja.

Langkah PAS tidak terburu2 menunjukan sokongan terbuka dan mengambil kesempatan adalah baik. Saya khuatir jika PAS gelojoh menunjukkan sokongan, ia akan memberi impak negatif kepada parti itu sendiri kerana sentimen rakyat Terengganu juga perlu diambil kira.

Apa guna PAS berkuasa tiba2 tetapi kerajaan yang dibentuk adalah sebuah kerajaan yang rapuh, tidak stabil. PAS sudah ada rekod di Perak yang wajar diambil pengajaran. Gelojoh menerima Adun lompat parti, akhirnya kerajaan Pakatan Rakyat di situ tumbang. Memalukan. Mengaibkan. Dan lebih memalukan ialah MB nya orang PAS. Kegagalan banyak dipalitkan kepada PAS walaupun yang buat pasal ialah Adun PKR dan DAP.

Menukar sebuah kerajaan perlu dibuat secara lebih berhati2, dan bukan dengan emosi semata2. Saya hanya nampak elemen hasad dengki sahaja di situ. Ia sangat tidak wajar. Menyokong pihak yang berdengki tidak akan membawa barakah kepada perjuangan.

Syabas Adun Terengganu. Syabas rakyat Terengganu. Biar orang luar sinis dan sibuk memperli kita. Kita berhak tentukan kerajaan dan politik negeri kita demi anak cucu kita.

No comments: