Tuesday, October 26, 2004

Linux Live CD

Hari ni, aku nak bercerita pasal dunia IT pula.

Aku memang suka mencuba Linux. Dah banyak produk aku cuba, antaranya Mandrake (sejak versi 6.0 hingga yang terakhir versi 10.0), Redhat (versi 8.0 hingga Fedora 2), Slackware 10 dan Linux Live CD. Semuanya aku dapat dengan download melalui internet. Kedua-dua komputer aku (di rumah dan di pejabat) kini diinstall dengan Slackware 10. Masalahnya, aku tak ada broadband line di rumah. Dial-up pun guna internal modem menyebabkan aku tak dapat guna Linux sepenuhnya di rumah.

Linux Live-CD yang aku dah cuba temasuklah Slax 4.1.2 hingga yang terbaru 4.2.0, Suse 9.1, Knoppix 3.4 dan 3.6, PCLinuxOS P7, Linspire 4.5, Morphix, Mepis, Aurox, Gnoppix dan ntah apa-apa lagi. Yang paling menarik bagi aku ialah Slax, Knoppix, Suse, PCLinuxOS dan Linspire.

Selain daripada Linux Live-CD, aku juga memiliki Ultimate Boot CD (UBCD) dan Recovery Is Possible (RIP CD). Yang terbaru ialah Windows XP UBCD atau WinUBCD yang aku buat sendiri.

Aku suka simpan Live CD sebab aku boleh gunakan mana-mana komputer tanpa perlu log in. Tak perlu tahu password orang walau pun aku boleh crack password dia orang. he..he..he..

Okey, berbalik kepada Linux Live-CD, Slax paling aku suka. Sebab ia kecil. Aku simpan dalam mini CDRW. Simpan dalam poket dan bawa kemana-mana. Sebab Slax lah, aku kini guna Slackware. Versi 4.1.2 tiada masalah. Versi 4.1.3 dan 4.1.4 tak dapat digunakan dengan lancar di komputer pejabat. Macam-macam masalah. Kini, dengan versi 4.2.0, semua nya okey. Slax cukup simple dan "looks very nice". Walaupun tiada OpenOffice, ia mempunyai KOffice. Internet browser hanya dengan Konqueror dan aku boleh baca Quran PDF dengan KPdf. (Quran PDF tak boleh dibaca dalam versi Slax terdahulu).

Knoppix cukup cemerlang. Tiada masalah baik di rumah mahupun di pejabat dan beberapa tempat lain yang aku cuba. Wallpaper nya kurang cantik. Tetapi proses booting lebih laju berbanding Slax. Ia turut mengandungi Open Office yang tiada pada Slax. Ia lebih "complete" berbanding Slax. Cuma ia guna CD bersaiz biasa yang agak besar, tak boleh simpan dalam poket.

PCLinuxOS, agak lembab masa booting. Lebih cantik dan mesra pengguna ("user friendly"). Ada Mozilla Firebird. Tetapi tak boleh simpan konfigurasi ("save configuration"). Oleh kerana rangkaian komputer di pejabat tidak menggunakan DHCP, aku terpaksa "set configuration" setiap kali hendak menggunakannya. Letih la macam ni. Macam Slax dan Knoppix kan senang.

Suse pun cantik. Tapi aku tak boleh akses USB drive, tak boleh simpan konfigurasi dan tak dapat detect USB mouse secara automatik. Kena "configure manually" lah pulak. Versi 9.2 dah keluar, tapi belum sempat download.

Linspire boleh start di komputer rumah tetapi gagal di pejabat. Entah dimana silapnya, aku pun tak tahu. Linspire pun cantik, ada Real Player lagi. Kalau komputer rumah boleh akses internet, tentu aku guna Linspire Live-CD di rumah.

Yang lain, aku dah cuba tetapi gagal. Semua tak dapat start-up.
Aku malas nak check kenapa gagal sebab aku dah puas hati dengan 5 yang paling menarik bagi aku.

Kalau sesiapa nak kongsi CD ke, nak salin ke ("copy" lah tu), dipersilakan. Pandangan anda mungkin berbeza daripada aku. Jadi, kenapa tak mencuba sendiri. Komputer anda takkan rosak-apa-apa.

Friday, October 22, 2004

Sekolah Agama Rakyat (SAR)

Laporan Malaysiakini menyebut bahawa Gerakan Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (GEGAR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil langkah-langkah segera untuk menyalurkan semula bantuan kewangan kerajaan kepada semua sekolah agama rakyat (SAR).


Berikut adalah beberapa petikan daripada laporan tersebut.




Gegar turut menggesa Abdullah supaya menarik balik keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberhentikan bantuan kewangan kepada SAR.
 
Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata Perdana Menteri hendaklah tidak teragak-agak untuk berbuat demikian kerana bantuan kewangan tersebut diperlukan oleh lebih 400,000 pelajar SAR sekarang.

Sekolah agama rakyat swasta ini menjadi kontroversi apabila kerajaan sewaktu pimpinan Mahathir, telah memberhentikan bantuan kewangan tahunan antara RM60 hingga RM150 bagi setiap pelajarnya pada Oktober 2002.

Tindakan keras itu diambil selepas Mahathir mendakwa para pelajar SAR, sebahagian besarnya dikaitkan dengan PAS, diajar di sekolah tersebut supaya membenci kerajaan.
Baru-baru ini di Parlimen, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa pihaknya tidak merancang untuk menyambung semula bantuan kewangan kepada SAR.


Pertambahan pelajar


Ahmad Tarmizi juga berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan
sekarang memandangkan jumlah pelajar yang mendafar di SAR telah meningkat semula, dan ianya dijangka semakin bertambah tahun depan.

“Kami menjangka pertambahan pelajar sebanyak 20-30 peratus tahun depan kerana ramai ibu bapa masih percaya bahawa pembelajaran agama di SAR lebih baik daripada sekolah kebangsaan,” katanya. Menurutnya lagi, permintaan terhadap SAR semakin meningkat sejak tahun lalu selepas tiada lagi kempen memburuk-burukkan sekolah berkenaan.


Laporan awam


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi turut menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan secepat mungkin hasil laporan jawatankuasa khas mengenai SAR. “Kami mahu tahu jika cadangan yang kami buat kepada jawatankuasa tersebut diterima tau tidak. Tidak elok membiarkan isu tersebut terumbang-ambing begitu sahaja,” katanya.
Manakala pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Murad Mohd Nor, ketika dihubungi malaysia, berkata laporan akhirnya telahpun dikemukakan kepada Abdullah kira-kira sebulan lalu.



SAR adalah warisan tradisi ilmu masyarakat Islam Malaysia suatu masa dahulu. Warisan ini perlu dipulihara dan dipertingkatkan kualitinya bagi memenuhi tuntutan semasa.


Agak sukar untuk kita mengulas panjang kerana laporan jawatankuasa khas belum diumumkan. Namun saya percaya, laporan itu sepatutnya mempunyai cadangan bukan untuk mematikan terus SAR tetapi memberi nafas baru supaya simbol sekolah tradisi Islam itu bukan sahaja terpelihara tetapi kembali dihormati oleh masyarakat. Soal ia akan menjadi saingan kepada sekolah kebangsaan tidak seharusnya berbangkit kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri dan tidak bertentangan dengan  undang-undang dan matlamat negara malah sepatutnya mampu meningkatkan kualiti masyarakat (Islam khususnya) di Malaysia, sekaligus mampu menjana cita-cita Islam Hadhari.


Jika sekolah jenis kebangsaan Cina boleh dikekalkan dan dimartabatkan di Malaysia sehingga ia ada yang menjadi pilihan golongan bangsawan Cina, kenapa tidak dengan SAR ? Bantuan tidak seharusnya diberikan dalam bentuk wang ringgit sahaja tetapi idea dan komitmen yang lebih amatlah penting.


Mungkin ramai yang menyangka lulusan SAR hanya layak jadi pensyarah, ustaz, imam dan bilal sahaja. Jika lulusan Sekolah Agama kelolaan Kementerian Pendidikan (SAP) atau lulusan Sekolah Agama Negeri (SAN) mampu menjadi jurutera, pakar komputer, pengarah syarikat, peguam, pegawai kerajaan dan sebagainya, mengapa tidak dengan lulusan SAR ?


Sebab itulah, adalah amat penting sukatan pelajaran di SAR dan halatuju masa depan pelajarnya perlu dikaji dan diberi perhatian. Penglibatan pengusaha SAR sendiri tidak boleh diketepikan disamping lulusan SAR yang telah berjaya kini dan semua ini tentulah memerlukan peruntukan kewangan yang banyak.


Semoga kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan yang tidak tepat sebagaimana yang telah dibuat oleh pimpinan terdahulu.


Wednesday, October 20, 2004

Ingat 5 perkara sebelum tiba 5 perkara

Alhamdulillah, hari ini kita masih bernafas, sempat berpuasa lagi, masih sihat lagi, masih kuat lagi, masih beriman lagi.

Aku termenung sejenak bila teringat seorang sahabat yang kini di wad Urologi & Nefrologi HKL, terlantar sakit akibat kegagalan buah pinggang untuk berfungsi. Sahabat yang dulu sama-sama ke masjid, sama-sama makan nasi kandar, sama-sama bergelak ketawa, sama-sama bergaduh pasal kerja. Hanya doa dapat ku sedekahkan untuk beliau yang kini berjawatan Timbalan Pengarah di sebuah agensi kerajaan.

Teringat semasa belajar di UTM KL, seorang pensyarah yang bercuti panjang kerana sakit. Sebaik kembali mengajar, beliau mengingatkan para pelajarnya tentang hadith Rasulullah s.a.w., "Ingatlah kamu akan 5 perkara sebelum tiba 5 perkara, masa sihat mu sebelum tiba sakit, masa muda mu sebelum tiba masa tua mu, masa senang mu sebelum tiba masa susah mu, masa lapang mu sebelum tiba masa sempitmu, masa hidup mu sebelum tiba mati mu."

Semoga dunia dan isinya tidak melalaikan aku.