Friday, October 22, 2004

Sekolah Agama Rakyat (SAR)

Laporan Malaysiakini menyebut bahawa Gerakan Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (GEGAR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil langkah-langkah segera untuk menyalurkan semula bantuan kewangan kerajaan kepada semua sekolah agama rakyat (SAR).


Berikut adalah beberapa petikan daripada laporan tersebut.




Gegar turut menggesa Abdullah supaya menarik balik keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberhentikan bantuan kewangan kepada SAR.
 
Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata Perdana Menteri hendaklah tidak teragak-agak untuk berbuat demikian kerana bantuan kewangan tersebut diperlukan oleh lebih 400,000 pelajar SAR sekarang.

Sekolah agama rakyat swasta ini menjadi kontroversi apabila kerajaan sewaktu pimpinan Mahathir, telah memberhentikan bantuan kewangan tahunan antara RM60 hingga RM150 bagi setiap pelajarnya pada Oktober 2002.

Tindakan keras itu diambil selepas Mahathir mendakwa para pelajar SAR, sebahagian besarnya dikaitkan dengan PAS, diajar di sekolah tersebut supaya membenci kerajaan.
Baru-baru ini di Parlimen, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa pihaknya tidak merancang untuk menyambung semula bantuan kewangan kepada SAR.


Pertambahan pelajar


Ahmad Tarmizi juga berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan
sekarang memandangkan jumlah pelajar yang mendafar di SAR telah meningkat semula, dan ianya dijangka semakin bertambah tahun depan.

“Kami menjangka pertambahan pelajar sebanyak 20-30 peratus tahun depan kerana ramai ibu bapa masih percaya bahawa pembelajaran agama di SAR lebih baik daripada sekolah kebangsaan,” katanya. Menurutnya lagi, permintaan terhadap SAR semakin meningkat sejak tahun lalu selepas tiada lagi kempen memburuk-burukkan sekolah berkenaan.


Laporan awam


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi turut menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan secepat mungkin hasil laporan jawatankuasa khas mengenai SAR. “Kami mahu tahu jika cadangan yang kami buat kepada jawatankuasa tersebut diterima tau tidak. Tidak elok membiarkan isu tersebut terumbang-ambing begitu sahaja,” katanya.
Manakala pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Murad Mohd Nor, ketika dihubungi malaysia, berkata laporan akhirnya telahpun dikemukakan kepada Abdullah kira-kira sebulan lalu.



SAR adalah warisan tradisi ilmu masyarakat Islam Malaysia suatu masa dahulu. Warisan ini perlu dipulihara dan dipertingkatkan kualitinya bagi memenuhi tuntutan semasa.


Agak sukar untuk kita mengulas panjang kerana laporan jawatankuasa khas belum diumumkan. Namun saya percaya, laporan itu sepatutnya mempunyai cadangan bukan untuk mematikan terus SAR tetapi memberi nafas baru supaya simbol sekolah tradisi Islam itu bukan sahaja terpelihara tetapi kembali dihormati oleh masyarakat. Soal ia akan menjadi saingan kepada sekolah kebangsaan tidak seharusnya berbangkit kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri dan tidak bertentangan dengan  undang-undang dan matlamat negara malah sepatutnya mampu meningkatkan kualiti masyarakat (Islam khususnya) di Malaysia, sekaligus mampu menjana cita-cita Islam Hadhari.


Jika sekolah jenis kebangsaan Cina boleh dikekalkan dan dimartabatkan di Malaysia sehingga ia ada yang menjadi pilihan golongan bangsawan Cina, kenapa tidak dengan SAR ? Bantuan tidak seharusnya diberikan dalam bentuk wang ringgit sahaja tetapi idea dan komitmen yang lebih amatlah penting.


Mungkin ramai yang menyangka lulusan SAR hanya layak jadi pensyarah, ustaz, imam dan bilal sahaja. Jika lulusan Sekolah Agama kelolaan Kementerian Pendidikan (SAP) atau lulusan Sekolah Agama Negeri (SAN) mampu menjadi jurutera, pakar komputer, pengarah syarikat, peguam, pegawai kerajaan dan sebagainya, mengapa tidak dengan lulusan SAR ?


Sebab itulah, adalah amat penting sukatan pelajaran di SAR dan halatuju masa depan pelajarnya perlu dikaji dan diberi perhatian. Penglibatan pengusaha SAR sendiri tidak boleh diketepikan disamping lulusan SAR yang telah berjaya kini dan semua ini tentulah memerlukan peruntukan kewangan yang banyak.


Semoga kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan yang tidak tepat sebagaimana yang telah dibuat oleh pimpinan terdahulu.


No comments: