Perkara ini sudah dibangkitkan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah ketika berucap dalam seminar Legasi Tun Razak baru-baru ini. Kebetulan aku sudah membaca transkrip ucapan beliau.
Berikut aku petik sebahagian ucapan beliau.
Kaum Cina nampaknya tidak berpecah. Walaupun mereka mempunyai tiga atau lebih parti politik, mereka bersatu apabila menghadapi kepentingan bersama bangsa mereka, misalnya kepentingan budaya, kepentingan bahasa, pendidikan, ekonomi dan kepentingan politik mereka. Apa-apa desakan atau tuntutan yang tidak dapat disuarakan secara terus terang oleh parti Cina dalam Barisan Nasional, tuntutan itu akan dilancarkan oleh parti Cina yang lain, misalnya Parti DAP, atau oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina, iaitu Dong Ziao Jong yang cukup besar dan berpengaruh, disegani atau ditakuti oleh parti MCA, Gerakan dan DAP. Tidak ada parti politik Cina yang berani menggertak atau mencegah NGO Cina daripada bersuara menentang atau mengkritik kerajaan atau menuntut itu dan ini daripada kerajaan. Sebaliknya, UMNO atau kerajaan
sering mencurigai atau tidak menyokong gerakan NGO Melayu atau golongan pemikir dan aktivis Melayu yang dianggap agak kritis terhadap kerajaan atau yang menegur kerajaan atau cuba bersuara untuk membela kepentingan bangsa Melayu. Sebagai contoh, saya mendapat maklumat (dan banyak orang sudah mengetahuinya) bahawa apabila kumpulan NGO budaya, bahasa dan sastera Melayu di bawah pakatan GAPENA (Gabungan Persekutuan Persatuan Penulis Nasional ) cuba menganjurkan Kongres Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Melayu ke-VII baru-baru ini, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), mereka telah menghadapi pelbagai rintangan dan masalah. Tidak ada menteri yang sanggup merasmikan Kongres yang saya anggap merupakan agenda Melayu yang cukup penting. Kita seolah-olah sudah mulai takut untuk bercakap tentang kepentingan dan hak Melayu, takut untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, takut untuk menegur kelemahan pemimpin.
No comments:
Post a Comment