Friday, November 16, 2007

Kenyataan rasmi Istana Negara

Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong satu perhimpunan haram di sini Sabtu lepas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan hari ini, Seri Paduka Baginda juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan itu yang dianjurkan oleh satu kumpulan dikenali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang disokong parti-parti pembangkang.

Dalam kenyataan itu, Tuanku Mizan menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa jua memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan haram itu dan apa-apa jua kegiatan lain yang berkaitan yang menyalahi undang-undang negara.

Sabtu lepas, BERSIH yang disertai oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang mengumpulkan penyokong-penyokongnya di beberapa tempat di sekitar ibu kota termasuk Jalan Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lepas, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata dalam satu kenyataan bahawa BERSIH mengambil keputusan menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong setelah Tuanku sendiri memberikan perkenan Baginda, dan kehadiran BERSIH ke Istana Negara pada hari Sabtu itu, adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil Baginda.



Molek sangat lah istana negara keluarkan kenyataan rasmi. Pembangkang pun dah cuba ambil kesempatan mengeksploitasi pihak istana seolah-olah istana merestui tindakan mereka. Meluat juga aku. Walaupun aku tidak pernah puas hati dengan ketelusan SPR, tapi sikap pembangkang pun bukan aku setuju sangat. Semuanya atas kepentingan politik masing-masing. Pembangkang dan Kerajaan = 2 x 5.

No comments: