Dalam usaha memperkasakan dan memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan Malaysia, sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa perpaduan dan sebagai bahasa yang sentiasa relevan sepanjang zaman, badan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanah rakyat ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP sekali lagi dikritik dangan kritikan yang agak keras dan keterlaluan.
Semua orang yang prihatin dengan perkembangan bahasa dan kesusasteraan melayu sebenarnya tahu tugas dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh DBP sejak dahulu sehingga kini. Hanya orang yang tidak ambil tahu sahaja yang tidak nampak fungsi dan usaha DBP itu kerana mereka selama ini tidak peduli pun dengan perkembangan bahasa melayu. Program-program yang dianjurkan tidak diberi perhatian dan tidak mendapat sokongan pun daripada orang yang tiba-tiba pada hari ini mahu bercakap tentang memartabatkan semula bahasa melayu.
Jaguh politik melayu mahu dilihat sebagai pihak yang lantang memperjuangkan bahasa melayu walhal selama ini, mereka lah yang menunjukkan sikap dan perasaan tidak yakin dengan keupayaan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa teknologi, bahasa sains, bahasa perniagaan, bahasa undang-undang dan bahasa komunikasi.
Kelemahan DBP pada hari ini adalah kerana usaha DBP tidak dipedulikan. Teguran DBP diperlekehkan. Bantahan DBP dibakul sampahkan. Walaupun usaha, teguran dan bantahan itu mendapat sokongan pakar bahasa. DBP dianggap menolak kemajuan atau tidak dapat berpijak di bumi nyata, dunia siber alaf baru yang hanya boleh dikejar dengan bahasa Inggeris sahaja atau mungkin mereka lebih tahu dan lebih bijak dalam soal bahasa.
Kalau kita masih ingat, suatu ketika isu KECAPAIAN yang menjadi tema hari kebangsaan pada tahun 90an mendedahkan betapa keegoan ahli politik tidak boleh ditegur dan dibantah oleh mana-mana pakar bahasa pun. Bila ada pihak tergesa-gesa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan matematik tanpa kajian yang mendalam, sekali lagi pandangan pakar bahasa dinafikan. Tidak hairanlah rakyat ghairah menggunakan bahasa rojak kerana perasan bahasa yang bercampur dengan inggeris menunjukkan pemikiran yang maju dan moden seolah-olah bahasa kita terlalu sedikit perbendaharaan katanya.
Jelaslah, DBP lemah bukan kerana pemimpin di dalamnya yang kehabisan idea tetapi keegoan dan keghairahan pemimpin yang berkuasa dan yang mahu menjadi jaguh memijak-mijak dan meremehkan usaha dan teguran DBP. Tanyalah diri sendiri apa usaha anda dalam memartabatkan bahasa melayu selama ini ? Apa karya dan produk DBP yang anda sokong dan cuba bantu memperkembangkannya ? Yang penting, bukan sokongan yang datang sekali sekala atau bermusim, tetapi sokongan yang berterusan setiap hari, bulan dan tahun.
No comments:
Post a Comment