Thursday, June 18, 2009

Isu kerajaan perpaduan

Entah kenapa, akhir-akhir ini, TG Nik Aziz semakin kuat melatah. Kenapa TGNA perlu beri respon kepada media massa sebelum duduk berbincang dengan TG Hadi Awang dan Ustaz Nasha ? Saya tak pernah dengar pihak yang menyokong idea kerajaan perpaduan menghentam pihak yang menentang secara sinis atau peribadi. Ustaz Nasha, TGHA, Mustapha Ali, Harun Taib, Hassan Ali tak pernah menyindir secara tebuka, merendah-rendahkan atau menghentam melalui media.

Sepatutnya, masing-masing bersikap tebuka dan bijak mengemukakan pandangan masing-masing, bukan menghentam, mengecam dan mengancam apatah lagi melalui media. Saya lihat, TGNA seperti terperangkap dengan jerat UMNO melalui umpan mereka, media dan wartawan.

Saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah bagus tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan buat masa ini. UMNO sendiri akan menolak idea ini kerana merasakan mereka masih kuat dan sukar untuk berbagi kuasa dengan komponen PR terutama PKR dan DAP.

Idea kerajaan perpaduan tidak sama langsung dengan isu perpaduan melayu. Ia bukan kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO seperti yang difahami oleh mufti Perak. Ia antara semua parti politik di Malaysia yang menang dalam pilihanraya.

Seperti kata TGHA, ia adalah satu lontaran idea (untuk difikirkan, dibincang, dibahas, dikritik, disesuaikan mengikut kesesuaian dan keperluan masyarakat di Malaysia). Kenapa cepat sangat nak tutup mata dan telinga ? Kenapa cepat sangat nak tutup minda daripada berfikir ? Kenapa susah nak percaya kepada TGHA berbanding dengan prasangka dalam hati ? Berapa kali dah kena tipu dengan TGHA berbanding pemimpin politik lain termasuk Anwar Ibrahim ? Saya lihat, Anwar Ibrahim sendiripun lebih cermat dan tidak melulu, meracau atau meraban dengan idea kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan bukan hanya untuk orang melayu. Ia adalah satu konsep baru atau sistem baru dalam pembentukan sebuah kerajaan di Malaysia. Saya faham, mungkin ramai yang bimbang TGHA jadi macam Datuk Asri atau Nakhaie Ahmad. Tapi saya yakin, TGHA tidak berpemikiran seperti itu.

Saya rasa, idea ini belum boleh diterima buat masa ini kerana masing-masing sudah faham mengikut kefahaman masing-masing disamping memiliki rasa curiga, syak wasangka, prejudis dan buruk sangka. Di saat PR sudah semakin hampir memotong BN dalam perlumbaan, tiba-tiba muncul pula idea ini yang dirasakan akan mengganggu tumpuan dan kerjasama yang baru dijalin.

Tawaran Shahrizat kepada musimat PAS untuk bincang isu perpaduan tak sama langsung atau tak ada kena mengena langsung dengan idea dan konsep kerajaan perpaduan. Itu mengikut kefahaman saya.

Apapun,saya menyokong idea Tuan Guru Hadi Awang ini.

No comments: