Suasana sedih dan susah bukan sahaja dialami oleh mangsa banjir malah juga pihak yang berusaha memberi bantuan.
Suasana kini sudah jauh berbeza dengan dulu. Dulu, banjir kadang2 dianggap sebagai pesta air. Tempat yang banjir biasanya adalah kawasan yang memang setiap tahun dilanda banjir. Ini memboehkan penduduk dan pihak berkuasa boleh menganggar persiapan yang sesuai.
Kini, hampir semua penduduk dalam keadaan tidak bersedia. Kerana yakin kawasan mereka tidak akan dilanda banjir kerana air tidak pernah melimpah depan rumah, mereka tidak membuat persediaan asas.
Saya kira pihak berkuasa perlu sentiasa mengkaji dan menilai setiap tahun, apakah langkah yang boleh dipertingkatkan untuk memperbaiki persiapan menghadapi banjir.
Sejak tahun 70an, kerajaan mengumumkan bersiap sedia menghadapi banjir. Tetapi setiap kali banjir, keadaan menjadi luar jangka hingga kelam kabut.
1. Persiapan sepatutnya merangkumi kepada usaha pencegahan punca kejadian banjir. Alasan hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang lama memang betul tetapi apakah usaha berdepan dengan keadaan itu ? Tak kan setiap tahun itu je alasan nya dan kita redha saja tanpa langkah bersedia ?
Longkang, perparitan, sungai, pembalakan di kawasan pedalaman; semuanya menyumbang ke arah bajir besar.
2. Persiapan pihak yang bersiap siaga untuk membantu, sukarelawan terlibat; semuanya perlu dalam senarai dan cuba selaraskan supaya bantuan disalurkan seimbang antara setiap kawasan terlibat. Pangkalan data ini perlu dikemaskini dan semua pihak terlibat dialert agar bersedia kerana apabila banjir luar biasa, kita bersedia dengan kekuatan yang boleh ditambah pada bila2 masa.
3. Pusat pemindahan juga perlu dibekalkan dengan kelengkapan yang lebih sesuai dengan keadaan semasa. Suasana seperti tahun 80an sudah tidak sesuai lagi. Selimut, futon dan khemah perlu disediakan supaya privasi dan aurat lebih terjaga. Kemudahan asas perubatan, makanan asas seperti beras, susu dan lampin bayi, tuala wanita, tandas, tong sampah perlu diberi perhatian. Pengalaman saya dengan banjir, tak pernah saya rasa panas; sejuk menggigil ada lah. Mangharung banjir, meredah hujan, berlapar, memang sejuk sepanjang hari apatah lagi malam hingga subuh. Khemah tu bukan nak memerap dalam tu berjam2 satu keuarga. (Tahun 60an dan 70an dulu, kalau tak silap, selimut memang diberi percuma.)
4. Mempolitikkan bantuan banjir sepatutnya dielakkan sama sekali. Memang kerja orang politik, semua usaha amal mereka, mereka mahukan kredit. Baik dipihak kerajaan, mahu pun yang bukan kerajaan. Sudah2 lah. Memuji puak sendiri dan mengeji sinis usaha pihak lain sebenarnya amat meloyakan rakyat. Mengada2kan cerita, menokok tambah, menyembunyikan fakta memang memberi imej yang buruk kepada pihak yang berusaha membantu. Bekerjalah dengan niat ikhlas nak membantu dan biarlah kredit itu datang daripada Allah. Kasihanilah dan berilah sokongan kepada pihak yang bertungkus lumus bekerja membantu. Hargailah usaha mereka sama ada mereka membantu dengan dibayar atau tidak. Jangan sinis sangat. Jangan komplen lebih2 sangat sebab mereka pun dah berusaha yang terbaik. Sesetengahnya pula terikat dengan arahan yang kadang2 tak manasabah tetapi gitulah keadaannya. Pihak yang beri arahan kadang2 tak faham masalah orang yang buat kerja kena marah dgn mangsa dan keluarga mangsa banjir.
5. Sabar, muhasabah dan doa adalah ubat yang wajib ada dalam setiap mangsa, keluarga mangsa dan petugas2. Muhasabah bukan dengan mencari salah dan dosa orang itu dan pihak itu. Tetapi menilai diri sendiri dan keluarga sendiri. Syukurlah kita masih diberi waktu, diberi peringatan.
6. Lepas banjir ialah sesi membersih. Sekali lagi tugas sukarelawan sangat penting. Mencuci lumpur, membuang barang dalam rumah yang sudah diklasifikasi sebagai sampah. Surau dan masjid juga perlu dibersihkan. Ya Allah banyaknya kerja. Ketepikan perbezaan politik. Yang datang nak membantu tu, terima je lah apa warna baju mereka. Yang nak dibantu, jangan dipeduli bendera parti yang berkibar.
Lepas tu membaiki kerosakan. Mengganti barang rosak.
Dan sujud lah kepada Dia. Sama ada ujian atau kafarah dosa.
No comments:
Post a Comment