Tiada paksaan dalam agama. Begitu kalau diterjemah secara kalimah demi kalimah.
Ada ulama mentafsirkan ia sebagai "Tiada paksaan dalam memilih agama". Pendapat yang lebih liberal pula mentafsirkan sebagai "Tiada paksaan dalam mengamalkan hal2 agama".
Saya percaya sememangnya Islam tidak memaksa umatnya untuk beramal dengan agama. Tidak memaksa bukan bermakna mereka tidak berdosa. Mereka tetap akan diadili. Yang ingkar dengan syariat Allah pasti akan dihukum, boleh jadi di dunia lagi, paling tidak selepas mati, tetap akan dihukum.
Dalam hubungan manusia dengan makhluk, kita diwajibkan patuh dan jika tidak patuh, maka kita dihukum menurut hukum yang telah ditetapkan seperti mencuri, membunuh, mencederakan, meminum arak dan sebagainya. Dalam hal meminum arak, perintah hukum tidak disebut dalam Al Quran tetapi hadis.
Tetapi dalam hubungan dengan Allah, tiada ketetapan untuk menghukum kecuali murtad.
Tiada dalil orang yang tidak solat wajib dihukum. Orang yang tidak tutup aurat, tiada perintah hukum. Semuanya dalam bentuk yang disebut hari ini sebagai kawalan kendiri.
Jika pemerintah merasakan perlu menguatkuasakan hukuman demi menjaga agama dan masyarakat, ia bukan satu kesalahan. Tidak menghukum juga tidak menjadi kesalahan.
Tetapi tidak mengambil apa2 tindakan langsung atau dengan kata lain membiarkan sahaja kepincangan dalam masyarakat Islam berleluasa adalah kesalahan kepada pemimpin kerana mereka memikul amanah. Mereka perlu cari jalan meningkatkan iman dan takwa khususnya orang Islam selain berusaha juga menyampaikan dakwah kepada orang kafir.
Islam bukan agama paksaan. Islam adalah agama menyampaikan, menyeru atau menasihat. Jika yang dinasihat tidak terkesan langsung, kita tidak disuruh memusuhi atau membenci mereka, apa tah lagi mencemuh atau menyindir mereka. Tidk boleh juga memulau atau meninggalkannya. Ia umpama membiarkan dia terus dalam kesesatan.
Islam adalah agama dakwah. Memang kena banyak bersabar ketika berdakwah. Tak boleh putus asa, tak boleh hilang sabar. Lebih geram bila yang berdakwah pula diejek, diperli dan dihinakan. Tetapi yang pernah dilalui oleh rasulullah s.a.w sendiri jauh lebih dahsyat. Sahabat2 selalunya lebih mahu bertidak balas dengan keras tetapi tada tindak balas keras daripada rasulullah sendiri.
Perang hanya ketika Islam atau umat Islam sudah terancam dan dalam bahaya. Dizalimi dengan teruk.
Jadi, jangan kita kata dengan kata2 yang tidak baik kepada orang yang tidak menerima nasihat dan dakwah kita. Jangan juga tuduh ustaz2 (yang rapat dengan orang yang tidak beramal dengan Islam) sebagai tidak berdakwah kepada mereka. Kerana kita sendiri tidak tahu sejauh mana mereka sudah jalankan kewajipan menasihat dan berdakwah.
Jangan kita rasa hanya kita saja yang berdakwah. Hanya kita saja yang beri nasihat. Apa tah lagi cara nasihat kita dipenuhi sindiran dan caci maki.
1 comment:
Wow. Saya setuju.
Post a Comment