Firman Allah,
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal),
sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [An Nisa':78]
Firman Nya lagi,
"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang
(atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan." [ Al Mu'minun:11]
Rakanku, Ishak Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Audit MARA, telah kembali ke rahmatullah pada 30 Oktober 2004 bersamaan 16 Ramadhan 1425H di HKL. Berita ku terima melalui SMS selepas berbuka pada Sabtu malam.
Kali terakhir aku melihat wajahnya ialah pada 24 Oktober iaitu Hari Ahad terakhir baginya. Dia sebut nama ku selepas dikejutkan dari tidur sambil tersenyum. Aku agak sebak seketika, tapi ku tahan dan meminta izin untuk pulang. Dia mengangguk tanda faham.
Aku tak melepaskan peluang untuk menziarahi jenazahnya pada pagi Ahad itu bersama isteri ku, aku turut sembahyangkan jenazahnya di masjid berhampiran dan sedekahkan Al Fatihah untuknya. Kali terakhir aku bersolat Jumaat dengannya pada tahun 2003 di Masjid Segambut.
Semoga rohnya bersemadi bersama roh orang-orang yang soleh.
"Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan
Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam
keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". [Yusuf:101]
No comments:
Post a Comment