Anehnya, ada juga Melayu yang tampil cuba memberikan sedikit pembelaan kepada pesalah tersebut dengan alasan yang (pada pendapat saya) lemah. Jika anda benci sekalipun dengan kelemahan pemerintahan dan pentadbiran negara hari ini (seperti juga saya), tidak sepatutnya agama Islam dihina dan lagu kebangsaan negara dipergunakan untuk meluahkan rasa kecewa anda.
Berikut saya petik beberapa petikan ucapan seorang bekas menteri yang namanya tidak perlu disebut (kerana mungkin ada yang menyukai atau membenci dia atau sejarah latarbelakangnya). Apa yang penting ialah isi kandungan ucapannya yang perlu difikir dan ditelaah supaya kita dapat memahami kenapa kita perlu bersikap "jangan terlalu mudah bertolak ansur dalam hal-hal yang berkait dengan agama dan negara".
Orang lain tidak berhenti-henti membincangkan ‘agenda’ mereka, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam, tetapi perjuangan mereka ialah untuk menuntut kelebihan, menuntut hak itu dan ini sebagai tambahan kepada apa-apa yang sudah ada dan sudah mereka peroleh – tidak kurang diperolehnya daripada orang Melayu juga – sedangkan orang Melayu lebih sibuk cuba mempertahankan apa-apa yang masih ada pada mereka atau cuba menuntut kembali apa-apa yang sudah terlepas daripada mereka atau yang sudah jatuh ke tangan orang lain.
Sejak mutakhir ini, orang bukan Melayu makin lantang dan berani pula mempersoalkan agama Islam, hak atau kedudukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam, soal ‘kontrak sosial’ dalam Perlembagaan, soal mengapa tidak ada orang bukan Melayu menjadi panglima tentera sekurang-kurangnya berpangkat mejar jeneral. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu makin lemah sehingga menyebabkan orang lain berasa mereka berhak mempersoalkan kedudukan Melayu di negara ini. Seolah-olah, di mata dunia, yang salah, yang jahat, ialah bangsa Melayu dan yang ‘tertindas’ ialah kaum lain!
Kita jangan terlalu menyalahkan bangsa Melayu atas segala masalah yang mereka hadapi itu, misalnya dengan menuduh mereka malas, budaya mereka tidak maju,
mereka mempunyai perangai PHD (pengkhianat, hasad dan dengki) – ini semua fitnah! – seolah-olah dalam kalangan bangsa lain tidak ada yang malas, budaya
mereka budaya maju, dan mereka tidak berperangai PHD. Kita mesti lebih rasional, lebih bijak, dalam menangani masalah orang Melayu. Kita mesti bertanya: apakah kepimpinan Melayu tidak ikut bersalah? Apakah dasar dan sistem yang ada salah, atau baik tetapi banyak kesilapan, kesalahan dan penyelewengan di peringkat pelaksanaannya?
Orang Melayu sanggup atau bersetuju (dengan kehendak atau nasihat British) untuk menerima kaum-kaum lain berkongsi bersama-sama orang Melayu memerintah negara selepas Merdeka padahal sepanjang sejarah Tanah Air Melayu ini kaum bukan Melayu tidak pernah menjadi pemerintah Negeri-Negeri Melayu, walaupun dalam zaman pemerintahan British.
Para pemimpin Melayu terlalu bertolak ansur dan tidak berhenti-henti bertolak-ansur dengan kehendak orang lain. Ada orang yang berkata bahawa kita bangsa Melayu lebih mudah bertolak ansur dengan kaum lain tetapi payah hendak bertolak ansur dengan bangsa sendiri.
Sejak pilihan raya tahun 1955, ada tidak calon Melayu (dari UMNO) yang menang dalam kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Dalam pilihan raya yang lepas, 18 calon bukan Melayu (dari Parti Barisan Nasional) bertanding di kawasan
parlimen yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu. Semuanya menang dan semua calon Melayu-Islam dari parti ‘pembangkang’ kalah. ‘Baik hati’ politik (atau ‘ketidakbijaksanaan politik’) Melayu ini agaknya elok diberitahukan atau diperingatkan kepada orang bukan Melayu supaya mereka akan sedar dan insaf betapa beruntungnya mereka ‘diperintah’ oleh kerajaan yang masih dikuasai oleh
orang Melayu.
No comments:
Post a Comment