Thursday, February 26, 2009

Puisi oleh Datuk A. Samad Said

Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …

Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.

Monday, February 23, 2009

Sedekah

Semalam, isteri saya menceritakan, maknya memberitahu, buah betik yang ditanam dibelakang rumah kami dah hilang. Mungkin dimakan musang agaknya. Saya pernah ternampak musang di kawasan kampung ini pada waktu malam. Di kampung (Terengganu), musang bukan setakat makan buah dan ayam, malah kucing yang belum cukup dewasa pun dimakannya.

Dalam kuliyah maghrib sehari sebelum itu, ustaz ada membacakan sebuah hadis yang maksudnya, "Apa jua tanaman yang kita usahakan, kemudian ia sama ada menjadi makanan manusia atau haiwan atau sesuatu yang lain, maka ia akan menjadi sedekah hingga hari kiamat." Hadis sahih riwayat Muslim.

Jadi saya sebutkan kepada isteri saya, tak apa lah, sedekah saja lah, sambil saya sebutkan pasal hadis tersebut. Ustaz yang mengajar tu pun ada sebut, ia juga berlaku kepada dirinya sendiri. Pokok pisang yang ditanamnya, habis dipotong untuk diambil daunnya tanpa kebenaran. Mula-mula, merungut juga ustaz tu. Tapi kata isterinya, sedekah saja lah. Apa yang penting hati kena ikhlas dan redha.

Namun, sedekah bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha menghalang masalah tersebut daripada berulang. Bayangkan petani padi yang diserang masalah tikus atau siput atau ulat yang merosakkan bendangnya. Takkan boleh kata sedekah saja. Habislah hasil sebendang. Habis tu anak isteri nak makan apa ? Cuma kalau ia berlaku atas kecuaian kita atau setelah puas kita berusaha dan bertawakal, maka barulah kita kena terima dan redha dengan ketentuan Allah. Jangan pula kita menyumpah manusia atau haiwan yang mencuri hasil tanaman kita itu. Ingat, pahala sedekah itu kekal hingga hari kiamat.

Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. - Al Baqarah:263.

Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. - Al Baqarah:264.

... dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki - Saba':39

Jadi, dalam kes Ibrahim Ali yang kini menjadi ahli parlimen bebas, biar saya katakan, sedekah saja lah. Lagi pun ia adalah atas kecuaian PAS sendiri. Amacam ? Boleh ? he..he..he.. Besar ganjarannya tu.

Wednesday, February 18, 2009

Seronok dedahkan rahsia orang

Semua blogger politik gatal nak menyentuh sedikit isu gambar YB Elizabeth. Saya pun pada mulanya nak menulis juga. Tapi terpaksa tangguh kerana hal lain. Ye lah, bila baca kepada laporan awal, memang sah dia buat perkara tak bermoral. Kalau orang Islam, senang nak putuskan tindakan. Tapi kalau bukan Islam, nak rujuk kat mana ?

Tetapi, selepas 2 hari, nampak seolah-olah, bukan YB Elizabeth terang-terang buat salah seperti laporan awal. Macam gitu, tak jadilah saya nak komen panjang. Kita yang tak tengok gambar sebenar, kemudian nak buat rumusan. Berilah kepada yang bertanggung jawab sahaja menilainya, sama ada polis, j/k disiplin PKR mahupun j/k Pakatan.

Sebenarnya, siapa yang lebih teguh dalam menyimpan rahsia ? Lelaki atau perempuan. Kalau bab gambar-gambar lucah ni, lelakilah paling ke depan menyebarkan keaiban orang lain. Dalam dunia perolehan pula, saya dapati lelaki lebih banyak membocorkan maklumat sebut harga dan tender. Belanja minum kopi atau main golf je, sponsor itu ini serba sikit, boleh dapat info. Perempuan selalunya susah sikit, walaupun tak dinafikan ada juga.

Bila berlaku kes buang anak, bunuh anak dan sebagainya, hanya perempuan akan disalahkan. Hanya bukti depan mata sahaja yang diambil tindakan. Jalan mudah lah katakan. Bukan saya nak membela nasib perempuan zina itu, tapi sudahlah dia malu kepada masyarakat, tertekan sampai setengah gila, berdepan pula dengan hukuman penjara; sedang lelaki bangsat tu mungkin sedang tersengih atau geli hati melihat perempuan yang dirosakkannya menghadapi semua itu. Dia tak rasa bersalah ke melihat perempuan itu ? melihat anaknya hancur dalam longkang atau digonggong anjing liar ? Betul ke Islam menolak sepenuhnya bukti melalui DNA ? Apa pula tindakan proaktif kita untuk membendung dan menghentikan hal ini daripada berleluasa ?

Lihat berita ini :
-------------------------------------------
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah sengaja melakukan pembunuhan bayi yang baru dilahirkannya, dua tahun lalu.

Unah Suma, 28, didakwa melakukan pembunuhan itu dalam keadaan beliau belum pulih daripada kesan melahirkan bayinya dengan pertimbangan fikirannya yang terganggu.

Tertuduh yang dirogol anak saudara majikannya yang mabuk sehingga melahirkan bayi itu didakwa melakukan kesalahan itu di bilik rumah majikannya di No 30, Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, antara jam 1 pagi dan jam 2.30 pagi, 3 Jun 2007.
--------------------------------------------

Kita tak tahu apa pula hukuman untuk perogol itu ? Patut bunuh je. Paling minimapun, dia patut dihukum di khalayak ramai.

Thursday, February 12, 2009

Nasi Dagang Terengganu

Saya suka makan nasi dagang terutama nasi dagang Terengganu. Di KL, ada satu tempat yang nasi dagangnya memang sedap. Pengusahanya adalah orang Terengganu.

Hampir setiap minggu atau setidak-tidaknya, 2 minggu sekali, saya bawa keluarga saya bersarapan nasi dagang di AU5 Hulu Klang. Waktu perniagaannya saya tak pasti. Selain nasi dagang, juga ada disediakan roti bom dan nasi lemak. Ia terletak di sebelah stesen minyak esso dan petronas.

Anda boleh download placemark nasi dagang tu di sini. Gunakan googleearth untuk tahu di mana lokasinya.

Friday, February 06, 2009

Serahkan kepada Allah

Serahkan kepada rakyat
Biar rakyat tentukan pilihan
Biar rakyat buat keputusan

Serahkan kepada Tuanku
Merafak sembah menjunjung titah

Tetapi...
Tiada keadilan sebenar pada diri manusia
Keadilan hanya daripada Allah
Serahkan kepada Allah


Tetapi...
Mereka merampas secara tidak bermoral
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Status adun Bebas masih menjadi pertikaian
Serahkan kepada Allah

Tetapi...
Mereka sebenarnya belum mandapat majoriti
Serahkan kepada Allah

Jika ia hak kita
Pasti Alah akan kembalikan kepada kita
Bagaimana caranya
Bila masanya
Serahkan kepada Allah

Usah kecewa lagi
Serahkan kepada Allah

Takkan berserah sahaja tanpa berusaha ?
Bukankah selama ini kita sentiasa berusaha ?
Teruskan usaha dan
Serahkan kepada Allah

Thursday, February 05, 2009

Tumbangnya kerajaan PR Perak

Bersabarlah. Tak perlu sedih-sedih. Kita dah biasa dengan kekalahan demi kekalahan.

Tak usahlah melawan lagi. Terimalah keputusan Sultan. Percayalah, dengan ketentuan Allah.

Perangai orang PAS pun dah terikut-ikut dengan orang PKR dan DAP. Macam tak boleh terima kenyataan. Kawallah perasaan tu.

Ambil wudhu. Sujud kepada Allah. Dia Maha Mengetahui. Dia Maha Berkuasa.

Wednesday, February 04, 2009

Rasa "Yakin Tak Boleh" BN pengaruhi keputusan SPR

Selalunya, bila ada pilihanraya kecil, pihak yang akan bertanding akan bersorak-sorai. Lebih besar peluang untuk menang, lebih riuh lah soraknya. Apatah lagi jika kerusi yang kosong, asalnya adalah milik lawan.

Tetapi kalah menang pertandingan adalah ketentuan Allah. Walau selicik mana perancangan manusia, mana mungkin dapat mengatasi perancangan Allah. Namun keyakinan hati mempengaruhi rasa teruja diri.

Bila speaker Perak mengumumkan dua kerusi DUN yang asalnya milik PR kosong, UMNO menyambut dingin. Kemenangan PR bukan besar mana pun. Tetapi UMNO dan BN jelas tidak berminat atau tidak bersedia untuk PRK. Logiknya,inilah peluang untuk BN mengurangkan majoriti kerajaan PR. Dengan kata lain, UMNO dan BN memiliki semangat "Yakin Tak Boleh". Adakah PR memiliki semangat "Yakin Boleh" ?

PR mempunyai pilihan untuk membubarkan DUN Perak seluruhnya, tetapi saya bimbang kalau keputusannya 2 kali 5 sahaja iaitu majoriti 1 kerusi. Sudahlah belanjanya besar, banyak masa terbuang, hasilnya tak seberapa. Kalau DUN Perak dibubarkan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mungkin terpaksa ditangguhkan lagi dan ini tentu mengecewakan Najib. Tetapi kerajaan negeri tidak wajar membubarkan DUN semata-mata kerana mahu "mengacau" Najib.

Apa yang lebih membimbangkan ialah BN menggunakan taktik politik Darurat. Darurat kerajaan penjajah pada 1948 melumpuhkan gerakan yang digelar "kiri" iaitu yang tidak pro pemerintah (penjajah). Darurat Kelantan 1977 melumpuhkan kerajaan negeri dan PAS Kelantan. Sekali lagi ia menguntungkan kerajaan persekutuan. Tidak mustahil, provokasi dibuat untuk mewujudkan suasana tidak aman di Perak. Minta dijauhkan Allah. Ia boleh memberi implikasi yang besar, bukan hanya di Perak malah ke seluruh negara. In bukan tahun 1977 lagi. Ini zaman ledakan maklumat.

..............................

Tunggu dan lihat sajalah.

Ada yang kata Perak kini ada 3 Adun Bebas. Tapi yang 2 orang semalam tu betul ke masih sah Adun ?

Adun Bota dilaporkan melompat semula ke BN.

BN boleh mempersembahkan surat akuan daripada 3 Adun bebas yang membuat perakuan menyokong kerajaan baru BN di Perak tetapi ketiga-tiga Adun ini sebelum ini juga sudah membuat surat akuan kepada Sultan menyokong kerajaan PR dan kini mereka ingkar. Boleh kah surat akuan mereka ini dipercayai ?

Jika BN dapat merampas kuasa petang ini, adakah rakyat Perak akan gembira ? Tidakkah kerajaan BN juga terdedah kepada suasana tidak stabil ?

Bagaimana pula jika mahkamah selepas ini mengesahkan 2 Adun Bebas itu bukan Adun lagi. Jika pilihanraya kecil memihak kepada PR, akan bertukar kerajaan semulakah negeri Perak.

Kalau begitu rumitnya, eloklah pilihanraya negeri dibuat di negeri Perak. Biar rakyat putuskan semula. Pilih calon yang betul-betul berkualiti dan setia.

Sunday, February 01, 2009

Lompat parti

Saya tidak rasa gembira bila ada ADUN UMNO melompat ke PKR. Ini kerana saya tidak setuju dengan amalan lompat parti, terutama bila ia melibatkan orang yang sudah diamanahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang sah untuk menjadi ADUN.

Tetapi memang sukar kalau jadi ADUN, tiba-tiba tidak mendapat kerjasama penuh daripada parti yang diwakili sendiri. Peruntukan daripada parti sendiri disekat. Rakan-rakan sendiri mengkhianati.

Apa yang berlaku di Perak hari ini sangat menyusahkan kerajaan negeri dan rakyat. Seorang adun UMNO masuk PKR. Dua orang adun PKR tak pasti status sebenarnya. Ada laporan mengatakan sudah letak jawatan. Tetapi ada yang kata ia bukan daripada tuan punya badan sendiri. Kesahihan surat letak jawatan itu diragui.

Seorang ADUN DAP juga dilaporkan hilang. Dan ia berlaku hanya beberapa hari sebelum sambutan ulangtahun ke 25 pemerintahan Sultan Azlan Shah. Sultan tentu tidak gembira.

Ketika kerajaan negeri hendak dibentuk tahun lalu, semua sudah tandatangan kepada Sultan, pengakuan setuju dengan MB dan kerajaan yang akan dibentuk. Kini tiada janji yang tak boleh diingkari. Itulah politik.

Mungkinkah ini semua taktik/tekanan supaya MB Perak (dengan perkenan Sultan) membubarkan DUN Perak ? Saya lihat, taktik Anwar Ibrahim dalam isu 16 Semptember 2008 juga sebagai taktik untuk memberi tekanan kepada PM supaya membubarkan Parlimen. Tetapi PM tidak termakan dengan gertakan Anwar. Dan akhirnya tiada apa-apa berlaku.

Saya harap semua akan berakhir dengan cepat, tenang dan selamat. Saya tidak fikir kerajaan negeri akan bertukar tangan sebelum sambutan Jubli Perak Sultan. Kedua-dua pihak tidak sepatutnya mencemarkan sambutan ini.