Semalam, isteri saya menceritakan, maknya memberitahu, buah betik yang ditanam dibelakang rumah kami dah hilang. Mungkin dimakan musang agaknya. Saya pernah ternampak musang di kawasan kampung ini pada waktu malam. Di kampung (Terengganu), musang bukan setakat makan buah dan ayam, malah kucing yang belum cukup dewasa pun dimakannya.
Dalam kuliyah maghrib sehari sebelum itu, ustaz ada membacakan sebuah hadis yang maksudnya, "Apa jua tanaman yang kita usahakan, kemudian ia sama ada menjadi makanan manusia atau haiwan atau sesuatu yang lain, maka ia akan menjadi sedekah hingga hari kiamat." Hadis sahih riwayat Muslim.
Jadi saya sebutkan kepada isteri saya, tak apa lah, sedekah saja lah, sambil saya sebutkan pasal hadis tersebut. Ustaz yang mengajar tu pun ada sebut, ia juga berlaku kepada dirinya sendiri. Pokok pisang yang ditanamnya, habis dipotong untuk diambil daunnya tanpa kebenaran. Mula-mula, merungut juga ustaz tu. Tapi kata isterinya, sedekah saja lah. Apa yang penting hati kena ikhlas dan redha.
Namun, sedekah bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha menghalang masalah tersebut daripada berulang. Bayangkan petani padi yang diserang masalah tikus atau siput atau ulat yang merosakkan bendangnya. Takkan boleh kata sedekah saja. Habislah hasil sebendang. Habis tu anak isteri nak makan apa ? Cuma kalau ia berlaku atas kecuaian kita atau setelah puas kita berusaha dan bertawakal, maka barulah kita kena terima dan redha dengan ketentuan Allah. Jangan pula kita menyumpah manusia atau haiwan yang mencuri hasil tanaman kita itu. Ingat, pahala sedekah itu kekal hingga hari kiamat.
Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. - Al Baqarah:263.
Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. - Al Baqarah:264.
... dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki - Saba':39
Jadi, dalam kes Ibrahim Ali yang kini menjadi ahli parlimen bebas, biar saya katakan, sedekah saja lah. Lagi pun ia adalah atas kecuaian PAS sendiri. Amacam ? Boleh ? he..he..he.. Besar ganjarannya tu.
1 comment:
Sedekah kerusi??....Uuuiiii, ramai gak nanti ahli PAS yg tak puas hati. He..he..
Post a Comment