Saya tidak rasa gembira bila ada ADUN UMNO melompat ke PKR. Ini kerana saya tidak setuju dengan amalan lompat parti, terutama bila ia melibatkan orang yang sudah diamanahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang sah untuk menjadi ADUN.
Tetapi memang sukar kalau jadi ADUN, tiba-tiba tidak mendapat kerjasama penuh daripada parti yang diwakili sendiri. Peruntukan daripada parti sendiri disekat. Rakan-rakan sendiri mengkhianati.
Apa yang berlaku di Perak hari ini sangat menyusahkan kerajaan negeri dan rakyat. Seorang adun UMNO masuk PKR. Dua orang adun PKR tak pasti status sebenarnya. Ada laporan mengatakan sudah letak jawatan. Tetapi ada yang kata ia bukan daripada tuan punya badan sendiri. Kesahihan surat letak jawatan itu diragui.
Seorang ADUN DAP juga dilaporkan hilang. Dan ia berlaku hanya beberapa hari sebelum sambutan ulangtahun ke 25 pemerintahan Sultan Azlan Shah. Sultan tentu tidak gembira.
Ketika kerajaan negeri hendak dibentuk tahun lalu, semua sudah tandatangan kepada Sultan, pengakuan setuju dengan MB dan kerajaan yang akan dibentuk. Kini tiada janji yang tak boleh diingkari. Itulah politik.
Mungkinkah ini semua taktik/tekanan supaya MB Perak (dengan perkenan Sultan) membubarkan DUN Perak ? Saya lihat, taktik Anwar Ibrahim dalam isu 16 Semptember 2008 juga sebagai taktik untuk memberi tekanan kepada PM supaya membubarkan Parlimen. Tetapi PM tidak termakan dengan gertakan Anwar. Dan akhirnya tiada apa-apa berlaku.
Saya harap semua akan berakhir dengan cepat, tenang dan selamat. Saya tidak fikir kerajaan negeri akan bertukar tangan sebelum sambutan Jubli Perak Sultan. Kedua-dua pihak tidak sepatutnya mencemarkan sambutan ini.
No comments:
Post a Comment