Saturday, January 31, 2009

PPSMI - wajarkah diteruskan (2) ?

Saya juga tidak menyokong demonstrasi, kecuali kalau agama saya dihina dan dipijak-pijak.

Dalam isu PPSMI, saya setuju bahawa pelaksanaannya dahulu dibuat secara tergesa-gesa. Namun setelah masuk tahun ke 7 perlaksanaannya, adalah agak sukar untuk menarik balik kerana ia dikira sebagai langkah undur ke belakang. Ia melibatkan kos yang besar, kesan yang negatif kepada anak-anak. Kementerian Pelajaran tidak sepatutnya terlalu kerap menukar silibus dan kaedah pengajaran kerana ia menyukarkan ibu bapa memantau pelajaran anak-anak selain mengelirukan anak-anak itu sendiri. Apatah lagi kesan PPSMI sudah mula menampakkan sedikit kemajuan.

Amat sayang sekali, suatu hari nanti, bahasa melayu tidak lagi berkembang dengan istilah-istilah baru sains. Bahasa melayu akan menjadi bahasa lingua franca, bahasa perbualan sahaja, bukan lagi bahasa ilmu. Itupun dirosakkan lagi dengan bahasa rojak. Tiada guna lagi penterjemahan dibuat untuk buku-buku ilmiah sains dan matematik kerana tiada siapa mahu menggunakannya. Majalah, jurnal, makalah sains dalam bahasa melayu akan terhapus.

Saya tetap berpendapat, kaedah pengajaran Bahasa Inggeris perlu diperbetulkan dan bukan melalui pengajaran Sains dan Matematik. Malah tahap penguasaan Bahasa Melayu dikalangan anak-anak hari ini juga lemah dan perlu diperbaiki semula. Formula perlu dicari untuk mengatasi masalah terutama di kalangan penduduk luar bandar dan keluarga miskin dalam meningkatkan penguasaan BI mereka.

Ketika saya sekolah menengah dulu, ada beberapa orang anak arab (Iraq) di sekolah saya. Bapanya adalah guru bahasa arab di sekolah tersebut. Yang pasti, daripada segi qawa'id (tatabahasa / grammar), pelajar kita jauh lebih baik daripada mereka. Ini diakui sendiri oleh semua ustaz-ustaz yang mengajar bahasa arab. Tetapi kalau suruh bercakap, sudah tentu pelajar kita akan tergagap-gagap malah mungkin sukar nak memahami perbualan dalam bahasa arab. Ketika itu, kami baru 2-3 tahun terdedah dengan bahasa arab.

Belajar bahasa arab nyata lebih cepat dikuasai berbanding bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris sudah dipelajari sejak darjah 1 lagi. Ini kerana kami ada 3 guru yang mengajar bahasa arab berbanding hanya 1 guru bahasa inggeris. Untuk bahasa arab, seorang guru mengajar kefahaman (muthalaah), seorang mengajar tatabahasa (qawa'id) dan seorang lagi mengajar perbualan (muhadathah). Ditambah lagi pelajaran bahasa arab secara tidak langsung daripada subjek tafsir al quran dan tafsir hadith. Ketika itu, subjek agama islam diajar dalam bahasa melayu tetapi oleh kerana al quran dan hadith dalam bahasa arab, kami perlu memahami setiap kalimah sebelum memahami keseluruhan maksud ayat.

Memang, cara terbaik untuk menguasai ilmu al quran dan pengajian Islam ialah dengan menguasai bahasa arab. Begitu juga, cara terbaik untuk menguasai ilmu sains dan teknologi ialah dengan menguasai bahasa Inggeris (kecuali anda belajar di negara seperti Rusia atau Jepun).

.................................................

Saya gembira melihat anak saya sudah mula boleh bertutur dalam bahasa inggeris sejak belajar di tadika (bukan tadika kemas, bukan tadika Pasti). Ayah saya pun dulu kalau boleh nak hantar saya ke sekolah jenis kebangsaan inggeris, malangnya sekolah jenis itu telah dihapuskan pada zaman saya.

.................................................

TUJUH pilihan yang dicadangkan selepas persidangan meja bulat PPSMI :-

1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.

2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.

3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.

4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.

5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.

6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan

7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Daripada tujuh pilihan yang ada, saya pilih pilihan ke 6.

Tetapi saya lebih suka kalau subjek sejarah, tamadun dan pendidikan moral (tatarakyat ?) diajar dalam bahasa inggeris dan bukan sains dan matematik. Ini kerana pelajaran tersebut lebih banyak vocabulary nya dan dalam bentuk penceritaan dan ada dialognya. Dulu sejarah diajar diperingkat sekolah rendah tetapi kenapa sekarang tiada lagi ? Apapun, beban pelajar perlu juga diambil kira.

Kini, program ko-kurikulum mula diberi perhatian. Ia wajar dibuat dalam bahasa Inggeris. Pergerakan pengakap, bulan sabit, aktiviti sukan, pementasan dan sebagainya, bukankah elok menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa komunikasi ?

4 comments:

Anonymous said...

Seperti dapat membaca fikiran saya... pelajar dari sekolah yang sama mungkin berkongsi pendapat yang sama....?

:-)

Yanaam said...

Kita bukan wartawan yang ada banyak kabel mulut tempayan untuk korek cerita.

Jadi kita hanya bercerita daripada naluri, firasat, ilham atau instinct serta sedikit pengalaman peribadi.

Edyes said...

Saya juga menyokong nombor 6 di mana sebelum ini saya mencadangkan nombor 1 di blog edyesdotcom

Anonymous said...

PPSMI wajar diteruskan jika berhasrat untuk menukar kerajaan yang ada kepada kerajaan baharu.