Tuesday, January 26, 2010

Blogger Aduka Taruna direman

Saya tak sempat baca artikel mana yang menyebabkan blogger AAduka Taruna direman. Saya selalu baca blog dia. Dalam Sage feed saya, Blog Aduka diletak dalam folder Blogger Reform. Walaupun saya benci dengan cara dia menulis, saya baca juga.

Blogger yang pernah lancarkan projek langgar Hadi ini ditahan reman kerana tulisan yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor. Entah tulisan dia sendiri atau tulisan pengunjung blog, Wallahua'lam.

Tapi tulisan Aduka sebelum ini memang melampau-lampau. Kita orang Islam, ada etika sendiri dalam menulis. Dalam blog Aduka, dikatakan, dia hanya ikut contoh yang dibuat UMNO. Bila masa pula UMNO jadi ikon kita. Kenapa budaya UMNO yang menjadi ikutan kita ?

Aduka pernah menghina Hadi Awang. Lebih teruk lagi, dia menghina jemaah masjid Rusila dengan lawak memperbodohkan jemaah Rusila. Saya tertanya-tanya, apa dosa jemaah masjid Rusila kepada Aduka hingga dia sanggup menghina begitu. Dalam hati saya berkata, "Allah maha adil. Allah tahu apa balasan yang sebaiknya untuk Aduka, yang boleh menginsafkan Aduka dan mendidik Aduka kembali kepada cara Islam."

Saya hanya berdoa semoga Aduka mendapat keinsafan. Allah masih sayangkan dia. Dia kena minta maaf kepada semua ulama yang pernah dihina dan dimakinya. Tidak lupa kepada jemaah masjid Rusila.

Kepada kita semua, ingatlah Allah maha adil. Jangan terlalu angkuh bila berkata. Keangkuhan selalu dipercepatkan balasannya. Syukurlah kalau kita insaf dulu. Kalau kita mati dulu sebelum sempat insaf ?

Kesihan dengan keluarga Aduka. Isterinya turut menjadi mangsa. Ramai juga yang simpati dengannya. Sayangnya dia tak ingat nak simpati pada orang yang dimakinya.

Hadi Awang pernah sinis kat Kit Siang dan Karpal dengan mengatakan mereka ubat tamat tempoh. Sepenggal je Allah beri Hadi jadi MB Terengganu. Allah sayangkan Hadi.

Kita mahu orang bersikap terbuka menghadapai perbezaan pendapat tetapi kita tak habis-habis menyindir dan mempersendakan pendapat orang yang berbeza dengan kita. Kita katakan perbezaan pendapat itu satu rahmat tetapi sikap kita tak menunjukkan kematangan dalam menghadapi perbezaan pendapat. Dalam isu nama Allah pun, kita dapat lihat bagaimana Harun Din dihina kerana ketegasannya mempertahankan pendapatnya.

Masa untuk muhasabah.

Thursday, January 21, 2010

Undi Pos

Manusia hanya merancang, Allah menentukan. Allah maha adil. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Selepas berkajang-kajang memo di hantar menuntut supaya undi pos dimansuhkan, SPR bercadang supaya undi pos diperluaskan. Antara yang menjadi sasaran ialah jururawat, doktor dan wartawan.

Memandangkan ada cadangan supaya had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, tak mustahil satu hari nanti ia akan diperluaskan kepada pelajar-pelajar pula. Bermakna pelajar juga layak undi pos.

SPR memang panjang akal. Saya sangsi, apakah dalam pilihanraya akan datang, PR boleh mencapai kemenangan lebih besar atau satu lagi keputusan yang mengejutkan akan berlaku.

Manusia hanya merancang, Allah menentukan. Allah maha adil. Pasti ada hikmah yang tersembunyi disebalik apa yang diatur.

Friday, January 15, 2010

Khutbah Jumaat hari ini

Khutbah Jumaat di masjid Wilayah hari ini berkenaan bahay gula. Umat Islam diseru supaya jangan ambil banyak gula dalam makanan dan minuman. Juga diberitahu rasional kenapa kerajaan menaikkan harga gula.

Sekali dengar, macam majlis penerangan Umno je. Nasihat seperti ini saya rasa tak perlu guna mimbar Jumaat. Di dewan serbaguna pun boleh cakap. Tak cukup lagi ke kempen di TV dan radio ? Di suratkhabar [un siar benda sama juga.

Memang elok masjid digunakan untuk beri nasihat kesihatan, nasihat isu keselamatan bahaya ragut, macam mana nak elak ragut, nak elak rogol dan sebagainya. Penyampaian boleh dibuat bukan hanya oleh imam tetapi oleh doktor termasuk doktor bukan Islam atau oleh anggota polis, bomba dan sebagainya.

Mimbar Jumaat sepatutnya menitik beratkan isu memantapkan akidah, memantapkan syariah dalam diri umat Islam, dalam keluarga dan dalam masyarakat. Masalah akidah dan syariah pun hancur, dok cerita pasal harga gula RM1.65 sen sekilo. Nasib baik tazkirah sebelum Jumaat cerita pasal solat. Rasionalnya, masih ramai umat Islam yang hadir solat Jumaat tetapi tak solat lima waktu.

Cerita bab solat, ancaman arak, judi, bomoh dan macam macam perkara yang mengancam akidah itu lebih penting daripada nasihat suruh jangan ambil banyak gula di atas mimbar Jumaat. Jemaah pun naik menyampah dengar harga gula kita murah sebab kerajaan beri subsidi.

Thursday, January 14, 2010

KUALA LUMPUR - Sekali pandang, bas Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) memang canggih dan pasti selesa dinaiki.

Hakikatnya, kepincangan dalam perkhidmatan mereka, baik dari segi jaminan menepati masa, cara pemanduan, tahap keselesaan penumpang dan aspek keselamatan mengimbau kembali ingatan warga kota kepada era bas mini yang pernah menjadi 'raja jalan raya' satu ketika dulu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, masalah yang membelenggu RapidKL itu perlu diatasi segera jika syarikat itu tidak mahu tahap perkhidmatan mereka dicap sama seperti era bas mini satu masa dahulu.

"Kita sokong RapidKL kerana mereka menjanjikan perkhidmatan lebih baik tetapi jika masalah-masalah ini tidak diatasi, kualiti mereka sama seperti zaman bas mini,'' tegas beliau.


Itu laporan akhbar Kosmo. Ini pula mengikut pemerhatian saya.

Kalau nak komplen perkhidmatan bas di KL, paling teruk ialah bas Metro dan SJ. SJ ni bukan bas Sri Jaya. Tapi entah kompeni mana yang dibawa masuk ke KL pada zaman Khalid Nordin jadi menteri yang jaga LPKP. Sebelum itu, bas di KL cuba diseragamkan pada era Mahathir dengan kualiti yang cantik, baru dan ada pendingin hawa. Cuma tang jadual bas je susah nak kawal.

Sekali pada zaman Pak Lah, bas-bas buruk dibenarkan semula beroperasi di KL. Pemandu bas-bas ini berlumba-lumba di jalan raya, macam bas mini dulu-dulu tetapi bezanya kini dengan bas panjang yang lebih membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Dan akhbar-akhbar melayu sibuk komplen pasal bas RapidKL. Bas Metro berlumba-lumba dengan bas SJ, tak pula dihebohkan. Ada pemandu bas siap guna alat walkie-talkie, bagi arahan gengnya supaya halang bas RapidKL dekat "bus stop" sementara rakannya jalan dulu untuk menyapu pelanggan di depan. Itu belum kira ekzos bas yang mengeluarkan asap hitam legam, menyesakkan dada penunggang motor di belakangnya.

Tak tahu lah saya pasal Rapid KL. Itu cerita kawan saya pernah naik bas panjang yang berlumba-lumba dalam perjalanan Rawang-KL. Sampai bas bergesel-gesel pun ada. Memang kecut perut dibuatnya.

Harap pegawai FOMCA tu siasat dan dedahkan sama sikap pemandu yang tidak mengutamakan keselamatan. Pernah saya nampak seorang penumpang (Mat Saleh) yang turun bas Metro dan marah-marah sebab bas tu tak melalui jalan yang ditetapkan sebaliknya melalui jalan alternatif yang tak sibuk. Akibatnya, Mat Saleh tu terpaksa menapak jauh.

Wednesday, January 06, 2010

Keadilan Allah


Diriwayatkan, seorang nabi sedang berzikir kepada Allah di atas sebuah bukit. Nabi tersebut dapat melihat apa yang berlaku di lembah bukit tersebut.

Seketika kemudian, datang seorang musafir berhenti rehat di bawah sepohon pokok. Musafir itu (M1) membawa bersamanya uncang berisi emas.

Selepas berehat, M1 meneruskan perjalanannya tetapi dia telah tertingal uncang emasnya.

Kemudian, datang pula musafir kedua (M2) dan berhenti rehat di tempat yang sama. Dia telah terlihat uncang emas itu lalu dia mengambilnya. “Ini rezeki aku !”, katanya. Dia kemudian meninggalkan tempat itu bersama uncang emas tadi.

Datang pula musafir ketiga (M3), sorang yang miskin lagi dhaif. Dia seorang pencari kayu api. Ketika sedang berehat di tempat tersebut, muncul M1 dan bertanya tentang uncang emasnya. M3 menjawab, “Saya tak tahu menahu. Tiada uncang emas di sini.”

M1 menjadi marah. Mereka terus bergaduh sehingga akhirnya M1 membunuh M3.

Nabi Allah itu lalu berasa gelisah melihat apa yang berlaku didepan matanya. Dia mengadu kepada Allah, kenapa berlaku perkara sebegitu di depannya. Sudahlah M3 miskin dan susah, ia mati dibunuh pula. Sedang M2 pula menjadi kaya kerana menjumpai wang emas yang asalnya bukan miliknya.

Lalu Allah menurunkan penjelasan melalui malaikatnya.

Wang emas itu sebenarnya bukan milik M1. Ia telah dicuri oleh bapa M1 daripada M2. Jadi M2 telah mendapat haknya semula. M3 pula sebenarnya adalah pembunuh kepada bapa M1. Jadi adillah, bila M1 membunuh pembunuh kepada bapanya dahulu.

Kesimpulannya, ingatlah bahawa Allah itu maha adil. Dia boleh menyegerakan balasannya di dunia atau menangguhkan ke akhirat. Hari ini kita menganiaya orang, memfitnah orang, mengejek orang lain, mengambil hak orang lain, kelak kita akan menerima balasan yang setimpal. Kita angkuh dengan kuasa kita, ilmu kita, hak kebebasan kita, kelak Allah boleh hinakan kita atau zuriat keturunan kita.

Semoga kita mengambil pengajaran daripada cerita di atas.

Tuesday, January 05, 2010

Isu nama Allah : PAS sokong ???

Beberapa laman blog dan portal berita internet melaporkan PAS menyokong penggunaan nama Allah oleh akhbar mingguan Herald. Lihat Greenboc, AlHusseyn dan TVSelangor.

Tetapi, selepas saya baca kenyataan rasmi PAS (bukan resmi tapi rasmi), ternyata ia tidak sama seperti yang dilaporkan.

Laporan yang menyebut PAS sokong guna kalimah Allah menggambarkan seolah-olah, PAS menyokong akhbar mingguan kristian tersebut untuk menggunakan kalimah Allah. Sedangkan maksud kenyataan rasmi itu ialah PAS setuju bahawa tiada larangan untuk pengikut agama samawi itu menggunakan kalimah Allah tetapi mestilah dalam konteks yang betul dan tidak digunakan secara salah, mengelirukan dan bersifat provokatif sekaligus bakal mengundang kemarahan umat Islam. Kedua-duanya amat berbeza. Membenarkan bukan bererti menyokong.

Seingat saya, Samy Vellu pun pernah guna perkataan Allah ketika menjadi menteri dulu, walaupun dia bukan penganut agama samawi.

Elakkanlah daripada membuat laporan yang mengelirukan dan bakal mengundang fitnah.