Diriwayatkan, seorang nabi sedang berzikir kepada Allah di atas sebuah bukit. Nabi tersebut dapat melihat apa yang berlaku di lembah bukit tersebut.
Seketika kemudian, datang seorang musafir berhenti rehat di bawah sepohon pokok. Musafir itu (M1) membawa bersamanya uncang berisi emas.
Selepas berehat, M1 meneruskan perjalanannya tetapi dia telah tertingal uncang emasnya.
Kemudian, datang pula musafir kedua (M2) dan berhenti rehat di tempat yang sama. Dia telah terlihat uncang emas itu lalu dia mengambilnya. “Ini rezeki aku !”, katanya. Dia kemudian meninggalkan tempat itu bersama uncang emas tadi.
Datang pula musafir ketiga (M3), sorang yang miskin lagi dhaif. Dia seorang pencari kayu api. Ketika sedang berehat di tempat tersebut, muncul M1 dan bertanya tentang uncang emasnya. M3 menjawab, “Saya tak tahu menahu. Tiada uncang emas di sini.”
M1 menjadi marah. Mereka terus bergaduh sehingga akhirnya M1 membunuh M3.
Nabi Allah itu lalu berasa gelisah melihat apa yang berlaku didepan matanya. Dia mengadu kepada Allah, kenapa berlaku perkara sebegitu di depannya. Sudahlah M3 miskin dan susah, ia mati dibunuh pula. Sedang M2 pula menjadi kaya kerana menjumpai wang emas yang asalnya bukan miliknya.
Lalu Allah menurunkan penjelasan melalui malaikatnya.
Wang emas itu sebenarnya bukan milik M1. Ia telah dicuri oleh bapa M1 daripada M2. Jadi M2 telah mendapat haknya semula. M3 pula sebenarnya adalah pembunuh kepada bapa M1. Jadi adillah, bila M1 membunuh pembunuh kepada bapanya dahulu.
Kesimpulannya, ingatlah bahawa Allah itu maha adil. Dia boleh menyegerakan balasannya di dunia atau menangguhkan ke akhirat. Hari ini kita menganiaya orang, memfitnah orang, mengejek orang lain, mengambil hak orang lain, kelak kita akan menerima balasan yang setimpal. Kita angkuh dengan kuasa kita, ilmu kita, hak kebebasan kita, kelak Allah boleh hinakan kita atau zuriat keturunan kita.
Semoga kita mengambil pengajaran daripada cerita di atas.
No comments:
Post a Comment