Thursday, October 23, 2014

Berhikmah

Setiap pekerjaan itu dimulai dengan niat. Namun niat yang baik mesti disertai dengan cara yang baik, pendekatan yang betul, kaedah yang sesuai.

Dalam isu "Saya mahu sentuh anjing", katanya niat penganjur itu baik. Niat kita tak boleh nampak. Yang pasti, cara, pendekatan dan kaedahnya tidak betul.

Sebab percaya niat yang baik, dan percaya pendekatan yang betul akan digunakan, lalu MAIS memberi perkenan kepada program tersebut.

Bila tersebar gambar2 daripada program tersebut, pelbagai fitnah tersebar. Ia berpunca daripada pendekatan yang salah oleh penganjur itu sendiri.

Mesej yang sampai kepada orang ramai yang hadir seolah2 mengatakan,
1. Tak mengapa sentuh anjing. Boleh basuh mengikut kaedahnya.
2. Beginilah sepatutnya cara kita orang Islam melayani anjing. Serupa sahaja dengan orang bukan Islam.

Dan akibatnya ramai yang percaya dan mula berebut2 nak pegang, sentuh, gosok, belai, malah peluk dan bergambar dengan anjing. Seronok nampaknya.

Ada pula sekeping foto lama sekumpulan ulama dan mufti bergambar dengan anjing digunakan untuk menyokong program tersebut

Kemudian datang pula pihak yang membantah.

Niat mereka juga baik.

Ada yang mengecam. Ada yang memaki, Ada yang mengugut. Ada yang mengkafirkan. Ada yang menyebarkan prasangka buruk tanpa sebarang bukti pun.

Tanya balik diri kita, berhikmahkah kita ? Mau'izatul Hasanah kah kita ? Berpesan2 dengan kesabaran kah kita ? Berpesan2 dengan kasih sayang kah kita ? Atau semua guna logik akal dan emosi semata ?

Baru2 ini ada foto seorang pemuda melayu yang menyelamatkan 2 ekor anak anjing yang jatuh parit dan hampir mati lemas.

Bagi saya, kalau penganjur benar2 bersungguh mahu sampaikan mesejnya, jemputlah pemuda itu untuk berkongsi ceritanya.

Sebelum ini juga ada foto seekor anjing dipanah seorang lelaki melayu berkopiah. Tanya lah ustaz yang hadir tu untuk ulaskan kedua2 foto tersebut.


Malang, media sosial dan internet menjadi alat menimbulkan fitnah dan keresahan di kalangan umat Islam.

Thursday, August 07, 2014

Krisis politik Selangor 2014

Saya berpendapat MB Selangor Khalid Ibrahim perlu melepaskan jawatan dan menyerahkan semula kepada PR untuk membuat keputusan. Jika itu berlaku, slesailah masalah. Masalah2 lain yang mungkin timbul selepas ini tidaklah serumit masalah sekarang yang risikonya sangat tinggi.

Apa yang berlaku sehingga hari ini banyak persamaan dengan apa yang pernah dialami PAS pada tahun 1977.


Puncanya, MB tidak mahu patuh keputusan parti.

Bukanlah niat saya untuk mengungkit semula sejarah melibatkan orang yang sudah tiada. Tetapi ia perlu diambil iktibar oleh penyambung perjuangan hari ini.

Satu ketika MB itu mengatakan, beliau bukan MB Pas tetapi MB yang dipilih oleh Presiden BN (Tun Razak).

Adakah Pas gembira dengan peristiwa ketika itu ? Adakah Pas bersetuju dengan layanan Umno (sekutu Pas) ketika itu ?





Kesudahannya pecat dan pecah. Atas nasihat penasihat2 yang masing2 tak dapat lagi mengawal emosi, akhirnya tertubuh parti baru yang segar seketika sahaja, kemudiannya layu semula dan ditinggalkan sang kumbang yang licik. (Parti itu ialah Berjasa dan diterima menyertai BN tetapi kemudiannya diabaikan seperti melukut di tepi gantang)

Bezanya ketika itu, Pas masih boleh meluluskan undi tidak percaya di Dun Kelantan walaupun tanpa sokongan sekutu dalam BN (Umno). Sedangkan PKR mungkin sukar tanpa sokongan PAS dan DAP.



Bukankah kita wajib patuh kepada arahan pemimpin selagi bukan arahan buat maksiat. Jadi Khalid patuh sajalah.

Politik adalah permainan persepsi. Persepsi boleh menaikkan dan menjatuhkan orang politik. Pas enggan menyokong kehendak PKR juga kerana persepsi. Amat malang perkara ini berlaku. Politik banyak startegi yang kadang2 perlu diubah suai mengikut situasi semasa dan strategi yang berubah2.

Saya kira Khalid terlalu mendominasi kerajaan Selangor seolah2 ia seorang CEO dalam badan korporat. Boleh jadi ini juga persepsi. Kalau Wan Azizah jadi MB pun, dia tak boleh terlepas daripada persepsi.

Apa pun, demi kepentingan PR, Khalid perlu lepaskan jawatan secara baik supaya segalanya pulih segera.

Sunday, April 13, 2014

Hari ini Awang Selamat sokong hudud

Dulu saya pernah tulis ruangan pojok dalam akhbar jawi (Utusan Melayu) telah menghina hukum hudud sambil mempersendakannya. Lihat di sini.

Hari ini, tiba2 Awang Selamat dalam Utusan Malaysia menyokong pula hukum hudud. Apa tujuan sebenarnya ? Ikhlaskah dia ? Atau saja nak bikin panas ?



Bertahun2 usaha pihak PAS nak melaksanakan hudud dipersenda, dipermainkan dan diejek puak2 munafik. Tiba2 kali ini Awang Selamat yang turut pernah menghina terpanggil untuk menyokong pula. Alhamdulillah.

Kita tidak layak untuk mempertikaikan niat mereka. Mungkin Allah membuka satu jalan untuk mempermudahkan langkah kita. Kita sama2 tunggu jika selepas ini ada ahli parlimen yang mengaku Islam cuba menghalang usaha ini. Tak kiralah siapa mereka. Mungkin ada yang cuba mengelak daripada hadir di parlimen dengan berbagai alasan.

Saya tidaklah menganggap hukum hudud itu sebagai keutamaan perjuangan Islam. Tetapi setiap peluang yang hadir perlu direbut dan jangan dipersiakan. Hukum Islam seluruhnya mesti sentiasa ada dalam sebahagian daripada cita2 kita.

Halangan yang menanti bukan setakat daripada dalam negara tetapi lebih getir lagi halangan daripada luar. Brunei sendiri khabarnya sudah mula dikritik PBB atas usaha bersungguh2nya mahu melaksanakan syariat Islam itu.

Perjuangan Islam itu tidak mudah. Sejarah sudah membuktikannya dan kita hanya mewarisinya.


Tuesday, April 01, 2014

Selawat cinta rasul

Dr. Ridhuan Tee menegur amalan berlebihan dalam menzahirkan rasa cinta kepada rasul. Dr Ridhuan dikritik  pula oleh Hanipa Maidin drp PAS.

Sebenarnya saya bersetuju dengan Dr Ridhuan Tee dalam hal ini.

Saya kira Ridhuan sudah bersikap berhati2 sebelum menegur. Dia tidak membida'ahkan amalan itu. Dia juga mengalu-alukan program itu. Dia bukan mengkritik tetapi sekadar ingat mengingati. Dia cuma mahu supaya program itu dibuat penambah baikan.

Saya kira pendapat Ridhuan wajar diberi perhatian sebagai sempadan agar kita tidak terlalu berlebih2an.

Peristiwa Memali 1985

Saya sendiri ingat2 lupa dengan peristiwa itu. Saya sangka ia berlaku pada tahun 1984, rupanya 1985.

Saya tak tahu peristiwa itu berlaku. Hanya selepas beberapa hari, baru saya tahu. Ketika itu saya sedang mengambil peperiksaan SPM di Kusza.

Solat jenazah diadakan dan dipimpin oleh Ustaz Othman Daud, warden yang berasal dari negeri Kedah. Saya tak tahu untuk siapa solat jenazah ghaib itu tapi saya buat je.

Ketika itu, saya tak baca akhbar, tak tengok tv dan tak dengar radio. Selepas habis SPM, barulah saya ikuti kerana saya dah balik ke rumah.

Akhbar Utusan Melayu (jawi) menyiarkan berita betapa kumpulan itu sesat, taksub dengan ilmu kebal, pakai azimat. Ada gambar yang sangat kabur kononnya azimat yang dipakai oleh pengikut Ibrahin Libya.

Ketika itu tiada akhbar Harakah. Tiada lidah rasmi PAS. Yang ada mungkin akhbar Watan atau Mingguan Bumi yang dilihat agak pro PAS.

Usman Awang ada menulis puisi mengenai Memali berjudul Tragedi di Utara dan dilagukan oleh Dr. Wan Zawawi, dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa. Anda boleh dengar di spotify.com.

Saya ingat kerajaan ada keluarkan kertas putih mengenai peristiwa itu. Dan memanglah kertas putih itu untuk memutihkan tindakan kerajaan sahaja sebenarnya.

Ada juga surat layang kononnya polis diberi amaran oleh pihak tentera. Semua berita saya terima dengan hati2. Saya tak mahu percaya bulat2 semuanya sebab saya kurang yakin dengan kebanyakan berita yang disampaikan. Ada yang kata kubur mereka wangi. Entahlah, saya kurang percaya tapi saya pernah bercita2 untuk menziarahi kubur mereka atau tempat tragedi itu.

Semoga Allah merahmati mereka semua. Tergamak mereka membunuh dan kemudian memfitnah pula. Amat jahat mereka yang bertanggung jawab.

Cuma saya berpendapat Ibrahim Libya sepatutnya menyerah diri kerana ia lebih baik. Pihak PAS sepatutnya dipanggil untuk berunding dengan polis dan Ibrahim Libya sebagai orang tengah. Polis juga sepatutnya boleh bersabar dan masih boleh tangguhkan melalui rundingan. Entah kenapa polis seolah2 agak terburu2 mahu tamatkan secepat mungkin, dengan cara sebegitu. Kesimpulannya, peritiwa itu sebenarnya boleh dielak.

Kertas putih itu saya kira gagal merungkai kejadian itu.

https://play.spotify.com/track/6MfOZVctdumN9ZzweuMOWY?play=true&utm_source=open.spotify.com&utm_medium=open

Sunday, January 26, 2014

Allahyarham Harun Taib, damailah roh mu di sana

Harun Taib (Allahyarham) pernah menjadi wakil rakyat bagi kampung saya ketika beliau memenangi Pru 1982 (Dun Manir). Bagaimanapun, selepas persempadanan semula kawasan (yang tentunya dicatur oleh UMNO) selepas PRU itu, kampung saya diletak dalam Dun Wakaf Mempelam, masih berwakil rakyatkan wakil Pas (Mustaffa Ali).

Dalam Pru 1982, seingat saya Pas hanya memenangi 5 Dun di Trg iaitu Manir, Jeram (Parlimen Kuala Nerus); Batu Burok, Wakaf Mempelam (Parlimen K. Trg) dan Rhu Rendang (Parlimen Marang). Pru 1974, Pas dalam BN dan Pru 1978 (selepas tersingkir drp BN), Pas kalah teruk di Trg dan Kelantan.

Melihat pengaruh Pas makin pulih dan potensi Pas untuk menang di Parlimen Kuala Nerus dan K. Trg, UMNO memecahkan kawasan kuat Pas (pecah & perintah memang amalan mereka). Manir di alihkan ke Hulu Trg, Jeram menjadi Teluk Pasu di Kuala Nerus, beberapa kampung diagih2kan supaya pengaruh Pas menjadi lemah dan diimbangi oleh kampung yang menjadi kubu BN.

Hasilnya, dalam Pru 1986, Pas hanya tinggal 2 kerusi iaitu Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang. Harun Taib kalah di Manir. Bagi orang yang mudah berputus asa dan tidak istiqamah dalam perjuangan, kekalahan teruk akan mengecewakan dan mungkin berpaling sokongan.

Tetapi, selepas mencaturkan pecah dan perintah, takdirnya mereka pula yang berpecah. 1987, UMNO berkrisis dan akibatnya, Pas kembali berkuasa di Kelantan dan menambah kerusi di Trg dalam Pru 1990.

-----

Kita mudah bersangka buruk dengan seseorang walhal kita sendiri nampak orang yang kita bersangka buruk itu, mempunyai sifat jauh lebih mulia daripada kita. Yang kita nampak ialah perkara2 sumbang yang dilakukannya sahaja.

Lebih buruk lagi, kita sebarkan sangka buruk kita supaya orang lain turut bersangka buruk macam kita.

Dalam hal ini, Allahyarham Harun Taib pernah berkali2 dilabel sebagai pro UG (kerajaan perpaduan). Kali terakhir, ketika beliau menyebut bahawa Pas perlu mengkaji tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Ditambah dengan putar belit media musuh, makin menjadi-jadilah fitnah terhadap Allahyarham dan yang mencaci cerca beliau termasuklah penyokong2 Pas sendiri.

Dalam hati saya yakin, bahawa kerajaan perpaduan seperti yang ditafsir secara negatif oleh blogger2 muda itu bukan sebenarnya seperti yang ada dalam kepala Pas Terengganu sebab saya percaya, saya faham dengan pemimpin Pas Terengganu.

Semoga Allah mengampuni dosa2 Allahyarham, memaafkan kesalahan2 beliau dan semoga rohnya damai di sana. Ameen.

Wednesday, January 08, 2014

Mempertahankan kalimah Allah

Dalam menyentuh isu2 sensitif, tuntutan hak tidak sepatutnya menjadi agenda utama.

Isu penggunaan nama Allah dalam bible sepatutnya boleh diselesaikan di meja rundingan, dengan beberapa tolak ansur. Penggunaan mahkamah sebagai medium menyelesaikan masalah hanya akan memberi hasil yang mengecewakan bahkan mungkin makin serabut.

Sebagai contoh, kalau sebuah keluarga gagal capai kata sepakat. Ibu, ayah, suami, isteri, anak, menantu semua menuntut hak masing2. Kes boleh diselesaikan secara berunding dan ada tolak ansur tetapi masing2 berkeras dan mahu menggunakan mahkamah sebagai jalan penyelesaian. Apakah keluarga itu akan harmoni ? Bolehkah mereka kembali bersatu membina keluarga bahagia selepas itu ?

Daripada segi syarak, saya lihat ia sebagai masalah khilaf. Yang mahu menegah (kristian menggunakan perkataan Allah), lebih bertujuan melindungi masyarakat Melayu yang jahil dan cuai daripada terpengaruh dan keliru dengan perangkap musuh. Mereka tidak salah.

Yang lebih toleran pula melihat daripada sudut tiada nas yang putus yang melarangnya. Mereka juga tidak salah.

Yang kristian dengan alasan mereka sudah berpuluh atau beratus tahun menggunakannya di Sabah, Sarawak dan Indonesia. Mungkin ada benarnya.

Saya tak faham, kenapa paderi kristian dengan selamba mengumumkan gereja di Selangor akan kekal menggunakan perkataan Allah di gereja2 di Selangor. Ia sekali gus dilihat tidak menghormati titah Sultan Selangor yang meminta penganut agama lain menghormati larangan penggunaan kalimah itu kecuali oleh penganut Islam.

Mematuhi perintah larangan, satu hal. Menghormati Sultan, satu hal lain. Puak2 melayu tengah menunjukkan kemarahan dalam isu kalimah Allah. Sekarang mereka marah pula kerana menunjukkan sikap biadap kepada raja mereka.

Agama lain seperti sikh pun guna kalimah Allah juga tetapi tak jadi isu pun sebab mereka lebih cermat dan tak perlu kecoh2 pun.

Sebelum ini, bible di Sabah dan Sarawak guna kalimah itu bertahun2 lamanya dan tak kecoh pun. Kini, jadi lebih kecoh bila ada pihak cuba jadikan isu itu sebagai kredit untuk menarik sokongan politik, baik yang menyokong mahu pun yang menentang.

Jangan bicara soal hak semata-mata. Utamakan keharmonian dan kerukunan hidup. Saya tidak nampak agama kristian mengalamai masalah atau kerugian jika menggunakan perkataan Tuhan atau God selain kalimah Allah di Semenanjung demi menjaga sensitiviti orang Melayu di Semenanjung. Untuk Sabah dan Sarawak, biarkan seperti yang sedia ada sejak dulu.

Orang Islam di Malaysia khususnya orang Melayu perlu lebih berani berdepan dengan realiti semasa. Laman web pro kristian bersepah, boleh dicapai dengan mudah tanpa sekatan. Banyak juga (khususnya daripada Indonesia) yang menggunakan bahasa Melayu dan menggunakan perkataan Allah. Apa kita nak buat untuk menjaga akidah anak cucu kita bila berdepan cabaran sebegini ?

Kita sibuk pertahankan kesucian kalimah Allah sedangkan anak cucu kita tidak pula kita bertegas dengan syariat Allah. Longgarnya ilmu tentang Islam, kurangnya kecintaan terhadap Islam, lemahnya penghayatan dalam Islam, tiada kesungguhan kita dalam memperjuangkan syariat dan kedaulatan Islam menjadikan pegangan Islam kita longgar dan mudah tercabut. Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain kita jadikan alasan kononnya umat Islam cuba dikelirukan. Yang keliru sebenarnya ialah yang jahil. Mudah dikelirukan menandakan masyarakat kita jahil. Jadi apa perancangan kita untuk memantapkan akidah umat Islam di Malaysia ? Buat Hard Rock Cafe yang islamik ?

Air musta'mal pun tak tahu. Najis mughallazah pun tak tahu. Bagaimana mereka bersuci? Suci adalah syarat utama sebelum solat. Itu belum lagi disemak bacaan Al Fatihahnya. Belum masuk bab tauhid lagi.

Al Quran yang menjadi rujukan utama pun tak tahu dibaca, macam mana nak dijadikan rujukan ? Itu termasuk dalam rukun iman ke 3.

Kalimah Allah memang perlu kita pertahankan, tetapi bukan di atas kertas, bukan dimasjid2, bukan juga hanya di bibir manusia yang mengaku dirinya suci (Islam) tetapi pertahankan di hati, dalam dada kita dan semua orang Islam yang di bawah jagaan kita.