Thursday, December 01, 2011

Bajang dalam Utusan Melayu

Anda mungkin tak pernah baca Akhbar Utusan Melayu keluaran tahun 70an. Ketika itu, ada satu ruang pojok sama seperti ruang Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia. Nama pena penulisnya ialah Bajang.

Oleh kerana ruang ini ringkas, saya selalu baca.

Satu hari pada tahun 70an, ketika saya menyertai gotong royong bersihkan surau, saya gantikan akhbar2 lama yang sudah kekuningan, koyak dan bertahi cicak, yang dijadikan alas almari dengan kertas baru.

Saya terbaca ruang Bajang daripada sebuah akhbar itu. Saya lupa tarikh akhbar itu. Antara lain, ruang itu mempersendakan hukum rejam dengan batu kepada penzina. Kononnya lebih baik batu2 itu digunakan untuk buat jalan raya daripada digunakan untuk merejam penzina.

Sebelum itu, saya pernah dengar kononnya ucapan seumpama itu pernah keluar daripada mulut seorang menteri dalam Malaysia. Saya tak endah sangat. Mungkin saya masih budak lagi. Atau mungkin sebab saya tak dengar sendiri daripada mulut menteri itu.

Tetapi, ketika membaca sendiri daripada akhbar itu, saya sangat terkejut. Saya sungguh2 tak sangka memang ada orang yang mengaku Islam di Malaysia ini yang sanggup berkata begitu. Ketika itu saya mungkin belum faham hukum orang yang berkata begitu tetapi saya sangat marah, benci dan tersentuh hati membacanya.

Tak mampu laksanakan kerana ugutan kuasa luar, itu satu hal. Tak mampu laksanakan kerana bimbang berlaku perkara lain yang mungkin mengancam negara atau kerana kekangan perlembagaan yang digubal sebegitu rupa, juga satu hal lain.

Enggan melaksanakan kerana tidak yakin atau kerana menganggap ianya tidak sesuai, itu sudah teruk. Menghina dan mempersendakannya, itu lebih teruk daripada yang teruk. Apatah lagi ia keluar daripada lidah Melayu yang mengaku hanya dia yang mampu memperjuangkan dan mempertahankan Islam.

Apa ertinya kita mengaku Islam ? Apa maknanya kita beriman dengan rasul, beriman dengan Al Quran ?

No comments: