Wednesday, February 04, 2015

Datuk Asri - nama yang dipinggirkan dalam Pas


Terlebih dahulu, perlu saya jelaskan, saya bukan pengkagum Datuk Asri. Ketika Datuk Asri dijatuhkan, saya baru berumur 14 tahun. Beliau berada di kemuncak politik Pas pada akhir tahun 60an dan awal tahun 70an. Selepas tahun 78, nama beliau sudah mula suram dan sejuk.

Tetapi saya selalu baca akhbar pada tahun2 tersebut. Selain Utusan Melayu, saya juga baca akhbar Watan, Bumi dan sebagainya. Juga saya ada baca beberapa buah buku politik dan nama Asri ada disebut dalam buku2 tersebut.

Saya percaya, beliau ada jasanya sendiri dalam Pas. Walaupun saya tidak setuju dengan langkah Pas menyertai BN (selepas membaca buku2 tersebut) yang ideanya dikatakan didokong oleh Asri, hakikatnya Pas memperolehi pengalaman dan ilmu berkerajaan melalui kerjasama dalam kerajaan campuran itu.

Sebelum itu, Pas memang berkerajaan di Kelantan tetapi berkerajaan di peringkat pusat memberi pengalaman yang berbeza, dari sudut yang berbeza apatah lagi dalam kerajaan berbilang kaum dan agama. Kerajaan Kelantan lebih kepada monopoli melayu Islam.

Bukan sahaja pengalaman berkerajaan, bahkan pengalaman politik berkerja sama dengan Umno memberi bukti bagaimana liciknya Umno mengambil kesempatan ketika mereka susah (merayu memujuk) dan ketika mereka senang (menendang dan menjadi batu api). Ia adalah pegalaman yang sangat berguna kepada Pas dan generasi muda yang mahu memimpin Pas untuk dijadikan pengajaran dan iktibar, berkerja sama dengan musuh yang pernah membuli, memfitnah dan menzalimi kita.

Baru-baru ini, diadakan satu majlis ilmu yang menyingkap semula nama Datuk Asri, peranannya, jasanya, pengorbanannya kepada Pas yang dihadiri oleh Mustaffa Ali. Dan hari ini saya terbaca pula tulisan Dr Riduan Mohamad Nor, dengan tajuk Datuk Asri : Meluruskan sejarah sosok besar Pas. Saya lihat seakan ada usaha untuk memperbetulkan rentak sumbang sekian lama dalam Pas walaupun niatnya tidak dapat dipastikan.

Pada saya, layanan Pas kepada Datuk Asri sebelum ini sangat mengecewakan. Nama Datuk Asri seolah2 mahu dilupakan dan dihapuskan dalam sejarah perjuangan Pas. Anak2 muda dalam Pas hampir tidak mengenali dan tidak tahu jasa Datuk Asri dalam Pas. Mereka tidak diajar siapa Datuk Asri.

Ini berbeza dengan Umno yang tidak melupakan nama Datuk Onn walaupun Datuk Onn keluar Umno dan menentang Umno melalui parti Negara. Umno juga tidak melupakan Tunku yang juga takdirnya mati bukan sebagai ahli Umno malah masih menentang Umno ketika hayatnya berakhir.

Pada saya, Pas menggunakan pendekatan yang salah. Hingga ada yang terlalu membenci Asri. Terlalu beremosi. Pas sepatutnya mendekati bekas pemimpinnya ketika mereka berada dipenghujung usia supaya mereka merasa masih dihargai dan disayangi. Bukan membiarkan mereka sunyi, dipinggirkan. Hati orang tua sepatutnya dijaga dan usah terlalu ambil hati dengan luahan rasa mereka.

Buku2 mengenai jasa dan sumbangan mereka sepatutnya diterbitkan walaupun nipis. Ramai lagi nama yang seakan dilupakan seperti Amaluddin Darus, Hassan Shukri, Hassan Adli, Datuk Nasir, Abu Bakar Hamzah, Ishak Lutfi dan ramai lagi pemimpin di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak. Sekurang2nya terbitkanlah koleksi biografi beberapa nama besar dalam sejarah Pas dalam satu buku. Biarpun mereka keluar Pas, menentang Pas sebelum hayat berakhir, hakikatnya mereka jadi begitu kerana kelemahan diperingkat Pas sendiri. Jika kena caranya, jika betul pendekatannya, saya percaya mereka akan kembali kepada Pas dipenghujung usia (ketika mereka tiada lagi peranan dalam politik negara) sekaligus dapat membaiki nama Pas.

Manusia tidak boleh terlalu dipuji melambung2. Sebab itu kita diperingatkan selalu bahawa segala puji hanya bagi Allah. Begitulah dengan pemimpin Pas dan ulama. Usah dipuji keterlaluan ketika mereka di puncak, jangan juga dibenci berlebih2an ketika mereka mula berfikir melalui cabang lain.

Kalau perlu disebutkan kesilapan2 mereka yang lalu, lontarkanlah dalam bentuk pro dan kontra, baik dan buruk, biar pembaca atau pendengar menilai dan memutuskan sendiri. Apatah lagi yang empunya badan sudah meninggal dan tiada upaya lagi untuk memperbetulkan segala salah faham, prasangka, tuduhan dan rasional disebalik keputusan dan tindakan mereka dahulu.

Sekadar pendangan daripada saya yang naif politik.

No comments: