Friday, July 20, 2007

62 masjid baru di Terengganu

Begitulah tajuk yang dipetik daripada sebuah akhbar harian tempatan. Membina masjid untuk keselesaan jemaah memanglah sangat terpuji. Tetapi apa yang lebih penting ialah usaha ke arah memakmurkan masjid itu perlu menjadi agenda utama selepas terbinanya masjid.

Mungkin kerajaan hari ini mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka sangat mengambil berat soal agama. Saya pernah terbaca satu artikel dalam Alhaqdaily.net yang mendakwa kerajaan negeri sebelum ini tidak membina masjid. Mentang-mentanglah kerajaan hari ini lebih mudah mendapat peruntukan wang daripada kerajaan pusat, sedang kerajaan sebelumnya dinafikan haknya walhal kedua-duanya adalah kerajaan pilihan rakyat.

Soalnya bagaimana pula usaha kearah memakmurkan masjid ? YB-YB hari ini berapa kerapkah ke masjid berjamaah bersama rakyat ? JKKK pun bagaimana. Bagaimana pula pengisian program untuk menarik masyarakat ke masjid ? Program menarik anak muda ke masjid ? Bukankah itu lebih utama. Masjid besar dan lawa dengan harga jutaan ringgit tetapi kosong dan sepi hanya akan menunjukkan perancangan yang bersifat duniawi iaitu untuk kepentingan dunia sahaja termasuk kepentingan politik.



PEMBINAAN masjid baru menggantikan masjid lama yang uzur dan tidak lagi sesuai digunakan sebagai tempat beribadat menjadi agenda utama kerajaan negeri Terengganu dalam usaha memajukan syiar Islam di negeri ini.

Usaha itu selaras dengan slogan “Islam Hadhari Terengganu Bestari” yang menjadi tonggak kepada pentadbiran kerajaan negeri untuk memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang termasuk beribadat.

Tidak hairanlah jika pelancong yang berkunjung ke negeri ini, kagum melihat hampir seluruh pelosok negeri mempunyai masjid baru yang indah dan cantik selain mempunyai reka bentuk unik yang kebanyakannya bercirikan budaya Islam tulen.

Bagi mereka yang menggunakan laluan utama dengan berkereta memang tidak sukar untuk singgah menunaikan solat sambil berehat bersama keluarga kerana setiap kampung sepanjang jalan mempunyai masjid sendiri.

Dalam tempoh tiga tahun lalu bermula 2005 dan menjelang akhir tahun ini, 62 masjid baru disenaraikan untuk dibina bagi kemudahan umat Islam mengerjakan ibadat di tempat yang lebih selesa dan suasana nyaman.

Di Besut, empat masjid baru masing-masing di Kampung Gerai, Padang Bual, Kampung Baru dan Gong Kepas, mula beroperasi awal tahun ini.

Pembinaan masjid baru masing-masing berharga RM2 juta kini memberi keselesaan kepada umat Islam mengerjakan ibadat selain menjalankan aktiviti keagamaan.

Satu lagi projek pembinaan yang bakal menjadi mercu tanda pembangunan agama Islam di negeri ini ialah pembinaan Masjid Hadhari berharga RM18 juta di pinggir Sungai Besut.

Masjid termoden dengan seni bina Islam unggul Cordova dan Al Hambra mampu menampung sehingga 3,000 jemaah. Ia mempunyai pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan, kedai runcit, pusat teknologi maklumat dan komunikasi, rumah musafir, bilik mesyuarat, warung teh tarik dan kelas tuisyen.

Kesungguhan kerajaan negeri membina lebih banyak masjid diharap dapat meningkatkan lagi pembabitan umat Islam dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan selain menjadikan masjid sebagai tempat ibadat utama.

-------------------------------------------------------------------
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: