Dalam sehari dua ini, banyak pula kes guru menghukum murid-murid dibesar-besarkan. Bermula dengan beberapa pelajar MRSM yang disingkirkan kerana masalah disiplin, hingga kepada guru merotan, menampar dan merendam pelajar dalam kolam didedahkan oleh pihak akhbar.
Kalau zaman saya dulu, anak-anak tidak berani melaporkan hukuman yang diterima daripada guru kepada ibu bapa. Silap haribulan, hukuman akan ditambah lagi di rumah atau setidak-tidaknya, "Padan dengan muka engkau. Orang hantar pergi sekolah suruh belajar. Bukan main-main."
Arwah ayah saya bukan jenis garang. Dia juga seorang guru. Pelajarnya amat menyukai ayah saya kerana pendekatan lembutnya. Tetapi sesekali bila dia marah, memang anak-anaknya kecut perut.
Dalam sesebuah sekolah, tak bolehlah kalau semua guru guna cara lemah-lembut. Mesti ada yang tegas dan garang. Saya pun biasa dihukum, dipukul dan dirotan (di tangan) dengan guru semasa kecil. Terus terang saya katakan, saya tidak suka dengan guru yang garang. Mata pelajaran yang diajar oleh guru yang garang, biasanya saya agak ketinggalan. Bila sudah ketinggalan, nak pulih semula agak sukar walaupun diajar oleh guru yang kita suka.
Bagi saya, guru wajar diberi kuasa untuk menghukum pelajar yang degil, nakal dan malas dengan sedikit keras. Pelajar-pelajar tidak boleh diberi muka sangat. Nanti jadi samseng, mua dan berlagak. Merendam pelajar dalam kolam mungkin sangat jijik bagi orang kota tetapi adalah biasa bagi orang kampung. Malah kolam sebegitu mungkin menjadi idaman pelajar kampung untuk terjun bermandi-manda di dalamnya, tidak kira lelaki mahupun perempuan. (Saya pun orang kampung lah.)
Kalau anak saya dihukum guru, saya akan pujuk anak saya dan beri nasihat secara lemah lembut tetapi dengan nada yang tegas kepadanya. Saya tidak akan pergi bersemuka dengan guru untuk memprotes dan membela anak saya. Kecuali jika sampai mencederakan dengan teruk atau melibatkan maruah anak saya, mungkin lain reaksinya. Namun saya percaya guru tidak akan berbuat sebegitu teruk, walaupun mungkin ada kes-kes terpencil yang berlaku.
Dalam kes pelajar yang direndam, mungkin ada yang berkata, "Anak saya tak buat salah, kenapa dia turut dihukum atas kesalahan orang lain ?". Pendekatan saya, saya tetap tidak akan membela anak saya sebaliknya akan menasihati dia supaya bersabar, muhasabah diri dan mempelajari hikmah disebalik kejadian. Realiti hidup di dunia ini memang begitu. Kadang-kadang kita dihukum atas kelalaian atau kejahatan orang lain dan kita perlu terima dengan redha dan sabar. Balasan yang sebenar-benar adil ialah di akhirat, yang hukumannya lebih keras, dahsyat dan lebih lama. Yang teraniaya pula akan menerima ganjaran yang lebih kekal dan serba sempurna. Itulah kelebihan kita orang Islam yang percaya kepada Qadha dan Qadar Allah. Percaya kepada hari pembalasan, Percaya kepada syurga dan neraka.
No comments:
Post a Comment