Membaca buku ini memang menyeronokkan bagi saya. Saya memang suka mengetahui kisah hidup seseorang apatah lagi orang itu seorang yang telah melalui liku-liku kehidupan yang pelbagai, suka duka, pahit manis, susah senang. Saya suka jika pengalaman itu dikongsikan dengan orang lain supaya kita dapat sama-sama menyelami kehidupan dahulu dan kini dari kaca mata dan perspektif yang berbeza. Lebih-lebih lagi jika itu seorang yang berjaya, ternama, terbilang atau hebat di mata masyarakat.
Selain itu juga saya suka membaca kisah yang sudah menjadi sejarah. Dulu, saya pun pernah belajar subjek sejarah, sejarah negara, sejarah Islam, sejarah fikah dan sebagainya. Sejarah mengajar kita menjadi dewasa. Sejarah menjadi panduan kepada kita dalam membuat keputusan, pertimbangan, mengambil tindakan dan sekaligus membentuk peribadi kita. Saya pernah terpengaruh dengan kawan-kawan yang mengatakan belajar sejarah tidak penting dan tidak perlu. Akhirnya saya rasa saya telah tertipu dengan diri sendiri kerana kejahilan memahami pentingnya sejarah. Orang belajar tafsir Al-Quran pun perlu memahami Asbabun Nuzul (sejarah sebab-sebab turunnya sesuatu ayat).
Membaca buku memoir hidup seseorang akan menjawab beberapa persoalan kepada kita kenapa penulis mengambil jalan itu. Mengapa dia membuat keputusan begitu dan seumpamanya. Kita boleh bersetuju dengan penulis tetapi tidak semestinya begitu kerana kita sendiri mungkin mempunyai latar belakang hidup dan persekitaran yang berbeza.
Buku ini tidak disusun mengikut urutan masa yang ditempuhi. Namun bab-bab yang awal sudah semestinya menceritakan sedikit pengenalan latar belakang diri penulis iaitu Tan Sri Wan Mokhtar. Dari pemerhatian saya, saya dapat lihat beliau sememangnya seorang yang berbakat sebagai seorang pemimpin, berkebolehan, berketokohan dan ada aura sebagai pemimpin. Tidak hairanlah beliau mampu menerajui Terengganu selama 25 tahun, satu tempoh yang lama. Ketokohan beliau menyerlah sejak usia muda lagi terutama ketika beliau belajar di Al Azhar.
Beliau berasal dari Kampung Nesan Empat, KT dan bukan Chukai. Ia mengingatkan saya dengan seorang kawan yang berasal dari kampung yang sama dan mempunyai tarikh lahir yang sama dengan saya. Chukai mengingatkan saya dengan seorang lagi kawan dan kami bertiga memang rapat.
Ada beberapa kisah menarik dan lucu akan saya tuliskan di sini yang saya petik daripada buku ini. Ia hanya secara ringkas sahaja kerana anda patut membeli buku ini untuk menikmati isi karyanya. Lain kali saya sambung lagi.
No comments:
Post a Comment