Membaca akhbar Harakah sama ada edisi cetak mahupun edisi online, tidak dapat tidak pasti kita akan jumpa berita-berita yang sebenarnya tidak berasaskan fakta tetapi lebih bersifat prasangka. Ini amatlah mengecewakan kerana PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi juga sebuah badan dakwah, sebuah jemaah Islam.
Bila pemimpin-pemimpin PAS menyibukkan diri dengan mengulas isu peralihan kuasa dalam UMNO, ulasan yang dibuat jelas berbentuk prasangka. Bukan ada bukti apa-apapun. Kalau ada sedikit analisis pun, ia jelas tidak ikhlas.
Lihat saja tajuk-tajuk seperti "Strategi Abdullah, Najib bakal 'dikambing hitamkan'" atau "Ada sesuatu tidak kena punca Abdullah letak jawatan". Apa kata kalu PAS jangan terlalu menyibuk dengan prasangka buruk ? UMNO nak pasang strategi untuk jatuhkan sesama mereka, biarkanlah si Luncai itu. Yang PAS sibuk tu pasal apa ? Masalahnya, PAS bukan hanya mahu berprasangka dengan UMNO malah mahu menyebarkan prasangka itu supaya orang ramai terutama penyokong-penyokongnya turut menyimpan prasangka yang sama. Begitukah cara untuk kita mendaulatkan Islam di bumi Allah ini ? Begitukah cara berhikmah yang patut kita amalkan ?
Berita penuh prasangka bukan baru dalam akhbar lidah rasmi PAS itu. Kalau prasangka tersiar dalam akhbar Utusan atau Berita Harian, saya tak peduli sangat sebab itu bukan lidah rasmi sebuah pertubuhan Islam, tetapi tidak Harakah. Ini adalah satu punca saya kurang membeli akhbar Harakah edisi cetak. Baca tetap baca. Tetapi beritanya kadang kala mengecewakan. Ia juga menggambarkan pemikiran tokoh-tokoh dalam PAS. Suatu ketika dahulu dalam tahun awal 90an, seorang kawan berkata, berita dalam Harakah ni tak berkualiti sama macam ceramah politik beberapa pemimpin PAS sendiri. (Ceramah agama mereka lebih baik, Alhamdulillah.) Sekarang dah tahun 2008. Masih juga begitu walaupun Pengarang dan wartawan Harakah sudah bertukar orang.
Harakah perlu beralih daripada menjadi suara pembangkang kepada suara sebuah kerajaan atau suara pihak yang sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan. Berita-berita perlulah menaikkan semangat bukan sahaja penyokong setia malah mengharukan pihak yang tidak berparti atau golongan atas pagar. Ayuh perkasakan Harakah.
No comments:
Post a Comment