Teringat saya ketika bekerja di sebuah agensi kerajaan dahulu. Saya kenal dengan seorang akauntan berbangsa Cina. Dari segi pengetahuannya, dia memang hebat. Dari segi pengurusannya, juga hebat. Tetapi dia bekerja di sebuah agensi yang diamanahkan untuk membela nasib kaum bumiputera sedangkan dia sendiri bukan bumiputera.
Dia kemudiannya dia dilantik sebagai Timbalan Pengarah secara kontrak. Lalu ramai lah pengarah-pengarah lain, Timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan yang mula cakap belakang. Kenapa orang Cina dilantik ? Dah tak ada orang Melayu ke ? Ini menyekat peluang orang Melayu untuk naik pangkat. Dan macam-macam lagi.
Memang lah ada orang Melayu, tetapi setakat yang saya kenal, tak ada yang dapat menandingi kebolehan dan kualiti kerja beliau. Perlantikan beliau disokong kuat oleh sang pengarah. Akhirnya, bila sang pengarah pencen, maka ramailah yang mencucuk pihak atasan supaya menamatkan kontrak si Timbalan Pengarah. Akhirnya kontrak beliau ditamatkan. Puas lah hati orang Melayu di situ. Dapatlah orang Melayu ganti tempat beliau. Tetapi bagi orang yang pernah bekerja dengan dia dan tiada rasa dengki kerana atas asas perkauman, tahu bahawa pengganti beliau hanya pandai cakap saja. Mereka rasa mereka pandai, tahu, berkebolehan, yang pegawai dulu buat tak betul, sepatutnya kena buat begitu dan begini.
Adilkah kita (yang memilih Islam sebagai Ad Deen) ini ? Saya tak kisah sangat kalau ia melibatkan soal kepentingan agama, soal keselamatan dan soal rahsia orang bumiputera. Perdana Menteri atau Menteri Besar umpamanya. Tetapi soal kecemerlangan kerja dan hasil kerja yang baik, ketelusan, kejujuran juga perlu diutamakan. Lebih menyedihkan lagi, bila orang melayu yang tidak amanah, rasuah, salah guna kuasa, kerja yang selalu tertangguh, buang masa, cenderung menyalahkan orang lain dan mementingkan diri sendiri yang dilantik sebagai ketua hanya kerana dia Melayu dan kanan. Sedangkan yang lagi satu tidak berpeluang hanya kerana dia Cina atau India. Saya bukan menyokong atau membantah perlantikan Pemangku Pengurus Besar PKNS itu. Saya tak kenal siapa dia. Tetapi kita kenalah jujur pada diri sendiri. Benarkah dia tidak layak ? Salahkah kalau diberi peluang kepadanya untuk membuktikan keberkesanan kerja beliau ? Salahkah kalau kita biarkan orang Melayu Islam rasa tercabar seketika, melihat bagaimana orang Cina buat kerja, belajar daripadanya dan cuba ikuti sikap dan sifat positif beliau.
No comments:
Post a Comment