Thursday, December 17, 2009

YB cop duit

Sebagai Exco dan ADUN saya wajib menyumbang kepada PAS Negeri dan Kawasan.
Kepada PAS Negeri saya menyumbangkan RM2,045 sebulan.
Kepada PAS Kawasan saya menyumbang RM1,000 sebulan.
Selain dari itu saya membayar dari elaun saya RM1,300 sebulan untuk sewa Pusat Khidmat ADUN.
Di pejabat SUK, saya melantik dua orang kakitangan tambahan kerana kakitangan yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri tidak mencukupi. Exco-Exco PKR dan DAP juga mengambil kakitangan tambahan. Kami ada ”dateline” dan KPI.

Saya terpaksa membayar dari elaun saya RM2,700 sebulan untuk gaji-gaji kakitangan tambahan itu.

Maka jumlah sumbangan tetap saya adalah RM7,045 sebulan.

Dulu bila kita menganjurkan majlis hari raya, PAS Kawasan akan berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 dan sekitar 1,000 orang yang hadir.

Sekarang ADUN akan menganjurkan majlis hari raya. Perbelanjaannya mungkin RM20,000 dan kehadiran hampir 10,000 orang.

Kenapa saya memberitahu semua ini? Bukankah lebih baik merahsiakan segala infaq?

Saya perlu mendedahkannya kerana bimbang akan ada yang bertanya apa kita dapat dengan adanya seorang Exco, ADUN atau Pejabat ADUN. Atau apa yang ADUN buat dengan elaunnya.

Demikian antara tulisan seorang exco PAS di Selangor.

Teringat saya kepada tulisan seorang mantan MB UMNO. Ketika itu dia bergelar seorang ahli parlimen. Seorang pemandu lori datang kepadanya mahu meminjam wang RM2000 dan berjanji akan bayar balik dalam tempoh 4 bulan. Ahli parlimen Kemaman itu tak cukup wang lalu pergi meminjam daripada ayahnya di Kuala Terengganu. Hutang itu tak pernah dibayar semula walaupun mereka kerap bertemu muka selepas itu.

Sebelum itu, seorang pemilik kerbau didenda oleh mahkamah sebanyak RM500 kerana ternakannya merosakkan kebun jiran dan perlu dijelaskan dalam tempoh 3 hari. Pemilik kerbau itu pergi meminjam wang dengan ahli parlimen itu dengan alasan tak sempat nak jual kerbau.

Selepas itu, pemilik kerbau itu melarikan diri daripada ahli parlimen itu malah menyokong parti pembangkang pula. Pada waktu yang lain, dia masuk UMNO semula tetapi tak pernah minta maaf dengan ahli parlimen tersebut atas kesalahan lepas.

Dalam cerita lain, ketika YB tersebut hendak membeli durian, si penjual durian dengan selamba berkata, harga durian tu RM20 tetapi sebab dengan YB, saya jual RM30.

Satu lagi, seorang lelaki datang mahu meminjam duit RM5000 daripda YB yang sama untuk belanja kahwin anaknya. YB beri nasihat, kalau tak mampu, tak payahlah buat besar-besaran. YB beri RM1000 sebagai hadiah. Lelaki tersebut marah sambil berkata, "Kalau tak boleh beri pinjam sudahlah, saya tak perlukan duit RM1000".

Semua kejadian di atas membuatkan si YB berfikir, betapa orang ramai menganggap YB banyak duit, macam pengilang wang. Mereka menganggap kalau pinjam duit YB, tak payah bayar balik.

Saya percaya bukan semua YB Umno itu jenis suka kumpul duit, kutip komisyen. Sekurang-kurangnya YB dulu-dulu. Macam lagu Andi Lala, "Assalamu 'alaikum YB", belanja seorang YB memang tinggi walaupun mereka boleh buat tuntutan beribu-ribu ringgit.

Bagi YB yang jujur, memanglah perit terasa. Tapi bagi yang jenis kumpul komisyen projek, mereka juga berbelanja tinggi untuk membeli undi dalam pemilihan atau pilihanraya. Pun begitu masih boleh bina rumah sebesar istana, hartanah di sana-sini, belanja anak bini memanglah tak nak kalah. Ini semua hanya menyusahkan YB-YB yang jujur sebab; itulah gambaran kekayaan seorang YB di mata penyokong atau pengundi.

Tengok TGNA. Logiknya 19 tahun jadi MB. Kaya raya dah dia. Kalau orang UMNO, tak tahulah macam mana bini dia berbelanja. Mesti bergaya sakan. TGNA tu orang lama. Kalau YB baru PAS, belum tentu lagi. Orang muda, nafsu belanja pun mesti hebat. Tunggu dan lihat je lah. Harap-harap taklah sedahsyat YB Umno.



No comments: