Ramai orang yang suka dengan politik. Tapi tak kurang juga yang tak suka dengan politik. Suka atau tidak, politik tetap penting dalam pembentukan sebuah negara yang stabil. Oleh kerana kita bertanggungjawab untuk memilih pemimpin melalui sistem politik, sedikit sebanyak kena ambil tahu supaya pilihan kita itu tepat dan terbaik. Perlu pertimbangkan maklumat kedua-dua belah pihak supaya dapat membuat justifikasi dengan bijak dan adil.
Aku mula kenal politik sejak umur 10 tahun. Walaupun aku pembaca tetap akhbar Utusan Melayu (ye, yang bertulisan jawi dan pro BN tu) sejak usia 8 tahun, aku tak terpengaruh untuk sokong BN. Masa tu, tahun 70an. Sebelum tu, ada pergolakan politik di Kelantan antara Datuk Asri dan Datuk Nasir. UMNO ambil kesempatan singkirkan PAS dan ambil Berjasa (pimpinan Datuk Nasir) sebagai kawan, selepas melihat PAS seakan-akan makin lemah dan hilang pengaruh. Sebelum itu, PAS adalah komponen BN.
Ayahanda dan bonda memang pro UMNO. Abang dan kakak pun agak aktif juga dalam UMNO. Tapi aku lebih condong menyokong Parti Islam.
Tahun 80an, suasana sudah berubah. Ayahanda dan bonda sudah condong kepada PAS tetapi masih menerima jemputan mensyuarat UMNO. Bila wujud Semangat 46, ayahanda beri sokongan terbuka kepada parti tersebut untuk mendorong kawan-kawannya menentang BN walaupun hakikatnya, ayahanda lebih pro PAS. Ayahanda ku bukan seorang yang berpengaruh tetapi tetap disegani masyarakat.
Semasa ayahanda meninggal, Adun PAS, Abdul Wahid Endut turut menziarahi rumah kami. Ayahanda meninggal ketika PAS memerintah Terengganu.
Semalam, aku sms abang ipar dan adik aku di Terengganu, tanya khabar. Masing-masing tak berani nak ramal. Hanya 50:50. Maknanya BN masih sukar dikalahkan di Terengganu. Ibu saudaraku sendiri dan suaminya adalah antara orang kuat UMNO di kampungku. Aku jangka Pas hanya mampu tambah kerusi daripada 4 kepada 8 hingga 12 kerusi DUN sahaja.
Jangan dinilai daripada semangat dan jumlah bendera yang berkibar. Kempen pro UMNO tak pernah terhenti di akhbar-akhbar utama dan TV. Sedangkan kempen PAS hanya sampai kepada penyokong setia parti itu sahaja.
Selepas penamaan calon semalam, jelas PAS ketandusan tokoh berwibawa. Perjuangan yang baik akan lemah dengan ketiadaan tokoh yang berkarisma. PAS perlu melatih untuk melahirkan tokoh-tokoh muda di segenap DUN dan perlimen. Begitu juga dengan PKR, ketandusan pemimpin pelapis sehingga Datuk Azalina menang tanpa bertanding di parlimen Pengerang.
Mat Sabu bertanding di KT ? Aku tak berkenan dengan dia ni. Dari dulu lagi aku tak minat dengan dia. Gaya berkempennya, aku tak boleh terima. Tak sesuai. Aku pun hairan macam mana dia boleh menang jawatan tinggi dalam PAS. Akhir tahun lepas, ketika outstation di Langkawi, ada nampak dia sedang makan di sebuah restoran mamak di situ bersama beberapa pengiringnya.
Semoga rakyat bijak membuat keputusan. Jangan sokong parti tertentu hanya kerana mak bapak sokong parti itu. Kita diberi akal untuk berfikir sendiri. Buatlah keputusan sendiri, dengan ilmu, iman dan taqwa. Dan jangan lupa, matlamat kita bukan hanya untuk dunia tetapi juga akhirat.
Hai, kenapalah orang Islam sendiri masih berdolak dalik dengan cara Islam.
2 comments:
balik ngundi dok?
Tak balik dik. Ada orang kata, kampung saya tu, kalau letak Ustaz Yatim lawan MB pun, Ustaz Yatim boleh menang. (Seorang miskin bernama Yatim, matanya buta, masa muda suka laga ayam, org buta laga ayam? pelik kan. Le ni dah baik dah. Ada/sihat lagi kot.)
Post a Comment