Alhamdulillah. Hari ini adalah hari ke 8 kita berpuasa. Bermakna sudah 1/4 ramadhan kita lalui. Bagaimana ramadhan anda tahun ini ? Seorang biras saya terkena serangan jantung seminggu sebelum ramadhan. Dia menjalani pembedahan pintasan beberapa hari sebelum Ramadhan. Sehingga kini, belum boleh puasa lagi. Tidak juga mampu ke masjid.
Berita di atas untuk kita muhasabah diri. Badan nampak sihat, tak gemuk tak kurus. Badan kuat dan otak pun sihat. Umur pun masih muda. Tetapi takdir Allah tak siapa tahu. Apakah kita akan berjaya tamatkan Ramadhan kali ini dengan seoptimumnya ?
Budaya tazkirah di Selangor bukan budaya baru. Cuma selepas PRU 1999, ia menjadi haram (di masjid dan surau-surau). Haram bermakna kalau buat, berdosa, kalau tinggalkan dapat pahala. (Betulkan saya kalau saya silap).
Tahun ini, hampir semua ustaz membuat tazkirah di masjid di tempat saya kerana tazkirah sudah tidak haram lagi. Hanya imam-imam kampung sahaja yang tak buat tazkirah. Mungkin sebab tiada tauliah mengajar. Yang pasti, tazkirah amat berkesan membuka mata dan telinga jemaah. Selama ini bukan mudah nak mengajak ahli kariah mendengar kuliah agama. Daripada 3 saf jemaah lelaki yang bersolat maghrib di masjid, tak sampai satu saf yang menadah telinga mendengar kuliah atau ceramah agama. Sekarang, lebih 10 saf mendengar tazkirah setiap malam walaupun hanya 15 - 20 minit.
Yang jelas, ustaz-ustaz ini seolah-olah mahu memberitahu kepada Majlis Agama Islam Negeri, mereka sebenarnya tidak setuju dengan pengharaman tazkirah selama ini. Sebab itu mereka gunakan sepenuhnya kesempatan kali ini. Bukan ada sesiapa memaksa mereka untuk menyampaikan tazkirah. Dan mereka bukan berkempen untuk parti politik tertentu pun. Alhamdulillah setakat ini, mereka berjaya menunjukkan sikap yang profesional, tidak mempolitikkan peluang yang ada (sekurang-kurangnya di mukim saya). Yang tak profesional sebenarnya adalah pihak yang mengharamkan tazkirah dengan alasan-alasan yang langsung tidak menunjukkan kebijaksanaan.
Malam tadi, ustaz menerangkan perihal pentingnya menjaga saf dalam solat. Saf terputus, batal pahala jemaah. Solat sah tetapi macam solat sendirian. Nah ternganga semua jemaah. Tersengih-sengih, mungkin terfikir kejahilan sendiri selama ini. Memang saf terputus mudah dilihat jika kita sampai agak lewat sedikit. Sampai kita pun tak tahu nak sambung saf belah kiri ke belah kanan ? Kalau ada saf di tengah, bolehlah penuhkan yang tengah dulu, ini yang tengahnya lopong.
Satu lagi ialah isu masbuk solat jumaat. Kata ustaz, kalau tak sempat rukuk bersama imam walaupun rakaat pertama, kena lengkapkan jadi 4 rakaat. Niat tetap niat solat jumaat. Selama ini yang saya faham, kalau tak sempat rukuk langsung, maksudnya rakaat kedua pun tak sempat, baru kena habiskan 4 rakaat. Rupa nya saya pun salah dan jahil. Dulu dah belajar tapi dah lupa sebab tak pernah masbuk solat jumaat. Kuliah maghrib pula lebih banyak tak hadir daripada hadir. Sibuk dengan urusan dunia lah katakan.
Alhamdulillah, projek saya dah selesai kali ini. Sehingga ke projek seterusnya, bolehlah saya balik kerja awal sikit. Kebetulan ketika saya sibuk, isteri saya pun sibuk sampai kami terpaksa balik malam. Lepas ini boleh lah saya kemaskini blog dengan lebih kerap.
Salam ramadhan.
No comments:
Post a Comment