'Mentaliti suka haramkan' punca PAS T'ganu tewas. Begitu kata YB Khalid Samad. Sementara post mortem yang dibuat oleh PAS Terengganu pula tidak menemui bukti itu. Maaf saya katakan, saya setuju dengan YB Khalid Samad. Namun itu bukanlah satu-satunya punca.
PAS Terengganu perlu kepada suatu pendekatan yang baru. PAS Terengganu janganlah berkecil hati sangat dengan PAS Selangor. Kita kan satu jemaah. "Yasyuddu ba'dhohu ba'dho". Kadang-kadang kritikan terpaksa dibuat secara terbuka. Memang tak manis. Tapi bila dah diluahkan, ada-ada aje yang nak tolong tokok tambah. Sebaliknya bila perbincangan secara tertutup, semua jadi bisu dan tak terluahkan.
Saya amat bersetuju dengan YB Khalid dalam menegur cara PAS menangani isu konsert. Bukan saya tak setuju PAS bantah konsert. Bantah tetap bantah. Tapi kaedah dan pendekatannya masih boleh diperbaiki.
Sikap pemimpin dan penyokong PAS di Terengganu juga masih ala-ala tahun 80an. Percayalah kita tak boleh terus guna cara lama lagi. Pendekatan perlu lebih bijak. Usah lagi guna cara mengejek. Tunjukkan hormat kepada kawan dan lawan. Terbuka bila berdepan dengan kritikan tetapi jangan pendam dendam di hati untuk membalas semula paku buah keras.
Saya amat gembira bila pemimpin PAS Terengganu bermuzakarah dengan kerajaan negeri tempoh hari. Ini satu pendekatan baru. Muzakarah sebegini perlu diperluaskan lagi ke peringkat yang lebih bawah tetapi tidak terlalu di bawah, bimbang tak terkawal pula. Maklumlah, kadang-kadang ada yang lebih sudu dari kuah. Ia mestilah diketuai oleh yang benar-benar berwibawa dan mampu mengawal anggota lain.
Mustaffa Ali, Harun Taib, Abu Bakar Chik adalah antara-nama-nama besar yang selalu dikritik oleh sesetengah penyokong PAS sendiri kerana pendekatan yang kurang sesuai. Mustaffa Ali pernah jadi ADUN di kampung saya. Begitu juga Harun Taib. Tak dinafikan ilmu dan pengalaman mereka. Tetapi pendekatan perlu lebih moden dan sesuai dengan masyarakat masa kini. Orang Terengganu pun dah banyak berubah mengikut permerhatian saya. Pemimpin bukan hanya mengikut perubahan dalam masyarakat tetapi sepatutnya memimpin perubahan ke dalam masyarakat. Mengajak masyarakat untuk berubah kepada pemikiran yang lebih jauh ke depan. Keputusan cemerlang anak-anak Terengganu dalam pelajaran menunjukkan rakyat Terengganu sudah bersedia untuk perubahan yang lebih pesat dan pantas. Ia menunjukkan sudah terpahat kesedaran di jiwa sebahagian besar anak-anak dan di jiwa ibu bapa serta warga pendidik di Terengganu. Ia petanda yang cukup baik. Jadi pendekatan PAS Terengganu perlulah seiring dengan perubahan yang ditunjukkan itu.
Semoga perjuangan Islam di Terengganu akan mendapat tempat di hati orang-orang Terengganu juga akhirnya sekaligus menjadikan mereka umat Islam yang gemilang dengan akhlak Islam, cemerlang dengan budaya ilmu dan membuktikan Islam pasti terbilang hasil daripada ummat yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment