Monday, August 24, 2009

Nak masuk syurga

Semua orang nak masuk syurga. Tiada siapapun yang mahu masuk neraka. Cakap main-main, nak masuk neraka pun tak berani. Sebab kita semua percaya dengan syurga dan neraka. Kita percaya dengan hari akhirat. Kita percaya dengan kitab-kitab yang di dalamnya disebutkan syurga dan neraka. Orang kristian dan yahudi juga percaya kepada syurga dan neraka.

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
(Muslim)

Dan bagaimana pula rahmat Allah itu akan sampai kepada kita ? Apakah dengan berdoa sahaja ? Adakah memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja ?

Kita bukan sekadar mahu diri kita sahaja masuk syurga. Kita juga mahu ibu dan bapa kita masuk syurga. Lalu kita doakan dosa mereka diampunkan. Kita juga mahu isteri dan anak-anak kita juga masuk syurga. Lalu kita kena didik mereka dengan iman dan taqwa. Dengan ilmu dan amal. Malah kita mahu semua umat Islam lelaki dan perempuan masuk syurga, seperti dalam doa yang sering dibaca terutama pada bulan Ramadhan ini, "Ya Allah ! Sesungguhnya Engkau Pengampun, suka kepada pengampunan, ampunilah akan daku, Ya Allah kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka."

Doa itu dipanjangkan lagi dengan memohon keampunan untuk semua, kepada kedua ibu bapa, kepada semua muslimin muslimat, mukminin mukminat, yang hidup atau yang sudah mati.

Adakah kita yakin amalan kita, i'tikad kita, tutur kata kita, kerja kita, pakaian kita, ibadah kita, makan minum kita, dan segala urusan kehidupan kita hari ini sentiasa mengarah ke syurga dan bukan ke neraka ?

Ingat senang ke nak masuk syurga Allah. Buat lebih kurang je dah boleh masuk syurga. Asal mengucap dua kalimah syahadah je boleh masuk syurga. Asal solat je boleh masuk syurga.

Pernah seekor kucing datang kepada saya ketika saya dan isteri sedang makan sedap-sedap di sebuah kedai makan. Seperti biasa kucing mengiau manja, dengan pandanagn mata mengharap diberi sedikit makanan. (alim kucing lah katakan).

Saya terfikir, "kalau aku tak beri makanan kepada kucing ni, macam mana kalau di akhirat kelak, kucing ni mengadu kepada Allah, Inilah manusia yang aku meminta sedikit makanan daripadanya dan dia mengusirku tanpa menghulurkan sedikitpun makanan kepada ku."

Saya juga sering teringat kepada seorang lelaki yang datang meminta duit kepada saya. Ketika itu saya baru lepas makan. Dia mengadu baru hilang pekerjaan, tiada duit untuk makan dan anak isterinya. Saya tak layan permintaan dia. Biasalah zaman sekarang ramai yang mengadu dan buat muka sedih minta sedekah tetapi sebenarnya kaya. Tetapi sampai sekarang saya masih teringat-ingat, bagaimana kalau dia benar-benar jujur dan susah ? Saya rasa sangat menyesal dan berdosa. Tak mungkin saya dapat berjumpa lelaki itu semula kerana saya tidak kenal dia.

Isteri saya selalu pesan kepada anak saya, kalau kita buat jahat, malaikat sebelah kiri akan tulis kejahatan kita. Kalau kita buat baik, malaikat sebelah kanan akan tuliskan pahala untuk kita. Kalau banyak dosa, masuk neraka. Kalau banyak pahala, masuk syurga. Penjelasan mudah untuk kanak-kanak.

Saya sedih melihat ibu bapa yang bersungguh-sungguh menyuruh anak kecilnya berpuasa tetapi anaknya yang dah besar tak diajak bersolat. Suruh pun tidak. Malah ibu bapa sendiri cuai bersolat. Suruh berpuasa tanpa beritahu kenapa kita kena berpuasa ? Atau sekadar beritahu, kena puasa sebab nak raya ? Siapa tak puasa tak boleh raya. Siapa puasa dapat duit raya.

Siapa suruh kita berpuasa ? Apa faedahnya kita berpuasa ? Apa ayat Quran yang suruh kita berpuasa ? Begitu juga dengan solat. Kalau berpuasa supaya dapat rahmat Allah, supaya dapat masuk syurga, solat juga mesti ditunaikan. Aurat juga mesti dijaga. Semua akan ditulis oleh malaikat di kiri dan kanan kita.

Macam mana nak masuk syurga kalau yang tu pun tak buat.

No comments: