Akhir-akhir ini, Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz sering dilaporkan memberi kenyataan-kenyataan yang kontroversi dan agak terburu-buru. Sama ada kenyataannya diputarbelitkan dengan laporan sedemikian atau memang Nik Aziz agak gelojoh menjawab soalan provokasi wartawan.
Antaranya ialah isu menghina Islam oleh DAP dan terbaru, isu orang UMNO tak boleh ke syurga. Saya memang kurang selsesa dengan Nik Aziz. Dalam menyampaikan dakwah, kita perlu berhati-hati dan berhikmah. Kenyataan daripada Nik Aziz terlalu mudah dieksploitasikan.
Dalam isu menghina Islam misalnya, sebenarnya kita tidak jelas, apakah perkataan yang dikatakan menghina Islam itu ? Ia hanya muncul dalam sebuah blog. Komen yang dikatakan menghina pula datang daripada pengunjung blog. Siapa pengunjung blog dan siapa pemilik blog tidak jelas. Setakat ini tak tahu siapa yang punya.
Jadi tak perlulah kita memaki hamun pemuda DAP dan tidak perlu juga membela mereka. Kita orang Islam sepatutnya sebulat suara mengecam dan mengutuk sesiapa sahaja yang menghina Islam, sama ada daripada DAP, atau UMNO sendiri.
Mengenai Jeff Ooi pula, saya tak nampak ia menghina Islam. Cuma ia menghina JIM, oleh itu, dia wajar meminta maaf kepada JIM. Dia menganggap orang yang mahu melaksanakan syariat Islam sebagai pelampau agama. Oleh itu, Jeff Ooi wajar diprotes supaya lain kali, mereka lebih memahami sensitiviti orang Islam.
Selama ini pun, ramai pemimpin UMNO juga berpendirian sama dengan Jeff Ooi malah lebih dahsyat daripada itu. Mereka bukan sekadar dianggap ekstrimis malah, ada yang kata, negara akan huru-hara jika syariat Islam dilaksanakan. Ada yang mempersendakan hukum Allah, sehingga ada yang nak buat sup tangan. Semua ini tidakkah juga satu penghinaan kepada hukum dalam Al Quran ?
Mengenai syurga dan neraka, Nik Aziz tidak perlu bercakap seolah-olah dia penjaga pintu syurga. Syurga dan neraka adalah hak Allah. Kita cuma perlu sampaikan apa yang sepatut dan mesti dibuat oleh orang yang mengaku dirinya Islam dan bertaqwa kepada Allah, apa yang mesti dijauhi dan ditinggalkan sebagai bukti keislaman, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah.
Cuba tanya orang UMNO,
Apakah dengan mendedahkan aurat, boleh mencerahkan peluang kita ke syurga ?
Apakah dengan meninggalkan solat dan berpoya-poya dengan maksiat boleh mendekatkan kita dengan syurga ?
Apakah dengan memberi dan menerima rasuah boleh menghindarkan kulit dan daging kita daripada dimamah api neraka ?
Apakah dengan menolak Islam sebagai satu cara hidup boleh menjadikan Allah sayang kepada kita ?
Apakah cara UMNO hari ini telah berjaya melahirkan masyarakat Islam Malaysia yang bertaqwa, Islam semakin subur dan berkembag dalam jiwa umat Islam atau umat Islam semakin layu dan lalai, enggan mengamalkan Islam dalam kehidupan malah ramai yang tak mahu bercakap tentang agama masing-masing, malu, segan, itu hak masing-masing dan ramai juga Melayu free thinker hari ini.
Apakah UMNO berpuas hati dengan kualiti iman dan taqwa umat Islam di Malaysia hari ini ?
Apakah dengan mengejek, mempersenda, menghalang, menganiaya dan memfitnah pihak yang mahu melaksanakan, mendaulatkan dan menyuburkan Islam di Malaysia boleh membawa kita ke syurga ?
No comments:
Post a Comment